Jumaat, 26 November 2010

BOLEHKAH PAS MENERAJUI PR?

Oleh: WFAUZDIN NS

KEMELUT di dalam PKR nampaknya ada harapan untuk penyelesaian memandangkan setakat ini kesemua mereka yang bertanding termasuk yang mungkin tewas baru-baru ini telah menggunakan akal yang bijak menangani masalah yang berlaku. Tiada yang memburukkan parti atau pemimpin setakat ini setelah berambusnya Zaid dari PKR.

Tahniah penyokong Zaid, syabas juga buat penyokong Sdr Mustafa Kamil dan Chegu Bard. Mereka telah menggunakan segala saluran yang ada untuk menegur dan memperbetulkan parti. Apa jua hasilnya, kita doakan semoga PKR terus mantap dan terus mara bersama PR ke Putrajaya, InsyaAllah.

Apabila berlakunya kemelut PKR yang diperbesarkan oleh media haprak, maka ada segelintir dari kita yang mencadangkan agar PR diberi peluang untuk diterajui oleh PAS. Ada asasnya cadangan ini dibuat memandangkan situasi yang berlaku, tambahan pula PAS kini giat di dalam mempromosikan parti tersebut sebagai parti yang bakal menggantikan Umno. Menggantikan Umno bukan bermakna meneruskan dasar atau budaya Umno, tetapi sebagai parti pilihan bagi masyarakat Melayu dan Islam di negara ini. Satu cadangan yang baik dan patut dipertimbangkan semasak-masaknya.

Saya cuma tidak bersetuju jika alasan PAS menerajui PR semata-mata kerana kemelut yang dihadapi oleh PKR atau masalah yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim. Alasan ini tidak kukuh untuk menjadi faktor mengapa PAS perlu memimpin PKR. Pada saya, pemimpin PAS boleh menggantikan DS Anwar sekiranya pemimpin itu dilihat mempunyai ketokohan, wibawa dan mempunyai intelektual yang tinggi sehingga dihormati oleh rakan-rakan di dalam PR. Sekarang, dari segi disiplin jemaah, PAS jauh meninggalkan PKR kerana zaman pemimpin dan ahli yang keluar dari PAS telah lama berlalu. PAS banyak belajar dari peristiwa itu sebagaimana PKR baru belajar mengenainya.

Disiplin ahli yang kuat dan jitu dari PAS merupakan salah satu faktor untuk kita yakin dan percaya PAS boleh memimpin PR. Walau bagaimanapun, terdapat faktor yang lebih besar perlu dilihat oleh PAS. Adakah PAS boleh meyakinkan rakannya seperti DAP untuk menerima pemimpin PAS sebagai ketua? Bagi PKR, pada pendapat saya ahli-ahli di kalangan Melayu dan berugama Islam mungkin tiada masalah menerima pemimpin PAS sebagai peneraju PR. Cuma, mungkin masih ada di kalangan pemimpin atau ahli yang terdiri dari Non Muslim agak sukar menerimanya.

Justeru itu, PAS mulai sekarang mesti lebih bijak mendekati golongan ini. Pemimpin PAS mesti membuktikan segala tindak tanduk mereka tidak mendatangkan keraguan kepada rakan di dalam PR. Tentulah ada di kalangan mereka ini gusar sekiranya PAS menerajui PR, kesempatan ini akan digunakan oleh PAS untuk mendekati Umno. Bagi saya, mustahil PAS akan bertindak sedemikian kerana sehingga kini PAS tidak pernah mengkhianati rakan mereka. Tetapi, mungkin tidak kepada beberapa pemimpin di dalam DAP dan PKR.

Faktor penting juga, pemimpin yang boleh menerajui PR ini mestilah tokoh yang bukan sahaja ternama di dalam negeri, tetapi ternama juga di luar negara. Kebijaksanaan dan kepintaran di dalam mengatur strategi politik juga amat penting sebagai peneraju PR. DS Anwar telah berjaya menyatukan PAS dan DAP dan memimpin PR dengan stategi yang baik serta berkesan. Walaupun DS Anwar tidak sempurna mana, namun kejayaannya itu banyak membantu PR keseluruhannya.

Seandainya DS Anwar perlu diganti, sudah tentu kita mahu melihat penggantinya kalau tidak dapat melebihi ketokohannya sekurang-kurangnya berjaya menyamai kepimpinannya. Saya akur sekarang ini DS Anwar diasak sedemikian rupa, sudah tentulah di peringkat usia beliau yang semakin tua sedikit sebanyak `stamina'nya berkurangan.

Maka, amat baik juga jika cadangan untuk memberi laluan kepada PAS memimpin PR difikirkan semasak-masaknya. Siapakah tokoh PAS itu? Bagi saya tidak kira siapa pun asalkan mempunyai ketokohan, kebijaksanaan dan mempunyai pandangan yang jauh dan tajam dengan situasi politik di negara ini. Pendek kata, mestilah lebih hebat dari yang ada sekarang./wfauzdin.blogspot.com

9 ulasan:

  1. Allah sudah hantar wakil PAS ke Parlimen untuk menggantikan PM dari BN. Ia bukan Anwar tetapi Nizar Jamaluddin yang jauh lebih baik dan lebih bersih dari Anwar.

    BalasPadam
  2. Persoalan ini hanyalah bangkitan dari kekecohan dalam pemilihan MPP PKR. Semasa PRU 12 dulu ramai calon PKR dapat bonus hasil undi tidak percaya pada BN. Kemenangan ini mendorong ramai ahli PKR yang selama ini tidur untuk dicalonkan sebagai calon wakil rakyat masa PRU 13 nanti. Ada ahli yang baru daftar 3 hari sebagai ahli PKR dah berangan-angan nak menjadi calon atau sekurang-kurangnya ahli majlis. Mungkin bagus sekali cadangan yang dikemukan oleh Azmin agar hanya mereka yang telah menjadi ahli lebih dari satu tempoh dibenarkan bertanding.
    Mengenai PAS menerajui Pakatan Rakyat rasanya TGHH sudah mengulas perkara ini. Katanya kalau orang PAS mahukan PAS menerajui Pakatan Rakyat maka orang PAS mesti lebih dahulu berusaha menghantar ramai wakilnya ke Parlimen atau DUN. Halangan utama disini ialah PAS masih belum dapat kepercayaan sepenuh dari orang melayu untuk mengantikan umno. Di Selangor kawasan majoriti 80% melayu yang biasanya diperuntukkan kepada PAS masih memihak kepada umno. Mampukan PAS menawan kerusi umno dan mengekalkan kerusi sedia ada. Secara automatis jika mampu maka PAS layak menerajui Pakatan Rakyat.

    BalasPadam
  3. Sekarang ini saya melihat tindak-tanduk PAS dalam PR seolah-olah dikawal oleh DAP! Kita takut untuk bercakap tentang hudud, judi, arak dan sebagainya. Perjuangan kita saja telah jauh tersasar, jadi bagaimana kita mahu menerajui PR?
    Salam.

    BalasPadam
  4. Hakikatnya kepimpinan PAS adalah secara konsensus. Jadi sukarle nak ambil sesorang individu seperti PKR. Sebab itu PAS lebih stabil walaupun ketua tidak terlalu hebat, lebih jitu, lebih terbuka dalam memberikan pendapat. PKR terlalu bergantung kepada seorang individu. Jadi senang le BN nak serang PKR. Sumbat seorang saja dalam penjara. Kalau PAS, paling tidak kena ambil 20 orang.

    BalasPadam
  5. usia pas dah lebih 50 tahun....
    usia pkr baru 11 tahun....
    dulu pas pernah pecah 3....
    pkr belum pecah lagi....

    sejak ada pkr dan dap...baru pas diterima oleh sebahagian rakyat...

    kena terima hakikat...

    semua kena bersatu dlm pakatan rakyat...

    jangan ada sesiapa jadi enau dlm belukar...

    jadilah seperti aur dengan tebing....

    walau setangkai tak sebau....

    masih ada peranan untuk bersama....

    untuk memamposkan umnok....

    BalasPadam
  6. aku rasa tuan blogger nie penyokong azmin..tapi tak mengapa sbab itu hak dia...demokrasi la katakan...tapi kita kena bersikap matang dan dewasa dlm menilai setiap isu2 yg berbangkit...

    klu org PKR mesti dia mau PKR yg terajui, begitu jugak sebaliknye jika org Pas, mesti diaorg mau Pas jugak yg lead...so, bagi aku klu Pas nak dikira layak terajui PR, calon yg paling layak adalah dato seri nizar...beliau lebih bersih dari anwar ibrahim..cuma beliau belum diuji seteruk anwar, itu saja! tatapi dari segi warak, telus...nizar jauh lebih bagus dari anwar...lain-lain peminpin Pas yg dikira layak adalah dr.zulkifli, dr.syed azman, salahuddin ayub, khalid samad, even nik aziz pun layak klu dia mau...cuma jgn bagi kat geng-geng 'kerajaang pepaduang' sudah la...hancur PR...

    BalasPadam
  7. KEPADA TANPA NAMA 2010 November 26 17:30

    Otak tolong bukak sikit!

    Nizar Jamaludin nak ganti anwar ibrahim?
    Aku orang perak, aku kenal nizar secara rapat.
    Aku akui dia ada kelayakan tetapi Nizar masih belum memiliki kepintaran dalam strategi politik. Kesannya KERAJAAN PERAK tumbang.

    Kedua, Nizar mendapat undi tertinggi dalam AJK PAS PUSAT. Tetapi BELIAU DINAFIKAN HAK UNTUK menjadi PESURUHJAYA PAS PERAK OLEH PRESIDEN PAS manakala HASAN ALI walaupun dapat undi yang rendah dalam AJK PAS PUSAT beliau dilantik menjadi PESURUHJAYA PAS SELANGOR.

    Nizar kini dilantik sebagai Pengerusi PAKATAN RAKYAT Perak atas desakan DAP bukan daripada permintaan PAS mahupun KEADILAN. Ini memperlihatkan DAP terlalu sayangkan Nizar.

    Sebelum Nizar menggantikan ANWAR IBRAHIM, Nizar perlu berusaha keras menyingkirkan HADI AWANG, NASA MAT ISA dan HASAN TANTAWI yang kini menjadi liabiliti TERHADAP perjuangan PAS dan ISLAM.

    Sekiranya NIZAR berjaya menyingkirkan HADI, NASA MAT ISA dan NASA TANTAWI. Insya Allah, aku dengan penuh berbesar hati menyokong penuh NIZAR sebagai pengganti ANWAR IBRAHIM.

    BalasPadam
  8. blog ni dan penulis dia syok sendiri..bila masa pkr dan anwar tu ketua PR?Siapa lantik?

    BalasPadam
  9. anon 01:42,

    tokey blog nie memg syok sendiri...dia syok sendiri tahap gaban pada anwar, azmin dan sam...

    BalasPadam