Sabtu, 23 November 2013

MASIH ADA PERWAKILAN MASIH TIDAK TAHU SIAPA KETUA PR ?

SIAPA akan jadi PM jika PR Perintah Putrajaya?  Adusss...mengapa ada perwakilan yang masih bertanya soalan tahap ini?  Namun, siapa yang mengetuai PR telah dijawab oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hj Hadi di dalam sidang medianya pada Muktamar PAS hari ini.

"PAS ada hak (mengetuai)... Perlu kita bincang semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media tengah hari ini selepas penangguhan sidang bagi sesi pagi.  Beliau mengulas perbahasan perwakilan Johor Firdaus Masood yang membangkitkan siapa pemimpin yang mengetuai Pakatan Rakyat.
 
Jawapan Presiden tepat dan berpijak di bumi nyata.  Sebut tentang hak, memang PAS ada hak.  PAS ada hak untuk ketuai PR tetapi tentulah terpaksa mematuhi syarat-syarat tertentu di dalam PR untuk menjadi ketua.  Mustahil PAS boleh terus dabik dada untuk menyebut parti berkenaan jadi ketua.  PKR pun tidak boleh dabik dada, jauh sekali DAP.  Cara paling bijak adalah berunding sesama PR.  
 
Sebelum ini bukan rahsia, semenjak dari PAS di zaman Almarhum Us Fadzil Noor parti tersebut mengiktiraf DS Anwar sebagai ketua dan bakal PM jika Pembangkang menguasai Kerajaan.  Selepas itu, Mursyidul Am PAS pun berkali-kali sebut DS Anwar Ibrahim layak menjadi PM.  DAP sudah lama iktiraf ketokohan DS Anwar sebagai PM jika Pembangkang berkuasa.
 
Perlukah diubah?  Tidak salah untuk diubah kerana jawatan PM bukan hak mutlak Anwar.  Bahkan PKR pun bukan hak mutlak Ketua Pembangkang ini.  Tetapi tentulah ada kaedahnya dan lojiknya mana-mana parti untuk meletakkan pimpinan mereka menjadi Ketua.  Menjadi Ketua di dalam Pembangkang belum tentu akan menjadi PM jika berkuasa.  
 
Waktu sekarang ini, kita perlu bekerja kuat.  PAS mesti kuatkan usaha rampas Kedah dan kembalikan semula kekuatan di Terengganu, sambil itu baiki kelemahan yang mula dapat dilihat di Kelantan.  PKR pula mesti kerja kuat dengan mengemaskinikan jentera yang masih lemah disamping mempertingkatkan jati diri ahli-ahli PKR terutama pimpinannya kerana budaya lompat menjadi katak ini seolah-olah sudah sebati dengan PKR.   Meskipun DS Anwar sebelum PRU13 yang lalu berjanji bahawa calon-calon yang bakal diketengahkan nanti cukup mantap dan teruji, namun masih juga berlaku lompat di Sabah, umpamanya.  Ini menjejaskan kredibiliti PKR, walaupun bab lompat melompat ini tiada kena mengena dengan kelemahan dasar parti, ianya lebih kepada integriti seseorang individu.  Mungkin salah percaturan dan salah pilih calon menjadi puncanya.
 
DAP pula jangan sangka sepanjang masa kaum Cina menolak Bn.  Memang diakui sokongan kaum Cina kepada PR amat luar biasa, tetapi harus diingat mereka sokong PR tidak semestinya mereka sokong DAP sebaliknya mungkin kerana teramat benci kepada Bn.  Jika hilang bencinya, tidak mustahil PR akan hilang sokongan masyarakat kaum Cina ini.  Justeru itu, DAP tidak boleh selesa.  DAP juga jangan suka mengusik rakan-rakan yang lain dengan isu-isu sensitif.  Karpal Singh patut dimotivasikan jika DAP mahu lebih releven di dalam PR.
 
Apabila kita sudah kuat di semua sudut, tentulah lebih mudah untuk kita bercakap soal siapa layak jadi Ketua.   Jika kita dilihat semakin lemah, bagaimana kita mahu menuntut banyak perkara?


Jumaat, 22 November 2013

KESIHAN MAT SABU !!

TERLEBIH dahulu takut terlupa, aku ucapkan Tahniah dan Syabas kepada Sdr Suhaizan Kayat yang telah berjaya memenangi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di dalam Muktamarnya semalam.  Begitu juga Tahniah buat Puan Siti Zailah Yusof yang terus memegang jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, di samping Dr Mariah Mahmud sebagai Timbalan.  

Kesemua di atas bukan golongan Ulamak tetapi tidak akan memusuhi Ulamak bahkan sentiasa patuh kepada keputusan Dewan Ulamak atau Majlis Syura PAS.  Ini bermakna Pemuda PAS telah boleh berfikir pemimpin mana yang patut diangkat untuk meneruskan perjuangan PAS untuk lebih jauh ke hadapan dan tidak beku di ruang masjid atau madrasah semata-mata.  

Sabtu nanti, terjawab pula persoalan samada PAS mahu golongan Ulamak berada di Kerusi Nombor Satu dan Dua, atau mahu Ulamak di Kerusi Utama dan bergandingan dengan aktivis serta profesional di Kerusi Timbalan.  Dewan Ulamak telah buat usul agar jawatan Presiden dan Timbalan mesti dari golongan Ulamak.  Ini hanya usul, belum diputuskan atau diluluskan.

Samada usul itu bijak dibuat disaat-saat Mat Sabu yang bukan dari golongan Ulamak cuba mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden daripada direbut oleh Nik Amar yang dikatakan golongan Ulamak.  Jika ada perwakilan yang terpengaruh dengan 'kempen' Dewan Ulamak ini, tentunya Nik Amar begitu mudah untuk menang.  Simpati dengan Mat Sabu, segenap penjuru beliau ditekan dan paling memilukan datangnya dari Dewan Ulamak yang mahu Ulamak di Kerusi Nombor Dua setelah Presiden pun dari Ulamak juga.

Apakah satu ketika nanti kesemua jawatan di dalam PAS mesti dari golongan Ulamak?  Selain dari Ulamak hanya boleh mengundi PAS untuk pilihanraya sahaja?  Mereka yang buat kerja tungkus lumus di bilik gerakan sewaktu pilihanraya adakah kesemuanya Ulamak?  Mengapa bila sebut undi, kita akan terima semua tetapi bila sebut jawatan...ooopss...mesti Ulamak?

Isnin, 18 November 2013

PAS AKAN MENYESAL SEPANJANG ZAMAN JIKA KUTIP MAKHLUK PEROSAK INI

HASAN Jati mahu 'pertimbang' masuk PAS?  Anda jangan termuntah dahulu, biarkan aku terus mengulas isu paling kelakar kali ini.  Apa kata Hasan Jati? "  Jika keadaan mengizinkan, ertinya jika perjuangan PAS di landasan betul dengan memperjuangkan Islam, keistimewaan Melayu, institusi diraja dan menghormati peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan, saya sedia mempertimbangkannya,” katanya pada sidang media, kelmarin.

Hasan Jati - Sedia pertimbang kemahuan sendiri?
Anda masih ingat agaknya bila mana si Hasan Jati ini menyalak ke hulu ke hilir, tegang urat merih beliau bercakap di dalam beberapa siri ceramah Jati sebelum PRU 13 yang lalu, "Jangan beri kepada PAS hatta satu undi pun".  Begitulah hebatnya si Hasan Jati ini mengampu Umno dan cita-citanya waktu itu memang untuk menghancurkan PAS biarpun parti tersebut pernah menempatkan beliau di Kerusi Pesuruhjaya PAS Selangor seterusnya menjadi Wakil Rakyat dan Exco.  Perangai pelik Hasan Jati bermula bila sudah hilang jawatan di dalam PAS sebagai Pesuruhjaya di mana sebelum itu di'malu'kan dengan undian perwakilan Muktamar PAS yang meletakkan Hasan Jati di tangga hampir tercorot sebagai AJK PAS Pusat.  Memang malu sebagai bekas Naib Presiden dan Pesuruhjaya boleh terkebelakang.

Maka berbagai-bagai ragam dibuat oleh si Hasan Jati agar parti boleh memecatnya dan beliau akan berpeluang menuduh parti menganiayai beliau.  Beliau rasa apabila beliau dipecat, ribuan ahli PAS yang menyokongnya akan mengikutnya seperti yang terjadi kepada DS Anwar Ibrahim di dalam Umno.  Bila Anwar dipecat, ratusan ribu ahli Umno mengikut DS Anwar di dalam reformasi.  Malangnya, Hasan Jati tidak mampu mengikut DS Anwar.  Beliau keseorangan keluar hanya disambut oleh bekas-bekas ahli PAS sahaja.  Sehingga kini, tiada siapa tahu berapa kerat ahli Jati bahkan berapa orang AJK nya pun tiada diketahui.

Mengapa selepas PRU 13 si Hasan Jati mahu bercakap tentang masuk PAS?  Sebabnya kerana Umno sudah tidak pedulikan lagi macai sepertinya.  Dulu Umno hanya mahu Hasan Jati jadi kuda sahaja.  Tidak nampak pun hasil Hassan Jati berkempen yang boleh membantu Umno, bahkan di Selangor sokongan kepada PAS terutamanya dan PR amnya semakin bertambah.  Zul Kulum sahabat baik Hassan Jati pun tertiarap teruk di Shah Alam.  Ertinya Umno tahu macai ini tidak hebat seperti yang dijangkakan.  

Muktamar PAS akan berlangsung pada 24 November ini.  Di tengah ahli-ahli PAS sedang bercakap tentang kumpulan aktivis/profesional dan Ulamak, si Hasan Jati mahu ambil kesempatan.  Beliau sedia 'pertimbang' untuk masuk PAS sekiranya golongan Ulamak menang, itu katanya.  Lazimnya ayat 'pertimbang' itu boleh digunakan jika ada pihak yang tawarkan dia sertai PAS semula.   Tetapi ini tidak berlaku.  Tiada siapa di dalam PAS yang bodoh dan kemaruk ingin kepada macai sepertinya, tiba-tiba dia kata sedia 'pertimbang'.  Dia yang bercita-cita untuk masuk PAS, dia juga yang akan pertimbang kemahuannya.  Kelakar yang menampakkan dungu.

Dalam pada itu, beliau berpendapat supaya Pas mengkaji semula kedudukan parti itu dalam PR kerana peranan Pas seakan-akan tidak menonjol lebih-lebih lagi selepas PRU13.  Jelas, memang Hasan Jati mahu PAS keluar dari PR.  Untuk apa?  Beliau tahu PAS nampak lebih kuat dan berpengaruh jika terus berjuang di dalam PR.  Untuk lemahkan PAS, beliau suka jika PAS berpisah dari PR.  Bila sudah berpisah, mudahlah Umno mendekati PAS dan kerjasama PAS-Umno akan terjalin.  Jika ini berlaku, satu kejayaan besar buat beliau. 

Beliau kononnya menyokong Ulamak di dalam PAS, maka beliau harap golongan Ulamak di dalam PAS akan menang di dalam Muktamar PAS nanti.  Beliau beritahu, PAS mesti dipimpin oleh golongan Ulamak.  Sewaktu beliau memegang jawatan tinggi di dalam PAS dahulu, beliau tidak kisah pun soal Ulamak atau tidak kerana beliau pun bukannya Ulamak.  Bila sudah tiada jawatan, baru terfikir Ulamak kena berada di dalam jawatan tertinggi PAS.  Ini menampakkan Hasan Jati sudah tidak tentu arah berfikir.  Pendirian tidak tetap dan kelihatan gila kuasa.

Adakah ahli-ahli PAS sudah bersedia untuk terima Hasan Jati?  Jika terima Hasan Jati samalah juga PAS terima Umno sebagai sahabat politik.  Jangan lupa, UG di dalam PAS bakal meletup jika melayani Hasan Jati.  PAS akan menyesal sepanjang zaman jika Hasan Jati berada di dalam PAS semula.  Makhluk perosak ini patut dibiarkan meroyan sendiri di luar sana.  Umno tidak selera untuk kutip Hasan Jati, mengapa PAS harus selera dengan insan lidah bercabang ini?


Ahad, 17 November 2013

ISU HUDUD DI KELANTAN - MENGAPA US NIK AMAR ULAS BUKANNYA MB ATAU EXCO AGAMA?

ENTAH mengapa tiba-tiba media mula hangat menyebut tentang Hudud yang dikatakan Kelantan telah pun mendapat 'green light' dari Sultan untuk melaksanakannya.  Tok Peti Kelantan pun teruja tentang Hudud ini dan mahukan Kerajaan Negeri melaksanakannya.  

Apakah cukup dengan restu Sultan atau gesaan dari Tok Peti sahaja?  Harus diingat, Kelantan adalah salah satu negeri di bawah Kerajaan Pusat maka mahu tidak mahu Kelantan tetap berada di bawah Perlembagaan Negara.  Apakah kita merasakan Perlembagaan boleh 'merendahkan' sedikit kuasanya dari Al-Quran ?  Apa pun, tahniah, berkat PAS memerintah Kelantan maka ada sedikit demi sedikit keyakinan terhadap Hudud meningkat terutamanya di pihak atasan dan Istana.  Inilah yang selalu disebut oleh YB Husam Musa di dalam Dun Kelantan, bahawa Kerajaan Negeri mesti bersedia mulai sekarang untuk melaksanakan Hudud terutamanya dari segi teknikal.

Baiklah, mengapa media sibuk bermain dengan isu Hudud di Kelantan saja?  Apakah negeri-negeri lain di bawah Umno tidak berminat langsung dengan hukum ini?  Media kawalan Umporno ini memang sengaja mahu panaskan isu Hudud ini bukan sahaja untuk memberikan kerisauan kepada kaum lain yang bukan berugama Islam terhadap agenda PAS, tetapi ada tujuan lain iaitu agenda di sebalik Muktamar PAS (pemilihan pimpinan PAS) yang akan diadakan bermula 24 Nov ini nanti.

Media haprak ini ada agenda mahu menentukan pimpinan PAS yang cenderung kepada penyatuan bersama Umno akan menang kali ini.  Ada rakan beritahu, bila isu Hudud dimainkan di Kelantan, yang banyak mengulas isu ini bukan MB Kelantan tetapi Us Nik Amar.  Us Nik Amar adalah Exco berkaitan pelaburan atau tanah.  Sewajarnya yang bercakap isu ini tentunya MB sendiri atau paling tidak pun Exco yang berkaitan iaitu YB Nasarudin Daud yang memegang hal ehwal Islam dan dakwah.  Bukan tidak boleh Us Nik Amar bercakap bagi pihak Kerajaan Negeri atas jawatannya sebagai Timbalan MB, tetapi isu ini isu penting yang melibatkan dasar Kerajaan Negeri maka wajarlah MB atau Exco yang berkaitan ulas dahulu.

Justeru itu, ada yang berkata ini kempen terancang media untuk mempromosikan Us Nik Amar sebagai calon yang bertanding sebagai Timbalan Presiden PAS di dalam muktamar akan datang.  Bagi aku, tidak perlu Hudud mahu dijadikan kempen mempromosikan calon di dalam PAS kerana semua ahli PAS tahu bahawa PAS sememangnya memperjuangkan Hudud sejak mula PAS ditubuhkan.  Hudud bukan perjuangan individu di dalam PAS.

Media cuba gambarkan bahawa Us Nik Amar menyokong Hudud manakala Mat Sabu bukan penyokong Hudud.  Ini lah sebenarnya agenda media.  Hakikatnya semenjak PAS wujud dan Mat Sabu berada di dalam PAS, dasar PAS terhadap Hudud tidak pernah disanggah oleh Mat Sabu.  Oleh itu, jangan terperangkap dengan agenda mereka untuk memecahbelahkan ahli-ahli PAS dengan isu ini.