Selasa, 19 April 2011

Kemenangan PAS dicemburui

Situasi politik dan budaya di Malaysia masih lagi berlegar disekitar faham perkauman sempit malah BN sangat selesa dengan "tradisi" ini. Isu kaum sering kedengaran di negara ini untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar. Sepertimana yang telah diungkapkan oleh Syed Husin Ali dalam bukunya Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan menyatakan bahawa "persaingan kelompok atasan diberi wajah kaum".

Masyarakat Bumiputera dan Melayu harus disedarkan dari salah faham ini. Ayuh kita lihat sebagai contoh; Jika PAS yang memenangi sesebuah kawasan atau negeri, orang Melayu akan dituduh sebagai golongan yang tidak mahu bersyukur dengan jasa kerajaan, jika PKR yang menang, rakyat akan dituduh pula sebagai menyokong pengkhianat bangsa dan jika kemenangan itu di pihak DAP (sudah tentu kawasan Cina), kemenangan itu ditafsir sebagai "kebangkitan Cina" Dan menunjukkan seolah-olah masyarakat Cina tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan atas dominasi ekonomi yang diperoleh. Apakah kita rakyat Malaysia juga perlu termakan dengan isu-isu sebegini?

Bukan kaum, tapi diskriminasi politik

Saya ingin bertanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi; apakah rakyat tidak punya hak untuk memilih sehingga jika ia tidak berpihak kepada pemerintah mereka akan dituduh sedemikian rupa? Haruskah rakyat di negara ini terus diperbodohkan dengan pandangan-pandangan berbaur perkauman yang tidak sihat dan ia dibiarkan berleluasa?

Kita masih lagi dalam bahang suasana PRN Sarawak. Kemenangan besar DAP sebenarnya menjelaskan bahawa masyarakat Cina mahu untuk berubah dan berani melakukan perubahan. Apa yang berlaku kepada masyarakat Bumiputera pula, mereka punya azam untuk berubah tetapi masih terperangkap dengan hegemoni Melayu-Melanau dan dibatasi dengan sikap sinikal dan takut apatah lagi masih dimainkan dengan politik projek "jalan raya" yang nampaknya masih belum selesai.


Soalnya sekarang bukanlah "kebangkitan Cina". Orang Cina telahpun bangkit dari kemiskinan mereka sejak selepas merdeka lagi. Keputusan PRN Sarawak sebenarnya menunjukkan bahawa masyarakat Cina cuba bersikap lebih realistik dan berani melakukan perubahan. Selain itu, ia juga membuktikan kepada kita bahawa masyarakat Cina lebih sensitif dan peka terhadap perkembangan politik tanah air. Saya bukanlah memuji tetapi inilah yang harus kita semua fikirkan bersama. Ya, agar kita seluruh rakyat Malaysia lebih realistik dan berani menyatakan pendirian terhadap isu-isu penyelewengan dan salah urus tadbir pemimpin-pemimpin negara.

Memang, Bumiputera-apalagi orang Melayu diutamakan dalam arus pembangunan nasional agar dapat bersaing dengan masyarakat yang lain. Akan tetapi, dilema yang dihadapi bukan diskriminasi dari sisi kaum tetapi apa yang berlaku adalah diskriminasi politik. Lihat sahaja apa yang pernah berlaku di Terengganu berkaitan royalti minyak yang ditukar kepada Wang Ihsan apabila PAS berjaya membentuk kerajaan di sana. Begitu juga diskriminasi berbelas-belas tahun kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam hal peruntukan kewangan dalam projek bekalan air bersih yang sehingga kini menjadi tanda soal.

Nampaknya isu perkauman ini sengaja terus dibangkit dalam mempertahan monopoli politik BN agar dilihat perjuangan mereka relevan sehingga sekarang. Apakah kemiskinan sebahagian masyarakat bumiputera di bandar dan di kawasan pedalaman di hadapan mata kita membuktikan BN benar-benar memperjuangkan nasib golongan ini? Dan apakah kita masih tidak malu kerana masih dicengkam dengan hegemoni kaum ini? Sejarah telahpun membuktikan kebenaran dan telah sampai masanya untuk kita merevolusikan minda!

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas./MerdekaReview

1 ulasan:

  1. perkauman...memang celaka orang yg cuba bakitkan pekara ni...aku nak pemimpin haprak yg bangkitkan perkauman ni pergi jalan kaki sorang2 pergi jadi org biasa..tgk keadaan skrg...kami kat kawasan perak ni bebas berjalan kesana kemari..kaum cina baik kaum india semua baik2 dengan kaum melayu..urusan perniagaan seperti biasa..urusan kejiranan juga seperti biasa...cuma yg aku nampak kami setiap kaum berhati2 sesama kaum kami jg kaum lain kerana 'JENAYAH'..jenayah meningkat...baik kaum melayu bahkan kaum cina serta india juga ada yg berhati jahat yg boleh melakukan jenayah bila terdesak atau pun dah terlampau pemalas mencari rezeki yg halal....cuma yg aku nampak apa yg dibangkitkan pemimpin haprak ni...bukan perkauman dari segi kaum tetapi perkauman dari segi yg kaya dgn yg miskin...yg kaya ni terus monopoli dan mula buat2 baik dgn yg miskin bila nak memimpin...yg miskin terus ditindas...aku nak bagi tau kami yg tak berapa nak kaya ni boleh bercampur kaum...tetapi yg kaya raya tu...jiran pun tak pandang...nak mati nanti baru lah kenal masjid n surau...tetapi tak semua bro...cuma 3% aje yg kaya kenal ALLAH dan faham rezeki tu dtg dari ALLAH dan sudi berkongsi dgn manusia yg lain dgn seikhlas hati.....so melayu tak bacul..tetapi penulis akhbar tu yg celaka dan bacul...bodoh!!!!!

    BalasPadam