Jumaat, 24 Februari 2012

MAHU BERHIMPUN ATAU KITA RONDA-RONDA MAKAN ANGIN PADA 26HB FEB INI?

Oleh:  WFAUZDIN NS

MB Pahang memberi `keredhaan' kepada pihak Penganjur `Himpunan Hijau 2.0' untuk berhimpun di Padang MPK 1 Kuantan pada 26 hb Feb (Ahad) jam 09.00 ini nanti.  Begitu juga khabarnya Najib pun tiada masalah dengan program tersebut.

Pihak Polis dikatakan tiada masalah meluluskan permit sekiranya MPK memberikan kebenaran menggunakan padang tersebut.  MPK pula dikatakan juga tiada masalah sekiranya pihak Penganjur memperolehi permit dari pihak Polis.  Lucu atau tidak?  Apa pun, ertikatanya semua pihak tiada masalah dengan program berkenaan walaupun ada yang bercakap menggunakan `lidah biawak'.

Bagi rakyat pula, lebih-lebih lagi tiada masalah untuk hadir beramai-ramai pada tarikh tersebut.  Masalah buat rakyat hanyalah Lynas.  Sebab Lynas itu lah rakyat mahu berhimpun menandakan sokongan kepada mana-mana pihak yang tidak mahu negara ini dicemari oleh projek yang bukan-bukan, tidak berfaedah, tidak menguntungkan negara malahan membawa bala bencana.  Maka rakyat hanya mahu berhimpun secara aman bukan mahu merobohkan atau memusnahkan apa yang mahu didirikan di Gebeng itu.

Malam tadi sewaktu meronda-ronda di bandar Kuantan, kelihatan pagar dari kayu telah mula dipasang mengelilingi Padang MPK 1, lokasi tempat berhimpun.  Tujuan apakah pagar tersebut dipasang saya kurang pasti.  Kelihatannya seperti MPK mempersiapkan `kemudahan' untuk kita berhimpun nanti.  Terima kasih banyak MPK yang prihatin.

Terbaru, dikhabarkan bahawa lokasi baru adalah di Padang MPK 4, Kemunting tidak berapa jauh dari MPK 1.  Tidak kisahlah, di MPK 1 atau MPK 4 mahupun MPK 10 jika ada, rakyat pasti akur dengan arahan kerajaan pimpinan Nan Yaakob yang `berani' itu.  Seandainya kesemua Padang MPK tidak boleh digunakan juga, dan tiada kebenaran untuk perhimpunan diadakan, kita tiada pilihan lain kecuali batalkan perhimpunan dan kita hanya sekadar meronda-ronda makan angin di tengah-tengah bandar Kuantan.  Itu sahaja pilihan yang ada.  Masakan kita datang dari jauh dengan perbelanjaan sendiri mahu pulang begitu sahaja?

Saya kurang pasti apa masalah sebenar yang dihadapi oleh puak ini.  Kesemuanya mereka takut apabila mahu berdepan dengan rakyat.  Sebut pasal debat, samada debat pasal moral, ekonomi, Buku Jingga mahu pun soal Israel, mereka jelas takut.  Mereka nampak berani seperti Hang Tuah apabila berdepan dengan jurukamera TV3 suku sahaja.  Tetapi luar dari itu, mereka menjadi Hang Kebun.  Di sini rakyat boleh berfikir mana satukah kerajaan yang patut dipilih untuk menjaga rakyat.  Adakah kerajaan yang dipimpin oleh orang yang lemah dan penakut seperti Hang Kebun atau pemimpin yang berani kerana benar?  Fikirkan bersama./wfauzdin.blogspot.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan