Sabtu, 20 November 2010

MUSUH PARTI BUKAN ZAID SAHAJA, JPP JANGAN JADI `JIN PEMUSNAH PARTI'

Oleh: WFAUZDIN NS

DS Anwar di dalam Rapat Perdana di MBSA semalam menegaskan tumpuan parti sekarang adalah untuk menentang `musuh di dalam parti'. Kita harus kenal, musuh di dalam parti bukan Zaid seorang sahaja yang pada saya terang-terang menjalankan kerja yang tidak membina maruah parti, sebaliknya mengambil langkah yang songsang untuk menjejaskan parti. Tetapi, adakah Zaid sahaja musuh parti?

Ada musuh yang kita tidak nampak, tidak kurang bahayanya kepada parti. Mereka ini seolah-olah menjalankan kerja untuk menaikkan seseorang yang mereka suka melalui cara halus. Jika Zaid sahaja musuh parti, paling tidak pun selepas 16 Dis parti kita dikira selamat. Tetapi, saya rasa kita masih belum selamat kerana mungkin terdapat lagi musuh yang lebih hebat dari Zaid dan peranan mereka lebih efektif dari Zaid untuk menghancurkan parti. Mereka ini sukar untuk dikatakan musuh kerana mereka dilihat berada di bawah pentadbiran PKR Pusat.

Saya tidak tahu samada PKR Pusat sedar atau tidak peranan mereka ini. JPP yang mengendalikan proses pemilihan parti semakin dibimbangi peranan mereka. Mungkin tidak adil untuk kita mendakwa keseluruhan JPP bertindak sebagai musuh `halimunan' di dalam parti, namun dakwaan demi dakwaan beserta bukti dan fakta menyebut ada kakitangan JPP yang menjadi ejen pemusnah parti. Mereka tidak melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan oleh parti dengan telus, adil dan profesional.

Melalui surat atau laporan yang dikemukakan oleh calon AMK, Chegu Bard kepada Presiden Parti memohon agar siasatan dilakukan secara adil dan menyeluruh. Chegu Bard bukan hanya menyebut adanya berlaku penipuan atau keraguan di dalam beberapa pemilihan di Cabang, malahan beliau mengemukakan bukti dan fakta. Ini lah yang amat saya puji dan sepatutnya kita semua puji apa yang dilakukan oleh Chegu Bard. Beliau bertindak waras, berhemah dan penuh profesional. Anda boleh baca laporan yang dibuat oleh Chegu Bard di sini, bukan untuk anda percaya seratus peratus tetapi yang penting kita mahu siasatan dilakukan segera.

Memang tepat sekali apabila Presiden Parti memuji tindakan calon Ketua AMK itu kerana melakukan teguran atau protes secara penuh berhemah dan bertanggungjawab. Memadaikah dengan hanya memuji tindakan Chegu Bard? Chegu Bard tidak perlu kepada pujian sebaliknya beliau mahu PKR dibersihkan dari `musuh halimunan' seperti ini. Adakah perbuatan Chegu Bard itu sebagai pengkhianat parti? Terlalu jauh bezanya tindakan Chegu Bard dari apa yang dilakukan oleh Zaid Ibrahim.

Seperti yang Chegu Bard katakan kepada saya melalui SMS, beliau tidak takut kepada undian yang beliau terima tetapi beliau lebih takut kepada penipuan yang berlaku secara terang dan sengaja. PKR tidak harus menghalalkan penipuan kerana pemimpin yang lahir hasil dari penipuan tidak akan mendapat keberkatan dan pastinya pemimpin itu nanti akan bersikap penipu sepanjang masa.

Sudah pasti calon yang sekarang mungkin selesa dengan undi yang mereka perolehi setakat ini seperti Azmin, Nurul Izzah, Shamsul Iskandar dan beberapa yang lain tidak akan merasa seronok jika mereka menang secara penipuan atau melalui proses yang tidak demokratik. Kita juga tentu sekali tidak senang dan redha jika pemimpin kita dipilih melalui cara kotor sedemikian.

Parti mesti bertindak ke atas semua laporan yang dikemukakan dengan fakta dan bukti seperti laporan yang dibuat oleh Chegu Bard di atas. JPP adalah Jawatankuasa Pemilihan Pusat mesti mengelakkan dirinya menjadi `Jin Pemusnah Parti' (JPP). Jangan kerana adanya beberapa ahli atau ejen yang dilantik oleh JPP bertindak merosakkan parti, maka keseluruhan nama JPP menjadi busuk umpama bangkai. JPP mesti bersihkan namanya segera, dan buktikan bahawa JPP sebenarnya bertindak menjadi wakil suara kepada semua ahli parti. Jika itu mampu dilakukan oleh JPP, maka JPP akan dihormati.

Saya amat setuju jika pemilihan dlakukan semula ke atas mana-mana Cabang yang terbukti berlakunya penipuan atau salah laku. Tidak perlu melakukan pemilihan semula kepada semua yang tidak terlibat. Tetapi adakah parti bersedia untuk melakukannya? Hanya komitmen dan kesedaran dari pimpinan parti sahaja yang boleh akukan demi untuk keadilan. Saya yakin, Presiden dan juga kesemua pimpinan pusat mahu melihat parti ini diterajui oleh mereka yang bersih dan jujur. Kebersihan dan kejujuran tidak akan wujud dari punca yang tidak bersih dan jujur.

Laporan seperti yang dibuat oleh Chegu Bard bukan laporan yang dihantar kepada Utusan Malaysia atau TV3. Laporan ini dikemukan kepada parti dan parti perlulah bertindak segera dengan adil. Chegu Bard tidak mengadu kepada media pencacai seperti yang Zaid Ibrahim lakukan. Apakah parti tidak malu atau segan dengan tokoh muda ini?/wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan