Sabtu, 22 Februari 2014

PROGRAM CERAMAH DAN KEMASUKAN AHLI UMNO KE DALAM PKR DI MARAN MALAM INI

MESKIPUN di Kajang waktu ini panas dengan iklim politik, media kawalan Umno terus melanyak PR terutamanya PKR, namun sedikitpun tidak menggoyah semangat kami.

Lawan terus lawan, itulah perjuangan.  Kita berselisih pendapat sesama kita dan sesama PR, namun kira sepakat menyatakan Umno/Bn itu adalah musuh politik kita.  Di Kajang kita berdepan dengan Bn, maka kita telah bersedia untuk bersatu.

Dalam keadaan sedemikian, di Maran pula ramai ahli-ahli Umno telah mula hilang keyakinan mereka kepada Umno Bn.  Malam ini akan diadakan program penyerahan borang kemasukan bekas ahli Umno ke dalam PKR.  Terdapat 4 Ranting PKR akan dibuka di Maran, perasmiannya juga akan dilakukan malam ini di dalam satu program ceramah.

Bertempat di hadapan Stesyen Bas Maran, PKR Cabang Maran akan mengadakan program  tersebut dengan dihadiri oleh YB Dato' Fauzi Abdul Rahman selaku Pengerusi PKR Pahang dan MP Indera Mahkota.  Adun Semambu, YB Lee Chean Chung juga turut hadir bersama Adun Mentakab, YB Zulpuri dari DAP dan YDP PAS Maran turut berucap malam ini.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir malam ini di Maran.

Jumaat, 21 Februari 2014

LUPAKAN PERBEZAAN KITA, INGATI SEMULA KEZALIMAN UMNO

PERCAYALAH, InsyaAllah, Umno/Bn di Kajang pastinya tidak mampu menghalang Anwar Ibrahim memasuki Dun Selangor.  Hanya satu saja yang boleh menyekat Anwar dari terus menggugat plan Najib untuk merampas Selangor, iaitu di kalangan kita.

Setakat ini, Alhamdulillah, kita di dalam PR semakin baik di dalam penyatuan untuk membenamkan rejim Umno/Bn dari bumi Selangor sebelum kita kuburkan mereka di tanahair ini.  Benar, kita berdebat serta berbalah di alam maya terutamanya di FB di dalam membahaskan isu Kajang, namun bila kita berhenti sesaat di dalam perdebatan kita, tergambar oleh kita betapa musuh yang paling zalim dan terus mengkhianati kita sebenarnya Umno/Bn.

Kita, PKR dan PAS khususnya berhujah dan berdebat yang kadangkala emosi tandanya kita sayang kepada PR.  Ada suara-suara rakan-rakan kita seperti merajuk dan kecewa dengan apa yang terjadi di Kajang terutamanya yang tidak cukup mendapat maklumat sebenar atau mereka dapat maklumat tetapi masih tidak boleh terima mengapa perlunya Anwar ke Kajang.  Perbezaan pendapat ini, jika pun memang itu kesilapan Anwar atau PKR, tetapi kita harus renung sejenak siapakah yang lebih banyak bukan saja lakukan kesilapan malahan menganiayai kita selama ini.  PAS tentunya mangsa paling teruk teraniaya diperlakukan oleh Umno/Bn.  Lupakah kita bahawa Umno/Bn khianat kepada PAS sewaktu Presiden PAS baru sepenggal menjadi MB Terengganu?  

Secara tiba-tiba royalti Terengganu dirampas dan Kerajaan PAS Terengganu dilemahkan dengan berbagai tekanan.  Akhirnya, PAS tumbang di Terengganu bukan kerana Presiden PAS menganiayai rakyat Terengganu tetapi Umno/Bn melakukan berbagai cara untuk merampas Terengganu.  Peratusan pengundi di Terengganu secara tiba-tiba meningkat dan memecah rekod pilihanraya negara ini sebelum kejatuhan PAS Terengganu.  Apa yang tidak Umno lakukan pada PAS waktu itu?

Terbaru, lihat saja di Kedah.  Sekali lagi PAS tumbang.  Seluruh negara merasai penipuan sistem Pilihanraya yang diamalkan.  Apakah di Kedah tidak berlaku?  Serangan media Umno, TV dan akhbar terus memburukkan Kerajaan PAS Kedah dan akhirnya kecundang.  Inilah rupa wajah Umno.  Umno ini lah juga yang bakal kita hadapi di Kajang pada 23 Mac nanti.  Apakah kerana tidak setuju dengan Anwar atau PKR maka kita rela maafkan pengkhianatan Umno pada PAS ? 

Politik itu perlu bijak.  Politik itu mesti mengenali siapa kawan dan siapa musuh.  Benar, di dalam politik tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang kekal.  Tetapi, kita harus tahu situasi apabila kita berdepan dengan musuh.  Apabila kita merasa marah dengan rakan kita, kita cuba renungkan apakah kita juga tidak pernah melakukan sesuatu yang rakan kita juga mungkin terasa hati?  Tentu ada.  Tetapi mengapa sehingga kini kita masih mampu bersatu tenaga menentang rejim itu?  Ini adalah kerana kita bijak mengenali musuh kita.  Kita tahu beza kesilapan sesama kita berbanding kezaliman mereka yang jauh lebih menyakitkan.

Ayuh, di Kajang sesiapa pun yang diletakkan sebagai lawan kita selain dari Anwar, itulah musuh kita.  Letaklah apa jenama atau topeng sekalipun, selain dari calon kita PR, itulah musuh.  Istiqomah, berusaha, tawakkal dan berdoa.  Semoga kemenangan di Kajang mengubati kekecewaan kita.

Khamis, 20 Februari 2014

MB SELANGOR - USTAZ HADI PUJUK KHALID? MENGAPA PERLU GUSAR?

AKU ada terbaca Tweet dari MSO (Mohd Sayuti Omar), berbunyi " Ekoran kerja senyap2 Hj Hadi kecek Khalid agar jgn letak jawatan bagi halang Anwar jd MB, elok kalau beliau buat kenyataan terbuka". (Twitter)

Perlukah aku melatah?  Atau aku hanya perlu diamkan saja?  Atau aku boleh tidak percaya atau boleh percaya dengan berita yang dibawa oleh MSO?  
Tidak salah sesiapa pun di kalangan kita suka kepada seseorang atau tidak suka kepada seseorang.  Tuan Guru Hj Hadi boleh saja suka kepada TS Khalid, dan beliau juga boleh tidak suka kepada TS Khalid.  Tuan Guru Hj Hadi tidak boleh kita paksa untuk menyukai DS Anwar atau sebaliknya.  Itu perlu kita terima.  Sesiapun mesti begitu, jangan kita tentukan siapa yang patut orang itu suka atau tidak suka.

Andainya DS Anwar Ibrahim suka kepada Tok Guru Nik Aziz, kita tidak boleh paksa Anwar untuk lebih menyukai Tuan Guru Hj Hadi.  Andainya Tuan Guru Hj Hadi lebih suka TS Khalid jadi MB Selangor berbanding DS Anwar, itu adalah hak peribadi Presiden PAS itu.

Jadi, apa yang tidak kena?  Jika benar, diulangi jika benar ada pujukan dibuat agar TS Khalid jangan lepaskan jawatan MB Selangor, itu juga tidak salah.  Andainya Tuan Guru Hj Hadi lebih suka TS Khalid jadi MB, memanglah wajar memujuk TS Khalid kekal di situ.  Serupa juga, ada yang lebih suka Anwar jadi MB Selangor, mereka akan sedaya upaya memujuk Anwar menjadi MB.  Jadi, apa masalahnya?  Tiada masalah, itu hak masing-masing.

Bila berlakunya sedemikian, akhirnya masing-masing mahu tidak mahu, suka tidak suka terpaksa terima keputusan majoriti di dalam PR.  Itu pun jika mahu menghormati keputusan bersama, dan ketepikan kehendak peribadi atau kumpulan.  Ada yang mahu Khalid kekal menjadi MB, ada yang mahu agar Anwar diberi peluang menjadi MB, dan tidak mustahil ada yang menolak kedua-duanya dari menjadi MB dan mahu orang ketiga diketengahkan.  Itu pun tiada masalah, boleh saja kerana masing-masing ada hak untuk nyatakan sokongan.

Contoh, Hj Hadi mahu TS Khalid dikekalkan menjadi MB Selangor.  Azmin Ali mahu Anwar menjadi MB Selangor.  PAS Selangor pula mahu Iskandar Samad menjadi MB Selangor.  DAP tentunya tidak boleh mencalonkan wakil dari DAP untuk menjadi MB Selangor kerana di Selangor DAP tiada wakil Melayu Islam.  Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menetapkan Melayu Islam sahaja yang boleh dilantik menjadi MB.  Maka, mereka semua tentulah sedaya upaya cuba untuk menaikkan calon MB Selangor pilihan masing-masing.  Tentu saja ada strategi dan kempen dilakukan, termasuk memujuk dan sebagainya.  Itu tidak salah sebenarnya.  Buat DAP pula, tunggu dan lihat siapakah calon-calon yang dikemukan oleh PAS dan PKR untuk menjadi MB Selangor. 

Setelah masing-masing letakkan calon pilihan masing-masing, tentunya PR akan berpakat dan kesemua Adun di dalam PR di Selangor akan diberi hak untuk memilih siapa paling layak untuk menjadi MB Selangor.  Waktu inilah kita boleh melihat kesepakatan kita sesama PR samada boleh terima keputusan majoriti atau tidak.  Waktu itu, lupakan saja kehendak peribadi atau kumpulan dan terimalah keputusan majoriti sesama kita.  Ertikata lain, tiada calon lain yang bakal menjadi MB Selangor kecuali dari PR iaitu PAS atau PKR.  Rugikah jika berlaku begitu walaupun ianya bukan dari calon kehendak kita?  

Jika Anwar menang di Kajang, Kerusi PKR tetap kurang satu daripada PAS.  PAS ada 15 Kerusi, PKR ada 14 Kerusi (jika, InsyaAllah, menang di Kajang) dan DAP ada 15 Kerusi.  Umno/Bn hanya ada 12 Kerusi sahaja.  Secara metamatiknya, undi dari Adun DAP amat penting bagi menentukan siapa MB Selangor.  Itu pun jangan salah tafsir, kerana mungkin tidak semua Adun dalam PKR akan suka dengan Anwar begitu juga mungkin tidak semua Adun dari PAS yang tidak suka Anwar jadi MB.  

Kesimpulannya, buatlah apa sahaja pilihan tetapi jangan lupa kita di dalam PR wajib mematuhi kehendak majoriti di dalam PR khususnya di dalam isu MB Selangor.  Jika ini boleh dipatuhi, InsyaAllah, PR akan diyakini oleh rakyat jelata.


Rabu, 19 Februari 2014

KONTROVERSI - FORUM "KAJANG MOVE" DI KUANTAN MALAM INI


MALAM ini (19/2/1014) Rabu, Jam 09.00 malam, bertempat di Pusat Tarbiyah Tg Lumpur, Kuantan akan diadakan Forum "Kontroversi" berkaitan PRK Dun Kajang.

"KAJANG MOVE - Strategi Ke Putrajaya?".  Itulah maudhuk forum malam ini yang bakal menampilkan Ahli Parlimen Temerloh yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, YB Us Nasruddin Tantawi dengan Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Sdr Razali Alias.  Turut serta adalah Prof Dr Muhammad dari UIA dan Moderatornya adalah Dr Wan Azizi juga dari UIA.

Ini bukan sesi perdebatan di mana pendebat akan berhujah untuk menangkis hujah lawan dan membawa hujahnya.  Ini adalah satu forum, iaitu setiap ahli Panel akan memberikan pandangan mengikut nas atau dalil beserta fakta-fakta yang diperolehi berkaitan tajuk ini.  Di dalam forum, mereka mesti menghormati pandangan ahli-ahli panel yang lain dan jika perlu dijawab boleh dijawab tetapi akhirnya mesti hormati pendapat ahli panel yang lain.

YB Us Nasruddin Tantawi memang 'kontroversi' semenjak dua menjak ini terutamanya berkaitan isu PRK Dun Kajang.  Kita ketahui beliau pernah suarakan pendapatnya yang agak pedas juga sebelum pimpinan PAS Pusat buat ketetapan di dalam isu Kajang.  Itu adalah haknya untuk beri pendapat.  Apa bezanya dengan Sdr Razali Alias?  Beliau mungkin dilihat tidak begitu "kontroversi" kerana beliau bukan "YB" yang mana kata-katanya 'ada nilai', tetapi tidak kurang juga pedasnya komen dari Ketua Penerangan KEADILAN Pahang ini melalui FB beliau.  

Sehubungan itu, mereka berdua diketemukan bukan untuk berbalah atau menegakkan benang yang basah.  Mereka diketemukan hanya untuk membuktikan kepada kita semua bahawa di dalam PR kita bersedia untuk berbincang, bertukar pandangan dan berforum di atas apa jua isu yang mungkin ramai yang terkeliru.  Ini beza PR dengan Umno/Bn.  Kita berada di pentas untuk sama-sama menambah baik nama atau imej parti kita.  Soal siapa kalah siapa menang tidak timbul kerana keputusan PR telah dibuat iaitu PRK Dun Kajang, PR bersedia dengan komitmen padu untuk memberikan kemenangan kepada PR yang diwakili oleh DS Anwar Ibrahim.

Cuma, forum pada malam nanti hanya berkisar soal, adakah PRK Dun Kajang itu (Move Kajang) itu benar-benar satu strategi untuk ke Putrajaya?  Itu masalah 'Khilafiah".  Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju.  Perlucutan jawatan Panglima Perang Khalid Al Walid, tidak semua dipersetujui oleh para sahabat kerana semua tahu kehebatan Khalid Al Walid.  Tetapi adakah para sahabat tahu apa sebabnya dan apakah strateginya?

Mudah-mudahan forum berjalan dengan baik, teratur dan penuh setiakawan, InsyaAllah.


MENJAWAB TULISAN US NASRUDDIN TANTAWI BERKAITAN "UG" DAN "KONSENSUS NASIONAL"

AKU membaca tulisan YB Ustaz Nasruddin Tantawi, MP Temerloh yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat di dalam akhbar Harakah (17-20 Feb 2014) yang bertajuk "Konsensus Nasional 5 Tahun Terlewat?".  Oleh kerana tajuk itu berbentuk 'soal' (?), ertinya beliau sendiri mahu diberi jawapan atau beliau ingin memberikan jawapan di atas tajuk berkenaan.  Rengkasnya, tulisan beliau bebas untuk kita ulas.

Pada pendapat aku, YB Nasruddin terlebih dahulu mesti tahu apakah yang dimaksudkan dengan "Konsensus Nasional' itu, apakah yang terkandung di dalamnya, apakah konsepnya dan berbagai perkara lagi sebelum beliau ingin menyebut bahawa "Konsensus Nasional" itu bersamaan dengan "UG" (Unity Government) yang dikatakan oleh beliau pernah diusahakan oleh PAS semenjak tahun 2008.  Benarkah ianya sama?

YB Us Nasruddin Tantawi
Jika Us Nasruddin menyebut bahawa "UG" pernah cuba diwujudkan pada tahun 2008, aku lantas teringat kisah "rundingan dalam kelambu" di Selangor sejurus selepas PRU ke 12.  Ketika itu, tiada siapa yang tahu terutamanya di kalangan rakan-rakan di dalam PR, bahkan dikatakan ada pimpinan di dalam PAS sendiri tidak tahu adanya "rundingan di dalam kelambu" ini telah diusahakan di Selangor di antara PAS dengan Umno Selangor.  Mungkin peristiwa ini lebih diketahui kisahnya oleh Dr Hassan Ali yang ketika itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Nasa (Timbalan Presiden PAS waktu itu) dan kita boleh dengar sendiri kisah ini dari YB Khalid Samad yang banyak mengisahkan tentang rundingan yang menjadi asas kepada cerita "UG" itu.

Jika itulah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Us Nasruddin Tantawi, ertinya terlalu jauh bezanya dengan "Konsensus Nasional" yang cuba diusahakan oleh DS Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang sekarang.  Perbezaannya adalah dari segi matlamat "UG" itu sendiri pada waktu itu (merujuk kepada kejadian di Selangor).  Pak Lah selaku PM, akhirnya mengaku bahawa lebih dari sekali pertemuan telah diadakan oleh PAS dengan Umno.  Mungkin Nawaitunya baik, tetapi kaedahnya tidak bijak samasekali.  Apakah rundingan untuk bekerjasama dengan Umno untuk mentadbir Selangor tanpa memaklumkan kepada rakan-rakan di dalam PR yang telah sama-sama bersusah payah merampas Selangor dari Umno/Bn itu bijak?  Ada cerita menyebut bahawa sekiranya rundingan itu berjaya, MB Selangor adalah dari PAS, Timbalannya pula adalah Umno kerana Kerusi di dalam Dun Selangor waktu itu cukup untuk berbuat demikian tanpa perlu sokongan dari PKR dan DAP.

YB Khalid Samad - lantang tolak "UG"
Alhamdulillah, rahsia ini terbongkar juga di mana majoriti pimpinan PAS amat tidak senang dengan kaedah sedemikian rupa.  Menendang kawan untuk mendapatkan kuasa memerintah itu bukan cara sebuah Parti Islam, ini disuarakan di dalam Muktamar PAS.  YB Khalid Samad (MP Shah Alam sekarang) adalah di antara yang paling lantang menolak "UG" sedemikian rupa.  Beliau pernah menceriitakan bagaimana Dr Hassan Ali waktu itu amat marah kepada beliau kerana kegagalan cita-cita tersebut.  

Secara rengkasnya, "UG" dengan Umno waktu itu gagal kerana majoriti ahli PAS sendiri tidak sanggup untuk mengkhianati rakan-rakan mereka dari PKR dan DAP.  Kisah seakan-akan seperti ini berlaku juga di Perak sebelum kejatuhan Kerajaan PR oleh para pengkhianat dari PKR dan DAP.  Ada cubaan untuk merealisasikan "UG" ini secara sulit juga tanpa pengetahuan rakan-rakan dari PR.  Ini disebut oleh Us Ahmad Awang di dalam Muktamar PAS selepas kejatuhan Kerajaan PR di bawah YB Nizar.  Walaupun Us Ahmad Awang tidak sebut secara terperinci atau panjang lebar, kata-kata beliau sudah cukup menggambarkan "UG" yang cuba dibawa ke Perak itu amat tidak disenanginya.

Sekali lagi aku cuba memikirkan apakah ini yang dimaksudkan oleh Us Nasruddin Tantawi bahawa "UG" bermula dari tahun 2008 itu adalah sama dengan "Konsensus Nasional"?  Konsensus Nasional adalah kerjasama di antara PR (PKR, PAS dan DAP) dengan kerajaan (Umno/Bn) di atas beberapa perkara untuk memberi kebaikan dan faedah kepada rakyat tanpa sedikitpun melibatkan gabungan kerajaan bersama atau ertikata lain kerjasama politik.  Ianya juga tidak rahsia kerana semua pimpinan PR telah dimaklumkan perkara ini.  Bahkan, Us Nasruddin Tantawi sendiri di dalam tulisannya menyebut bahawa Presiden PAS, Tuan Guru Hj Hadi Awang juga dijemput untuk hadir bersama berbincang.  Masalah Presiden PAS "uzur" atau disebut oleh Us Nasruddin Tantawi 'menguzurkan' diri itu, itu perkara lain.  Pokoknya, rundingan peringkat awal untuk merealisasikan "Konsensus Nasional" ini tidak menjadi rahsia pun di kalangan PR.  Itu beza dengan "UG" tahun 2008.

Konsensus Nasional seperti yang kerap disebut oleh DS Anwar itu adalah untuk PR bersama-sama dengan kerajaan bagi mengatasi beberapa masalah terutamanya masalah yang kritikal sekarang seperti masalah perkauman, keselamatan termasuk sentimen agama yang semakin hebat diprovokasikan oleh pihak-pihak tertentu.  Tentunya beberapa isu ekonomi, pendidikan, hak asasi dan sebagainya turut dimasukkan di dalam agenda atau fokus "Konsensus Nasinal" ini.  Tiada satu pun agenda untuk membentuk kerajaan bersama atau pembahagian kuasa politik di antara PR dan Umno/Bn.

Maaf, jika "UG" yang aku tafsirkan tahun 2008 itu bukan "UG" yang Us Nasruddin Tantawi maksudkan.  Apakah ada "UG" lain yang tidak dirahsiakan?  Wallahu Aklam. 


Isnin, 17 Februari 2014

SIAPA BAKAL PENGUNDI ZAID IBRAHIM ?

MAKA, Zaid Ibrahim yang telah lama menyepi masuk semula ke gelangang politik.  Berselera pula dia bila Kerusi Dun Kajang kosong sekarang.  Ok, tidak mengapa kerana itu hak beliau untuk meraikan demokrasi dan kita tidak perlu larang beliau masuk bertanding walaupun Umno/Bn terus menyepi di dalam soal calon mereka. 

Mengapa Zaid masuk bertanding di Kajang?  Seperti beliau sebut, pertamanya 'hadiah valentine" untuk isterinya setelah 'dapat restu' untuk bertanding.  Kedua, untuk pastikan Anwar tidak boleh jadi MB.  Itu saja.  Terliurkah rakyat Kajang dengan tawaran Zaid ini?  


Siapakah agaknya pengundi Zaid nanti?  Jika Umno/Bn dayus tidak mahu masuk gelanggang, tentunya para penyokong dacing baghdad dan keris telanjang tanpa sarung ini akan mengundi Zaid.  Tidak mustahil juga Zaid ini dihantar khusus ke Kajang untuk menutup 'kemaluan' Umno/Bn di situ.  Tapi aku rasa MCA tetap akan bertanding kerana MCA sudah kemaruk mahu tunjuk parti kaum Cina itu masih belum "mati pucuk" lagi.  Tambahan pula mereka sudah ada Presiden baru.  Andainya Najib buat keputusan, Bn tidak akan bertanding atas alasan bodohnya iaitu tidak mahu membazir wang, aku pasti MCA tetap akan letak calon juga biarpun atas nama Bebas.

Baiklah, jika Bn letak calon juga kerana tidak mahu digelar 'dayus', adakah pengundi yang boleh diharapkan oleh Zaid Ibrahim?  Jawapannya tentu ada.  Zaid mengharapkan segelintir dari penyokong PR yang telah membayangkan tidak selesa bila Anwar bertanding di Kerusi Dun Kajang itu.  Kumpulan ini sanggup pangkah Zaid daripada biarkan Anwar menang.  Ini adalah harapan Zaid.  Kumpulan ini tidak ramai tapi cukup untuk buat Zaid rasa jika tewas pun tidak akan hilang deposit.

Modal Zaid tentunya menarik juga.  Beliau akan kata kepada puak ini, "jika mahu Kerusi MB Selangor kekal kepada TS Khalid ataupun pemimpin lain selain Anwar, undilah aku", mungkin itulah kempen Zaid nanti.   Mana yang otaknya senget atau gila kuasa, pastinya sanggup ikut cakap Zaid.  Mereka lupa, Kerusi MB Selangor itu bukan kuasa Anwar pun jika beliau menang, tetapi itu hak semua Adun di Dun Selangor yang akan tentukan.  Jauh sekali Zaid boleh tentukan samada Anwar boleh atau tidak jadi MB Selangor.

Kalau betul Anwar ini kemaruk mahu jadi MB Selangor, tentunya beliau boleh pilih Kerusi Dun Bukit Antarabangsa yang ditawarkan oleh Azmin kepada beliau.  Tentu peluang jauh lebih besar untuk Anwar menang di kubu kuat Azmin itu.  Mengapa Anwar pilih Dun Kajang yang  kedudukan statistik perkaumannya hampir sama banyak di antara Melayu dan Cina? 

PRK Dun Kajang adalah ujian persahabatan kita di dalam PR.  Masing-masing akan melihat sejauh mana komitmen rakan-rakan di dalam PR membantu kemenangan Anwar di sana.  Samada Anwar menang, apatah lagi tewas, kita akan nilaikan nanti siapa yang istiqomah di dalam perjuangan ini.  Betullah kata YB Dr Zulkefli dari PAS, Kajang adalah penentu samada PR masih mampu bertahan sebagai kawan atau sebaliknya.  Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.  Jangan menyesal di kemudian hari sudahlah.