Khamis, 25 November 2010

CERAMAH ANWAR DI PAHANG KELMARIN






Oleh: WFAUZDIN NS

DS Anwar telah membuat lawatan rasmi ke Ibu Pejabat PKR Pahang di Beserah pada 23 Nov 10 baru-baru ini. Pada sebelah malamnya, Ketua Umum PKR tersebut telah memberikan ceramah umum di tapak ceramah di dalam kawasan Ibu Pejabat PKR tersebut.

Turut hadir pada malam tersebut di antaranya adalah Pengerusi PKR Pahang, Dato Fauzi Abd Rahman, MP Kuantan bakal Naib Presiden PKR YB Fuziah Salleh, MP Indera Mahkota YB Azan Ismail, Adun Triang dari DAP YB Leong Ngah Ngah, Adun Beserah dari PAS dan beberapa pimpinan negeri dari PKR juga pimpinan PR Pahang. Saya tidak dapat meramalkan kehadiran orang ramai pada malam tersebut, tapi apa yang pasti tapak ceramah dipenuhi oleh ribuan para penyokong PR sehingga di bahagian atas berhampiran pentas ceramah juga padat dengan orang ramai yang ingin mendengar pidato dari DS Anwar dan juga pemimpin PR Pahang.

Sebelum ini, jangkaan ramai pihak bahawa DS Anwar akan menggunakan kesempatan malam itu untuk membelasah Dato Zaid Ibrahim yang akan meninggalkan PKR akibat tidak yakin dengan kepimpinan parti. Ternyata jangkaan itu meleset, DS Anwar sebaliknya menghormati pilihan Dato Zaid. Beliau menerangkan apa yang terjadi kepada PKR sekarang, telah lama berlaku di dalam semua parti samada PAS, DAP malahan Umno juga.

PAS kata beliau, lebih teruji apabila Presidennya sendiri keluar parti seperti Dato Asri Muda dan juga Naib Presiden PAS, Nakhaie Ahmad yang menyertai Umno. Begitu juga dengan DAP seperti Dato Lee Lam Thye dan beberapa tokoh DAP lainnya. Namun, parti PAS dan DAP masih mampu bertahan sehingga kini malah semakin kuat.

DS Anwar turut menyebut bahawa Umno lebih dahsyat lagi kerana bekas Presiden Umno dan PM sendiri pun di akhir hayat mereka di luar Umno. Pengasas Umno, Dato Onn Jaafar juga mati di luar Umno. Bekas PM, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn juga tidak bersama Umno hingga hujung nyawa. Mantan PM Tun Mahathir pula, sedikit pelik kerana beliau lebih suka keluar masuk Umno. DS Anwar yakin, Tun Mahathir akan memasuki PKR apabila PR menghuni Putrajaya nanti.

Sepanjang lebih kurang 1 jam setengah beliau berucap, DS Anwar juga menyindir Utusan Malaysia yang setiap hari akan membawa cerita berkenaan dirinya. "Utusan Malaysia perlu ditukar kepada nama Utusan Anwar", selorohnya.

Sebelum DS Anwar berucap, saya ternanti-nanti akan ucapan dari bakal Naib Presiden PKR YB Fuziah SAlleh yang saya minati itu. Malangnya beliau tidak sempat berucap kerana memberi peluang kepada DS Anwar untuk berucap lebih panjang. YB Azan Ismail juga turut berucap sebelum DS Anwar dan beliau banyak menceritakan apa yang berlaku dalam perbahasan bajet di Parlimen. Kerajaan Bn katanya, sudah tidak releven lagi di mana terlalu banyak perbelanjaan membazir sehingga terpaksa meminta peruntukan yang lebih besar kali ini. `Bajet seluar dalam' seperti yang dikatakan oleh YB Azan meriuhkan suasana ceramah malam tersebut.

Walaupun ceramah malam itu tidak diwar-warkan lebih awal, namun sambutan orang ramai yang hadir amat memberangsangkan. DS Anwar amat berpuas hati di atas sambutan malam itu dan beliau mengucapkan tahniah kepada PKR Pahang serta PR yang berjaya melaksanakannya walaupun tidak dirancang lebih awal. Saya yang hadir malam itu tidak berkesempatan untuk mengambil gambar suasana malam itu kerana sibuk merakam melalui video kamera. Gambar-gambar yang saya siarkan di sini hanya sempat diambil sambil lalu sahaja melalui kamera telefon bimbit sahaja.

Kesimpulannya, ceramah malam itu membuktikan dakyah pihak media mereka bahawa PKR dan PR semakin goyah tidak tepat. Jangkaan mereka bahawa DS Anwar atau beberapa pemimpin PKR Pahang akan menyerang Zaid Ibrahim habis-habisan ternyata meleset. Ini adalah kerana PKR mahu menumpukan kepada agenda yang lebih besar untuk rakyat. /wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan