Sabtu, 16 Mei 2009

ORANG MELAYU TIDAK PERLU LAGI DIUBATI OLEH UMNO


Di dalam satu forum baru-baru ini dan sepertimana yang disiarkan di dalam media, A.Kadir Jasin telah memberi formula untuk Umno bagi menghidupkan kembali sokongan orang-orang Melayu terhadap Umno. Beliau menyatakan bahawa Umno mesti mengubati hati orang-orang Melayu terlebih dahulu sebelum menarik sokongan bangsa lain untuk terus bersama menyokong Umno/Bn. Persoalannya, siapakah yang boleh memainkan peranan untuk mengubati hati orang-orang Melayu ini? Mungkin yang dimaksudkan oleh A.Kadir Jasin adalah pemimpin-pemimpin Umno lah yang harus berperanan mengubati penyakit orang-orang Melayu ini.

Siapakah pemimpin-pemimpin itu? Pemimpin utamanya adalah Najib. Layakkah Najib untuk mengetuai`pakar-pakar' pemulih penyakit orang-orang Melayu itu? Bukankah Najib sendiri diselaputi ribuan `penyakit yang lebih kronik' dari orang-orang Melayu sendiri? Sewajarnya Umno mesti berikhtiar untuk memulihkan Najib dari `penyakit kronik'nya terlebih dahulu. Jika dahulu Pak Lah dianggap sebagai `pembawa penyakit' kepada Umno/Bn sehingga terlepas beberapa negeri ke tangan PR, Umno telah `mengubati' Pak Lah dengan di `keruantin'kan dari menjadi pemimpin Umno. Tetapi, penyakit orang-orang Melayu bertambah kronik selepas itu apabila Najib pula ditabalkan sebagai Presiden Umno dan PM. Di dalam tubuh badan Najib yang diketahui umum mempunyai berbagai `penyakit misteri' , mana mungkin orang-orang Melayu dapat dipulihkan penyakit mereka oleh `bomoh' yang berpenyakit.

Hakikatnya, orang-orang Melayu kebanyakannya kini telah pulih dari penyakit yang mereka warisi dari Umno. Apabila mereka menyeberang bersama PR terutamanya PAS dan PKR, penyakit mereka boleh dikatakan pulih sepenuhnya. Penyakit yang dahulunya sering membawa wabak dan virus di dalam Umno tiada di dalam PR seperti penyakit rasuah dan lain-lain lagi. Ini adalah kerana di dalam PR, jika terhidu sahaja wabak penyakit rasuah ataupun penyelewengan, sepantas kilat pemimpin PR membenteras dan membunuhnya. Saya tidak tahu samada masih ada lagi orang-orang Umno yang ingin berubat dengan `bomoh-bomoh' yang berpenyakit malah lebih serius dari mereka.

Apa yang berlaku di dalam Umno/Bn sekarang adalah mereka sendiri tidak tahu bahawa mereka juga berpenyakit. Pemimpin Umno anggap mereka sihat, pemimpin MIC pun begitu termasuklah juga pemimpin MCA dan yang lain-lain. Sehingga kini, akibat penyakit yang mereka hidapi, kerajaan sekarang dilihat tidak berupaya bangun membela rakyat dan kehidupan rakyat semakin kacau. Hampir saban hari rakyat bercerita tentang politik yang tidak stabil di samping kos sara hidup yang terlalu mencengkam. Punca kesemuanya ini adalah kerana kita mempunyai pemimpin negara yang `berpenyakit'.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogsopt.com

SAIFUL BUKHARI TAKUT DS ANWAR LARI ?

Nak saman Hospital Pusrawi ke ni??

Entah mengapa sebentar tadi gatal pula tangan saya untuk melayari blog Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh DS Anwar. Seperti biasa, blog yang selalunya sepi itu tiba-tiba hidup kembali al-maklumlah Pilihanraya Dun Penanti pun semakin hampir. Pemuda yang tegap dan mengaku sihat ini (walau pun `terpaksa' menyerahkan `teruna'nya kepada DS Anwar) amat teruja dan tidak-tidak sabar untuk menanti hari perbicaraan kes tersebut pada Julai ini nanti.

Di dalam blog beliau, pemuda yang `bersumpah laknat' secara tidak sah disisi Islam tersebut menyuarakan kebimbangannya bahawa DS Anwar akan melarikan diri ke AS. Beliau menyatakan, beliau mendapat maklumat bahawa DS Anwar akan ke AS pada 26 Jun nanti. Beliau mengharap sangat DS Anwar akan kembali pada tarikh perbicaraan tersebut. Saya ingin memberikan sedikit ketenangan buat Saiful, janganlah kamu bimbang tentang DS Anwar kerana DS Anwar seribu kali lebih suka jika kes ini diselesaikan kerana beliau terlalu banyak tugas untuk dilakukan bukan seperti kamu yang `terkurung' umpama burung peliharaan. Masyarakat juga terlebih tidak sabar lagi untuk menunggu kes tersebut dibicarakan walaupun institusi kehakiman di negara ini masih belum boleh dipuji.

Saya nasihatkan Saiful agar sementara tiada kerja yang boleh dibuat seketika ini, bolehlah beliau mencuba nasib untuk menyaman sebuah hospital yang menyiarkan laporan menyatakan kamu tidak diliwat. Bukankah sebenarnya kamu diliwat? Kejam sungguh mereka yang menyatakan kamu tidak diliwat. Jika dibandingkan dengan berita yang disiarkan di laman web Pahangdaily menyatakan kamu sakit, saya rasa lagi mengaibkan laporan hospital tersebut yang menyatakan kamu tidak diliwat. Ini adalah kerana dengan laporan tersebut, semua media TV dan akhbar termasuk di luar negara menyiarkan bahawa kamu tidak diliwat. Sedangkan laporan Pahangdaily yang menyatakan kamu mengidap sakit itu tidaklah menjadi berita sensasi atau hangat seperti laporan hospital berkenaan. Sebenarnya ramai juga yang tidak sabar untuk melihat Saiful menyaman hospital berkenaan sepertimana tidak sabarnya Saiful menunggu tarikh perbicaraan kes nya nanti. Saya rasa tidak mungkin hospital tersebut akan `melarikan' diri dari saman Saiful sepertimana Saiful bimbang DS Anwar melarikan diri ke AS.

Saya memuji blog Saiful kerana banyak juga perubahan dari dahulu. Mungkin Saiful kini banyak masa lapang untuk mengemaskinikan blog yang selama ini beku. Terdapat di dalamnya blog-blog tokoh pujaan beliau seperti Tun Mahathir (tokoh yang tidak mahu hadir sebagai saksi kes liwat DS Anwar dahulu). Terdapat juga puji-pujian kepada Awang Selamat (Utusan Malaysia) yang ramai sudah kenal siapa Awang Selamat ini. Saiful juga begitu menghormati Sultan Perak. Terlalu bagus budak muda ini dan mungkin juga keluarga beliau sememangnya bagus-bagus belaka termasuk `Brother Pet'.

Saya nasihatkan Saiful agar bersabar jua. Tidak akan lari gunung dikejar, sudah tentu tunangmu setia menanti dengan penuh kesabaran. Sedangkan tunang pesalah dalam kes pembunuhan Altantuya itu pun masih boleh bersabar walaupun mahkamah sudah menjatuhkan hukuman gantung, ini kan pula kamu yang kes belum dibicarakan lagi. Kamu juga harus faham sekarang ini mahkamah terlalu sibuk nak menentukan siapa MB Perak. Saya sarankan Saiful masukkan juga gambar Zambry ke dalam blog kamu itu, baru ada glamour sikit.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

PAS JANGAN LENGAHKAN PERKARA YANG BAIK

Sesungguhnya suatu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita selaku pejuang-pejuang Islam apabila masyarakat bukan Islam mula mendekati kita. Di saat Umno/Bn mula kehilangan arah dalam hala tuju mereka, masyarakat bukan Islam khususnya mulai yakin dengan dasar yang dibawa oleh PAS dan juga rakan-rakan mereka di dalam PR. Meskipun musuh-musuh Islam terus menjalankan propaganda mereka untuk melumpuhkan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, namun berkat ketabahan pimpinan PAS dan tidak lupa juga berkat kerjasama rakan-rakan yang lain di dalam PR, PAS kini semakin berkembang dan berpengaruh.

Begitulah hebatnya ketentuan Illahi yang tidak terfikir kita betapa parti yang dahulunya di cop sebagai parti ideologi Taliban, kini menjadi pilihan masyarakat bukan Islam. Dahulu saya pernah menulis tentang hikmah mengapa DS Anwar tidak menyertai PAS dan menubuhkan Parti KeADILan yang kini dikenali sebagai PKR. Seandainya DS Anwar menyertai PAS, secara teorinya saya jangkakan sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak sehebat sekarang. Wujudnya PKR adalah bagi mereka yang tidak lagi yakin kepada Umno/Bn tetapi masih sukar untuk menerima PAS. Mereka ini akan bersama PKR dan PKR pula bekerjasama dengan PAS. Apabila melihat kerjasama yang terjalin di antara PKR dan PAS termasuk juga DAP, mereka ini bertambah yakin bahawa PAS juga menuntut keadilan untuk semua . Apatah lagi mereka telah melihat betapa PAS dapat memimpin Kelantan berbelas tahun dengan adil dan saksama.

Kini, PAS telah mempunyai Kelab Penyokong mereka sendiri. Pada ketika mereka ini sedang bersemangat untuk bersama kita, adalah tidak wajar kita menurunkan semangat mereka. Cuba kita imbas kembali zaman ketika PAS dikenali sebagai parti tok lebai. Terlalu lah sukar untuk mendapatkan hatta seorang yang bukan Islam menyokong PAS bahkan sokongan orang Melayu Islam pun PAS agak sukar juga kecuali di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kini, di tengah-tengah kota metropolitan pun bendera PAS gagah berkibaran di merata-rata. Bukan mudah untuk memperolehi kenikmatan anugerah Allah ini dan kini kita telah menkmatinya.

Pada pendapat saya, adalah penting untuk PAS mempertimbangkan secepat mungkin agar dapat menerima mereka ini bersama PAS. Saya faham beberapa dasar atau perlembagaan PAS yang mungkin boleh menyekat mereka ini dari turut bersama dalam perjuangan PAS. PAS bukan agama tetapi adalah wadah di dalam menyempurnakan agama Islam itu sendiri. Soal teknikal dan perlembagaan yang boleh ditentukan terhadap mereka yang bukan Islam tetapi menjadi ahli PAS boleh dikaji semula asalkan dasar pokok perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS itu tidak diketepikan. Bagi saya, melengah-lengahkan perkara yang baik tidak akan menguntungkan dan saya bimbang jika pihak lawan akan mengambil kesempatan di atas kealpaan kita mengambil peluang ini. Mudah-mudahan pimpinan PAS dapat membuat suatu keputusan yang bijak demi masa depan perjuangan PAS itu sendiri.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Jumaat, 15 Mei 2009

PESANAN MUFTI PERAK ? BETUL KE?

Mereka tidak merampas kuasa, cuma mereka ( UMNO ) bagi tahu kepada Tuanku Sultan sekarang BN telah mendapat majoriti ahli dewan kerana 3 adun dari PKR dan DAP telah keluar parti dan menjadi adun bebas dan seorang adun kembali kepada UMNO !

Terimalah hakikat itu, tetapi PAS dan DAP tidak boleh terima hakikat, sekarang BN ada 31 ahli dewan.

Kalau kita mengasihi orang kafir itu adalah itu haram, kita boleh berbaik dengan orang kafir tapi tidak boleh berkasih sayang dengan orang kafir !

Kenapa PAS lebih menyayangi orang kafir daripada sayang orang Islam sendiri ?

Orang Islam PAS sanggup maki hamun, orang kafir kita berpeluk-peluk pula, macam kes Elizabeth Wong memang jelas dia buat maksiat, kenapa ada muslimat PAS dan PKR peluk sampai menangis dan macamana NIk Aziz boleh sokong Elizabeth dalam isu ini sedangkan kita dan Nik Aziz tahu yang DAP tidak akan sokong ISLAM !

Tengok Karpal Singh kata apa, langkah mayat saya dulu kalau PAS nak tubuh negara ISLAM !

Ketahui lebih lanjut wawancara Dato Seri Harussani Zakaria, Mufti Besar negeri Perak dalam majalah Milenia Muslim keluaran bulan Mei.

SUMBER : http://dr1221.blogspot.com/2009/05/peringatan-dari-mufti-besar-perak_15.html
Dipetik dari Blog Pemuda Umno Pasir Puteh.

Komen Saya-

Betulkah di dalam menentukan siapa yang mendapat majoriti kepercayaan di dalam Dun Perak memadai dengan memberitahu DYMM Sultan Perak sahaja? Apa guna adanya Dun? Mengapa jika benar ikhlas, usul undi tidak percaya kepada YAB Ir Nizar selaku MB Perak tidak dibawa ke Dun? Mengapa diselesaikan di dalam Istana sahaja? Seharusnya MB Perak ketika itu dan seluruh ahli dewan ketika itu dapat melihat dengan nyata sekali bahawa MB Perak ketika itu sememangnya telah hilang kepercayaan. Kemudian barulah keputusan Dun dibawa ke Istana. Sebab itulah Tun Mahathir kata, tindakan Umno/Bn di Perak amat gopoh sehingga kini memakan diri.

Saya tidak jelas dan keliru dengan maksud," kita haram berkasih sayang dengan orang kafir tetapi boleh berbaik-baik sahaja". Benarkah itu pendapat Mufti Perak atau pun pendapat yang empunya blog sahaja?

Kes Elizbebeth Wong amat jelas. Beliau bukan Islam dan tidak terikat dengan hukum Islam. Maksiat? Saya tidak tahu adakah seseorang yang tidor `berbogel atau separuh bogel' di rumahnya sendiri dikira satu perbuatan maksiat apatah lagi bagi bukan Islam. Atau adakah bukti dan saksi bahawa terdapatnya perbuatan yang sumbang di antara YB Eli dengan sesiapa ? Sehingga kini Polis sendiri tidak selesai dalam siasatan mereka. Bahkan, jika seseorang Islam sendiri pun tidak boleh kita tuduh mereka berzina melainkan cukup saksi-saksinya. Jika ditakrif `maksiat' dari segi syariat Islam, orang perempuan yang membuka aurat mereka juga dikira melakukan maksiat juga. Tentu Rosmah Mansor dan Shahrizat Jalil bersetuju dengan pendapat saya ini. Kes YB Eli ini di mana letaknya `maksiat' itu dan takrif apa yang mereka gunakan?

Mengapa Tuan Guru Nik Aziz berbaik dengan DAP ? Ini adalah DAP tidak pernah menentang PAS secara fizikal atau menghina Islam. Umno bagaimana ? Siapakah orangnya yang sering menghina hukum hudud? Ustaz dan ustazah Umno ada yang pernah menyindir hukum hudud sedangkan mereka Islam. Apa yang PAS boleh harapkan daripada DAP yang boleh dikatakan diterajui oleh mereka yang bukan Islam? Tetapi sekurang-kurangnya ahli DAP sekarang menyokong PAS walaupun mereka ketahui PAS berhasrat untuk melaksanakan Islam. Ahli Umno sokong PAS ke? Jika Karpal Singh berkata, langkah mayat dia dulu jika PAS mahu laksanakan Islam, apakah pemimpin dan ahli PAS terasa? Sudah tentu tidak kerana Karpal Singh bukan Islam dan kita anggap beliau jahil tentang hukum Islam. PAS amat terasa bila ustazah Umno berkata, seorang ibu boleh melacur jika `dharurat' untuk mencari duit bagi menanggung keluarga. Ustazah ini juga pernah mempermainkan hukum hudud apabila berkata jika pencuri asyik dipotong tangan dan kaki atas kesalahan mencuri, akhirnya mulut dan hidung juga akan dipotong jika masih mencuri. Ustazah ini mencadangkan agar sipencuri diberi kerja bukan dihukum secara sedemikian. Seorang pemimpin agung Umno pernah berkata, negara akan mundur jika rakyat mereka kudung tangan akibat hukuman hudud.

Sebenarnya pada saya, Umno terlalu susah hati apabila masyarakat bukan Islam kini mula menyokong PAS. Walaupun DAP menentang hukum hudud, mereka benci tetapi mereka juga rindu kepada keadilan Islam. Itu yang buat Umno/Bn sakit hati.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

60 ribu jentera penerangan Umno 'tak tahu'


15 May 2009 4:44PM Lebih 60,000 anggota jentera penerangan Umno di seluruh negara gagal menjalankan tugas kerana tidak memahami tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, kata Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan.

Beliau berkata ramai yang tidak tahu apa yang hendak dilakukan kerana tidak dimaklumkan tentang tugas sebenar mereka sebagai anggota jentera penerangan parti.

Katanya terdapat 20,000 anggota jentera penerangan di peringkat cawangan parti, tidak termasuk 18,000 Ketua Penerangan Wanita, 15,000 Ketua Penerangan Pemuda dan 7,000 Ketua Penerangan Puteri di peringkat itu.

"Jumlah mereka ramai tetapi ramai yang tidak tahu tugas dan tidak tahu apa yang hendak dibuat," katanya kepada pemberita pada perjumpaan dengan jawatankuasa penerangan Umno Terenggani di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Ahmad, yang baru dilantik ke jawatan itu pada selepas perhimpunan agung Umno pada Mac lepas, berkata beliau berazam untuk mengaktifkan kesemua jentera yang ada menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Jika semua jentera penerangan itu digerakkan, ia mampu memberi impak baik kepada Umno dan Barisan Nasional kerana dengan cara itu rakyat akan lebih faham tentang isu-isu semasa," katanya.

Ahmad berkata anggota jentera penerangan yang dikenal pasti akan dilatih sebagai penceramah dan diberi penerangan tentang isuisu semasa supaya mereka dapat menjalankan peranan di peringkat akar umbi.

Katanya beliau menyasarkan untuk melahirkan sekurangkurangnya 50 penceramah di setiap negeri. ~~KLPOST/ Bernama

Admin - Melucukan. Selama ini jentera mereka berkempen tidak tahu apa yang mereka kempenkan. Patut la senang kena kelentong kat pemimpin mereka. Ketua mereka dapat upah lebih, yang lain tu jadi `Pak Yek' jer la. Sian mereka.

PISAU DI TANGAN NAJIB, TIMUN DITANGAN ZAMBRY, TUNGGU APA LAGI?


Tun Dr Mahathir apabila ditanya oleh pemberita samada perlukah Dun Perak dibubarkan, tokoh yang dianggap negarawan itu tanpa rasa bersalah kepada rakyat Perak menjelaskan bahawa Dun Perak tidak perlu dibubarkan kerana pada pandangannya Umno/Bn tidak akan menang di dalam pilihanraya yang akan dijalankan di negeri tersebut. Jelas beliau, sentimen rakyat Perak khususnya masih menebal selepas PRK Bukit Gantang baru-baru ini. Tun M mencadangkan agar diadakan sidang Dun bagi meluluskan undi tidak percaya kepada MB Perak sekarang. Siapakah MB Perak sekarang pada pandangan Tun M agaknya?

Kenyataan Tun M yang selalunya dilihat bernas dan kadangkala boleh dikutip untuk digunakan, kali ini kenyataan beliau saya rasakan hanya layak dibakul sampahkan. Kelihatan jelas dari kenyataannya itu bahawa Tun M sememangnya tidak mahu rakyat memilih pemimpin mereka sendiri lebih-lebih lagi di kalangan PR. Saya beranggapan , pada beliau pilihanraya hanya boleh dilakukan jika Umno/Bn merasakan boleh mencapai kejayaan tetapi jika tidak, lakukan sesuatu asalkan pilihanraya jangan diadakan walaupun terpaksa menggunakan kaedah yang salah. Saya tidak tahu samada kenyataan Tun M itu merupakan satu sindiran buat Najib dan Umno/Bn. Atau mungkin beliau ingin melihat samada Najib masih mempunyai `tali dihidung'nya.

Saya pernah bersetuju dengan kenyataan Tun M yang sering menyatakan bahawa cara Umno/Bn merampas kuasa di Perak adalah terlalu gopoh. Terbukti kenyataan beliau ini benar, apabila krisis politik di Perak kini semakin parah. Dalam aspek itu memang pemikiran Tun M masih bernas dan lebih cerdik dari Najib. Tetapi, apabila beliau mengeluarkan komennya yang terbaru dengan menasihatkan agar jangan diadakan pilihanraya di Negeri Perak, atas alasan PR akan menang maka saya terfikir kembali apakah Tun M masih waras lagi. Lebih melucukan kita apabila Tun M mencadangkan sidang Dun diadakan untuk meluluskan usul undi tidak percaya kepada MB Perak sekarang. Siapakah yang berhak mengeluarkan notis persidangan itu nanti? Speaker yang `halal' atau speaker yang `haram'? Saya rasa tidak perlulah lagi menyusahkan berpuluh-puluh anggota Polis untuk bertugas dan bekerja keras di dalam dewan itu nanti sekiranya diadakan juga persidangan Dun sepertimana yang dicadangkan oleh Tun M.

Saya tertarik dengan cadangan seorang penganalisa politik yang menyarankan agar diadakan pungutan suara untuk mengetahui samada rakyat Perak mahukan pilihanraya negeri diadakan atau tidak bagi menghuraikan kekusutan sekarang. Tetapi saya kurang bersetuju dengan cadangan beliau untuk menyerahkan tugas melakukan pungutan suara tersebut kepada SPR. Kita sedia maklum bahawa apa itu SPR dan apa peranan SPR sejak kebelakangan ini. Adalah lebih meyakinkan jika pungutan suara itu dilakukan oleh badan-badan berkecuali yang dipersetujui bersama oleh parti-parti yang terlibat. Kerap kali undian yang disiarkan melalui TV atau pun akhbar tertentu dan juga di blog-blog, memperlihatkan majoriti yang mengundi memilih agar Dun dibubarkan dan pilihanraya dapat diadakan di Perak. Mungkin kaedah atau cara sedemikian tidak adil pada pandangan Umno/Bn, sehubungan itu carilah kaedah lain yang dirasakan lebih adil dan berkesan.

Najib berulangkali menegaskan Umno/Bn tidak takut untuk mengadakan pilihanraya di Perak, tetapi beliau menegaskan hanya DYMM Sultan Perak yang boleh menentukan perlu atau tidak Dun di bubarkan. Tidakkah Najib faham bahawa bagaimana DYMM Sultan Perak ingin membuat keputusan jika tiada seorang pun yang mengadap baginda untuk menasihatkan agar Dun di bubarkan? Jika YAB Ir Nizar yang mengadap sudah tentu Zambry serta Umno/Bn Perak membantah atas alasan YAB Ir Nizar tidak berhak untuk mencadangkan kepada Tuanku bagi membubarkan Dun. Kini, pisau ditangan Najib dan timun ditangan Zambry. Usahlah mempergunakan nama baik DYMM Sultan di dalam krisis yang Umno/Bn sendiri cipta. Jika betul-betul berani dan Umno masih sayangkan rakyat Perak, bingkaslah menuju ke istana sekarang juga.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Khamis, 14 Mei 2009

NAJIB TURUN PADANG, TETAPI BERANIKAH TURUN PILIHANRAYA?


"Kita mesti lihat kepada hala tuju negara, kita mesti faham, mesti merasai denyutan nadi rakyat, nadi negara, kuasa rakyat, kita mesti merasainya," beliau dipetik berkata ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Menurut Bernama, Najib berkata sebaik sahaja beliau mengambil alih pentadbiran negara, agenda pertama yang dilakukan ialah "turun padang" yang disifatkannya sebagai tinjauan mesra seperti di Puduraya.
~~Sumber Malaysiakini.

Petikan di atas adalah merupakan kata-kata Najib `Perdana Menteri Rakyat Satu Malaysia 'yang dipetik melalui sumber Malaysiakini/BERNAMA. Alangkah bertuahnya rakyat Malaysia mempunyai PM sedemikian yang sanggup `turun padang' hatta ke Pudu Raya. Selepas Pudu Raya, mungkin Najib akan turun pula ke mana-mana bandaraya, Kota Raya dan berjumpa pula dengan rakyat jelata di Hari Raya. Cuma satu, mungkinkah kita boleh berjumpa Najib di dalam pilihanraya? Najib berkata, kita mesti merasai nadi rakyat. Syabas buat Najib yang begitu prihatin pada denyutan nadi rakyat.

Apalah kiranya jika kita mencadangkan agar Najib turun padang ke bumi Perak dan merasai denyutan nadi rakyat Perak. Tidak perlu najib merasai denyutan nadi Zambry dan kuncu-kuncunya sahaja, tetapi nadi rakyat Perak sekarang siapa yang tahu. Najib juga disarankan agar berjumpa dengan kaum keluarga tahanan Akta ISA dan rasai denyutan nadi mereka. Jika ini boleh dilakukan oleh Najib, maka sah lah beliau ada secebis jiwa kemanusiaan.

DS Anwar telah memulakan cabaran buat Najib untuk mengusulkan kepada DYMM Sultan Perak agar membubarkan Dun Perak. Saya seperti berangan mengharapkan Najib berani menyambut cabaran DS Anwar. Bukankah berkali-kali DS Anwar mencabar Najib dalam berbagai isu termasuk di dalam dan di luar Dewan Rakyat. Tetapi, anak kepada negarawan Tun Abdul Razak ini terlalu fobia dengan DS Anwar. Ini membuatkan saya bertambah yakin bahawa Najib tidak akan menyahut cabaran DS Anwar untuk mengusulkan agar Dun Perak dibubarkan. Fobianya beliau terhadap DS Anwar sehinggakan bumi Permatang Pauh yang bakal diadakan PRK Dun Penanti akan datang ini menjadikan Najib dalam dilema samada Umno/Bn perlu meletakkan calon atau tidak di sana.

Berkemungkinan di seluruh ceruk Dun Penanti sekarang bertebaran ejen-ejen perisik atau SB yang sedang memantau perkembangan dan sokongan rakyat terhadap PR atau pun Umno/Bn. Laporan akan dimajukan untuk memudahkan Najib membuat keputusan samada wajar atau tidak Umno/Bn bertanding di sana. Saya percaya, apa pun laporan yang diperolehi oleh Najib, Umno/Bn mesti menghantar calonnya di Dun Penanti kerana persiapan awal telah dimulakan oleh SPR dengan berbagai peraturan yang agak ganjil. Mereka kini hanya menanti isu yang boleh merosakkan PR di sana, malangnya sehingga kini mereka gagal perolehi sebarang isu. Isu bekas Exco P.Pinang dan juga bekas Adun Penanti Fairus telah berjaya diselesaikan oleh DS Anwar dengan bijaksana. Isu sokongan PAS Permatang Pauh terhadap PKR di kawasan tersebut juga telah selesai dengan kebijaksanaan pimpinan PR.

Semenjak Najib mewarisi kerusi PM dari Pak Lah, rakyat hanya dapat melihat slogan indah berupa retorik yang hanya boleh dikhayalkan sahaja. Retorik semata-mata dengan ucapan berapi-api tidak cukup untuk membuat rakyat sejahtera. Najib bukan sahaja mewarisi masalah yang ditinggalkan oleh Pak Lah, tetapi beliau turut menambahkan lagi masalah yang ada. Satu kejayaan terbesar di bawah Najib adalah pembebasan tahanan Akta ISA khususnya YB Manoharan, Adun Kota Alam Shah. Kejayaan terbesar beliau dengan pembebasan Adun tersebut ialah tiadanya PRK di Dun Kota Alam Shah.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

ISU PERAK - "TAKDO KOJO CARI KOJO, ADO KOJO TERCONGANG-CONGANG'


"Tak do kojo cari kojo, ado kojo tercongang-congang", itulah kiasan bahasa popular orang-orang tua di NS, negeri Rais Yatim. Sudah tentu Rais Yatim faham maksud kiasan bahasa tersebut kerana Rais bukan calang-calang orang dari segi bahasa dan adat Melayu di NS ini. Kiasan tersebut memberi maksud lebih kurang begini, "Tak ada kerja cari kerja, ada kerja tercengang-cengang" maknanya bila tak ada kerja kita sibuk nak cari kerja, bila dah dapat kerja tak tau pula nak buat apa-apa.

Kiasan tersebut amat sesuai buat Najib dan Umno di Perak. Negeri Perak semasa di bawah YAB Ir Nizar berada dalam keadaan stabil dan harmoni, tiba-tiba Najib dan Umno/Bn Perak merancang sesuatu `pekerjaan' yang pada mereka mungkin dapat lebih meng`aman' dan menstabilkan negeri tersebut daripada apa yang ada ketika itu. Maka, terciptalah spesis-spesis katak yang boleh membantu kerja-kerja `mulia' mereka ini. Ditakdirkan maka mereka berjaya dalam usaha mereka yang `terpuji' ini. Setelah mereka mendapat hasil dari `kerja' yang mereka lakukan, kini rakyat di Perak dapat melihat apakah kesannya. Bertambah baik atau bertambah buruk keadaan di Perak, biarlah rakyat Perak menilai sendiri.

`Ado kojo tercongang-congang'. Itulah kiasannya keadaan di Perak waktu ini. Mereka kini sudah hilang punca dan tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi. Kerajaan negeri terumbang ambing sehinggakan di dalam berita di NT7 semalam Pembaca Berita menyebut MB Perak sebagai MB Pakatan dan MB Bn apabila merujuk kepada nama YAB Ir Nizar dan Zambry. Amat melucukan apabila Zambry mengatakan krisis di Perak sekarang tidak akan menjejaskan ekonomi dan pelaburan asing di Perak. Beliau juga menjemput pelabur datang ke Perak ketika saat kerusi yang beliau duduki sekarang `bergoyang-goyang' dan senget sebelah. Jika kita suami isteri sedang bergaduh besar atau bermasam muka di rumah, apakah ketika itu kita tergamak menjemput tetamu atau kawan-kawan datang ke rumah kita? Jika kita tidak jemput sekalipun, tetamu yang hendak berkunjung ke rumah kita apabila mendengar suara kita bergaduh sampai pecah pinggan mangkuk, apakah tetamu sanggup memberi salam untuk masuk ke rumah kita? Kalau saya tetamu itu, pasti saya akan lari kecuali tetamu itu kurang waras atau gila sahaja.

Saya melihat kenyataan TPM YAB Muhyiddin Yasin lebih bijak dan cerdik dari kenyataan PM sendiri. TPM meletakkan formula bahawa rakyat yang perlu diutamakan di dalam menangani krisis politik di Perak sekarang. Apabila ianya merujuk kepada rakyat, apakah bukan bermaksud rakyat diberi pilihan untuk memilih pemimpin mereka? Oleh yang demikian, wajarlah pandangan YAB Muhyiddin Yasin ini diterima apatah lagi Parti Gerakan di P.Pinang juga dikatakan bersetuju untuk dibubarkan Dun di Perak. Suhakam sendiri yang diketuai oleh bekas Peguam Negara juga mencadangkan agar Dun Perak dibubarkan. Sukar sangatkah untuk membubarkan Dun Perak? Memang kuasa pembubaran Dun di bawah DYMM Tuanku Sultan Perak, tetapi mengapa tiada pemimpin yang mengaku beliau seperti `Gandhi' ini berani mencadangkan ke Bawah DYMM Sultan?

Krisis memalukan di Perak ini mahu tidak mahu terpaksa Umno/Bn selesaikan sebelum PRK Dun Penanti nanti. Jika tidak, rakyat di P.Pinang khususnya di Dun Penanti akan mengajar Umno/Bn bagaimana caranya untuk memilih pemimpin. Samada rakyat di Perak masih mahukan PR sebagai kerajaan mereka atau pun mahukan Umno/Bn sebagai pilihan baru mereka, kita serahkan kepada rakyat di negeri tersebut. Jika merasakan kerajaan sudah tidak mempunyai ongkos lagi untuk menampung pilihanraya negeri ini, alternatif lain boleh dibuat iaitu dengan 3 orang Adun yang melompat itu meletakkan jawatan mereka. Masalahnya, mahukah 3 orang Adun tersebut meletakkan jawatan masing-masing kerana undang-undang melarang Adun yang meletakkan jawatan bertanding semula sertamerta. Itulah dia, "Takdo kojo cari kojo'.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

PENGALAMAN 6 JAM DI PEJABAT MB PERAK


YAB Dato'Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sempat duduk dimejanya yang kosong dengan dokumen sambil menulis satu memo. Inilah tempat MB halal yang kembali dirampas oleh MB haram.

Enam jam berada di Pejabat MB semalam sangat-sangat dirasai kehadiran kami oleh beberapa pegawai dan staf pejabat di bangunan SUK yang sempat ditemui, lebih-lebih lagi staf di pejabat MB. Kerinduan kepada MB, EXCO dan pegawai-pegawai MB jelas terbayang.

Pegawai-pegawai MB yang lain, Hj Anuar Hashim (Setiausaha Akhbar), Amran Harun, K.Y. Tiang, Ust. Zulkifli Ibrahim dan Nadarajan hadir sama di pejabat. Hj Wan Junaidi (Bekas Setiausaha Sulit Dato' Seri) juga turut hadir. Jelas terbayang keceriaan mereka.

Setelah berada kira-kira 15 minit di pejabat MB, Dato' Seri terpaksa meninggalkan majlis untuk ke Istana Iskandariyyah bagi menghadiri Majlis Anugerah Pingat dan Bintang bersama Tuanku Raja Muda Perak.

Sepeninggalan beliau, semua EXCO dan pegawai-pegawai MB berada di pejabat MB. pejabat EXCO masih berkunci tak boleh dikunjungi. Beberapa pegawai kanan kerajaan turut berada di pejabat MB, antaranya En. Shamsuzaman Sulaiamn (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, En. Asri Saad (Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia), En. Abdullah Antong (yang digantung sebagai Setiausaha DUN oleh Speaker) juga hadir sama.

Tidak ada kerja-kerja pentadbiran yang kami buat, kami sekadar melihat-lihat dan bertanya khabar. Ramai juga yang datang mengucapkan tahniah, mereka terharu sehingga ada yang menitis air mata menyambut ketibaan kami. Mereka sangat merindui Dato' Seri untuk mengimami Solat Zohor berjamaah dan tazkirah. Saya juga diberitahu, kehadiran solat berjamaah di surau SUK sangat berkurangan berbanding dulu.

Saya juga sempat berbual dengan beberapa orang, mereka bercerita ketika berita di TV3 mengumumkan kemenangan Hj Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, ramai pelanggan yang sedang makan tengahari sambil menonton berita di kantin pejabat bersorak menyambut gembira.

Saya sempat berbincang dengan beberapa pegawai dari pejabat SUK untuk melaksanakan beberapa arahan dari YAB MB. Jelas mereka tidak keberatan melaksanakannya malahan memberi kerjasama yang cukup baik.

Menjelang Zohor, kami mendapat mesej dan maklumat dari Kuala Lumpur oleh peguam Hj Nizar bahawa permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi diterima oleh Mahkamah Rayuan. Mendengar keputusan tersebut, pejabat MB menjadi sunyi dan hening buat seketika. Ketika itulah Dato' Seri tiba dari Istana.

Kami Solat Zohor berjamaah di surau dengan diimami oleh Dato' Seri Hj Nizar. Selepas solat, kami kembali ke pejabat untuk berbincang mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tadi. Setelah berbincang, semuanya sepakat bersetuju untuk keluar pejabat sebagai menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

Lebih kurang jam 2.30 petang, MB, EXCO dan seluruh pegawai-pegawainya meninggalkan pejabat dengan penuh hormat dan tenang. Kami bersalam-salaman semula dengan staf dan pegawai keselamatan. Polis masih ramai di sekitar Banguanan SUK. Kami mimum petang di Kedai Kopi berhampiran pejabat SUK, MB dikerumuni oleh para wartawan dan sidang akhbar terus diadakan di pejabat DAP yang berada di atas kedai kopi tersebut.

~~Sumber http://misabah.blogspot.com

ISU DI PERAK - APABILA TUAN GURU PAS BERUBAH SUARA

Krisis di Perak benar-benar mengundang kemarahan dan kebencian rakyat bukan sahaja rakyat di Perak, bahkan rakyat seluruh Malaysia termasuk pemerhati politik di luar negara. Namun demikian, negara kita amat bertuah kerana masyarakatnya masih bertamaddun, berakhlak dan mempunyai budi pekerti yang tinggi. Jika di negara lain, kita tidak pasti apa yang telah berlaku akibat peristiwa kejam ini. Mudah-mudahan situasi seperti yang ada sekarang akan dipertahankan demi keamanan rakyat dan negara tercinta ini.

Setiap insan sudah tentunya mempunyai tahap-tahap kesabarannya dan kita cukup bimbang jika sikap bertamaddun dan akhlak masyarakat kita yang amat sederhana ini diambil kesempatan pula oleh pihak-pihak tertentu untuk memperkotak-katikkan rakyat. Bukan sedikit cerita yang kita dengar dan bukan juga remeh apa yang kita lihat apabila rakyat yang bangun untuk memperjuangkan hak mereka tanpa senjata bahkan sehelai sepinggang dilayan umpama penjenayah ataupun komunis. Begitulah sukarnya untuk memperbetulkan amalan demokrasi di negara ini dan tidak hairanlah apabila dunia luar melihat Malaysia bukan lagi contoh terbaik untuk diikuti.

Presiden PAS Tuan Guru Hj Hadi Awang di dalam satu ceramahnya baru-baru ini mula bercakap dengan nada yang amat berlainan sekali. Meskipun beliau seorang Ulamak, tetapi Ulamak juga manusia biasa yang mempunyai tahap kesabarannya apatah lagi melihat di sekelilingnya rakyat terus dizalimi. Apalah ertinya seorang Ulamak jika hanya mampu menadah tangan memohon pertolongan dari Allah SWT semata-mata. Ungkapan beliau "Bodoh, jahat dan Gila" mungkin agak kasar dan emosi bagi seorang Ulamak seperti beliau. Tetapi, tiada yang lebih hina dan keji dari ayat " Celakalah Abu Lahab..." seperti yang terkandung di dalam Al-Quran. Ungkapan itu amat sesuai dan padan dengan perangai Abu Lahab. Wajarkah Tuan Guru Hj Hadi berkata demikian terhadap mereka yang merosakkan demokrasi serta melanggar undang-undang negeri di Perak? Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan ungkapan Tuan Guru Hj Hadi tersebut kerana bagi saya terdapat lagi lain perkataan yang lebih `molek' dan sesuai dengan mereka yang saya sendiri tidak tergamak untuk menyebutnya.

Kita percaya suatu hari nanti perosak-perosak masyarakat ini akan sedar betapa tinggi dan rendahnya langit ini. Hari ini mereka boleh tersenyum dengan kuasa yang ada pada mereka. Dengan senyuman serta penuh ego mereka mendakwa mereka berjuang untuk rakyat dan mereka lah `Gandhi' yang dilahirkan untuk menyelamatkan rakyat di bumi Perak. Setelah mereka mengaitkan istana dan gunakan mahkamah, kini terpaksa menggunakan kehebatan tokoh dari India tersebut. Mungkin ada yang terkeliru dan bersetuju bahawa itulah `Gandhi' generasi baru di Perak kerana melihat kepada warna kulit yang sama. Tidakkah mereka ketahui bahawa kulit yang sama bukan bererti mempunyai hati yang sama? Gandhi adalah tokoh terbilang serta berani dan dikenali diseluruh dunia kerana membela rakyatnya. Begitu juga dengan Nelson Mandela tokoh dari Afrika yang sanggup terpenjara berpuluh tahun demi membela rakyat dan negaranya. Tetapi `Klon Gandhi' yang baru lahir di Perak ini, untuk melaksanakan pilihanraya sahaja sudah cukup menggeletarkan kedua-dua lututnya.

Kita percaya di bawah kepimpinan Tuan Guru Hj Hadi di samping ketokohan DS Anwar dan kehebatan Lim Kit Siang serta rakan-rakan PR yang lain, kita akan sanggup berdepan dengan mereka yang semakin hari semakin rakus ini. Permainan kotor mereka semakin terserlah dan kita sudah tentu terpaksa mengikut rentak tarinya agar `permainan' ini tidak kelihatan sumbang. Percayalah di dalam jemaah PAS, apabila Tuan Guru mereka berubah suara, pengikut pasti mengubah rentaknya.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com



Rayuan Nizar didengar Isnin


13 May 2009 6:43PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin ini bagi mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan yang diperoleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam, yang menangguhkan pelaksanaan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Tarikh itu ditetapkan selepas Mohammad Nizar memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini pada jam 2.20 petang menerusi firma guaman Tetuan Leong & Tan.

Turut disertakan bersama notis usul itu ialah sijil supaya kes itu disegerakan.

Hakim Datuk Ramly Ali sudah membenarkan permohonan Zambry semalam untuk supaya ditangguhkan pelaksanaan perintah pengisytiharan itu sehingga kes rayuannya selesai diputuskan oleh mahkamah.

Dalam permohonannya, Mohammad Nizar, 52, mahu Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah pelaksanaan itu dan secara alternatifnya memohon mahkamah meminda perintah pelaksanaan itu dengan memasukkan terma-terma yang difikirkan wajar.

Dalam afidavit sokongannya, Mohammad Nizar berkata, keputusan Mahkamah Rayuan semalam untuk memberikan perintah penggantungan itu kepada Zambry adalah salah dan beliau (Nizar) mengemukakan permohonan untuk membetulkan perkara itu.

Mohammad Nizar berkata Mahkamah Tinggi sudah membuat takrif yang betul terhadap Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Beliau berkata, sekiranya perintah pelaksanaan itu diberikan ia akan merampas haknya serta membuat keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya menteri besar Perak sebagai sia-sia.

Menurutnya, perintah yang diperoleh Zambry itu akan mengganggu pelaksanaan secara lancar dan baik pentadbiran kerajaan negeri Perak selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Mohammad Nizar juga berkata, perintah berkenaan akan mengelirukan rakyat negeri itu mengenai siapakah menteri besar yang sah serta menjadikan keadaan politik lebih tegang dan krisis perlembagaan lebih mendalam.

Isnin lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). / Bernama

Komen saya: Mengapa manusia suka memilih jalan yang jauh sedangkan jalan terdekat telah terbuka luas? Tidakkah Hakim Mahkamah Tinggi baru-baru ini telah memberikan ruang seluas mungkin untuk rakyat Perak menentukan pemimpin mereka? Sebenarnya hanya jiwa yang busuk dan tamak sahaja sanggup mencari jalan sukar untuk menyusahkan rakyat asalkan kepentingan mereka terpelihara. Demokrasi di Perak kini ibarat permainan `catur ular'. Sampai bila negara ini akan menjadi bahan ketawa dunia luar?

Rabu, 13 Mei 2009

ISU PERAK - MARI KITA JAWAB DI PENANTI



Isu siapa MB Perak yang sah masih berlanjutan walaupun Mahkamah Tinggi sebelum ini membuat keputusan YAB Ir Nizar adalah MB Perak yang sah. Namun demikian, demokrasi di Perak kini umpama `bermain catur ular' dan rakyat di Perak hanya sekadar menjadi penonton permainan seumpama ini. Zambry telah memfailkan rayuan ke atas keputusan tersebut, dan sepantas kilat rayuan didengar dan selaju taufan pula keputusan dibuat untuk menggantung keputusan hakim Mahkamah Tinggi. Mungkin selepas ini pula, YAB Ir Nizar akan memfailkan rayuan atas kes rayuan Zambry tersebut. Lucu tetapi ianya benar berlaku. Terlalu hebat permainan ini dan ianya pasti akan terpahat dalam sejarah Negeri Perak sepertimana sejarah JWW Birch.

Persoalan sekarang bukan lagi tentang pemulihan demokrasi di Perak, tetapi lebih tertumpu kepada kaedah akademik perundangan. Jika ikhlas untuk memulihkan demokrasi di Perak maka jalan telah pun dibuka seluas-luasnya oleh Hakim Mahkamah Tinggi dan YAB Ir Nizar juga telah memberi jaminan bahawa kuasa untuk memilih pemerintah di Perak akan diserahkan kepada rakyat semula. Malang sekali, jalan yang terbuka luas itu telah disempitkan kembali oleh manusia yang begitu takut kepada kuasa rakyat. Mereka ingin melihat pemerintah di Perak dinaikkan tanpa melalui suara rakyat seperti yang telah diterjemahkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi semasa memutuskan YAB Ir Nizar adalah MB Perak yang sah.

Apa pun kita harus terima hakikat bahawa kekuatan PR kini semakin digeruni oleh Umno/Bn. Terlalu banyak bukti menunjukkan betapa PR kini benar-benar mengancam kuasa mereka. Di dalam kemelut di Perak yang memeningkan Najib, beliau hampir terlupa agaknya untuk memberi keputusan samada Umno/Bn akan menyertai PRK Dun Penanti. Satu lagi `bala' bakal menimpa pemimpin ini. Luka yang dialami di Permatang Pauh, K.Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau belum pun pulih sepenuhnya, kini mereka berhadapan pula dengan Dun Penanti. Keputusan di Batang Air, Sarawak tidak mencukupi untuk mengubat luka parah Umno/Bn dan belum cukup untuk `menipiskan kulit muka' Najib ketika ini.

Peristiwa yang berlaku di Perak khususnya peristiwa Persidangan Dun Perak yang mencatatkan sejarah hitam itu, pastinya buah modal yang cukup berkesan di Dun Penanti nanti. Pembebasan tahanan Akta ISA untuk beberapa kerat orang itu, tidak lain dan tidak bukan dilihat seperti untuk mengelakkan pilihanraya kecil di Kota Alam Shah, Selangor. Biarpun sedikit jumlah yang dibebaskan, tetapi ianya merupakan kemenangan besar buat PR di dalam perjuangannya. Pengumuman seorang wanita bekas ahli PKR untuk menjadi calon di Dun Penanti nanti mungkin satu perangkap. Begitu juga kononnya berlaku pergeseran di antara ahli-ahli PAS dan PKR di Permatang Pauh mengenai soal calon Dun Penanti juga dilihat seperti perangkap. Tidak pasti berapa banyak perangkap telah mula dipasang di Dun Penanti, cuma kita tidak tahu siapakah mangsanya nanti.

Rakyat Perak sudah pasti akan turun beramai-ramai ke Dun Penanti kerana ingin meluahkan perasaan mereka yang tersiksa di Perak ketika ini. Di Dun Penanti, mereka pasti akan bertungkus lumus untuk menentukan bahawa sudah sampai masanya untuk Umno/Bn di`talkin'kan. Alangkah baiknya jika calon bebas menarik diri dari bertanding di Dun Penanti kerana perlawanan di Dun Penanti hanya layak untuk PR dan Umno sahaja. Samada secara sukarela atau ditaja, hasrat calon bebas untuk bersama-sama bertarung di Dun Penanti adalah satu tindakan yang kurang bijak. Saya tidak percaya seperti yang diperkatakan bahawa calon bebas itu ditaja oleh Raja Sesumpah Sdr Ezam, tetapi jika itu benar saya juga tidak terperanjat. Apa yang pasti, Raja Sesumpah akan muncul di mana-mana tempat diadakan pilihanraya selagi bernyawanya DS Anwar. Cuma, saya masih menunggu Saiful pula untuk muncul.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Selasa, 12 Mei 2009

TERKINI - TAKLIMAT YAB IR NIZAR

YAB DS. Muhammad Nizar Jamaluddin sedang memberikan taklimat tentang perkembangan terkini mengenai Kerajaan Negeri Perak berikutan mengenai keputusan terkini Mahkamah . Hadir dalam taklimat penting ini ialah dikalangan Pimpinan Pakatan Rakyat dan semua ADUN Pakatan Rakyat.

ISU PERAK - APAKAH MAKSUD PERKATAAN INI?


"Peguam Zambry berhujah bahawa penangguhan keputusan mahkamah semalam adalah penting untuk menghalang Nizar daripada mendapatkan perkenan Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri." ~~Sumber Malaysiakini

Komen saya: Adakah mereka tidak takut YAB Ir Nizar jadi MB Perak, atau sebenarnya takut untuk serahkan kuasa pada rakyat melalui pilihanraya?

TERKINI - Nizar keluar dari pejabat MB


12 May 2009 3:42PM

IPOH: Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bersama barisan Exconya keluar dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak kira-kira pukul 2.45 petang ini.

Tindakan itu diambil selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir meneruskan tugas seperti biasa sehingga keputusan rayuan diumumkan.
~~ Sumber KLPOST

TERKINI - ZAMBRY BERJAYA TANGGUH KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI SEMALAM


Sudah dijangka, mudah diramalkan maka episod luka rakyat Perak bersambung semula setelah mendapat sedikit penawarnya semalam. Hari ini, Zambry telah berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Rayuan untuk tangguh keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang putuskan YAB Ir Nizar MB Perak yang sah. Tarikh perbicaraan kes belum ditetapkan.

Begitulah mahkamah di dunia tidak akan dapat mengatasi mahkamah di Akhirat kelak. Mahkamah dunia sentiasa boleh dicabar dan kadangkala keputusan mahkamah dikatakan `silap' atau khilaf. Meskipun semalam jalan telah dibuka seluas-luasnya untuk rakyat Perak menggunakan kuasa menentukan pemimpin mereka, tetapi terdapatnya manusia yang terus ingin menafikan kuasa rakyat. Kita lihat apa episod yang berlaku selepas ini. Moga DYMM Sultan Perak akan menggunakan kuasa mutlaknya demi kepentingan rakyat Perak.

~~Sumber News ADIL

APA NASIB TIGA PENCACAI MALANG SELEPAS INI?


Sesungguhnya YAB Ir Nizar MB Perak seharusnya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang telah memutuskan bahawa beliau adalah MB Perak yang sah. Keputusan tersebut sudah pasti menyemerakkan lagi sokongan rakyat terhadap beliau khususnya dan PR, amnya. Sekaligus, keputusan tersebut menggambarkan betapa tidak selama-lamanya mereka boleh memperkudakan sesiapa yang mereka suka untuk berkuasa. Hasil keputusan yang diumumkan tersebut sebenarnya tidak sedikit pun menguntungkan Nizar secara peribadi bahkan tidak juga dikatakan menguntungkan PR.

Siapa yang beruntung hasil daripada keadilan mahkamah tersebut? Sudah tentu rakyat Perak yang selama ini derita jiwa dan raganya di bawah pemerintahan yang mereka tidak pilih. Pujian harus diberikan kepada Nizar kerana sebaik sahaja beliau dikembalikan kuasa yang telah dirampas, beliau sertamerta mengumumkan untuk mengembalikan hak memilih pemimpin negeri Perak kepada rakyat Perak. Itulah jiwa seorang pejuang rakyat yang mendahulukan rakyat dari dirinya sendiri. Bukannya seperti omongan kosong bercakap tentang `rakyat diutamakan' dan berbagai bentuk kosmetik ucapan lagi oleh pemimpin Umno/Bn. Setelah Allah memberikan nikmat kemenangan ini, maka terpulanglah kepada rakyat Perak untuk memilih haluan dan pilihan masing-masing selepas ini. Tugas Nizar serta rakan-rakan di dalam PR hampir ke penyudahnya dan rakyat Perak hanya perlu mengesahkan semula pilihan mereka.

Kita tidak hairan apabila Najib berkata Umno/Bn akan berusaha untuk merayu keputusan tersebut kerana kita sememangnya tahu ketika ini Umno/Bn begitu fobia dengan pilihanraya. Apakah `bala' yang akan menanti di Dun Penanti belum diketahui, mana mungkin Umno/Bn berani untuk berdepan dengan satu lagi pilihanraya yang lebih besar. Kita tetap berharap walau apa jua yang berlaku selepas ini, rakyat Perak mesti bangun untuk menuntut hak mereka iaitu dengan memilih pemimpin mereka di dalam pilihanraya. Meskipun di war-warkan bahawa akan ada Persidangan Dun Perak yang bakal mengusulkan undi tidak percaya kepada YAB Nizar, tetapi semuanya itu taktik yang sudah basi dan mudah untuk dapat dibaca oleh rakyat Perak. Apa pun tindakan Umno/Bn selepas ini tidak akan menyekat rakyat Perak untuk berhadapan sekali lagi di dalam pilihanraya negeri. Tiada ubat lain yang lebih mujarab bagi memulihkan `penyakit kudis buta' demokrasi di Perak sekarang melainkan kembali kepada rakyat sebagai `bomoh'nya.

Walaupun Nizar menang di dalam kes di mahkamah ini, beliau memahami bahawa mahkamah bukanlah penentu sokongan rakyat di dalam memilih pemimpin mereka. Sehubungan itu, wajarlah Dun Perak dibubarkan walaupun mungkin menyebabkan ada di kalangan pemimpin Umno yang menggeletar kedua-dua lututnya. Sekali lagi duit rakyat bakal akan digunakan memulihkan demokrasi di Perak yang kebelakangan ini dikoyak rabakkan oleh mereka yang rakus kuasa itu. Kepada ketiga-tiga Adun Bebas yang melompat parti itu, mereka wajiblah bertanding sekali lagi kerana rakyat rindukan bahan kempen mereka. Tetapi atas nama parti apa pula mereka akan bertanding selepas ini? Atau sanggupkah Umno/Bn beri laluan kepada ketiga-tiga mereka? Senang cerita, eloklah mereka umumkan kemasukan mereka sebagai ahli Umno/Bn seberapa segera sebelum terlewat. Jika tidak, kita bimbang mereka umpama `pencacai malang' yang menjadi seperti pepatah `yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran'.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Nizar mempengerusikan 'meeting' exco tengah malam


11 May 2009 10:19PM

Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang disahkan sebagai Menteri Besar selepas 96 hari 'berehat' akan mempengerusikan mesyuarat Exco pertamanya pada pukul 11 malam ini.

Ia disahkan oleh Datuk Ngeh Khoo Ham yang merupakan Exco Kanan dalam kerajaan Pakatan Rakyat sehingga awal Februari lalu.

"Kami akan adakan mesyuarat Exco pukul 11 malam dan selepas itu kami akan adakan sidang media," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mesyuarat itu turut disahkan oleh seorang lagi ADUN Pakatan, N. Sivanesan yang juga Exco sehingga Februari lalu.

Ngeh yang Pengerusi DAP Perak berkata, esok pihaknya akan mempersembahkan permohonan untuk menghadap Raja Muda Raja Nazrin.

"Esok, pagi kami cuma nak memohon untuk menghadap Tuanku bukan menghadap...media telah petik petang tadi," katanya.

Petang tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah. / ~~Sumber KLPOST- Mstar

Raja Nazrin setuju bertemu Nizar


12 May 2009 12:01AM

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah bersetuju untuk menerima menghadap Menteri Besar Perak yang sah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

The Malaysian Insider melaporkan Mohammad Nizar akan menghadap Raja Dr. Nazrin pada 8.30 pagi Selasa bagi memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak sekaligus memberi laluan kepada pilihanraya kecil negeri diadakan.

Perkara ini disahkan oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Adun Sungkai S.A. Sivanesan.

"Saya baru bercakap dengan Nizar dan beliau mengesahkan akan menghadap Raja Dr. Nazrin pada 8.30 pagi esok (Selasa)", kata Sivanesan kepada The Malaysian Insider.

Mahkamah Tinggi petang Isnin memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar telah kehilangan jawatan tersebut awal Februari berikutan krisis politik Perak.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memohon agar menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara mahu mengemukakan rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mula membacakan kertas penghakiman bermula kira-kira 2.30 petang.

Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.

Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.

Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.

Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.

Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

Sementara itu Malaysiakini melaporkan Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggesa Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kair dan enam anggota exconya supaya melepaskan jawatan serta merta.

Ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.~~ Sumber KLPOST

Isnin, 11 Mei 2009

RAKYAT PENGUBAT LUKA DEMOKRASI DI PERAK


Rakyat di Perak tentunya lega dengan keputusan mahkamah di Ipoh hari ini yang membuat keputusan bahawa Ir Nizar masih MB Perak yang sah. Sebenarnya rakyat di Perak ramai yang sudah mengetahui siapakah sebenarnya MB Perak yang sah, tetapi secara undang-undangnya belum diperlihatkan. Hari ini semuanya telah diperlihatkan dan kepercayaan rakyat Perak adalah benar. Kini, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh YAB Ir Nizar?

Seperti yang diberitakan oleh Siaran Astro Awani (Berita BERNAMA) sebentar tadi, YAB Ir Nizar pertamanya akan menggantung tugas Penasihat Undang-Undang Negeri Perak. Beliau juga akan mengadakan mesyuarat Exconya dan yang yang paling berani akan dilakukan oleh YAB Ir Nizar adalah untuk mengadap DYMM Sultan Perak bagi pembubaran Dun. Meskipun dari segi politiknya, usaha untuk pembubaran Dun amat-amat ditakuti oleh mana-mana pemerintah kerajaan kerana dikhuatiri akan kehilangan kuasa, namun YAB Ir Nizar bukanlah seorang yang gila kuasa. Apa yang penting baginya kini adalah kestabilan di Perak dan kepentingan rakyat harus didahulukan. Bukan sedikit risiko yang bakal diambil oleh beliau untuk membubarkan Dun, mungkin beliau akan kehilangan kuasanya yang baru dikembalikan semula kepadanya. Tetapi, jika itu yang rakyat Perak mahukan apakan daya.

Begitulah berakhirnya drama politik yang terlalu sadis ini dapat kita lihat. Angkara siapa yang menjadi puncanya biarlah rakyat Perak yang menghukumnya nanti di dalam Pilihanraya Negeri Perak yang bakal diadakan sekiranya mendapat perkenan sultan. Kita penuh yakin, DYMM Sultan Perak pasti turut merasa lega kerana beliau kini punyai pilihan dan alasan sendiri untuk memperkenankan pembubaran Dun. Biarlah demokrasi yang sudah luka parah di Perak ini diubati oleh rakyat Perak sendiri. Bukan Sultan mahu pun mahkamah yang berupaya mengubati luka-luka parah ini, tetapi rakyat Perak sendiri. Tahniah YAB Ir Nizar.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

SEMPENA HARI IBU - BERTUAHNYA IBU BAPA INI!!


Tiada yang lebih menyejukkan hati dan perut seseorang ibu melainkan mempunyai anak yang baik, berani dan sanggup berkorban jiwa dan raganya demi masyarakat. Alangkah bertuahnya ibu dan bapa YB Sivakumar, Speaker Dun Negeri Perak yang kini dijulang sebagai wira rakyat di Perak. Perak kini bukan hanya mempunyai YB Ir Nizar sahaja sebagai idola atau contoh kepada golongan remaja masakini, tetapi YB Sivakumar juga telah menunjukkan bukti bahawa perjuangan untuk anak bangsa bukan hanya terletak di tangan orang Melayu semata-mata.

Malang sekali bagi ibu bapa Sipengkhianat yang belot terhadap kepercayaan rakyat yang inginkan pembelaan darinya. Hasil tangan Sipengkhianat-Sipengkhianat ini telah menjadi punca kepada semua permasalahan dan menyusahkan rakyat di Negeri Perak sekarang. Secara tidak langsung mereka telah berfungsi sebagai `batu api' pencetus konflik di antara rakyat dan Istana. Amat malang menjelang Hari Ibu hari ini, mereka gagal menyempurnakan hasrat ibu mereka untuk menjadi pembela rakyat. Mungkin, ada di antara mereka ini dapat memberikan limpahan kesenangan kepada ibu bapa mereka hasil dari `upahan' mencekik darah dan air mata rakyat. Bahagiakah ibu bapa mereka? Adakah sama seperti yang diperolehi oleh ibu bapa YB Sivakumar?

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com



Ahad, 10 Mei 2009

PRK DUN PENANTI - JANGAN BEBANKAN DS ANWAR SEORANG


Sebenarnya Isu perebutan untuk menjadi calon di Dun Penanti sudah lama selesai. Pimpinan PR telah bersepakat atas dasar persefahaman yang telah lama terjalin dan mengambil keputusan untuk memberikan kerusi Dun Penanti kepada PKR. Kini, semuanya telah bersetuju dan difahamkan bahawa pimpinan PAS di P.Pinang juga menerima baik keputusan PAS Pusat tersebut. Seharusnya selepas keputusan dibuat, semua pihak di dalam PR mulai bekerja untuk menentukan calon pilihan bersama ini memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang lebih tinggi.

Keyataan Ketua Pemuda PAS, Salehuddin Ayub baru-baru ini yang menggesa DS Anwar turun ke kawasan Permatang Pauh dan juga Penanti agar mengembalikan semula keyakinan ahli-ahli PAS terutamanya terhadap PKR, merupakan satu kenyataan yang mengelirukan. Apakah Sallehuddin mahukan DS Anwar bekerja untuk meyakinkan ahli-ahli PAS di sana yang sebelum ini mahukan kerusi tersebut diberikan kepada calon PAS? Pada pandangan saya, sewajarnya Sallehuddin sendiri turut membantu turun ke Permatang Pauh dan selaku Ketua Pemuda beliau lebih hampir kepada ahli-ahli parti beliau untuk menerangkan mengapa PAS Pusat mengambil keputusan sedemikian (tidak meletakkan calon PAS). Tidak seharusnya beliau menyapu tangan dan semuanya ingin dipertanggungjawabkan kepada DS Anwar? Sememangnya menjadi tugas DS Anwar selaku Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR untuk turun berkempen di Permatang Pauh khususnya di Dun Penanti. Tetapi, mana mungkin DS Anwar dibebankan dengan tugas yang seharusnya boleh diselesaikan oleh Ketua Pemuda PAS itu sendiri? Apakah Sallehuddin beranggapan bahawa DS Anwar adalah menjadi punca mengapa hati ahli-ahli PAS di sana terluka?

Meletakkan segala tanggungjawab kepada DS Anwar adalah satu tindakan yang tidak harmonis yang dilakukan oleh Sallehuddin. Telah banyak bukti dapat dilihat betapa kerjasama erat dan mantap di antara semua pimpinan di dalam PR berjaya menjadikan Umno/Bn seperti nazak ketika ini. Suasana ini wajib dikekalkan untuk kebaikan bersama lebih-lebih lagi PAS yang dikatakan parti yang semakin diyakini umum sekarang. Saya mulai rasa bimbang sekiranya PR kalah di Dun Penanti, akan timbul berbagai kisah dan ungkit mengungkit di kalangan kita dan sudah pastinya DS Anwar akan dijadikan sasaran. Sedangkan kita sendiri tidak berbuat apa-apa untuk meyakinkan rakyat dan ahli parti kita untuk sama-sama menyokong calon pilihan bersama pimpinan kita.

Hari pengundian Pilihanraya Kecil Dun Penanti semakin hampir. Kita tidak banyak masa lagi untuk `berteori'. Masa sekarang adalah masa untuk bekerja dan meyakinkan rakyat betapa rakyat perlu memilih PR. Umno/Bn kini sudah terlalu lemah ditambah pula dengan isu yang berlaku di Perak. Pembebasan tahanan Akta ISA terutamanya yang melibatkan Adun Kota Alam Shah, YB Manoharan terbukti menunjukkan kekuatan PR. Umno/Bn kini tidak mampu untuk bangkit melawan kecuali jika kita sendiri memberikannya `tongkat' dan dipapah untuk mereka bangun kembali.

WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Ketua pemuda Kelantan: Anak Tok guru 'kantoi' 22 undi

SATU panggilan dan satu SMS masuk ke dalam telefon bimbit saya lewat petang ini memaklumkan yang anak Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Abduh kalah dalam pertandingan merebut jawatan ketua pemuda Pas Kelantan ditangan Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Nik Abduh kalah dengan 22 undi. Beliau mendapat 56 undi manakala Latiff mendapat 78 undi. Terkejut pun ada, tidak terkejut pun ada dengan apa yang berlaku. Seperti mana saya sebut dalam Surat Merah, kedua mereka adalan adik-adik saya belaka. Jadi tidak elok kalau saya merasa suka atas kemenangan Latiff sebab saya juga kena rasa sedih dengan kekalahan Nik Abduh.

Tak mengapa, saya harap keduanya menerima hakikat begitulah adat perlawanan dan natijah demokrasi. Kepada Latiff diucapkan tahniah dan kepada Nik Abduh usah risau perjalanan perjuangan masih jauh. Kalau kita ikhlas, komited dengan jihad kita boleh memberi sumbangan kepada perjuangan meskipun tanpa jawatan. Sesuatu kena ingat saf pemuda Kelantan hampir separuh bersama Nik Abduh!

Kekalahan Nik Abduh saya sudah merasakan sejak dari pagi tadi memandangkan kepada sikap serba salah dan sikap terbuka ayahnya sendiri. Ayahnya boleh membantunya untuk menang, tetapi nampaknya ayahnya tidak mahu membantu anaknya takut dikatakan kroni. Atas sifat Mursyidul Am Pas, ayahnya boleh panggil Nik Abduh dan Latiff berkompromi, samada Latiff sebagai ketua atau Nik Abduh mengekalkan kedudukannya sebagai ketua. Tetapi malang apa yang boleh dilakukan itu tidak terbuat oleh ayahnya yang percaya kepada ketulusan demokrasi!

Kompromi bukan tidak pernah dibuat di Kelantan dan Tok Guru bukan tidak pernah menggunakan kuasa vetonya. Semasa Mohammad Sabu menang sebagai YDP Kubang Kerian melawan Mohammad Iraq, Tok Guru boleh minta Mat Sabu letak jawatan dan beri laluan kepada Mohammad Iraq wahal pemilihan Mat Sabu itu dibuat dalam mesyuarat. Dan bila Tok Guru tidak bersedia berbuat demikian terhadap anaknya apakah pada ukurannya, Nik Abduh dan Latiff sama hebat ilmu dan politiknya?

Manakala menurut seorang penjenguk blog Merah Tinta dalam emailnya kepada saya dia merasakan kekalahan Nik Abduh sejak petang semalam lagi. Kata penjenguk itu kebetulan petang semalam dia berada di Pantai Cahaya Bulan (PCB), membawa anak-anaknya bercuti. Dia ternampak Latiff dan beberapa orang sedang menanti seseorang.

Ceritanya, sekejap kemudian Zaki Ibrahim (bekas ketua pemuda Kelantan) datang dan bergabung dengan kumpulan Latiff. Katanya dia ingin meninjau dewan tempat bersidang. Kata penjenguk itu dia hairan dan tertanya-tanya kenapa Nik Abduh sebagai timbalan ketua tidak ada. Sepatutnya Nik Abduh turut tinjau sama.

"Melihat suasana itu saya sudah merasakan yang Nik Abduh akan kalah," kata penjenguk itu melaporkan apa yang beliau saksikan. Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian di sini apakah Latiff dan Zaki bersekongkol atau sebaliknya. Namun apa yang saya tahu keduanya adalah orang Husam Musa.

Seperti saya kata tadi, tidak kisah siapa yang diberikan amanah untuk memimpin barisan Pemuda Kelantan. Yang penting mereka yang menerima amanah itu dapat memikulnya sebaik mungkin untuk kebaikan Pas Kelantan dan sebagai kesinambungan kepimpinan lampau.

Dan paling saya harapkan semoga kejernihan akan bertaut balik selepas ini. Jadikan pertandingan itu sebagai biduk lalu kiambang bertaut. Hendaknya Latiff tidak akan membiarkan begitu sahaja Nik Abduh, masih ada guna tenaga dan buah fikirannya untuk perjuangan Pas.

Apa yang saya nak ulaskan mengenai pertandingan Latiff dengan Nik Abduh itu, saya melihat ia membawa signifiken tertentu. Ia bukan pertandingan biasa sebenarnya. Perlawanan itu ada ujian kepada masa depan politik Kelantan dan juga kepimpinan dalam Pas hari ini.

Katakan bahawa Latiff adalah proksi kepada Husam Musa yang akan membawa perubahan dan kepimpinan bentuk baru yang sedang digilai kini. Maksudnya yang tidak ekstrem, fanatik dan berwajah ulamak berserebeh dengan janggut panjang yang sering ditunding kepada Nik Abduh. Latiff tidak berjanggut sepanjang Nik Abduh. Husam pula janggut tidak sepanjang janggut Tok Guru. Manakala Zaki Ibrahim pula langsung tidak berjanggut.

Manakala, katakan pula Nik Abduh adalah proksi ayahnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kebetulan, Nik Aziz ada janggut dan anaknya juga ada janggut. Timbalan ketua pemuda Ahmad Baihaki Atiqullah juga ada janggut. Mungkin mereka satu kem!

Kalaulah andaian saya ini benar bermakna kumpulan tak berjanggut panjang menang di Kelantan. Kemenangan Latiff yang tidak ada janggut itu membawa makna dan erti besar kepada kumpulan itu di Kelantan yang diketuai oleh Husam. Saya yakin Husam tentu gembira dan berpuas hati dengan anak didiknya itu kerana berjaya menyingkirkan si berjanggut Nik Abduh.

Kemenangan Latiff dengan 22 undi itu memberi isyarat juga kepada kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang berjanggut. Bahawa kepimpinan muda hari ini sudah tidak mahukan kepada orang berjanggut lagi. Kerana Nik Abduh adalah anak Nik Aziz ini bermakna separuh pemuda Kelantan tidak mahu lagi kepada orang berjanggut termasuk kepada Nik Aziz sendiri.

Mungkin bagi Tok Guru sendiri beliau tidak faham dengan perkembangan ini. Dengan jatuh anaknya itu permainan dalaman sudah pun bermula. Signal kepada beliau juga sudah pun bermula. Sekiranya isyarat awal ini tidak diawasi ia bakal memberi bahana kepada kumpulan berjanggut panjang.

Janganlah Tok Guru merasa sedih kalau di masa depan kumpulan anak muda ini akan membuat berbagai telatah termasuk menggesanya agar berundur. Atas alasan janggut panjang tidak diperlukan lagi ataupun kerana sudah terlalu lama, maka mereka akan terang-terang akan meminta agar si janggut pendek menggantinya.

Apapun ini adalah ilusi dan andaian saya saja. Hendaknya semuanya tidak betul dan tidak akan terjadi. Janggut pendek dan janggut panjang akan terus saling hormat menghormati antara satu sama lain. ~~ Sumber MSO

Komen Saya: Di Kelantan bukan masalah janggut atau tidak kerana orang-orang Islam di Kelantan berilmu tinggi dan tahu menilai kepimpinan. Mungkin Nik Abduh dilihat berilmu tinggi tetapi terlalu perlahan atau bersabar di dalam menghadapi musuh parti yang semakin rakus. Jawatan Ketua Pemuda mestilah dilihat berani dan lantang disamping berilmu. Apa pun, gabungan keduanya ada hikmah di dalam perjuangan. Pendekatan hikmah iaitu secara perlahan dan psikologi adalah perlu, tetapi pendekatan agak keras dan lantang juga tidak boleh ditolak. Apatah lagi musuh kita semakin rakus dan zalim. ~~WFAUZDIN NS