Ahad, 14 November 2010

MENJAWAB PERSOALAN ZAID DI DALAM AKHBAR PENCACAI

Media pencacai pernah lakukan fitnah jahat ke atas Zaid Ibrahim tentang gambar palsu ini, kini Zaid gunakan media pencacai yang sama pula untuk jatuhkan Anwar....Masih mahu bercakap pasal `prinsip'?

Oleh: WFAUZDIN NS

ZAID Ibrahim nampaknya masih tidak berpuas hati dengan Anwar. Dendamnya terhadap Anwar terpaksa diluahkan kepada akhbar pencacai yang dulunya menghina beliau seperti New Strait Times dan Mingguan Malaysia. Apa yang akhbar ini tidak cerita tentang Zaid sewaktu beliau diangkat sebagai `anak emas' oleh Anwar menjadi calon PKR di PRK Parlimen Hulu Selangor, sedangkan ketika itu baru `dua hari' Zaid berada di dalam PKR. Alhamdulillah. manusia pengecut ini tewas juga kerana Allah mahu selamatkan PKR dari menjadi mangsa Zaid yang mempunyai harapan untuk menjadi `MP Katak' sekiranya beliau menang pilihanraya tersebut.

Di dalam wawancaranya, Zaid menyebut kemungkinan besar untuk menubuhkan parti baru. Sekali lagi Alhamdulillah saya ucapkan kerana PKR berjaya menghapuskan `parasit' yang selama ini kita tidak ketahui. Zaid bekas pemimpin Umno yang pernah disabitkan dengan politik wang atau rasuah politik sewaktu pemilihan Umno bercita-cita untuk menubuhkan parti yang melaksanakan demokrasi tulen, telus dan terbuka. Itu saya tidak mahu komen, kerana itu lah juga alasan Zaid apabila menyertai PKR

Beliau selanjutnya memberitahu, beliau tiada pelan besar di dalam politik. Itu pun saya tidak mahu komen kerana itulah juga yang Zaid pernah katakan seawal mula menyertai PKR di mana beliau berkata tiada rancangan atau cita-cita besar beliau menyertai PKR. Tiba-tiba beliau muncul untuk bertanding kerusi nombor dua tinggi di dalam PKR di dalam keadaan putar belitnya dengan berbagai syarat sebelum beliau masuk bertanding. Namun, akhirnya beliau melompat keluar dari gelanggang lebih awal apabila terasa dirinya bakal tewas. Terciptalah berbagai alasan yang tidak masuk akal seperti menyalahkan Anwar dan Azmin.

"Kalau BN salah saya tentang dan kalau betul saya sokong. Dari dulu sampai sekarang saya ikut isu atau dasar. "Saya tidak ada minat untuk jaga siapa yang bakal naik, perdana menteri atau ketua pembangkang. Siapa untung siapa rugi itu adalah nasib mereka," kata bekas menteri di era perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu (Mingguan Malaysia). Hebat prinsip Zaid. Ayat itu juga selalu kita dengar dari YB Zul Kulim, YB Zahrain dan beberapa orang lagi yang dari kumpulan Ibrahim Ali itu. Ayat yang biasa dari sesiapa yang keluar atau ditendang keluar oleh parti. Cuma kita ingin tanya, sepanjang Zaid berada di dalam Umno dahulu pernah atau tidak kita mendengar Zaid mendesak Presiden Umno letak jawatan atau bersara dari politik? Mengapa baru dua tiga hari berada di dalam PKR, itu yang diperjuangkan oleh Zaid? Jelas pada kita, apakah hasrat dan niat beliau untuk sertai PKR sebenarnya.

Apabila ditanya mengapa beliau tidak sertai PAS atau DAP, beliau seperi budak-budak dengan nada merajuk berkata,"Imej saya dah macam ini tidak ada siapa yang nak ambil saya. Mereka akan kata Zaid ini pengacau." Baguslah, jika Zaid sedar diri dan mengaku lebih awal.

Satu lagi hujah Zaid yang membuktikan beliau masih tidak kenal rapat Anwar dan PKR adalah apabila beliau menyebut diri Anwar tidak boleh disentuh. Pertamanya, saya ingin tahu sehingga kini adakah Anwar ada menyerang keterlaluan ke atas beliau atau mengambil tindakan terhadapnya setelah beberapa hari Zaid cuba `menghalau' Anwar dari Parti PKR? Anwar pernah dikritik hebat oleh Karpal Singh, tetapi Anwar berani menerima kritikan dari Karpal Singh dan beliau akhirnya berjaya selesaikan isu tersebut dengan bijak tanpa emosi. Dan, banyak lagi kritikan yang Anwar pernah terima, tetapi Anwar bukan `budak-budak' seperti Zaid. Ini bukti jelas bahawa Anwar sentiasa bersedia untuk dikritik tetapi mestilah dengan hujah dan fakta buka seperti `orang mabuk todi' bercakap.

Zaid terus dengan hayalannya menyebut bahawa PKR adalah parti Anwar dan kawan-kawannya. Yang ini saya setuju, kerana PKR adalah parti yang menganggap semua ahli adalah kawan-kawan dan bukan musuh. Sekiranya orang yang tidak suka berkawan atau `gedebe' tentu tidak sesuai berada di dalam PKR. Orang yang gila kuasa, tapi pengecut untuk bertanding dan kuat merajuk perlulah berfikir seribu kali jika ingin kekal di dalam parti ini.

Tidak puas dengan itu, Zaid bercakap pula di dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times. Beliau menyebut bahawa PAS lebih layak terajui PR daripada PKR. Apa hujah beliau? Tiada hujah apa-apa pun diberikan sekadar melepaskan geram kepada Anwar dan PKR. Peliknya, di sebalik beliau mahu PAS terajui PKR, Zaid tidak menamakan Tuan Guru Hj Hadi atau Tuan Guru Nik Aziz sebagai penerajunya. Beliau menyebut Datuk Husam Musa, Dr Hatta Ramli, Dr Mujahid dan beberapa lagi sebagai peneraju. Sekali lagi Zaid menunjukkan beliau bukan tokoh politik yang hebat. Memang wajar beliau ditendang oleh Umno sebelum ini selain dari amalan rasuah politik wang yang diamalkannya sewaktu berada di dalam Umno.

Akhir sekali, Zaid melepaskan hajat sebenar beliau iaitu ingin melagakan PAS dengan PKR pula. Matlamat yang sudah begitu lama dimainkan oleh Umno tetapi gagal itu, kini dibantu pula oleh Zaid. Beliau mahu PAS lebih tegas dan keluar dari bayang-bayang Anwar. Sekali lagi Zaid menunjukkan kedunguannya tentang PAS. Semenjak bila PAS dibayangi oleh Anwar? Dasar PAS jauh berbeza dari dasar PKR. Semenjak bila Anwar berjaya mengubah dasar PAS ? Bila pula PAS dilihat sentiasa dibayangi oleh Anwar?

Nampaknya, Zaid semakin celaru dengan hala tuju politiknya. Sudah sampai masanya Zaid bersara dari politik walaupun beliau lebih muda dari Anwar kerana `nyanyu' (pinjam kata Zaid terhadap Dr Hussin Ali) tidak mengira tua atau muda. Beliau kini meraba-raba tidak tentu hala, asalkan PR musnah. Setelah gagal mendesak Anwar bersara, misinya kini cuba jauhkan PAS dari Anwar.

Mengapa Zaid jadi demikian? Puncanya hanya satu, beliau tidak diberi sokongan kuat untuk menjadi Timbalan Presiden Umno. Itu sahaja./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan