Sabtu, 13 November 2010

SATU RANCANGAN UNTUK KUBURKAN PKR MELALUI MAHKAMAH?

Oleh: WFAUZDIN NS

INGATKAH anda sejarah Umno pernah diharamkan? Mungkin ramai yang tidak tahu Umno sekarang adalah `benih baru' yang ditanam oleh Tun Mahathir. Jika anda mahu tahu sejarah Umno, mengapa ianya diharamkan suatu ketika dan kenapa `benih baru' ditanam semula, anda bolehlah bertanya dengan Ku Li atau Rais Yatim. Mereka arif tentang sejarah ini.

Seimbas lalu, saya petik dari blog rakan Greenboc tentang sejarah pengharaman Umno secara ringkas. "Pada Jun 1988, satu guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 ahli Umno yang dinamakan sebagai ‘Umno 11′. Kumpulan ini telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung Umno April 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal serta tidak mempunyai kesan." (Greenboc).

Mengapa perlu kita imbas kembali sejarah Umno yang banyak mengkhianati orang-orang Melayu ini? Ini adalah untuk belajar dari sejarah parti yang hampir pupus itu, mengapa parti itu diharamkan suatu ketika. Ringkasnya, Umno diharamkan adalah kerana ketamakan kuasa Tun Mahathir yang mahu menghalang kemaraan Ku Li. Apabila saluran mahkamah digunakan oleh kumpulan yang sanggup merosakkan parti asalkan musuh mereka tidak dapat menguasai parti berkenaan.

Tidak mustahil hal yang sama boleh berlaku kepada PKR. Kita akan lihat siapa nanti yang tergamak membawa masalah dalam parti ini ke mahkamah, walaupun ruang dibuka seluas mungkin untuk mereka di dalam parti. Rasa tidak puas hati tentang pemilihan di dalam PKR kali ini banyak kedengaran, apatah lagi dijadikan bahan berita utama oleh media pencacai. Pihak parti juga telah memberikan kenyataan dan berjanji untuk menyelesaikannya sehingga sanggup memberi masa untuk mereka yang tidak puas hati itu mengumpul bukti untuk disiasat. Malahan, Presiden Parti DS Wan Azizah yang dikatakan `tidak berminat' dengan Azmin pun membuat kenyataan untuk menyiasat segala dakwaan tetapi bagi menghormati kehendak majoriti akar umbi, tanpa adanya bukti kukuh salah laku setakat ini, maka pemilihan mesti diteruskan.

Mungkin ada pula yang menukar tuduhan mereka selama ini dan menganggap DS Wan Azizah `berpihak' kepada Azmin apabila meneruskan pemilihan. Jika pemilihan dibatalkan dan dilakukan semula tanpa asas dan bukti kukuh, tentunya penyokong Azmin akan mendakwa pula DS Wan Azizah menyokong Zaid mahu pun Sdr Mustafa Kamil. Tentu sekali ini menimbulkan dilema buat Presiden Parti, lantas beliau berpegang kepada fakta yang ada iaitu pemilihan mesti berjalan dan siasatan perlu juga dilakukan.

Tentang isu samada parti akan dibawa ke mahkamah atau tidak, itu terpulanglah kepada mereka samada ingin digelar sebagai pengkhianat atau tidak. Apa yang penting, kita jangan meletakkan diri kita `satu kepala' dengan pengkhianat yang bakal muncul nanti./wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan