Rabu, 18 Mei 2016

DEKLARASI RAKYAT - WARKAH ANWAR UNTUK BETULKAN LANGKAH SUMBANG

DEKLARASI Rakyat terus diperdebatkan dan bertambah hangat apabila 'terbocor'nya warkah dari Sg Buloh.  Masing-masing berebut menjadikan warkah tersebut sebagai dalil dan nas untuk menyatakan pendekatan mereka betul.

Aku sejak awal lagi bersedia menyokong Deklarasi Rakyat atas dua sebab.  Pertamanya, kerana Deklarasi Rakyat ini salah satu pendekatan untuk menjatuhkan Najib dan melemahkan Umno/Bn.  Kedua, Deklarasi Rakyat sejak awal penubuhannya tidak menyebut sesiapa sebagai pemimpin dan ianya diwujudkan atas semangat rakyat dan paling utama Deklarasi Rakyat ini tidak pernah ditentang atau dilarang oleh parti aku sendiri sehingga saat ini.  Atas dua sebab itu, aku merasakan dan berijtihad bahawa Deklarasi Rakyat lebih banyak baik dari buruknya.

Persoalan ditanya, mengapa tidak wujud suara dari Sg Buloh seawal kewujudan Deklarasi Rakyat?  Bukankah Kak Wan dan Anwar sememangnya tahu bahawa Mahathir turut bersama untuk menjatuhkan Najib?  Mengapa tiada larangan atau arahan dari pucuk pimpinan KEADILAN untuk kita menjauhkan diri dari Deklarasi Rakyat waktu itu?  Mengapa SUA KEADILAN sendiri, YB Rafizi adalah di antara tulang belakang di dalam Deklarasi Rakyat?  Waktu itu mungkin kita merasakan kita mampu mengawal perlaksanaan Deklarasi Rakyat ini mengikut acuan kita bukan acuan pihak lain.

Tidak salah untuk mencuba.  Tidak perlu ada emosi mengatasi kepentingan rakyat.  Deklarasi Rakyat ini boleh sahaja diwujudkan walaupun tanpa Mahathir, namun apabila Mahathir sendiri mahu menjadi tulang belakang bagi menjatuhkan Najib, apakah kita begitu bodoh untuk menolaknya?  Mahathir dikatakan ada agenda, mustahil kita yang berjuang sejak tahun 1998 langsung tiada agenda?  Bahkan aku merasakan agenda kita lebih jauh ke hadapan dari apa yang ada pada pemikiran Mahathir.

Kalau difikir emosi dan otak kita selalu membayangi 'hantu Mahathir', kita tidak akan dapat buat apa-apa kalau Mahathir sentiasa mengikuti kita.  Aku pun yakin, Tamrin Ghafar menyokong perjuangan PH adalah kerana kepentingan rakyat.  Jika mahu fikir ke belakang dan emosi, Tamrin tentunya terasa hati dengan Anwar yang pernah menjatuhkan arwah ayahandanya Tun Ghafar sewaktu Anwar berada di dalam Umno.  Tanpa emosi juga Anwar diterima baik oleh rakan-rakan di dalam Pas di era Almarhum Us Fadzil Noor dan Almarhum Tok Guru Nik Aziz sewaktu Anwar mula-mula dipecat dari Umno.  Sewaktu di dalam Umno, Anwar adalah benteng kuat Umno apabila Pas menyerang Umno.  Semua tahu.  

Sampai bila mahu fikir ke belakang?  Benar, sejarah boleh diingati untuk dijadikan pengajaran dan panduan tetapi sejarah tidak boleh diubah lagi.  Maka, Deklarasi Rakyat yang disokong oleh Mahathir tidak patut dianggap sebagai melaksanakan agenda Mahathir walaupun kita semua tahu sejarah Mahathir.  Melalui sejarah lampau Mahathir ini lah sepatutnya kita lebih bijak berdepan dengan beliau bukan mengalah dengannya.

Apa yang disuarakan melalui warkah dari Sg Buloh itu?  Pada aku, sejajar dengan apa yang disebut oleh Rafizi, memang tepat pada masanya Anwar bersuara apabila beliau dapat merasakan hala tuju Deklarasi Rakyat seolah-olah mahu dipesongkan.  Paling mengecewakan, pimpinan parti gagal mengawal Mahathir dari bercakap perkara-perkara yang tiada kaitan dengan agenda Deklarasi Rakyat.  Mahathir tidak perlu bercakap soal Anwar jika dia tidak mahu Anwar bebas sekali pun.  Jika Mahathir tidak mahu kita ungkit sejarah lampau dan kezalimannya, perlu apa dia terus bercakap soal Anwar?  Mengapa pimpinan kita yang mengusung orang tua ini ke hulu ke hilir boleh berdiam diri dengan tingkah laku Mahathir?  Ini lah yang menyinggung perasaan Anwar dan keluarganya.  Kita juga turut tidak senang dengan sikap Mahathir itu yang seolah-olah ingin mengambil kesempatan di atas gabungan ini.

Lebih dahsyat lagi, apabila ada yang sanggup berbelanja lebih demi menjayakan program bersama Mahathir.  Layanan melampau dan menjolok mata seperti ini menjadikan Mahathir lupa diri dan boleh kawal kita di dalam Deklarasi Rakyat jika dibiarkan berterusan.  Justeru itu, wajar dan tepat sekali Anwar bersuara sekarang.  Anwar dan Presiden setakat ini tidak arahkan hentikan Deklarasi Rakyat, tetapi Anwar dan Presiden keluarkan ingatan dan teguran keras agar pimpinan tersedar dari mimpi indah mereka bersama Mahathir.  Jangan salahkan Mahathir jika dia dilayan sedemikian rupa.  Kita tepuk dada, kita tanya hati dan iman kita.

Selagi aku bersama parti, aku percaya kepada keputusan parti.  Aku yakin parti akan ada satu keputusan tepat berkaitan isu ini.  Jika parti membenarkan pimpinan dan ahli-ahli memilih jalan sendiri di dalam isu ini (Deklarasi Rakyat), maka parti harus bersedia menerima berbagai ragam dan perangai pemimpin dan ahli-ahlinya.  

 

Selasa, 17 Mei 2016

DEBAT DEKLARASI RAKYAT MALAM TADI - ANTARA PERSEPSI DAN HUJAH


MALAM tadi satu debat telah diadakan di Dewan KLSCAH, Selangor atas anjuran SAMM bertajuk 
" Deklarasi: Mana Pergi Rakyat".  Pertamanya aku nak ucapkan tahniah kepada SAMM yang membuka ruang perdebatan isu yang agak panas ini.

Memang tepatlah pendebat-pendebat yang tampil malam tadi.  Pendebat-pendebat mewakili pro Deklarasi adalah YB Khalid Samad, Ambiga dan Khairudin.  Manakala pendebat-pendebat yang sering mempertikaikan kewajaran Deklarasi terdiri dari Chegu Bard (SAMM), Arul (PSM) dan Haris (ABU).

Masing-masing membawa hujah bagi mempertahankan pendirian mereka tanpa ada selindung.  Masing-masing bercakap secara terbuka.  Perdebatan boleh dikatakan panas tetapi masih terkawal dan beretika walaupun sesekali ada segelintir para penonton cuba untuk memprovok pendebat-pendebat.  

Aku tidak mahu ulas perdebatan di antara kedua-dua pihak jauh sekali untuk menyebut siapa yang memenangi perdebatan tersebut.  Bagi aku, ini isu cabang dan pendekatan semata-mata.  Yakni, satu pihak merasakan wajarnya Deklarasi Rakyat ini dibuka seluas mungkin hatta Tun Mahathir bersama.  Satu pihak lagi meragui akan kehadiran Tun Mahathir di dalam Deklarasi Rakyat ini.  Ini semua soal Cabang.  Soal pokoknya iaitu wajib turunkan Najib dan Umno/Bn, aku yakin kedua-dua pihak sama-sama bersetuju.

Kaedahnya ada macam-macam dan belum tentu kaedah-kaedah itu berjaya.  Contohnya, kita telah cuba satu kaedah untuk memaksa Najib turun dengan cara membawa usul menolak Bajet di dalam Parlimen.  Namun kita gagal di dalam kaedah ini.  Apakah dengan kegagalan itu maka kita harus berhenti dan menunggu untuk dua tahun lagi agar Najib terus berkuasa?  

Kebimbangan Chegu Bard dan kumpulannya terhadap kejujuran Mahathir berdasarkan rekod lampau beliau dan kurangnya komitmen Mahathir di dalam isu-isu lain selain dari mahu turunkan Najib ada benarnya kebimbangan itu.  YB Khalid pula lebih terbuka di mana beliau menyatakan jika Mahathir ada agenda, PH juga ada agenda.  Ertinya, siapa cekap di dalam mempergunakan satu sama lain mereka akan berjaya dalam strategi ini.  

Kesimpulannya, aku bangga dengan perdebatan yang walaupun terhad masa untuk berhujah panjang lebar tapi sekurang-kurangnya kita dapat lihat betapa sebenarnya ramai rakyat yang bencikan Najib.  Terpulang kepada pimpinan PH bagaimana dan apakah kaedah terbaik selepas ini ?

Isnin, 16 Mei 2016

PRK SG BESAR DAN K.KANGSAR - UKUR BAJU JANGAN GUNA SAIZ UKURAN RAYA TAHUN LEPAS !!

TERAMATLAH aku setuju dengan pendapat Hj Hadi yang sebut kena 'ukur baju di badan sendiri' bagi mana-mana parti yang mahu bertanding di PRK Parlimen Sg Besar dan K.Kangsar.  Pandangan ini terpakai kepada semua parti bahkan termasuk Umno/Bn sendiri.

Sekiranya KEADILAN mahu meletakkan calon, parti ini harus mengukur baju di badan sendiri dan sebagai rakan bersama dalam PH eloklah minta pandangan teman-teman juga dari Dap dan Amanah, apakah sesuai dan cantik baju yang telah diukur itu.  Carilah mana-mana ukuran yang sesuai pada saat dan waktu sekarang.

Perlu ingat, jangan guna saiz ukuran Raya tahun lepas untuk digunakan pada Raya tahun ini.  Mungkin perut dan boroi terlebih makan dedak atau sudah kempis akibat kurang makan.  Ukuran baju mesti ikut saiz sekarang. 

Ahad, 15 Mei 2016

POLL BLOG - PERATUS MENYOKONG AMANAH UNTUK BERTANDING TINGGI SETAKAT INI

SIAPA wakili PH di PRK di Sg Besar dan K.Kangsar?  Amanah telah bermesyuarat dan mahu calonnya bertanding di kedua-dua kawasan tersebut.  Ertinya, Amanah menawarkan dirinya walaupun parti yang baru berusia lebih kurang 8 bulan ini bakal berdepan dengan rejim berkuasa Umno/Bn serta sekutu mesra alamnya iaitu Pas.

KEADILAN pula masih belum membuat keputusan walaupun jika melihat kepada gerak kerja dan program-program yang sedang berjalan di Parlimen Sg Besar seolah-olah KEADILAN telah bersedia untuk menawarkan diri.  Apa yang pasti, Dap awal-awal lagi mengumumkan tidak akan bertanding di dua kawasan tersebut dan bejanji hanya akan menyokong dan berkempen untuk calon dari PH sahaja.

Bagaimana dengan Pas?  Ada pimpinan Pas yang menyatakan Pas tetap akan bertanding di kedua Kerusi berkenaan dan tidak akan 'menyerang dan menyentuh' Umno di dalam kempennya.  Ertikata lain, Pas akan berperang tanpa menghalakan senapang ke arah kubu musuh.  

Apa pilihan pengundi-pengundi di dua kawasan berkenaan?  Adakah para pengundi akan melihat parti atau calon?  Pilihan anda pula bagaimana?  Sila buat undian di atas.