Khamis, 24 April 2014

PARTI TIDAK BOLEH TERUS DENGAN PIMPINAN YANG TIDAK HENTI BERBALAH

MALAM tadi (23/4/14) Azmin datang ke Kuantan.  Lokasinya sama jugalah dengan TS Khalid sebelum ini iaitu di tempat elit, sebuah hotel  Tidak kisah lah di mana mahu berkempen dan di mana mahu menjamu selera sambil mendengar tokoh-tokoh menjual ubat.  

Ertinya, Pahang telah pun dikunjungi oleh semua calon Timbalan Presiden, iaitu Azmin, TS Khalid dan Saifuddin.  Paling awal adalah Saifuddin Nasution yang hadir sewaktu program Reformasi 2.0 Peringkat Negeri Pahang baru-baru ini.  Cumanya Saifuddin agak sengkek, bertemu dengan ahli-ahli dan penyokongnya di Pejabat Adun Semambu dan minum teh saja.  
 
Perjumpaan di Kuantan malam tadi
Aku tidak pergi kesemua program perjumpaan dan kempen ketiga-tiga tokoh berkenaan.  Bukan benci, tidak juga mahu boikot tetapi aku sengaja tidak mahu pergi kerana aku sudah tahu apa yang mereka mahu nyatakan.  Kesemuanya pasti mahu parti ini bertambah baik lagi.  Itu kompom.

Itulah juga janji Azmin sewaktu bertanding jawatan yang sama sewaktu dicabar oleh Zaid Ibrahim.  Apakah tertunai janji Azmin untuk melihat parti bertambah baik?  Dalam sejarah parti begitu kalut menjelang penamaan calon.  Ada negeri yang masih tidak ada calon muktamad sehingga saat-saat akhir.  Ada calon terpaksa bertanding Bebas, tetapi istihar tarik diri disaat akhir kerana kecelaruan calon manakah yang sebenarnya direstui.

Negeri Sembilan patutnya milik kita sekarang, tetapi terlepas peluang keemasan itu angkara calon.  Campurtangan siapa sehingga terjadi sedemikian?  Sekarang mahu bicara soal ingin reformasikan parti atau me/Raya'kan parti?  TS Khalid tertekan pula dengan soal air di Selangor.  Angkara MOu yang dibuat tergesa-gesa rupa-rupanya tidak menguntungkan rakyat.  Bacaan politik terlalu lemah.

Malam tadi Azmin dikhabarkan diraikan sekitar 50-60 orang di Kuantan.  Jauh bezanya dengan sambutan yang diberikan kepada TS Khalid.  Kedua-duanya diadakan di hotel dengan dijamu makan.  Jangan tanya berapa orang saja yang bersantai dengan Saifuddin.  Apa pun, jumlah di hotel belum tentu ditafsirkan dengan undian.  

Simpati terhadap Saifuddin boleh mengugat Azmin dan Khalid.  Saifuddin benar-benar menunjukkan 'roh' reformasi yang tidak bermula di tempat selesa dan mewah.  Saifuddin tiada ego, tiada musuh dan tidak ada rekod berbalah.  Azmin dan Khalid?  Sama-sama tahu jawapannya.  Parti tidak lagi mahu diseret dengan perbalahan yang sudah bertahun di antara keduanya ini.  Cukuplah....jangan bicara reformasi jika mahu reform diri sendiri pun gagal.


Rabu, 23 April 2014

BIARKAN AZMIN DAN KHALID BERBALAH DI LUAR, KITA ANGKAT SAIFUDDIN

JIKA TS Khalid berjanji di Kuantan bahawa sekiranya beliau menang Kerusi Timbalan Presiden PKR, beliau akan pastikan di dalam PRU 14 akan datang tiada lagi masalah calon "payung terjun".  Ertikata lain, suara akar umbi akan didengar.  Maknanya, sedikit betul apa yang aku selalu sebut bahawa isu calon "payung terjun" ini lah yang menjatuhkan markah Azmin sekarang.

Jika TS Khalid berjanji sedemikian, sebenarnya itulah yang lebih awal dijanjikan oleh Saifuddin Nasution salah seorang calon yang menawarkan diri merebut Kerusi Timbalan Presiden.  Saifuddin teramat arif tentang isu calon "payung terjun" ini kerana beliau bertugas di Ibu Pejabat parti selaku Setiausaha Agung.  Terbukti, dua calon yang menjadi saingan Azmin sekarang mengaku bahawa isu calon "payung terjun" membuatkan ramai yang marah, berkecil hati bahkan ada yang keluar dari parti.

Prestasi TS Khalid selaku MB Selangor memang baik, lebih baik dari Khir Toyo tentunya.  Bagaimana pula dengan PKR di Selangor di era TS Khalid?  Kita masih ingat kisah seawal pentadbiran TS Khalid di Selangor, ada pejabat Cabang yang hampir disita kerana tidak membayar sewa pejabat.  Ada pejabat yang diputuskan bekalan api kerana tidak membayar bil.  Pelik, PKR di negeri kaya ini boleh berlaku sedemikian.  

Siapa boleh nafikan masih ada lagi kontraktor-kontraktor yang berjiwa Umno berlakun menyokong PR hanya kerana mahu kontrak di Selangor?  Lemahnya TS Khalid adalah bacaan politiknya, terutama strategi politik dari musuh iaitu Umno.  Beliau mula memasuki pejabat MB Selangor, kita dikejutkan dengan kisah kamera tersembunyi di dalam pejabat beliau.  Mungkin TS Khalid tidak kisah semua ini kerana baginya tidak perlu takut kepada kamera tersembunyi kerana beliau tidak lakukan apa-apa yang tidak betul di dalam pejabatnya.  Sehingga kini kes itu senyap.  Ertinya, tiada kepekaan langsung.  Bukan masalah beliau lakukan atau tidak perkara tidak baik di dalam pejabatnya, tetapi kita harus ingat bahawa sudah ada 'orang dalam' yang ingin sabotaj atau menjadi pengintip beliau.  TS Khalid mungkin tidak membaca semua ini.
 
Kita ingat lagi kisah JAIS serbu Gereja kononnya ada aktiviti memurtadkan orang Islam di Selangor.  Peliknya, MB Selangor tidak tahu ada serbuan dilakukan kecuali setelah ianya berlaku dan kecuh.  Exco pun tiada yang tahu peristiwa serbuan itu, sedangkan JAIS adalah di bawah pentadbiran Negeri Selangor.  Maka, peristiwa serbuan itu menjadi kontroversi yang hebat.  Bukan sekali, berlaku lagi di mana sekali lagi JAIS serbu gereja untuk merampas Kitab Bibble yang dikatakan terkandung Kalimah Allah.  Peliknya, kitab Bibble itu ada cop KDN yang meluluskan percetakannya.  Pedulikan tentang cop itu, tapi jelas JAIS sekali lagi membelakangkan MB Selangor dan Kerajaan Negeri.  Maka, kontroversi berlaku lagi.  Lemahnya TS Khalid berdepan dengan JAIS ini.
 
Isu pemecatan Azmin di dalam kemelut PKNS.  Pening sungguh memikirkannya.  Pihak PKNS kata dapat kebenaran TS Khalid, manakala TS Khalid kata beliau tidak tandatangan pun surat pecat Azmin.  Habis, mengapa dibiarkan saja jika sungguh beliau tidak pecat Azmin?  Mengapa bila kumpulan Azmin sudah kecuh baru TS Khalid bersuara dan meng'kambing hitam'kan beberapa pegawai di dalam PKNS?  Kemelut PKNS gagal ditangani oleh TS Khalid dengan bijak.  Sebab apa gagal, sebabnya beliau dan Azmin tidak pernah tidak 'berkelahi'.  Itu hakikat yang tidak boleh dinafikan.
 
MOu berkaitan air di Selangor ternyata sesuatu yang memalukan Ketua Umum PKR, DS Anwar Ibrahim.  Bayangkan TS Khalid mengadakan MOu dengan Kerajaan Pusat tanpa memaklumkan sedikit pun kepada Anwar sebelum beliau tandatangan MOu berkenaan.  Ini ditegur secara penuh hikmah oleh Anwar.  Sebelum ini pun banyak kali Anwar tegur TS Khalid di dalam konvensyen atau kongres parti.  Anwar ada menyatakan TS Khalid seorang yang setia mendengar tetapi lambat bertindak.  Anwar mahu kepentingan parti diseimbangkan dengan kepentingan negeri kerana parti lah yang mengangkat TS Khalid di Kerusi MB Selangor itu.  Jangan buat PKR di Selangor seperti peminta sedekah.
 
Mungkin ramai yang tidak setuju bila ada yang kata TS Khalid ini 'kedekut".  Tambah pula selepas beberapa negeri mengadakan jamuan makan di hotel bersama beliau sepanjang kempen pemilihan ini.  Jika kedekut, tidak merasa makan di hotel.  Aku tidak tahu pasal kedekut ini, cuma yang aku tahu Selangor di bawah TS Khalid umpama sebuah syarikat.  Satu sen di minta oleh parti, mesti mahu kertas kerja.  Aku tidak pasti samada jamuan di hotel ini pun telah buat kertas kerja terlebih dahulu.  Mungkin Faekah boleh jawab isu ini. 

Mudah saja.  Azmin dan TS Khalid memakan masa untuk berbaik samada salah seorang di antara mereka menang atau kalah.  Jadi, usah pening kepala maka kita pilih yang tidak bercakaran iaitu Saifuddin Nasution sebagai Timbalan Presiden PKR yang baru.  Biarkan Azmin dan TS Khalid berbalah di luar sana.

Selasa, 22 April 2014

RAFIZI, TIAN CHUA, FUZIAH DAN NURUL IZZAH - KOMPOSISI MANTAP, EFISYEN DAN BERWIBAWA

RAFIZI, Tian Chua, Fuziah Salleh dan Nurul Izzah.  Cukup sesuai dan memenuhi citarasa, lelaki dan wanita dan paling utamanya kesemua mereka gandingan yang berusia sedikit dengan yang muda dan terbukti prestasi cemerlang mereka sebelum ini.  Inilah wajah yang kita harapkan dapat menduduki Kerusi Naib Presiden PKR.

Siapa boleh nafikan kecemerlangan Rafizi?  Hebat di dalam berhujah dengan fakta, rajin dan kreatif "create' isu yang boleh merimaskan rejim Umno/Bn.  Tiada musuh di dalam parti, merendah diri dan setia kepada parti.  Tian Chua tidak asing lagi dengan "branded" Reformasinya.  Namanya terukir semenjak era reformasi, tidak pernah punyai cita-cita tinggi hatta untuk menjadi YB sekalipun kerana beliau hanya fikirkan untuk jatuhkan rejim.  Siapa yang ada sejarah 'menggigit Polis" jika tidak Tian Chua hanya kerana melawan ketidakadilan.  Seorang yang merendah diri, dekat dengan kaum Melayu dan tahu banyak tentang adab, tatasusila kaum Melayu dan menghormati cara-cara kehidupan Umat Islam.

Rafizi Ramli - Anak muda yang hebat dan bijak
Tian Chua - Ramah dan mesra tapi 'keras kepala' dengan rejim
"Wanita Besi" Fuziah Salleh tidak asing lagi.  Lantang di Parlimen selama dua penggal.  Isu Lynas diangkat sehinggakan menjadi isu negara yang besar dan isu ini lah menjadi salah satu faktor kaum Cina khususnya tidak lagi mahu bersama Bn.  Konsisten di dalam perjuangannya tentang isu alam sekitar sehingga kini meskipun projek Lynas telah pun berjalan di Gebeng.  Tokoh yang ramah, cepat mesra tetapi tegas.  Banjir besar yang melanda Kuantan satu ujian bagi MP Kuantan ini, namun beliau berjaya tanganinya walaupun sentiasa ditekan oleh rejim.  Sehingga kini beliau masih turun ke akar umbi bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang masih ketinggalan di dalam mendapatkan hak mereka dari kerajaan.  Wanita ini sering dicemburui oleh Bung Mokhtar sehinggakan MP Kinabatangan tersebut terpaksa mereka fitnah terhadap Fuziah Salleh kononnya Fuziah tidak turun ke kawasannya menjenguk mangsa-mangsa banjir.


Fuziah Salleh - Cekal dan berani
Nurul Izzah - Kenali politik di era Reformasi lagi
Raja Nong Chik terpaksa tunduk kepada tokoh yang dulu digelar "Puteri Reformasi" iaitu Nurul Izzah.  Anak sulung Anwar Ibrahim ini bukan baru di dalam perjuangan.  Era reformasi tahun 1998, wanita muda ini telah bersama rakyat marhaen menentang rejim yang zalim.  Raja Nong Chik akhirnya akur di Lembah Pantai kepada tokoh muda ini di dalam PRU 13 yang lalu.  Sebelum itu, Shahrizat Jalil atau lebih dikenali sebagai "Kak Ijat lembu" Ketua Wanita Umno sekarang tertonggeng di tangan Nurul Izzah di Lembah Pantai.  Dua tokoh hebat Umno ini kecundang di tangan anak sulung Anwar Ibrahim.  Maka, wanita ini memang layak dan wajib berada di saf kepimpinan PKR.

Keempat-empat mereka wajar kita letakkan di Kerusi Naib Presiden, sejajar dengan usaha gigih mereka memperkasakan parti.  Bukan masalah orang baru, orang lama, tetapi fakta dan sejarah serta prestasi perlu diambil kira untuk memartabatkan mereka. 

Isnin, 21 April 2014

DULU CHEGU BARD HENTAM SAIFUDDIN, KINI MENGAPA BELIAU SOKONG SAIFUDDIN?

AKU masih ingat sewaktu pemilihan parti sebelum ini.  Waktu itu aku berkempen sakan untuk Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden menentang Zaid Ibrahim.  Bagi Ketua AMK pula, aku menyokong Chegu Bard menentang Samsul Iskandar walaupun aku tahu waktu itu Chegu Bard pun tidak begitu "Ngam' dengan Azmin dan Samsul Iskandar memang 'proksi' Azmin menentang Chegu Bard.

Chegu Bard restu Saifuddin ?
Aku sokong Azmin waktu itu kerana aku lihat Azmin lebih aku yakini dari Zaid Ibrahim.  Mana boleh aku sokong Zaid hanya kerana Chegu Bard tidak 'ngam' dengan Azmin.  Bagi aku berbeza, Azmin untuk Timbalan Presiden dan Chegu Bard aku sokong sebab pada aku dia lebih berwibawa jika memimpin AMK.  Ada orang memilih secara 'borong', aku tidak begitu.  Pemilihan kali ini pun aku tidak suka memilih secara 'borong'.  Aku suka 'timbang kati', pilih yang terbaik dari yang baik.  Maka, Azmin pilihan aku dan Chegu Bard aku harapkan menang sebagai Ketua AMK.   

Pilihan aku tepat.  Zaid akhirnya tunjukkan sikap beliau yang sebenar.  Beliau keluar parti akhirnya bila Azmin dipilih sebagai Timbalan Presiden.  Bayangkan jika waktu itu aku sokong Zaid?  Mana aku mahu letak muka orang yang aku pilih akhirnya khianati parti?  Itu kisah dulu.  Chegu Bard pun tewas dengan penuh 'kontroversi' namun beliau tetap setia dengan parti bahkan bertambah kuat beliau bekerja untuk melawan Umno/Bn.  

Siapa kata Azmin tiada Tim?
Tulisan aku kali ini adalah tentang jawatan Timbalan Presiden, khususnya di antara Azmin dan Saifuddin.  Aku fokus dua tokoh ini saja.  TS Khalid aku tolak tepi dulu kerana aku tidak boleh gambarkan bagaimana jika MB Selangor ini menjadi Timbalan Presiden.  Rasanya elok saja TS Khalid tarik diri walaupun tempoh tarik diri sudah berlalu tapi boleh dilakukan jika mahu.   Biarkan saja Azmin lawan Saifuddin.  Buku bertemu ruas.

Member tanya aku, mengapa Chegu Bard seperti satu 'Tim' dengan Saifuddin kali ini?  Bukankah Saifuddin menjadi sasaran utama Chegu Bard selepas pemilihan Ketua AMK yang lalu?  Semua tahu Chegu Bard banyak buat laporan serta bukti-bukti kukuh tentang dikatakan penipuan atau salahlaku di dalam tatacara pengundian Ketua AMK sehinggakan beliau tewas tipis dengan Samsul Iskandar.  Difahamkan semua aduan Chegu Bard di'sorok' bawah karpet dan tentunya Saifuddin selaku Setiausaha Agung bertangungjawab terhadap semua aduan tersebut.  Chegu Bard kritik hebat Saifuddin waktu itu sehinggakan akhirnya Saifuddin pernah tawarkan Chegu Bard jawatan Penolong Setiausaha Agong, mungkin untuk 'memujuk' amarah Chegu Bard.  Tapi, Chegu Bard punyai prinsip.  Beliau bukan mahu jawatan, beliau mahu keadilan dan ketelusan di dalam parti ini ditegakkan.

Tapi, kali ini mengapa Chegu Bard menyebelahi Saifuddin untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden menentang Azmin?  Pada fikiran aku, ye, mungkin Azmin tidak begitu digemari oleh Chegu Bard dan Saifuddin juga bukannya tidak pernah dikritik oleh Penyelaras SAMM ini.  Saifuddin turut membantu kekalahan Chegu Bard merebut jawatan Ketua AMK dulu kerana Saifuddin gagal menyiasat secara telus aduan-aduan dari Chegu Bard.  Tetapi, mengapa Chegu Bard sokong Saifuddin sekarang?  

Kalau aku berada di tempat Chegu Bard, aku juga akan buat seperti yang Chegu Bard lakukan sekarang.  Pilih yang kurang mudharat, pilih yang terbaik dari yang baik.  Pada Chegu Bard, Saifuddin mungkin berlaku tidak adil hanya kepada dirinya seorang, sebaliknya Azmin banyak menimbulkan kegelisahan dan rungutan kepada ramai ahli-ahli parti di seluruh negara terutamanya sikap beliau yang mencampuri di dalam penentuan calon-calon di banyak negeri.  Ertikata lain, ada rungutan bahawa Azmin suka meletakkan orang-orangnya di beberapa kawasan dan meminggirkan orang-orang yang telah bekerja kuat di kawasan berkenaan.  Ini satu-satunya sikap negatif Azmin yang aku juga terasa ada benarnya.

Apa yang kita faham, calon Parlimen ditentukan oleh Pusat.  Calon Dun dipilih oleh Negeri dan direstui oleh Pusat.  Itu sewajarnya yang berlaku.  Tetapi, di dalam PRU 13 yang lalu banyak Kerusi Dun diganggu oleh Pusat dan Negeri seolah-olah terpaksa akur.  Maka, berlaku huru-hara di Cabang dan akhirnya Negeri dipersalahkan kerana berlaku calon 'payung terjun'.  Paling mengaibkan, ada calon yang dapat Watikah dari Pusat tetapi peruntukan pilihanraya dapat kepada orang lain.  Ada berita, Presiden restu orang lain, Azmin tukar orang lain.  

Memang kita boleh salahkan Anwar kerana tidak kawal semua ini.  Presiden juga bersalah kerana membiarkan Azmin seperti terlalu berkuasa.  Saifuddin selaku SUA tentu tahu mengapa ini terjadi.  Justeru itu, mahu tidak mahu Saifuddin terpaksa lawan Azmin.  Bukan menolak Azmin kerana Azmin tidak setia kepada parti atau Azmin rasuah, tetapi sikap Azmin yang terlalu rakus, itu saja.  Jika Azmin boleh hormat Ketua Umum, boleh hormat Presiden dan lebih-lebih lagi tahu respek Negeri-Negeri dan Cabang-Cabang, tiada sebab Azmin kita tentang.

Sebab itulah aku fikir Chegu Bard berada di saf Saifuddin sekarang.  Adakah Saifuddin lebih baik dari Azmin?  Kita cuba dulu.  Begitu juga, aku teramat setuju jika Azmin dipilih menjadi MB Selangor menggantikan TS Khalid jika perlu.  Apakah Azmin lebih hebat dari TS Khalid?  Kita boleh cuba dulu.  Azmin kita sudah cuba sebagai Timbalan Presiden dan kita sudah lihat apa yang berlaku di dalam PRU 13 yang lalu.  Kita mahu di dalam PRU 14 nanti, suara pemimpin di Negeri dan di Cabang dihormati dan Saifuddin perlu realisasikan ini jika beliau menang sebagai Timbalan Presiden PKR di dalam pemilihan nanti.