Rabu, 26 Jun 2013

BERADA DI LUAR PARLIMEN UNTUK DESAK SPR, TAPI MENGAPA MAKI HAMUN PEMIMPIN PR?

AKU memberikan sepenuh tabik hormat aku kepada seluruh komrad anak muda yang bersama-sama rakyat Malaysia berarak dari Ibu Kota menuju ke Padang Merbok, KL pada 22 Jun baru-baru ini.  Aku tidak berminat untuk mendengar ceramah di Padang Merbok pada petang tersebut, tetapi aku merasakan sesi perarakan seluruh rakyat dari beberapa check point di Ibu Kota amat memuaskan hati.  

Seterusnya aku lebih berbangga apabila sekumpulan anak-anak muda yang majoritinya dari Komrad SAMM terus berkampung di Padang Merbok untuk menanti hari angkat Sumpah MP di Parlimen pada 24 Jun.  Aku tidak dapat bersama mereka tetapi saban waktu aku mendoakan keselamatan buat kesemuanya.

Pada 24 Jun, mereka berarak menuju ke Parlimen untuk mendesak Pengerusi SPR dan Timbalannya meletakkan jawatan.  Di sini, bermulalah apa yang aku katakan bahawa niat baik, objektif yang baik dan perlaksanaan yang tersusun mula dirobek oleh beberapa orang yang mahu digelar hero.  Aku mendapat berita dari rakan yang berada di sana yang mula balik awal kerana tidak tahan telinga mendengar beberapa suara sumbang memaki hamun YB Khalid Samad, MP dari Shah Alam.  

Aku tidak rasa suara itu datangnya dari budak-budak SAMM kerana aku tahu Chegu Bard tidak akan mendidik anak-anak buahnya berkelakuan seperti budak bodoh.  Chegu Bard telah lama mengajar dan menunjukkan contoh bahawa anak muda bukan sahaja mesti berani tetapi juga mesti bijak.  Berani tetapi bodoh tidak membantu perjuangan anak muda.  Memaki hamun MP di Parlimen yang selama ini kita sokong perjuangan mereka bukan kerja orang bijak.  Jika setakat datang ke Parlimen untuk memaki hamun MP dari Pakatan Rakyat, tidak perlu sedekah tubuh untuk ditangkap, memadai serah kepada pencacai Umno atau Perkasa sahaja buat kerja bodoh itu.

Apakah kita marah mereka angkat sumpah?  Kononnya hipokrit, kita dakwa SPR tipu tetapi MP kita angkat sumpah?  Jika begitu, alangkah baiknya kita tidak perlu memasuki PRU 13 baru-baru ini kerana bukan sekarang kita tahu sistem Pilihanraya di negara kita ini tidak pernah adil.  Mengapa kita masuk juga PRU?  Chegu Bard pun masuk bertanding, adakah Chegu Bard tidak tahu SPR tidak pernah bertindak adil semenjak dahulu?  Mengapa Chegu Bard masuk bertanding?  Jawapannya sudah pasti sama dengan jawapan MP-MP yang mengangkat sumpah itu.

Sebab itu aku yakin dan percaya budak-budak SAMM tidak sebodoh itu untuk memaki hamun MP-MP yang mengangkat sumpah.  Jika ada pun, sudah tentu mereka hanya mengaku budak-budak SAMM untuk mencemarkan atau memalukan Chegu Bard.  

Ada yang persoalkan mengapa DS Anwar kelihatan berbaik dengan Najib di Parlimen sedangkan di luar rakyat bangkit membantah SPR?  Apakah mereka mahu DS Anwar bermasam muka dengan Najib?  Atau DS Anwar perlu sepak terajang Najib di dalam Parlimen?  Kita jangan hipokrit.  DS Anwar bukan tidak tahu atau kenal Najib, tetapi di dalam situasi mana DS Anwar perlu bertindak dan berdepan dengan Najib.  Menunjukkan muka senyum atau makan semeja bukan bermakna DS Anwar jual prinsip perjuangan beliau selama ini.  Seperti juga Komrad SAMM yang sepanjang perarakan dari Petaling Street ke Padang Merbok, mereka tidak putus-putus menyanyikan lagu " Polis Baik...Polis Baik...Polis Baik Negara Aman...".  Adakah kita mahu sebut semua Polis adalah baik?  Semenjak bila SAMM iktiraf Polis kita amat baik kepada rakyat?  Bukankah muka Chegu Bard pernah pecah sewaktu BERSIH 3?  Siapa punya angkara?  Mengapa SAMM nyanyikan lagu "Polis Baik"?

Jawapannya, sama juga dengan jawapan mengapa DS Anwar kelihatan berbaik dengan Najib.  Apakah kita tidak boileh berfikir secara matang?  Apakah kita rasa perjuangan kita sahaja yang betul dan kita marah kepada orang lain yang tidak mengikut perjuangan kita?  Bagi aku, anak-anak muda ada caranya mereka berjuang.  Wakil-Wakil Rakyat juga berjuang dengan cara mereka.  Suara anak muda mesti dibawa ke dalam Parlimen.  Para peguam kita pula berjuang di mahkamah melalui undang-undang.  Bloggers dan facebookers juga mesti berjuang di alam maya.  Tentulah lebih berkesan jika rejim ditekan dan diserang dari semua sudut?

Aku puji anak-anak muda yang komited dan fokus untuk turunkan SPR sepertimana yang diusahakan oleh anak-anak buah Chegu Bard.  Tapi aku sedikit pun tidak respek anak muda yang turun  hanya untuk menunjukkan mereka hero dengan memaki hamun pimpinan PR. 

Apapun tahniah kepada mereka yang terus fokus kepada perjuangan.  Tahniah juga kepada MP-MP yang terus memberikan sokongan moral kepada anak-anak muda ini.  Pada aku Komrad SAMM telah mencapai objektifnya walaupun terdapat seorang dua entah dari mana datangnya telah bertindak di luar kawalan mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan