Sabtu, 26 November 2011

PERJUANGKAN NASIB DS ANWAR TETAPI BUKAN MELALUI BERSIH

Oleh:  WFAUZDIN NS

KENYATAAN Ketua AMK, Sdr Shamsul Iskandar (SAM) untuk menggerakkan BERSIH 3.0 sekiranya DS Anwar disabitkan bersalah dan dipenjarakan adalah satu kenyataan yang `silap tempat'.  Beliau menyatakan demikian dalam ucapan penggulungannya pada kongres pergerakan itu di Johor Bahru semalam.


Beliau tidak boleh kelirukan rakyat dengan perjuangan BERSIH selama ini.  Begitu juga BERSIH tidak boleh disamakan dengan perjuangan membebaskan DS Anwar walaupun perjuangan BERSIH untuk membersihkan amalan pilihanraya di negara ini adalah sejajar dengan perjuangan Ketua Pembangkang itu.  Namun demikian, BERSIH mempunyai isu yang berbeza melampaui isu yang dihadapi oleh DS Anwar.  Walaupun niat dan tujuan Ketua AMK itu dilihat baik dan jujur, namun tidak kena dengan tempatnya dan dilihat kurang bijak. 

Ketua AMK, Sdr Shamsul Iskandar

Difahamkan DS Anwar akan kembali ke mahkamah pada 08 Dis ini dan kemungkinan beliau terpaksa dibebaskan kerana rakyat memahami tiada sebab Ketua Umum PKR itu patut dipenjarakan.  Namun demikian, kita mesti bersedia dengan langkah untuk diambil sekiranya kezaliman ke atas DS Anwar berterusan lagi.  Justeru itu, sekiranya AMK merasakan perlu ke hadapan untuk membela nasib DS Anwar maka sudah pasti usaha tersebut akan disokong oleh pencinta keadilan, tetapi perancangan biarlah betul dan bertepatan dengan tempat dan isunya bukan menempek di atas perjuangan BERSIH.

Jika isunya DS Anwar, maka gerakan juga mesti berpaksikan keadilan untuk beliau dan BERSIH bukan tempatnya.  Jika isunya menuntut pilihanraya yang adil, maka BERSIH adalah tempatnya. Adalah diharapkan AMK di bawah Sdr Shamsul Iskandar akan memikirkan kaedah lain untuk mencapai matlamatnya dan jangan khuatir apa yang baik tetap akan disokong oleh rakyat. /wfauzdin.blogspot.com  

1 ulasan:

  1. aiyooo.. kan shamsul kata 'SEBELUM', bukannya BERSIH 3.0

    BalasPadam