Ahad, 31 Januari 2010

GANTUNG 6 BULAN DENGAN AMARAN JAUH BEZANYA


Oleh: WFAUZDIN NS

YB Khalid Samad dan YB Hassan Ali kedua-duanya pejuang di dalam menegakkan Islam di tanahair ini, kerana itu mereka berdua memilih PAS sebagai wadah politik masing-masing. YB Khalid mahukan PAS terus disokong oleh semua peringkat rakyat dari berbagai bangsa kerana tanpa sokongan dari golongan itu, mustahil PAS boleh memerintah dan apabila PAS gagal memerintah, maka cita-cita untuk melaksanakan pemerintahan Islam tidak akan tercapai. YB Hassan Ali pula inginkan Islam memerintah juga tetapi kelihatannya seperti lebih inginkan Melayu berkuasa. Melayu dan Islam itu amat jauh bezanya.

Apabila Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR menubuhkan SELCAT dan didapati beberapa DO Melayu yang menyeleweng, maka sebagai kerajaan negeri yang inginkan ketelusan maka penyelewengan ini didedahkan agar rakyat tidak merasa sangsi ke atas penubuhan SELCAT. Maka, YB Hassan Ali mengkritik secara terbuka kununnya pendedahan ini amat memalukan si pelaku penyelewengan tersebut. Dikatakan bahawa SELCAT seolah-olah ingin mengaibkan pegawai kerajaan berbangsa Melayu ini. Begitulah hebatnya semangat Kemelayuan yang ada pada YB Hassan Ali.

YB Khalid pula lantang bersuara agar PAS tidak lagi berwajah seperti PAS di zaman Dato' Asri mahu pun di zaman Almarhum Yusof Rawa. PAS kini disokong oleh berbagai bangsa dan agama, sewajarnya PAS mengambil kesempatan ini untuk memperluaskan jalan dakwahnya atau pun pendekatan politik berhikmahnya agar perjuangan PAS dapat direalisasikan. Pertembungan berbagai isu seperti isu penjualan arak, pembinaan kuil dan yang terbaru pula isu Kalimah Allah adalah satu ujian untuk melihat sejauh mana PAS khususnya di Selangor bijak menanganinya. Isu seperti ini sepatutnya mudah untuk diselesaikan sekiranya pemimpin PAS Selangor berpegang kepada ajaran Islam bagaimana untuk bertindak secara bijaksana. Isu ini tidak boleh diselesaikan jika kita bermain dengan isu perkauman.

Bukan bangsa itu tidak penting, tetapi Islam itu lebih penting. Jangan kerana hendak selamatkan bangsa, kita berpakat mengkhianati rakan seperjuangan dengan berunding yang bukan-bukan dengan musuh kita. Islam tidak mengajar kita begitu untuk berjuang. Apabila PAS tidak lagi dilihat berjuang untuk agama, maka tidak hairan lah Umno akan muncul dengan lagak `lebai' mereka. Sebagai contoh, sebelum ini pernahkah kita mendengar Umno membantah penjualan arak atau berjuang mempertahankan masjid atau surau? Yang kita tahu di zaman Khir Toyo dulu, beberapa buah Masjid dan surau dirantai. Mengapa kini Umno berubah? Ini adalah kerana kita sendiri tidak cerdik dan bijak berpolitik. Anggapan bodoh kita adalah apabila kita berbaik dan bersetuju dengan rakan-rakan kita di dalam PR, kita akan dianggap menjual dasar Islam kita. Itulah kebodohan kita yang membuatkan rakyat yang dahulunya percaya pada PAS kini mula mencebek mulut.

Lembaga Disiplin PAS telah menjatuhkan hukuman. YB Khalid digantung setengah tahun (6 bulan) dan YB Hassan Ali cuma Amaran. Saya tidak pasti samada YB Khalid terlibat atau tidak ketika `berunding dalam kelambu' bersama Umno suatu ketika dahulu. Jika YB Hassan Ali yang terlibat mungkin tidak bersalah kerana `mendapat perkenan' pimpinan Pusat, gamaknya. Jika tidak mendapat perkenan, masakan boleh terlepas begitu sahaja? Saya berbaik sangka dengan mengatakan `perjumpaan sulit' itu mendapat perkenan walaupun Mursyidul Am PAS sendiri tidak tahu, bahkan Ketua Penerangan PAS ketika itu pun tidak tahu adanya perjumpaan tersebut. Nasib baik lah Pak Lah memberitahu kita adanya perjumpaan sulit tersebut, jika tidak, sampai kiamat kita tidak tahu betapa adanya pimpinan PAS Selangor berunding dengan Umno sejurus PR memperolehi kuasa di Selangor.

Lupakan dulu soal tersebut. Pada saya YB Khalid tidak wajar dijatuhkan hukuman sedemikian rupa. Jahat sangatkah YB Khalid ? Berjurus sungguhkan YB Hassan Ali ? Rugi sangatkah pada PAS jika Lembaga Disiplin menjatuhkan hukuman yang sama ke atas mereka iaitu Amaran sahaja? Hukuman digantung 6 bulan jauh bezanya dengan Amaran, apatah lagi ini merupakan `kesalahan' (jika dianggap salah) pertama oleh YB Khalid. Pada saya, YB Khalid tidak perlu merayu kerana ramai yang beranggapan YB Khalid tidak melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan PAS mahu pun PR (kecuali jika beliau terlibat sama berada di dalam `kelambu' bersama Umno). Buat YB Hassan Ali pula, tidak perlu juga merayu kerana merayu untuk hukuman Amaran apa bezanya?

Marilah kita berdoa agar PAS dan PR terus gagah menghadapi Umno. Percayalah, Umno kini tiada taringnya kerana Umno sudah dimakan usia. Umno cuma boleh bernyawa jika kita sendiri memberi `nyawa' padanya. Kembalilah berjuang untuk semua dan realisasikan lah Pas For All bukan PAS For Malays./Kembali ke laman asal di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan