Sabtu, 9 Julai 2011

KEJAYAAN GEMILANG BERSIH - TERBUKTI TIADA SENJATA DAN MOLOTOV COCKTAIL





DS Anwar cedera ditumbuk bersama Pengawalnya



Oleh: WFAUZDIN NS

SEMPURNA sudah Perhimpunan Bersih 2.0 hari ini dengan kejayaan paling gemilang. Meskipun diugut, diancam malahan terlebih awal lagi beberapa tangkapan telah dilakukan oleh rejim namun Perhimpunan BERSIH berjaya menembusi kubu yang dikatakan paling kukuh dan berstrategi oleh PDRM itu.

Lebih 50,000 berada di tengah Ibu Kota petang tadi berjaya menggagalkan sekatan setiap penjuru alam. Jumlah itu tidak termasuk beribu-ribu lagi yang terkandas di pertengahan jalan menuju ke K.Lumpur akibat sekatan jalanraya di lebuh-lebuh raya samada dari Utara, Timur dan Selatan yang bermula awal pagi semalam lagi.

Apabila melihat sendiri suasana kehadiran ramai pejuang-pejuang BERSIH yang langsung tidak menghiraukan amaran mengarut oleh KPN malam tadi, saya tertanya-tanya di mana PERKASA dan Ibrahim Ali? Difahamkan kumpulan mereka sekitar 20 orang sedang enak menjamu selera di sebuah restoren sambil menonton TV yang melaporkan keadaan semasa di lokasi perhimpunan. Di mana pula Omar Din, Guru Silat Lincah beserta anak-anak buahnya yang sebelum ini menyalak setiap malam di kaca TV kununnya ingin berada di barisan hadapan menentang kemaraan BERSIH?

Biar saya realistik dan tidak `double standard.' Satu pujian harus diberikan kepada kumpulan `Patriot' di bawah Ketua Pemuda Umno, KJ yang berani merealisasikan perhimpunan secara aman ini. Meskipun kumpulan beliau hanya sekitar 300 orang berbaju merah, namun setidak-tidaknya mereka lebih `jantan' dari PERKASA dan kumpulan Omar Din. BERSIH tidak bertempur pun dengan Patriot kerana masing-masing tahu erti yang terkandung di dalam Perlembagaan berkaitan hak berhimpun secara aman.

Timbul pertanyaan setelah semuanya selesai sebentar tadi, iaitu mana dia parang, senjata merbahaya atau `molotov coktail'? Mana dia pemimpin yang berjiwa `komunis' yang ingin merampas kuasa? Berapa bijikah bangunan atau kereta yang dibakar? Bayangkan jika di dalam keadaan perhimpunan tersebut diprovokasi oleh pihak Polis dan FRU, tiada apa pun yang berlaku seperti yang dikatakan tadi, adakah jika perhimpunan ini dibenarkan secara aman di Stadium Merdeka akan berlaku kejadian-kejadian tersebut?

Akhirnya, marilah kita berfikir secara bijak adakah kita perlu lagi kepada kerajaan zalim seperti ini? Bertuahnya kita di dalam PR kerana mempunyai pemimpin seperti DS Anwar, Tuan Guru Hj Hadi, Lim Kit Siang, Mat Sabu, Tian Chua dan ramai lagi yang sanggup merasa sakit dan susah bersama kita. Di mana Najib dan Rosmah juga Muhyiddin? Mereka hilang dan meninggalkan pihak Polis untuk bertempur dengan rakyat. Di saat DS Anwar terbaring di Hospital akibat ditumbuk bersama Pengawal Peribadinya, ketika Tuan Guru Hj Hadi ditahan dan digari mungkin ketua rejim bersama isterinya kini bersuka ria di luar negara.

Syabas BERSIH, syabas rakyat dan syabas Patriot. Takziah buat Perkasa, Omar Din dan anak-anak buahnya serta PDRM. Masa akan tiba rejim pasti tumbang
./wfauzdin.blogspot.com

TERKINI - SEKITAR CERAMAH AKHIR BERSIH DI TAMAN MELEWAR - AYUH BANGKIT


Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Us Nasruddin Hassan Tantawi sedang berucap,
turut kelihatan adalah Timbalan beliau, Us Nik Abduh Nik Aziz


Oleh: WFAUZDIN NS

SAYA baru balik dari ronda-ronda di pinggir Ibu Kota, K.Lumpur selepas mengikuti ceramah akhir sempena Perhimpunan BERSIH 2.0 yang akan diadakan petang nanti Sabtu (09 Jul 2011) di Stadium Merdeka. Ceramah malam tadi telah diadakan di Markas PAS Taman Melewar yang menampilkan tokoh utamanya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi bersama Badrul Hisham (Chegu Bard), Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).


Sebahagian pejuang-pejuang BERSIH yang akan turun petang nanti hadir ceramah akhir


Agak lewat saya dan beberapa rakan sampai ke Markas PAS tersebut di mana Chegu Bard telahpun selesai menyampaikan pidatonya. Saya hanya sempat mengikuti pidato Us Nasruddin Tantawi yang berjaya menaikkan semangat lebih 5 ribu yang hadir. Beliau menyelar tindakan Najib yang berbohong dan mungkir janji dengan persetujuannya untuk menyediakan stadium buat BERSIH mengadakan perhimpunan hari ini.





Kelihatan anak muda yang penuh semangat ingin melakukan perubahan. Keadaan sekitar meriah bagi menyambut perayaan demokrasi petang nanti. Penulis turut bersama bersantai bersama anak muda yang kelihatan begitu bersemangat.

Namun katanya, kebangkitan rakyat yang sudah jemu dengan pembohongan SPR selama ini tidak akan dapat dihalang lagi umpama menghalang air yang terjun dari bukit. Kezaliman kerajaan semakin ketara dengan mewujudkan undang-undang sendiri bagi menghalang seramai 91 orang pemimpin yang menyokong BERSIH dari memasuki Ibu Kota termasuk beliau sendiri. Bahkan katanya, keluarganya termasuk bapanya di Pahang turut disoal siasat oleh pihak Polis untuk mendapatkan maklumat tentang beliau.


Melalui Face Book dan Twitter sebentar tadi pun, dikatakan beberapa hotel di Ibu Kota telah diperiksa untuk mencari beberapa pemimpin yang menyokong BERSIH. Diberitakan di antara yang telah diganggu oleh mereka adalah Peguam Lateefa Koya dan juga YB Nizar. Bilik penginapan Chegu Bard juga sebentar tadi telah diketuk untuk cubaan menahan Pemimpin SAMM ini, namun kelicikan Chegu Bard beliau beserta beberapa orang anak buahnya berjaya meloloskan diri.


Sekitar Ibu Kota umpama di tengah hutan sepi. Semua jalan ditutup menuju ke Pusat Bandar terutamanya menghala ke Stadium Merdeka, Masjid Negara dan Masjid Jame'. Melalui Face Book dan pesanan SMS, dianggarkan puluhan ribu sedang menghala ke Ibu Kota dari berbagai arah tanahair. Kesesakan lalu lintas menuju ke Ibu Kota amat teruk angkara tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang ingin melindungi sebuah kerajaan yang takut berdepan dengan Perhimpunan Aman yang direstui oleh Ke Bawah DYMM YDP Agung.

Usaha BERSIH untuk mencari jalan yang aman dan damai tidak berakhir. Difahamkan MB Selangor telah mengutus memohon Ke Bawah DYMM YDP Agung untuk mengarahkan agar sekatan terhadap BERSIH dihentikan serta membenarkan BERSIH berhimpun secara aman sepertimana hak yang terdapat di dalam Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan. Kita masih berharap dan berdoa agar pintu masuk ke Stadium Merdeka dibuka menjelang tengahari esok agar semuanya berjalan dengan baik.


Seandainya BERSIH gagal di dalam usaha yang terakhir ini, seperti yang diperkatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Us Nasruddin Tantawi kita tiada pilihan lain. Awal pagi ini, di Markas PAS Taman Melewar kesemua yang menetap di situ untuk menanti siang nanti akan bangun bermunajat kepada Allah mohon agar dipermudahkan usaha murni BERSIH nanti.


Bersamalah kita berdoa agar semuanya berjalan dengan aman dan tenteram nanti. Sukar untuk kita mempercayai bahawa anggota-anggota keselamatan, Polis dan Tentera akan sanggup bertindak ganas dengan rakyat yang selama ini tidak pernah bermusuh dengan mereka. Kami bukan musuh kamu. /wfauzdin.blogspot.com

Jumaat, 8 Julai 2011

BERSIH - MAHU PERMIT ATAU MAHU BERHIMPUN?

Oleh: WFAUZDIN NS


DIFAHAMKAN sehingga kini masih ada rundingan untuk merayu agar BERSIH diberikan permit berhimpun Di Stadium Merdeka seperti yang dijanjikan oleh Najib. Urusan permit tersebut sedang diuruskan oleh Penganjur BERSIH di Balai Polis Dang wangi dan kita mengharapkan kita tidak berunding dengan mereka yang `lidah bercabang'.


Merujuk kepada KeadilanDaily, Naib Presiden PKR, YB Tian Chua menegaskan bahawa partinya tetap akan berhimpun di Stadium Merdeka esok mulai jam 2 petang sejajar dengan nasihat Ke Bawah DYMM YDP Agung yang mahukan perhimpunan diadakan di stadium tertutup. Di sekitar Ibu Negara sekarang difahamkan telah ramai penyokong BERSIH 2.0 berada di kediaman masing-masing termasuk penyokong-penyokong dari luar Lembah Kelang.


Saya mula menjejakkan kaki ke KL mulai awal pagi tadi dengan menempuhi satu sekatan jalanraya berhampiran Tol Bentong. Pemeriksaan rapi telah dilakukan dan Alhamdulilah, kerana dengan niat kita bersih dan jujur tiada sebarang senjata dijumpai di dalam kenderaan saya. Sememangnya saya tidak pernah membawa sebarang senjata merbahaya di dalam kenderaan.


Ada rakan yang berkata, peduli apa dengan `permit' kerana kita datang dari jauh bukan untuk mendapatkan permit tetapi untuk berhimpun secara aman? Agak lucu juga bila difikirkan, tetapi itu adalah undang-undang namun mematuhi undang-undang juga bukan jaminan. Contohnya, permit telah dipohon tetapi masih gagal juga. Gunakan stadium juga dipatuhi.


Apa pun, tunggu saja arahan kepimpinan kita. Rata-rata kini tidak sabar lagi untuk berhimpun dengan aman kerana mereka faham bahawa Perlembagaan di dalam Artikel 10, telah membenarkan perhimpunan secara aman apatah lagi di dalam stadium. Harapan kita, tiada pihak yang sanggup menjadi kuda tunggangan sang Penguasa di dalam perkara ini./wfauzdin.blogspot.com

Rabu, 6 Julai 2011

BERSIH - BERUNDING DENGAN `YAHUDI' ATAU MULUT `PANDI KUTTI'?

Oleh: WFAUZDIN NS

BERSIH seperti sedang berunding dengan `Yahudi' rasanya. Putar belit sebiji macam Yahudi. Mula-mula kata BERSIH boleh berhimpun di Stadium bukan di jalanraya, menjeritlah sampai pagi, tiada masalah. Itulah kata-kata pemimpin yang seperti meniru cara Yahudi Israel berunding dengan Palestine.

Bila BERSIH terima nasihat Tuanku untuk berhimpun di stadium, timbul pula ayat BERSIH mesti berdaftar dahulu. Menteri lembut yang jaga Polis pula kata, walaupun BERSIH sudah bertemu Tuanku, namun BERSIH masih pertubuhan haram, katanya. Ertinya, Tuanku telah berunding dengan satu pertubuhan haram? Tergamak menteri mulut besar ini berkata demikian.

Bila BERSIH mohon Stadium Merdeka, datang pula puak yang mengaku Melayu tapi iras macam `mamak roti canai' hasut jangan beri kebenaran untuk BERSIH gunakan Stadium Merdeka. Pihak stadium pun bercakap macam orang mabuk penuh putar belit dan akhirnya tidak meluluskan BERSIH menggunakan stadium yang seolah-olah warisan Umno yang punya.

Seperti biasa raja katak, Ibrahim Ali pula menumpang glamour dengan isu ini. MP Pasir Mas yang tebal muka menumpang atas kerusi pinjaman dari PAS itu terus mendesak agar pihak Polis tidak meluluskan permit berhimpun untuk BERSIH. Betapa bacul dan dayusnya mereka sehinggakan BERSIH mahu berhimpun di dalam stadium pun kecut batu di dalam seluar masing-masing.

Itulah seperti yang saya katakan tadi, BERSIH seolah-olah sedang berunding dengan `Yahudi'. Jika kita tahu lebih awal kita akan berunding dengan `Yahudi' seperti ini, lebih baik kita teruskan dengan plan asal BERSIH. Kita sangka, setelah Tuanku beri nasihat kita boleh berunding dengan mereka secara baik seperti yang Tuanku mahukan. Malangnya, kita terlupa bahawa kita sebenarnya memilih untuk berunding dengan sekutu Apco. Bukankah Apco itu ada kaitan dengan Yahudi Israel Laknatullah?

Selepas ini, masihkah kita yakin lagi untuk berunding dengan manusia berlidah biawak ini? Memang wajar puak ini tidak boleh diajak berunding jauh sekali untuk bersama kununnya mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Nasib baik isu Kerajaan Perpaduan sudah lama mampus, cuma menanti parti sekutu Apco itu akan mampus pula pada PRU ke 13 nanti. Patutlah ada orang beritahu berhati-hati jika berunding dengan mulut `pandi kutti'./wfauzdin.blogspot.com

BERSIH DI STADIUM MERDEKA - KEPADA PATRIOT DAN PERKASA, MUNGKIN KITA TIADA JODOH BERTEMU

Oleh: WFAUZDIN NS

AMAT bertuah Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 09 Jul ini nanti kerana stadium yang penuh dengan sejarah ini bakal menjadi saksi kebangkitan rakyat yang sudah serik dan jemu dengan tipu daya SPR selama ini. Perhimpunan BERSIH 2.0 akan diadakan pada tarikh tersebut mulai jam 2 petang setelah mendapat perkenan Ke Bawah Duli YMM YDP Agung untuk mengadakan perhimpunan di stadium.

Apabila perkenan diberi, sekaligus menolak dakwaan dan bukti yang direka cipta untuk menunjukkan BERSIH mempunyai agenda jahat untuk menghuru-harakan negara. Baju BERSIH berwarna KUNING secara tidak langsung kembali jatuh `hukum halal' untuk diguna pakai kerana tuduhan jahat selama ini ke atas baju tersebut tidak lagi releven.

Ayuh, kuatkan semangat untuk kita teruskan perjuangan ini. Ubati sedikit kekecewaan kita yang tidak dapat berhimpun sepertimana jadual asal dengan cara kita berhimpun di Stadium Merdeka bagi membuktikan kepada mereka sebagai pejuang kita boleh berjuang di mana gelanggang sekali pun. Jangan persiakan banyak masa kita selama ini berkempen sehingga ramai di kalangan rakan-rakan kita ditangkap dan ditekan serta diugut.

Syabas buat BERSIH kerana berani berdepan dengan Perkasa, Patriot, Pertubuhan Silat yang mengampu malahan kita sanggup berdepan dengan pihak berkuasa. Kita pilih stadium bukan kerana ugutan atau ancaman puak cicak mengkarung ini tetapi sebagai rakyat Malaysia yang taat kepada Raja, kita patuhi nasihat Tuanku.

BERSIH telah berkorban demi Tuanku. Adakah pihak Polis sanggup berkorban selepas ini dengan tidak lagi membuat berbagai sekatan dan tangkapan yang tidak masuk akal terhadap penyokong BERSIH?

Bersama kita kuningkan kehijauan rumput di Stadium Merdeka kali ini. Kumpulan MERAH berjaya bentuk kerajaan di Thailand, adakah mustahil kumpulan KUNING akan mengikut jejaknya?

NONEBerkaitan perhimpunan 09 Jul ini, Datuk S. Ambiga menuntut pihak berkuasa menghentikan segala hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penyokong sejak minggu lalu dan berterusan sehingga hari ini. Ambiga juga mahu semua yang ditahan itu dibebaskan pada kadar serta merta.

Ayuh, sekali lagi kita menyeru agar semua penyokong tuntutan BERSIH agar hadir memberikan sokongan di Stadium Merdeka pada 09 Jul nanti. Kepada kumpulan Patriot atau Perkasa, jangan berputus asa kerana kita mungkin tiada jodoh untuk diketemukan./wfauzdin.blogspot.com

BERSIH - PORTAL PRO UMNO IKTIRAF KEMENANGAN BERSIH, SEKUTU UMNO GAGAL


Oleh: WFAUZDIN NS

TERLEBIH dahulu marilah kita bersama-sama mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk S.Ambiga dan BERSIH keseluruhannya kerana berjaya bertahan dan berani berdepan dengan berbagai tekanan, ugutan dan ancaman dari pihak yang anti-BERSIH. Bukan mudah untuk seorang wanita untuk berdepan dengan sebuah kerajaan yang mengunakan kuasa Polis, Pemuda Umno dengan Patriotnya, Perkasa, beberapa pertubuhan lain yang menjadi pengampu dan tidak kurang juga keegoan Persatuan Silat di bawah Guru Silat OKU itu.

Kesemuanya dapat dihadapi oleh BERSIH dengan kerjasama padu oleh berpuluh NGO dan juga parti-parti Pembangkang dari PR. Serangan oleh media pencacai siang dan malam terhadap BERSIH dengan tenang dihadapi oleh PERKASA malahan kempen berterusan terus dilakukan untuk memberitahu rakyat tentang objektif sebenar BERSIH untuk berhimpun pada 09 Jul nanti. Mungkin kerana bimbang rahsia mereka terbongkar selama ini, maka kuasa digunakan sewenang-wenangnya untuk menekan BERSIH dengan tangkapan demi tangkapan sehingga ke tahap meletakkan baju kuning seolah-olah seperti memiliki bahan api atau dadah kalaupun tidak sehina memiliki atau mengedar video seks.

Hari ini BERSIH menempa nama sebagai `pemenang' setelah perhimpunan ini di`halal'kan setelah mendapat kebenaran dan restu dari DYMM YDP Agung asalkan dilakukan di stadium. Terbukti BERSIH bukan `haram' dan BERSIH juga bukan berniat jahat jauh sekali ada hubungan dengan Komunis seperti yang cuba dikaitkan oleh pihak yang sememangnya berniat jahat itu. Mustahil Ke Bawah DYMM YDP Agung merestui BERSIH berhimpun sekiranya benar bahawa BERSIH itu pertubuhan yang merbahaya kepada negara.

Saya amat tertarik dengan komen sebuah portal pro-Umno yang memberi `kredit' kepada BERSIH sebagai satu kejayaan di dalam perjuangannya, sekali gus meletakkan Umno dan mereka yang bersekongkol dengan parti sekular itu `gagal' malahan kecundang dan terkedu. Baca ulasan portal tersebut di sini.

Memang ramai di antara kita yang kecewa apabila Perhimpunan BERSIH terpaksa diubah ke stadium atas titah Tuanku. Sebenarnya kita patut berbangga kerana kita hanya `tunduk' kepada titah Tuanku untuk membuktikan bahawa di dalam apa jua keadaan kita amat menyanjung dan mendaulatkan Tuanku. Sebelum ini kita mencampakkan ke longkang sahaja ancaman, ugutan dan tindakan-tindakan keras dari pihak sekutu Apco itu dan kita terus komited dengan nawaitu kita. Biar berbuih mulut dari Perkasa, biar lantang dan nyaring salakan dari Patriot, dan biar berpuluh-puluh `bunga silat pulut' dari persatuan silat pengampu ini, namun semuanya kita letakkan di bawah tapak kaki kita.

Demi kedaulatan Raja, BERSIH membuktikan bahawa ada ketikanya kita perlu `berundur' setapak ke belakang untuk memberikan penghormatan kepada Raja yang kita sayangi. Berundur bukan bererti kalah, tetapi kita berundur untuk langkah seterusnya untuk terus beberapa tapak lagi ke hadapan selepas ini. Bayangkan jika BERSIH masih tetap berkeras mahu berhimpun seperti yang dijadualkan di tiga lokasi tersebut. Sudah tentu kita memberi peluru kepada sekutu Apco ini untuk berpesta menggelar kita sebagai pengkhianat kepada DYMM YDP Agung dan tidak mustahil kita digelar kumpulan yang menentang Agung.

Bayangkan di dalam keadaan sekarang pun mereka sedang berusaha untuk mengaitkan BERSIH dengan fahaman Komunis atau kumpulan subversif. Malam tadi TV menyiarkan beberapa rampasan senjata tajam, bom botol beserta beratus helai baju BERSIH untuk mengaitkan BERSIH. Tidak masuk akal hanya dengan beberapa bilah parang, BERSIH mempunyai tujuan untuk melakukan keganasan. Tidak lojik jika kumpulan yang ingin melakukan huru-hara atau keganasan memohon bantuan pihak Polis untuk mengawal perhimpunannya.

Kita serahkan kepada pihak Polis untuk menyelesaikan kes barang-barang bahaya yang dijumpai oleh mereka. Pihak Polis yang dedahkan, biar mereka sendiri siasat dan selesaikan. Bak kata orang Negeri Sembilan, "Takdo Kojo Cari Kojo, Ado Kojo Tercongang-Congang".

Ayuh, kita penuhi Stadium yang ditetapkan nanti dengan lautan Kuning yang telah mereka `haram'kan tetapi telah di`halal'kan oleh Tuanku. BERSIH mesti mengisi program yang benar-benar hebat di stadium nanti agar dapat membakar semangat penyokong-penyokong yang sedikit kecewa sekarang. Kepada pihak berkuasa, tiada lagi alasan selepas ini untuk menggagalkan BERSIH.

Kepada Perkasa, Patriot mahu pun kumpulan silat, mereka harus muhasabah diri sampai bila mahu terus menjadi `kuda tunggangan' Sang Penguasa yang mahu terus kekal berkuasa. Satu kemenangan gemilang buat BERSIH dan KO buat `KOTOR'./wfauzdin.blogspot.com

Selasa, 5 Julai 2011

MUDAH DIBACA TAKTIK PUAK DAYUS DAN BACUL INI

Oleh: WFAUZDIN NS

KELAKAR juga rasanya bila dengar komen puak-puak Umporno ni tentang BERSIH. Hiruk pikuk mereka berhujah mengapa Datuk S. Ambiga seorang Non Muslim dipilih sebagai pemimpin BERSIH, mengapa PAS berada di bawah pemimpin itu? Itu hujah dari puak yang bengap lagi dayus.

Betul ke mereka ni menentang sangat BERSIH kerana Ambiga tu Non Muslim? Sewaktu BERSIH 1.0 dulu, siapa pemimpinnya? Waktu itu adalah Syed Shahir (Bekas Presiden MTUC) seorang Muslim. Masa itu puak dayus ini menentang juga BERSIH. Kalaulah BERSIH ini dipimpin oleh Tuan Guru Nik Aziz sekali pun mereka akan menentang juga, dan cari alasan kununnya orang berserban tidak sesuai memimpin BERSIH untuk berdemontrasi. Pilih pula Anwar, mereka akan kata Anwar ada kes di mahkamah jadi tak wajar dipilih jadi pemimpin BERSIH. Hatta, jika BERSIH ini dipimpin oleh Malaikat sekali pun, puak sekutu Apco ini akan menentangnya. Kerana apa? Sebabnya hati dah busuk, jiwa dah kotor dan takut kehilangan kuasa. Itu saja.

Lepas ini, mereka akan menyalak pula kata BERSIH tidak mendapat sambutan sekiranya BERSIH mengambil keputusan mematuhi nasihat Ke Bawah Duli Tuanku. Ini taktik mereka yang sudah boleh kita baca. Apa pun, rakyat dah tahu siapa yang bacul dan dayus sekarang./wfauzdin.blogspot.com

Isnin, 4 Julai 2011

BERSIH - KITA SEBENARNYA TELAH MENANG, MEREKA TERPAKSA GUNA TALIAN HAYAT


Oleh: WFAUZDIN NS

JIKA ditanya kepada semua penyokong Perhimpunan BERSIH, adakah mereka bersetuju untuk membatalkan perhimpunan BERSIH yang dijadualkan pada 09 Jul ini semata-mata kerana tekanan atau ugutan dari puak penentang BERSIH, sudah pasti mereka semua akan menjawab TIDAK. Tetapi, jika ditanya adakah perlu dibatalkan Perhimpunan BERSIH selepas kita mendapat nasihat dari DYMM YDP Agung, maka tentulah jawapannya bercampor baur.

Secara peribadi, di peringkat ini BERSIH sebenarnya sudah memenangi dari segi moral kerana kita mampu bertahan sehinggakan ke peringkat Istana di mana kita bagaikan `ditelan mati mak, diluah mati bapak'. Apa pun, saya berpendapat semangat BERSIH harus dikekalkan walaupun akhirnya kita mengambil keputusan taat kepada Raja.

Cadangan yang harus diambil kira oleh Penganjur BERSIH sekiranya Perhimpunan BERSIH `terpaksa' dibatalkan adalah dengan kita menggantikan dengan Perhimpunan Mega dan Ceramah Mega di Stadium Shah Alam pada tarikh yang sama beserta pakaian Kuning BERSIH yang sama. Sejurus selepas ceramah, BERSIH akan menghantar wakil untuk menyerahkan memorandum ke Istana.

Program tersebut mesti diadakan demi untuk `menjaga hati' semua penyokong BERSIH yang telah bersedia untuk ke KL. Ianya juga adalah satu isyarat bahawa BERSIH tetap komited untuk memperjuangkan 8 tuntutan tersebut dan kita boleh buktikan kepada pihak yang anti BERSIH (kotor?) bahawa kita sebenarnya telah `berjaya'. Walaupun kita tahu lebih awal, sekiranya perhimpunan tersebut dibatalkan, berkumandanglah media pencacai menyiarkan berita `Perhimpunan BERSIH tidak mendapat sambutan rakyat'.

Justeru itu, tiada pilihan lain momentum ini mesti dikekalkan dengan pendekatan lain. Kita cabar pihak berkuasa untuk memberikan jaminan bahawa sekiranya perhimpunan ini ditukarkan ke Stadium Shah Alam, mereka harus berani memberikan kebenaran dan tidak cuba menganggunya lagi. Terpulang kepada PERKOSA, Patriot (Pakturut?) atau Pertubuhan Silat Pulut yang lain untuk berhimpun samada bersama kita di dalam stadium mahu pun di luar stadium.

Kita tunggu keputusan pihak Penganjur BERSIH yang dikatakan akan mengadap Ke Bawah DYMM YDP Agung selepas ini. Apa yang pasti, satu kemenangan moral buat kita kerana akhirnya pihak mereka terpaksa menggunakan `talian hayat' mereka yang terakhir. /wfauzdin.blogspot.com

BERSIH BUKAN `KOTOR' - PENGERUSI PKR PAHANG

Oleh: WFAUZDIN NS

TITAH Sultan Pahang semalam berkenaan Perhimpunan BERSIH mendapat reaksi berbeza dari beberapa pihak. Akhbar Sinar hari ini menyiarkan komen daripada Pengerusi PKR Pahang, Dato' Fauzi Abd Rahman berkaitan isu yang sama.

Beliau mengatakan bahawa Perhimpunan BERSIH mempunyai matlamatnya yang tersendiri yang menggariskan 8 perkara yang menjadi tuntutan BERSIH. Sehingga kini, tiada pihak yang dapat membuktikan perhimpunan tersebut `kotor' seperti dakwaan pihak kerajaan dan digembar gemburkan oleh media pro kerajaan.

"Pihak yang menuduh perhimpunan ityu `kotor' adalah mereka yang takutkan pembersihan di dalam pendaftaran pengundi". "Bagi saya, tujuan BERSIH ini murni. Orang politik yang menjadikannya perhimpunan ini `kotor' serta sengaja mencetuskan huru-hara", katanya.

Dato' Fauzi menambah, "BERSIH hanya mahu memastikan proses undian dalam pilihanraya akan datang tiada sebarang unsur penipuan. Jika tujuan itulah yang dikatakan motif buruk, maka jelaslah pihak kerajaan mempunyai agenda sendiri dalam pilihanraya akan datang", tegasnya.

Kenyataan media Dato' fauzi jelas membuktikan bahawa tiada niat yang tersembunyi dari hasrat BERSIH untuk mengadakan perhimpunan ini nanti. Sehingga artikel ini ditulis, saya difahamkan pimpinan PR bersedia untuk bertemu dengan Ke Bawah DYMM Seri Paduka YDP Agung untuk menyatakan hasrat suci BERSIH.

Jelas, matlamat BERSIH ini semestinya ditentang oleh sang Penguasa yang takut kehilangan kuasa sekiranya mandat sebenar diberikan kepada rakyat untuk memilik kerajaan. Seandainya mereka merasa tidak bersalah, mengapa perlu takut untuk menghadapi BERSIH?/wfauzdin.blogspot.com

PERHIMPUNAN BERSIH - MENGULAS TITAH TUANKU

Oleh: WFAUZDIN NS

SUKA saya memetik beberapa kenyataan atau Titah Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong berkenaan Perhimpunan BERSIH yang dijadualkan pada 09 Jul nanti. Titah dan kenyataan penuh Baginda boleh dibaca di sini.

Saya tertarik dengan Titah Baginda, "Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun".

Alangkah baiknya jika Titah ini yang mahukan kerajaan bertindak secara adil dan bijaksana dapat dipatuhi. Malangnya, di mana keadilan bila mana setiap kali diadakan Pilihanraya maka media perdana hak milik kerajaan termasuk media cetak dipergunakan sepenuhnya berkempen untuk Umno/Bn? Seperti sudah menjadi kelaziman segala agensi kerajaan dipergunakan semahu-mahunya termasuk beberapa peruntukan segera dikeluarkan ketika kempen pilihanraya sedang berjalan.

Di pihak Pembangkang pula, akses kepada media tidak diperolehi langsung. Pembangkang tidak diberi ruang untuk mereka menggunakan media kerajaan bagi menyampaikan dasar atau manifesto mereka walaupun sekadar 5 minit. Bahkan, Pembangkang terus difitnah dan diperburukkan tanpa mereka diberi peluang untuk menjawab. Ini semua ketidakadilan yang jelas berlaku.

Titah Tuanku, yang mahu agar kerajaan bertindak secara bijaksana juga gagal dilakukan. Najib selaku Ketua Kerajaan sewajarnya bertindak dengan bijaksana apabila BERSIH mahu mengadakan perhimpunan aman ini. Salah satu caranya, BERSIH diberi ruang untuk berhimpun dengan mendapat kerjasama dari pihak keselamatan. Di dalam masa yang sama, pihak yang tidak sependapat dengan BERSIH juga diberi hak yang sama berhimpun tetapi bukan bersamaan dengan tarikh Perhimpunan BERSIH. Sudah tentu BERSIH sedia berbincang dengan pihak mereka agar dapat bersama-sama merancang jadual perhimpunan yang berlainan.

Titah Baginda lagi, " Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik". Titah Baginda ini, boleh difahami bahawa tidak semua demontrasi itu mempunyai niat yang tidak baik. Ini bererti bahawa tuduhan sesetengah pihak bahawa Perhimpunan BERSIH mempunyai niat yang tidak baik, kununnya untuk menyelamatkan DS Anwar, menimbulkan huru-hara, ejen negara asing, mendapat dana dari Pertubuhan Kristian dan juga dakwaan kununnya ada kaitan dengan fahaman Komunis boleh dipertikaikan.



Demontrasi yang mengaibkan Istana di Terengganu pada bulan Mac 2008

Kita tidak boleh lupa apabila sekumpulan pihak yang menentang perlantikan MB Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said sejurus selepas PRU ke-12 yang lalu telah berdemontrasi di hadapan Istana Tuanku Mirzan sendiri di Kuala Terengganu dengan sepanduk yang tertera tulisan yang amat mengaibkan. Apakah niat mereka ketika itu baik dengan sepanduk yang menghina istitusi istana ketika itu?

Justeru itu, seiring dengan niat BERSIH yang baik untuk rakyat iaitu mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dan bersih, maka pihak Penganjur telah melarang sebarang sepanduk yang mengandungi kata-kata yang mengaibkan di samping semua peserta dilarang membawa sebarang senjata sewaktu perhimpunan. Tindakan Penganjur yang memohon agar pihak Polis sendiri memberikan arah laluan yang sesuai untuk peserta perhimpunan nanti adalah salah satu adab dan kesopanan bagi memelihara nama baik Penganjur BERSIH ini.

Mudah-mudahan kita masih mempunyai ruang yang baik untuk menyuarakan hak kita sebagai rakyat yang merdeka. Semoga pihak Polis lebih memahami apakah tujuan sebenar perhimpunan BERSIH ini tanpa mempunyai prasangka buruk yang sengaja direka cipta oleh pihak yang sememangnya suka dengan kekotoran yang ada pada SPR ini. /wfauzdin.blogspot.com