Sabtu, 25 Februari 2012

ISU KEDAH - MB TIDAK PERLU DIDESAK LETAK JAWATAN

Oleh:  WFAUZDIN NS

BETUL ke KEADILAN di Kedah yang sibuk-sibuk desak MB Kedah, Us Azizan meletak jawatan?  Betul ke di dalam PAS Kedah juga ada yang mahu Us Azizan meletakkan jawatan?  Adakah kerana berbeza pendapat sedikit maka kena letak jawatan?


Tulisan Nik Nazmi dari KEADILAN baru-baru ini yang dikatakan agak pedas mahukan Us Azizan meletak jawatan, aku rasa tidak wajar samasekali.  Siapa Nik Nazmi yang mahu Us Azizan melepaskan jawatan dari MB Kedah itu?  Jika benar Us Azizan salah atau silap, tolong tegur dan betulkan. Itu rasanya lebih beradab sebab Nik Nazmi adalah pemimpin parti juga.  Beliau bukan Blogger biasa macam aku ni yang kadangkala tak beradab.

Bukan Nik Nazmi saja.  Dalam PAS pun ada yang berperangai macam beliau.  Mungkin berbeza pendapat atau pendekatan menjadikan seolah-olah isu ini besar sangat.  Seolah-olah Us Azizan ini mentadbir terlalu teruk atau beliau kaki rasuah.  Jika berbeza pendapat sedikit itu menjadi punca, patutkah PAS desak Anwar letak jawatan juga kerana PAS mempunyai pendapat dan pendekatan yang berbeza dari Ketua Umum PKR itu dalam isu Israel?  Tentu tidak.  

Pada aku, Us Azizan masih releven sebagai MB Kedah kecuali jika ada yang lebih releven dari beliau, umpamanya orang itu akan sentiasa bersamaan pendapat dengan orang lain.  Adakah calon sedemikian?  Walau bagaimanapun, Us Azizan juga perlu bijak dan terbuka dengan teguran.  Jika perlu, bawa segala isu yang berbangkit ke meja rundingan.  Jika masih gagal, cubalah rujuk kepada Parti untuk menyelesaikan masalah.  Pada yang lain, usahlah asyik mendesak orang itu orang ini meletakkan jawatan.  Tumpuan besar adalah tumbangkan Umno/Bn lebih besar pahalanya dari tumbangkan rakan seperjuangan./wfauzdin.blogspot.com

Jumaat, 24 Februari 2012

MAHU BERHIMPUN ATAU KITA RONDA-RONDA MAKAN ANGIN PADA 26HB FEB INI?

Oleh:  WFAUZDIN NS

MB Pahang memberi `keredhaan' kepada pihak Penganjur `Himpunan Hijau 2.0' untuk berhimpun di Padang MPK 1 Kuantan pada 26 hb Feb (Ahad) jam 09.00 ini nanti.  Begitu juga khabarnya Najib pun tiada masalah dengan program tersebut.

Pihak Polis dikatakan tiada masalah meluluskan permit sekiranya MPK memberikan kebenaran menggunakan padang tersebut.  MPK pula dikatakan juga tiada masalah sekiranya pihak Penganjur memperolehi permit dari pihak Polis.  Lucu atau tidak?  Apa pun, ertikatanya semua pihak tiada masalah dengan program berkenaan walaupun ada yang bercakap menggunakan `lidah biawak'.

Bagi rakyat pula, lebih-lebih lagi tiada masalah untuk hadir beramai-ramai pada tarikh tersebut.  Masalah buat rakyat hanyalah Lynas.  Sebab Lynas itu lah rakyat mahu berhimpun menandakan sokongan kepada mana-mana pihak yang tidak mahu negara ini dicemari oleh projek yang bukan-bukan, tidak berfaedah, tidak menguntungkan negara malahan membawa bala bencana.  Maka rakyat hanya mahu berhimpun secara aman bukan mahu merobohkan atau memusnahkan apa yang mahu didirikan di Gebeng itu.

Malam tadi sewaktu meronda-ronda di bandar Kuantan, kelihatan pagar dari kayu telah mula dipasang mengelilingi Padang MPK 1, lokasi tempat berhimpun.  Tujuan apakah pagar tersebut dipasang saya kurang pasti.  Kelihatannya seperti MPK mempersiapkan `kemudahan' untuk kita berhimpun nanti.  Terima kasih banyak MPK yang prihatin.

Terbaru, dikhabarkan bahawa lokasi baru adalah di Padang MPK 4, Kemunting tidak berapa jauh dari MPK 1.  Tidak kisahlah, di MPK 1 atau MPK 4 mahupun MPK 10 jika ada, rakyat pasti akur dengan arahan kerajaan pimpinan Nan Yaakob yang `berani' itu.  Seandainya kesemua Padang MPK tidak boleh digunakan juga, dan tiada kebenaran untuk perhimpunan diadakan, kita tiada pilihan lain kecuali batalkan perhimpunan dan kita hanya sekadar meronda-ronda makan angin di tengah-tengah bandar Kuantan.  Itu sahaja pilihan yang ada.  Masakan kita datang dari jauh dengan perbelanjaan sendiri mahu pulang begitu sahaja?

Saya kurang pasti apa masalah sebenar yang dihadapi oleh puak ini.  Kesemuanya mereka takut apabila mahu berdepan dengan rakyat.  Sebut pasal debat, samada debat pasal moral, ekonomi, Buku Jingga mahu pun soal Israel, mereka jelas takut.  Mereka nampak berani seperti Hang Tuah apabila berdepan dengan jurukamera TV3 suku sahaja.  Tetapi luar dari itu, mereka menjadi Hang Kebun.  Di sini rakyat boleh berfikir mana satukah kerajaan yang patut dipilih untuk menjaga rakyat.  Adakah kerajaan yang dipimpin oleh orang yang lemah dan penakut seperti Hang Kebun atau pemimpin yang berani kerana benar?  Fikirkan bersama./wfauzdin.blogspot.com


Khamis, 23 Februari 2012

HIMPUNAN HIJAU 2.0 (26 FEB) - TURUT MENGGEMPUR PAHANG DALAM CERAMAH SERENTAK

Oleh:  WFAUZDIN NS

TANGGAL 26hb Feb ini bermula 9.00 pagi, maka berhimpunlah rakyat yang cintakan kedamaian dan yang prihatin dengan aspek keselamatan bertempat di Padang MPK 1, Kuantan.  Pakatan Rakyat secara rasminya menyokong Himpunan Hijau 2.0 pada tarikh tersebut dan beberapa pimpinan utama PR akan turut serta bersama rakyat Pahang, begitu juga dengan berpuluh-puluh NGO bakal turun untuk menunjukkan kepada MB Pahang bahawa rakyat tidak redha dengan kerja-kerja pemusnahan alam sekitar.


Walaupun dikhabarkan MB Pahang `restu' dengan himpunan ini, namun kita mendapat khabar di tempat yang sama ada pihak ingin menganjurkan sukan Futsal.  Apakah ianya mengganggu Himpunan Hijau?  Jawapannya tidak, kerana Himpunan Hijau 2.0 yang dirancang tetap akan dijalankan tanpa menggangu sesiapa.  Sekiranya pihak yang ingin menganjurkan sukan di padang yang sama, mereka mungkin boleh mengadakannya di sebelah petang kerana Himpunan Hijau hanya dilangsungkan di sebelah pagi hingga tengahari.  Andainya mereka sengaja memilih untuk mengadakan acara tersebut di sebelah pagi, ertinya mereka sanggup menghadapi kesukaran dan pihak Penganjur Himpunan Hijau tidak boleh dipersalahkan.  Di bandar Kuantan, padang bola bukan hanya ada satu sahaja dan mereka perlu bijak untuk memilih tempat.

Untuk makluman semua, pada tarikh tersebut diberitakan seluruh Negeri Pahang akan digempur serentak dengan program ceramah pada sebelah malamnya oleh semua pimpinan tertinggi dari PKR.  Seluruh Cabang PKR meliputi seluruh kawasan Parlimen dan Dun telah diarahkan untuk bersiap sedia mulai sekarang untuk menerima kunjungan pimpinan parti ke kawasan masing-masing.  Agihan penceramah kini sedang diatur dan yang pasti tiada kawasan yang tidak akan digempur pada malam itu termasuk di kawasan Parlimen Najib sendiri.

Bermula dengan Ketua Umum, DS Anwar dan Presiden PKR, DS Wan Azizah, Naib-Naib Presiden, Wakil-Wakil Rakyat dari PKR telah bersetuju untuk berkampung di Pahang malam itu.  Difahamkan juga, PAS dan DAP turut merancang beberapa program mereka termasuk digabungkan di dalam program yang sama di beberapa kawasan. 

Bagi anda yang berada di Pahang, sila rujuk kepada pimpinan kawasan masing-masing tentang lokasi program pada 26hb Feb ini.  Sila kunjungi blog/facebook PKR Negeri Pahang di dalam masa yang terdekat untuk maklumat selanjutnya.  Ayuh, kita berkumpul secara aman di Padang MPK 1 Kuantan (di hadapan Masjid Negeri) pada 26 Feb ini.  Pahang bakal tumbang, InsyaAllah./wfauzdin.blogspot.com

Rabu, 22 Februari 2012

YA ALLAH, LOGO SYAITAN PUN DI TIRU?



 
Sungguh tidak disangka, pada awalnya kami menyangka blogger-blogger pembangkang hanya mereka cerita kononnya logo Jalur Tiga (JATI) iaitu NGO yang baru ditubuhkan oleh Dr.Hassan Ali (foto) itu mirip logo "Syaitan". Namun, sungguh menggemparkan, apabila ia ternyata benar belaka dan sudah tidak menjadi rahsia lagi. 
 
Malah, logo JATI jelas menyerupai logo "Syaitan" seperti yang terdapat pada blog Art Backwash atas tajuk Satan's Logo. Apa yang dapat dilihat, jelas sekali logo JATI 100% menyerupai logo terbabit. Mahu dikatakan logo itu meniru logo JATI, mungkin tidak masuk dek akal. Ini kerana, logo yang dipaparkan di blog terbabit sudah bermula pada 7 Mei 2008. Makanya, Hasan Ali yang telah meniru logo berkenaan. 
 
Soalnya, kenapa perlu tiru logo "Syaitan", sedangkan JATI dikatakan mahu perjuangkan Islam, Melayu dan Raja (IMR). Jika inilah keadaannya, maka sia-sia saja Hasan Ali menubuhkan NGO seperti itu. Walau pun beliau mendakwa JATI tiada agenda tersembunyi, namun kita khuathir Hasan Ali "dijelmakan" untuk memesongkan akidah dan pemahaman Islam sebenar kepada Umat Islam di negara ini. 
 
Justeru, rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam digesa berhati-hati dengan taktik licik Hasan Ali ini. Ia cukup berbahaya dan boleh memesongkan akidah jika inilah NGO yang mahu dibangga-banggakan sangat oleh beliau selama ini. Nampaknya, agenda Hasan Ali sudah mula terbongkar walau pun baru saja melancarkan JATI. Jika inilah senarionya, maka sahlah selama ini dialah "Perasit dalam PAS". 
 
Maka itu, tidak syak lagi tindakan PAS memecat Hasan Ali dilihat satu langkah wajar sebelum dia terus merosakkan parti tersebut dari dalam. Dengan pendedahan panas ini, eloklah Hasan Ali berfikir sejenak dan menginsafi atas apa yang telah beliau lakukan sekarang ini. Jangan dek kerana mengejar "keuntungan duniawi" dia terlupa siapakah dirinya yang sebenar. Kembalilah ke jalan kebenaran, jalan-jalan orang yang telah mendapat rahmatNya.


Bukti, inilah dia keratan blog terbabit yang jelas sungguh mengejutkan
 

Selasa, 21 Februari 2012

EZAM SESUMPAH PUN TAKUT BOSNYA BERDEBAT DENGAN ANWAR?

Oleh:  WFAUZDIN NS

DI MANA-MANA media cetak sekarang kecuali Utusan Meloya, kesemuanya merasa teruja untuk menyaksikan perdebatan intelek di antara pemimpin utama Kerajaan iaitu PM, Najib dengan Ketua Pembangkang iaitu DS Anwar Ibrahim menjadi satu kenyataan. 

Beberapa tokoh akademik dan profesional kecuali pengampu-pengampu Umno juga mahu melihat kedua-dua pemimpin ini berada di atas pentas perdebatan sepertimana yang baru-baru ini berlaku ke atas Presiden MCA, Chua Soi Lek dan pemimpin DAP, KM P.Pinang iaitu Lim Guan Eng.  Mereka berdua berdebat dengan hujah masing-masing dan akhirnya rakyat yang membuat penilaian.  `Salute' buat kedua-dua pemimpin berbangsa Cina berkenaan. 

Siapa Presiden Umno yang bakal cipta sejarah berani berdebat dengan DS Anwar?  Adakah Najib?

Meskipun ramai mengakui bahawa untuk melihat Najib berani berdepan dengan DS Anwar umpama seperti ingin melihat Najib `menelanjangi' dirinya dan Rosmah di khalayak umum, namun rakyat masih berharap agar Najib ada sedikit `kejantanannya' seperti yang beliau sering pamerkan di muka-muka TV dan media cetak.  Rakyat bukan mahu memiliki PM yang hanya berani `berhujah' seorang diri atau berpencak silat bersendirian.  Berani kerana benar, takut kerana salah.

Baru-baru ini, Senator Ezam sesumpah yang dahulunya dikatakan hebat dan berani menyuarakan kebenaran, tetapi semenjak `menganut mazhab' Umno, Ezam sesumpah pun menjadi pembodek kepada pemimpin yang penakut itu.  Memetik berita di PDO di SINI, Ezam sesumpah juga turut tidak bersetuju Najib berdebat dengan DS Anwar atas alasan DS Anwar `bahaya' buat Najib.  Dipetik, "Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Senator Ezam Mohd Nor berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan boleh mengundang “bahaya.” Sehubungan itu kata Ezam, Anwar akan menggunakan pentas debat demi kepentingan dan akan merosakkan negara. "Orang macam Anwar ini akan mengundang bahaya. Dia tak layak debat dengan Najib. Contoh, apa yang Anwar dah buat ialah kononnya pada 16 September akan mentadbir negara, tapi dia tipu. Sama juga macam isu Israel. Ini kes khianat," kata beliau selepas berucap pada majlis Perhimpunan Waris Malaya di sini, semalam (PDO).

Najib `bahaya' berdebat dengan Anwar - Ezam sesumpah

DS Anwar pernah berdebat dengan Shabery Cheek di dalam isu kenaikan harga minyak sebelum ini.  Sepanjang debat tersebut, apa yang bahayanya?  Bahayanya adalah kepada Umno kerana dengan perdebatan tersebut, rakyat lebih mengenali siapa Umno sebenarnya.  DS Anwar dengan hujah yang mantap dan berfakta tanpa menyerang peribadi sesiapa berjaya meyakinkan rakyat dengan keikhlasan perjuangan PR di samping beliau merobek segala tipu helah Umno selama ini memperbodohkan rakyat.  

Belajar dari perdebatan yang dilangsungkan itu, mungkin sebab itulah keberatan buat Ezam sesumpah meredhakan bos beliau berdepan dengan DS Anwar.  Ezam sesumpah tahu, Najib terlalu banyak pekungnya dan beliau amat khuatir pekung Najib atau pekung Rosmah akan terbongkar nanti di saat-saat menjelang Pilihanraya Umum tidak beberapa lama lagi.  Ini lah bahaya yang mungkin dimaksudkan oleh Ezam sesumpah.  Sedangkan Shabery Cheek yang `tidak berpekung' itu pun meleleh air liurnya berdebat dengan DS Anwar, apatah lagi Najib.  Memang bahaya.

Saya nasihatkan Ezam sesumpah, lebih baik beliau kembali berani memperjuangkan isu rasuah seperti dahulu dan jangan terlalu sibuk memikirkan `keselamatan' rahsia Najib.  Isu NFC, isu PKFZ, isu wang zakat, isu komisyen kapal selam, isu wang KWSP, isu Felda dan banyak lagi isu yang boleh Ezam sesumpah perjuangkan jika benar beliau bukan `Senator' upahan.  Beliau patut cabar bekas rakannya Raja Petra balik ke Malaysia untuk dedahkan isu rasuah atau isu kononnya DS Anwar dijanjikan wang ratusan juta ringgit dari seorang Cina untuk ke Putrajaya.  Raja Petra telah ditawarkan tambang kapalterbang oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk beliau balik ke Malaysia bagi membantu SPRM menyiasat semua dakwaan beliau selama ini.  Mengapa Raja Petra tidak mahu pulang dan hanya berani menyalak di luar negara?  Apakah kerana beliau takut ditangkap kerana beliau pernah dedahkan hubungan Najib, Rosmah dengan isu pembunuhan Altantuya?

Ezam sesumpah semenjak kebelakangan ini sudah tidak mempunyai modal untuk menyerang bekas bosnya DS Anwar.  Walaupun telah berbuih-buih mulut beliau melakukan sumpah menuduh bermacam-macam terhadap DS Anwar, tetapi yang termakan sumpah adalah Najib.  Najib terus menikus sebaliknya DS Anwar semakin berani. /wfauzdin.blogspot.com

Isnin, 20 Februari 2012

ANDAINYA CHUA SOI LEK PRESIDEN UMNO, PAKATAN RAKYAT PASTI SUKAR

Oleh:  WFAUZDIN NS

MELIHAT kepada perdebatan di antara Chua Soi Lek dengan Lim Guan Eng, ternyata benar kepada kita betapa kaum Cina di negara ini walaupun mereka dari parti yang berbeza dan ada di antara mereka terang-terang melakukan skandal, namun mereka tidak takut untuk berdepan bersemuka di pentas debat.

Terus terang dikatakan, andainya Chua Soi Lek itu dilahirkan sebagai Melayu nescaya Presiden Umno yang paling layak memimpin Umno sekarang adalah Chua Soi Lek kerana meskipun satu dunia tahu skandal beliau yang diakuinya sendiri, namun beliau seorang yang berani berdepan.  Nasib baik Chua Soi Lek bukan Melayu dan bukan Presiden Umno.  Jika tidak, PR pasti berdepan dengan masalah kerana Umno mempunyai Presiden yang benar-benar `jantan'.

Andainya Soi Lek itu Presiden Umno, pasti Umno nampak hebat!!

Saya tidak mahu mengulas siapa yang menang di dalam perdebatan kelmarin kerana siapa pemenang adalah terlalu subjektif.  Saya cuma boleh puji kedua-dua pendebat berkenaan kerana berterus terang dengan apa yang sering mereka laungkan di luar pentas perdebatan.  Umpamanya, Chua Soi Lek tanpa ragu-ragu menyebut betapa hukum Islam yang diinginkan oleh PAS tidak releven di amalkan di negara berbilang kaum seperti Malaysia.  Rujuk di SINI" Chua mengatakan bahawa dalam negara berbilang budaya, rakyat Malaysia tidak boleh menyokong PAS kerana agenda negara Islamnya"  Pemimpin MCA ini adalah sekutu Umno yang semua tahu hujah pemimpin MCA itu lebih kurang juga dengan hujah Umno.  

Begitu juga dengan Lim Guan Eng.  KM P.Pinang yang cuba untuk menjadikan `Omar Abd Aziz' sebagai contoh pentadbiran yang telus, tanpa berselindung menyebut bahawa pendirian DAP adalah tiada istilah ketuanan Melayu, sebaliknya Ketuanan Rakyat.  "Kami tidak menentang orang Melayu. Kami tidak menentang orang Cina. Kami menentang rasuah," katanya.  Sekiranya ketuanan Melayu dilagukan sepanjang zaman sehingga kiamat, percayalah masalah orang-orang Melayu tidak akan selesai juga.  Buktinya, sudah lebih 50 tahun Umno mendendangkan lagu `ketuanan Melayu', cuba lihat fakta sejauh mana kemajuan Melayu?  Benar, keluarga Shahrizat yang memperolehi RM250 Juta untuk NFC itu Melayu, dan memang tepat yang menggunakan duit zakat untuk membiayai peguam menentang Hukum Qazaf itu juga Melayu.  Bahkan, Pengerusi Felda itu orang Melayu di mana Peneroka-Peneroka Felda yang tertipu dengan harga sawit (KPG) juga orang Melayu. 

Justeru itu, hujah Lim Guan Eng bahawa Ketuanan Rakyat lebih releven untuk diperjuangkan sememangnya tepat.  Kita tidak boleh diperbodohkan oleh pemimpin MCA yang mendakwa DAP telah diperkudakan oleh PAS, di dalam masa yang sama Umno pula mendakwa PAS telah diperkudakan oleh DAP.  Kita jangan pelik mengapa begitu cerca merba nya pemimpin-pemimpin Bn bermain propaganda kerana mereka sendiri tahu di dalam PR tiada sesiapa pun yang diperkudakan, cuma mereka sengaja mencipta propaganda walaupun ternyata lintang pukang sesama mereka. 

Semakin lama semakin jelas, Umno kini tidak mempunyai taring lagi.  Justeru itu, Najib berulangkali merayu agar kaum Cina menyokongnya dengan kata-katanya yang paling popular " I help U, U Help Me'.  Tetapi, adakah kaum Cina boleh terima rayuan Najib di saat Umno kini tersepit?  Umno patut malu apabila di dalam perdebatan semalam semua yang hadir dan menonton debat tersebut diajukan persoalan, "Bila pula Najib mahu berdebat dengan Anwar"?  Jawapannya, harapan tinggal harapan kerana Presiden Umno atau PM sekarang Najib bukan Chua Soi Lek.   /wfauzdin.blogspot.com


PARASIT - PAS KELANTAN CABAR HASAN `JATI'



26 Rabi'ul Awal 1433 H | 19 February 2012

KOTA BHARU - Pas Kelantan mencabar Datuk Dr Hasan Mohamed Ali mengemukakan bukti siapa parasit sebenar yang dimaksudkan wujud dalam kepimpinan parti tersebut di peringkat negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, bekas pemimpin Pas Selangor ituperlu berhenti membuat sebarang tuduhan sekiranya tidak mempunyai bukti kukuh.

“Jangan buat tuduhan melulu, saya pun orang yang dekat dengan (Mursyidul Am Pas, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat), jika betul ada,sepatutnya dia buktikan kepada pimpinan Pas.

“Apa niat dia (Hasan) yang sebenarnya sehingga sanggup mendedahkan perkara ini secara terbuka menerusi media dan tiada bukti,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hasan semasa ditemu ramah dalam program bual bicara menyatakan dalam Pas Kelantan wujud parasit, yang dekat dengan Nik Aziz.

Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, tindakan Hasan yang mendedahkan perkara itu secara terbuka seolah-olah menunjukkan dirinya seperti menyebelahi pihak Umno.

“Dia bukan ahli Pas lagi, tetapi sekiranya dia jujur dan mahu menjaga Pas, tidak perlulah terus membuat tuduhan seperti ini,” katanya. - SinarHarian