Jumaat, 4 April 2014

PEMILIHAN JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN- TIAN CHUA BOLEH BERI LALUAN PADA SAIFUDDIN

BEBERAPA tokoh telah tampil menghantar borang untuk bertanding merebut jawatan utama di dalam KEADILAN yang bakal berlangsung April hingga Mei ini.  Aku mahu fokus dulu kepada jawatan Timbalan Presiden dan fokus aku hanya kepada tokoh popular iaitu Azmin (Penyandang), TS Khalid (MB Selangor), Saifuddin Nasution dan Tian Chua,

Sekiranya kekal kesemua mereka ini bertanding sehingga hari pengundian, aku cukup optimis Azmin akan menang di dalam perebutan ini.  Bukan bermakna Azmin mempunyai sokongan kuat ahli di semua peringkat tetapi faktor pecah undi terutamanya undi kepada Saifuddin, Tian Chua dan TS Khalid.  Situasi ini menguntungkan Azmin dan tentunya beliau berharap pencalonan ini kekal.

Kepada yang mahu mengubah jawatan Timbalan Presiden kepada tokoh baru, tentunya mereka mahu salah seorang di antara Tian Chua mahu pun Saifuddin menarik diri.  TS Khalid, pada aku tiada kesan kepada undi Azmin.  Sokongan kepada MB Selangor ini hanya berkitar di Selangor sahaja itu pun tidak sampai separuh Cabang yang menyokong beliau.  Tetapi jangan lupa, bukan Cabang atau perwakilan yang mengundi.  Satu kepala, satu undi.  Siapa boleh jangkakan sesuatu yang berlaku dan TS Khalid boleh buktikannya?

Aku juga mahu Saifuddin dicuba untuk jawatan No.2 di dalam KEADILAN ini.  Pada pemilihan sebelum ini, aku adalah penyokong kuat Azmin dan berkempen gila babi untuk beliau yang waktu itu ditentang oleh Zaid Ibrahim.  Asas aku waktu itu, Azmin orang lama, setia dan komited kepada parti.  Itu saja.

Sekarang, aku tidak boleh guna asas yang sama kerana Saifuddin dan Tian Chua juga terbukti mempunyai prinsip yang sama, setia dan komited dengan parti.  Sedikit markah aku kurang buat Azmin hanya kerana aku lihat Azmin kadangkala terlalu banyak campur pengurusan dan pentadbiran parti di negeri-negeri terutamanya sewaktu pemilihan calon PRU 13 yang lalu.  Umumnya kita tahu, pemilihan calon Parlimen ditentukan mutlak oleh Pusat dan ini kita tidak kisah.  Tetapi apabila penentuan calon di Dun pun cuba dicampuri oleh Azmin sehinggakan berbalah sesama pimpinan dan Ketua-Ketua Cabang, aku mulai merasa Azmin cuba untuk tunjuk kuasa melebihi yang sepatutnya.

Walaupun apa yang aku katakan ini mungkin ditolak oleh para penyokong Azmin, namun percayalah bagi aku itu hanya sedikit kelemahan Azmin.  Dan, aku tidak menolaknya 100%.  Seandainya masih kekal pencalonan nama-nama seperti di atas, mungkin undi aku tetap pada Azmin kerana aku merasa sia-sia mengundi kepada tokoh lain sedangkan mereka tidak serius untuk mengelak dari perpecahan undi.  Cuma harapan aku, Azmin mampu mengubah sikapnya.

Jika ditanya pada aku, siapakah yang patut tarik diri?  Jawapan aku, aku harap Tian Chua sudi beri laluan pada Saifuddin.

Khamis, 3 April 2014

USTAZ TUAN IBRAHIM MEMBELA ANWAR DAN SOKONG REFORMASI

MALAM tadi (02/4/14) bertempat di Cenderawasih, Kuantan, aku sempat menghadiri program Ceramah Anjuran PAS Indera Mahkota Kuantan sempena dengan kutipan dana Kompleks PAS Pahang.  Penceramah utama malam tadi adalah Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Us Dato' Tuan Ibrahim sedang berucap
Seperti biasa di dalam ceramah beliau banyak pengisian tentang perjuangan Islam terutamanya di dalam kaedah berpolitik.  Tetapi apa yang menarik perhatian malam tadi, beliau turut menceritakan tentang kezaliman yang berlaku terhadap DS Anwar Ibrahim.  Kezaliman yang dilakukan oleh rejim itu tidak pernah putus dan tidak pelik katanya negara kita sering dilanda dengan berbagai masalah.  Mungkin peristiwa yang berlaku terhadap DS Anwar ada yang beranggapan tiada kena mengena dengan kesukaran dan bencana yang berlaku kepada negara sekarang, namun sebagai umat Islam kita harus melihat kepada apa yang Allah janjikan kepada pemerintah yang zalim.
 
Bersama Adun Beserah, YB Andansura dan Adun Semambu, YB Lee Chean Chung
Sebab itulah aku sejak dulu sentiasa menyokong perjuangan Us Tuan Ibrahim Tuan Man, bukan kerana dia membela DS Anwar tetapi beliau amat sensitif dengan kezaliman yang berlaku terhadap sesiapa sekalipun.  Sewaktu beliau bertanding jawatan Naib Presiden PAS, ada rakan-rakan memberitahu aku mengapa aku mempromosikan sokongan kepada Us Tuan Ibrahim kerana beliau dianggap golongan Ulamak.  Bagi rakan aku itu, golongan Ulamak di dalam PAS lazimnya tidak begitu suka kepada DS Anwar.
 
Aku katakan pada mereka, golongan yang anti dengan Anwar di dalam PAS hanyalah kumpulan "UG" yang bagi aku hanya tinggal beberapa kerat sahaja.  Us Tuan Ibrahim bukan UG, bukan Anwarisme mahu pun kumpulan Erdogan di dalam PAS.  Pemikiran Us Tuan Ibrahim sama seperti Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang bijak menilai apa itu "Tahalluf Siyasi".  Menyokong perjuangan Anwar bukan bermakna menggadai prinsip dan dasar PAS kerana Anwar sepanjang mengetuai PR tidak pernah mengusik jauh sekali mengganggu gugat prinsip dan dasar PAS.  
 
Apa yang berbeza cuma pendekatan yang ingin dibawa oleh Anwar adakalanya tidak dipersetujui oleh PAS.  Itu lumrah di dalam PR dan tidak kesemua tindakan PAS juga digemari oleh Anwar mahupun pemimpin PR yang lain.  Namun kesemuanya ditangani dengan amat bijak sekali sehinggakan Umno/Bn seperti hilang punca untuk memisahkan PAS dan PKR, terutamanya Anwar.
 
Anwar perlukan PAS untuk memperkuatkan PR yang diterajuinya, begitu juga sebaliknya PAS perlukan Anwar untuk memperluaskan pengaruh PAS.  Di dalam ceramah Us Tuan Ibrahim malam tadi, ternyata komitmen beliau terhadap menentang kezaliman yang dilakukan oleh rejim terhadap Anwar yang telah dihukum 5 tahun penjara. Rakyat harus bangkit menentang kezaliman ini kerana jika dibiarkan kezaliman berleluasa, bukan yang berdosa sahaja yang akan menerima bala bencana Allah malahan seluruhnya akan merasai sama kerana kegagalan kita menentang kezaliman.

Difahamkan pada Program Reformasi 2.0 peringkat Negeri Pahang yang akan diadakan pada 12 April 2014 (Sabtu) di Padang Kemunting, Kuantan nanti, Us Tuan Ibrahim akan hadir sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Reformasi.  Janganlah ada di antara kita sentiasa bersangka bahawa ini semua hanya untuk peribadi Anwar.  Anwar terlalu banyak berkorban untuk kita semua dan beliau kini telah bersedia untuk masuk ke kandang besi semula.  Namun, apakah kita hanya sekadar memerhati atau kita gembira dengan berita ini?


Isnin, 31 Mac 2014

DUA POLIS JADI KAMBING HITAM KES ALTANTUYA, KINI SIAPA KAMBING SETERUSNYA DALAM KES MH370?

MACAM-MACAM kisah menarik yang kadangkala melucukan bila kita singkap kembali dari awal kisah tragedi MH370 ini.  Aku tidak mahu cerita semula kisah-kisah ini kerana sudah cukup lah kisah-kisah ini memalukan negara kita.  

Sekarang, masuk kisah terbaru pula.  Kononnya Pilot Kapt Zaharie mengalami masalah keluarga dan emosi terganggu sebelum beliau lakukan penerbangan.  Sebelum itu, kita sudah dengar cerita Pilot ini diganggu emosi juga kerana sebelum beliau lakukan tugas menerbangkan pesawat yang malang tersebut, beliau kononnya kecewa apabila Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap tokoh pujaannya, DS Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat.

Tidak cukup dengan itu, simulator penerbangan yang dimiliki oleh Pilot ini juga disiasat polis.  Wah, fokus betul kepada si Pilot ini.  

Pendapat aku mudah.  Apa kaitan gangguan emosi (jika benar) yang dialami oleh Pilot ini samada kerana kes Anwar mahu pun kes rumahtangga beliau dengan kemasukan dua passport palsu yang lepas masuk ke dalam pesawat berkenaan?  Kerana gangguan emosi, maka passport palsu lepas masuk pesawat?  Kerana gangguan emosi Pilot, maka radar kita gagal mengesan?

Tolonglah, mengaku saja kita gagal tangani kes ini sebenarnya.  Kita telah dimalukan seteruk-teruknya sekarang akibat pemimpin kita yang cuai, lemah dan banyak 'bermain'.  Jangan cuba mahu kambing hitamkan sesiapa.  Cukuplah dua orang Polis telah jadi kambing hitam di dalam isu Altantuya.