Rabu, 16 September 2009

BEBAS ISA - SYABAS GMI, TERUSKAN BERJUANG!!

'Bebas tahanan ISA kejayaan GMI'
Sep 16, 09 3:48pm

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyifatkan pembebasan lima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam sebagai kejayaan kempennya menentang akta tersebut, khususnya demonstrasi besar 1 Ogos lalu.

"Tentunya kerajaan tidak akan mengaku tunduk pada tekanan ini tetapi tuntutannya bukan hanya retorik atau beremosi seperti insiden (perhimpunan membawa) kepala lembu," kata Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh.

Perhimpunan besar-besar di Kuala Lumpur itu bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong agar baginda perkenan campur tangan memansuhkan ISA - bagaimanapun kira-kira 20,000 penentang akta itu dihalang polis.

Mat Sah Mohamad Satray, suami ahli jawatankuasa GMI Norlaila Othman, antara lima yang dibebaskan petang semalam setelah mereka didapati telah pulih dan tidak lagi mengancam keselamatan negara.

Kelima-lima bagaimanapun dikenakan perintah tahanan terhad yang mewajibkan mereka melaporkan kepada polis setiap minggu dan harus memohon kebenaran pihak berkuasa itu untuk keluar dari daerah tahanan.

Dalam kenyataannya hari ini, Syed Ibrahim berkata pembebasan mereka itu bagaimanapun masih membangkitkan persoalan asas tentang kenapa mereka ditahan dan bukti-bukti kesalahan mereka.

"Jika diperhatikan seimbas lalu, seseorang akan perasan kenyataan menteri (dalam negeri) itu yang sewenang-wenangnya, subjektif dan boleh dipertikaikan," katanya, mengulas alasan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau dilaporkan berkata kelima-limanya dibebaskan bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

GMI juga mempersoalkan pembebasan secara memilih-milih yang dibuat oleh kerajaan apabila sembilan lagi tahanan - termasuk Shamsuddin Sulaiman yang ditahan selama lapan tahun.

Mat Sah ditahan sejak April 2002 atas tuduhan terlibat dengan gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI), seperti juga tuduhan terhadap Dr Abdullah Daud yang ditahan Januari tahun yang sama.

Sementara tiga lagi yang turut dibebaskan - Mohd Nasir Ismail @ Hassan, Ahmad Kamil Md Hanapiah dan Muhammad Amir Md Hanapiah - ditahan di kem Kamunting mulai Mei 2007.

Walaupun gembira dan mengalu-alukan pembebasan lima tahanan ini, GMI tetap mempertikaikan dua asas akta itu: penahanan itu dibuat secara sewenang-wenangnya dan kuasa sewenang-wenangnya untuk menahan pada menteri dan polis./Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan