Ahad, 17 Oktober 2010

TIMB PRES PKR - MENGAPA MESTI AZMIN ?

Pemilihan PKR:
"Azmin Ali untuk semua"

Lim Hong Siang | Oct 17, 2010

12 tahun sejak gerakan Reformasi, Azmin Ali disifatkan tidak lebih sebagai pengikut setia bosnya, Anwar Ibrahim. Azmin bukan Ezam yang hebat berpidato sehingga membakar emosi orang muda; Azmin tidak terserlah seperti Tian Chua apabila turun ke jalan raya; Azmin tidak memiliki otak Khalid Jaafar yang sarat dengan falsafah; malah Azmin gagal menandingi kepakaran Khalid Ibrahim dalam dunia korporat.

12 tahun Azmin Ali berada dalam gerakan Reformasi, tetapi kemungkinan Azmin Ali untuk berpaling tadah tidak pernah mencecah ke paras sifar. Persepsi terhadap Azmin Ali di media sentiasa negatif - beliau dituduh cuba merampas kedudukan Timbalan Presiden daripada Syed Husin Ali; beliau disyaki berkomplot untuk menggulingkan Khalid Ibrahim dari jawatan Menteri Besar Selangor; beliau dituduh menghina kaum India; beliau dikatakan tidak disenangi anggota PKR Sabah dan Sarawak...

Calon Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali cuba menjawab segala-gala ini dalam Majlis Pidato Penerimaan Pencalonan dan Pelancaran Manifesto "Reformasi Menuju Putrajaya" pada 16 Oktober 2010. Majlis dimulakan dengan persembahan seni, disusuli dengan ucapan pemimpin dalam partinya.

Antara pemimpin yang berucap termasuklah rakan sekerjanya sejak zaman Anwar Ibrahim menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, iaitu Khalid Jaafar dan Mansor Othman. Wakil ketiga-tiga sayap parti, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita dan Srikandi turut tampil berucap. Wakil dari Sabah, kemudian S. Manikavasagam dan Xavier Jayakumar, Hee Loy Sian (yang mewakili Tian Chua) tampil berucap menyatakan sokongan terhadap Azmin Ali.

Kehadiran kira-kira 1,500 orang penyokong memenuhi Dewan Auditorium yang bertingkat dua. Azmin Ali memasuki medan pertarungan jawatan Timbalan Presiden, dalam laungan "Reformasi" dan tepukan gemuruh - untuk berdepan dengan Zaid Ibrahim dan Mustaffa Kamil Ayub.

Penghargaan terhadap Syed Husin Ali

Berbeza daripada Zaid Ibrahim, yang mencungkil ketidakselesaan sesetengah anggota parti yang menyanjungi Syed Husin Ali dengan tuduhan "nyanyuk" atau "nyanyu"-nya, Azmin Ali dengan tangkas merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya, malah menggelar Timbalan Presiden PKR ini sebagai "seorang negarawan ulung yang komited dan istiqamah dalam perjuangan".

Bukan itu sahaja, malah adik Syed Husin Ali, Syed Hamid yang bertanding untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat, disebut namanya oleh Azmin Ali. Sasarannya jelas, sama ada untuk meraih sokongan daripada bekas ahli Parti Rakyat Malaysia, mahupun anggota di negeri Johor.

Bukan begitu sahaja, Manikavasagam tampil untuk menjamin sokongan daripada kaum India. Beliau menyebut nama N.Gobalakrishnan dalam ucapan bahasa Tamilnya, dipercayai cuba membersihkan tuduhan terhadap Azmin Ali, yang dikatakan pernah menghina N.Gobalakrishnan dengan panggilan "pariah". Begitu juga, wakil dari Sabah yang tampil untuk memuji Azmin Ali atas sumbangan beliau dalam usaha mempertingkatkan bilangan anggota di Sabah, memperkembangkan aktiviti parti dan mempertahankan prinsip "satu lawan satu" di Sabah.

Manifesto Azmin Ali

Malah, Azmin sendiri cuba menampilkan imejnya yang selari dengan prinsip perjuangan PKR dalam manifestonya yang bertemakan "Reformasi menuju Putrajaya". Beliau yang tidak berpuas hati kerana dituduh sebagai "ultra-Malay", semata-mata kerana pesaingnya Zaid Ibrahim mempunyai imej yang lebih "terbuka" dalam isu perkauman, menekankan bahawa dirinya pernah mempertahankan pendirian bahawa "KeADILan bukanlah sebuah parti Melayu".

Azmin (gambar kiri) mengulangi pendiriannya untuk berperang terhadap PERKASA habis-habisan, tidak akan meminta maaf kepada Mahathir Mohamad, sebagai tekadnya untuk menolak politik perkauman. Malah, dalam teks pidatonya, beliau memetik ayat hikmah daripada tokoh tamadun Islam, India, China malah Martin Luther King (pejuang hak kaum kulit hitam di Amerika Syarikat) - untuk menjulang nilai sejagat kemanusiaan.

Azmin tidak lupa "Agenda Borneo"-nya, yang menuntut agar kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak dikembalikan mengikut Watikah Permasyhuran Malaysia yang ditandatangani pada 16 September 1963.

Menyedari persepsi umum bahawa Zaid Ibrahim lebih disenangi parti komponan Pakatan Rakyat, Azmin Ali turut menyentuh bentuk kerjasama yang berdasarkan kedudukan kesamarataan antara parti di dalam Pakatan Rakyat, sambil mengakui hakikat dan realiti bahawa PKR tidak mampu mentadbir negara tanpa kerjasama rakan parti.

3 M

Sering kali teori 3 M (Machinery, Money and Media) digunakan untuk menjelaskan kemenangan Kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. Khalid Jaafar ketika merungkai manifesto Azmin Ali, juga menyimpulkannya sebagai 3 M, iaitu menggilap idealisme, memupuk kesetiaan kepada parti dan memperkasa organisasi.

Khalid Jaafar memberi penilaian yang tinggi terhadap tekad Azmin Ali (gambar kanan) untuk "membina PKR yang bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah parti politik yang hanya mahu memenangi pilihan raya, namun menjadi wahana pendidikan serta pencerahan politik di negara ini".

Nilai kebebasan dan demokrasi turut dibicarakan dalam ucapan pemimpin, yang dipercayai untuk menyangkal hujah yang diketengahkan Zaid Ibrahim sebelum ini. Ketika membincangkan kebebasan, sama ada Khalid Jaafar mahupun Azmin Ali, akan menjurus kepada kebebasan yang akan "memperkukuhkan parti".

Azmin Ali cuba menonjolkan kelebihan dirinya. Antaranya, calon Ketua Wanita Zuraidah Kamaruddin menegaskan "kesetiaan", yang dikatakan nilai yang paling penting. Disiplin, "diuji dan teruji" - menjadi frasa yang paling kerap disebut, untuk menonjolkan Azmin Ali sebagai pemimpin yang sudah 12 tahun berada dalam PKR - kelebihan yang tidak dimiliki Zaid Ibrahim.

Manusia Organisasi

Ciri-ciri kelebihan Azmin Ali dihuraikan oleh rakan sekerjanya, Khalid Jaafar dan Mansor Othman. Khalid Jaafar menggelar Azmin sebagai "manusia dan insan organisasi", mengingatkan bahawa sesungguhnya PKR mempunyai gagasan yang mendahului zaman, namun perjuangan ini hanya berjaya apabila mempunyai organisasi yang "sakti".

Dari kaca mata Khalid Jaafar, Azmin Ali merupakan seorang jeneral, jikalau dibaca dalam konteks peperangan, malah seorang strategis yang mempunyai kecekapan dan kelinchan seperti Zhu Ge Liang (dalam Romance of Three Kingdoms).

Mansor Othman pula membacakan profile Azmin Ali, seterusnya menceritakan bagaimana terperincinya Azmin Ali dalam mengatur kerjanya. Calon Naib Presiden ini mengisahkan pengalaman dalam satu pilihan raya di Sarawak, di mana Azmin Ali begitu teliti sehingga mencatatkan waktu dan jarak dari satu tempat ke satu tempat semasa lawatannya, untuk digunakan ketika menyusun jadual lawatan Anwar Ibrahim - yang tidak mempunyai masa yang lebih untuk dibazirkan.

Azmin Ali telah cuba sedaya-upaya untuk menampilkan yang terbaik daripada dirinya - daripada gerak gerinya, ucapannya, manifestonya, malah keupayaannya untuk mengerah sokongan rakan seperjuangannya ke Majlis ini. Terpulanglah kepada anggota PKR untuk menerima atau tidak pimpinan beliau, dalam perjuangan PKR menuju ke arah Putrajaya.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

1 ulasan:

  1. Saudara,kita lihat perkara-perkara yang berlaku menjelang PRU ni.PKR mesti dilemahkan.Serangan bertali arus dan mereka yang berpaling tadah digunakan sebaik mungkin sesuai dengan imbuhan yang mereka terima.Mereka dan UMNO amat takut akan kebangkitan Azmin kerana "keras" beliau berbanding Anwar dan Syed.Seram ngeri tak dpt mereka sorok tp kebimbangan besar ialah dalang dalam parti yang tamak dan bebas berlegar dan mengeluarkan kenyataan.Pepecahan di Sabah punca siapa ?Janji tak ditepati kerja siapa?Melagakan calon-calon peringkat tinggi punca siapa?Meletakkan syarat yg sebenarnya mahu menunjukkan kepada umum bahawa PKR tidak telus dalam pemilihan ni kerja siapa?Oleh itu, LU BOLEH BERAMBUSS ZAID !!!!!!

    BalasPadam