Sabtu, 13 September 2014

HANYA ADA DUA SYARAT JIKA PAS MAHU JADI MB SGOR

SEBELUM ini aku menulis bahawa jika Tuanku tidak berkenan wanita jadi MB samada atas faktor kewanitaannya ataupun kerana difikirkan tidak layak, walaupun sekurang-kurang 30 Adun telah menyatakan Azizah itu layak, Tuanku boleh saja menimbangkan calon lain dari PKR iaitu Azmin.  

Bila aku sebut Azizah, ada yang kata aku diupah untuk promosi Azizah.  Bila aku sebut tiada masalah untuk pilih Azmin, tuduhan tetap sama aku diupah untuk promosi Azmin.  Betapa bengapnya pemikiran yang beranggapan sedemikian.  Tidakkah mereka pernah membaca aku juga sebelum ini adalah di antara yang paling kuat menyokong TSKI sewaktu kempen pemilihan di dalam parti baru-baru ini?

Sokongan aku pada TSKI bukan sekadar di dalam tulisan, bahkan aku mengundi TSKI di Cabang aku.  Berkempen kuat untuknya.  Adakah waktu itu aku juga diupah?  Berapa banyak duit aku sekarang akibat menerima upahan dari beberapa pemimpin?  Sokongan aku terhenti kepada TSKI apabila beliau telah disabitkan dengan kesalahan tatatertib, itu pun aku amat berharap beliau dapat membela dirinya, menjawab surat tunjuk sebab, menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Jawatankuasa Disiplin Parti.  Malangnya TSKI gagal untuk membela dirinya.  Begitu menghampakan, akhirnya beliau dipecat.  Di situ, aku bukan saja tidak lagi menyokongnya bahkan aku menyokong tindakan parti untuk menurunkan beliau dari Kerusi MB.

Pada aku, sebaik atau sehebat manapun pemimpin itu jika gagal menunjukkan rasa hormat pada parti, itu bukan pemimpin yang aku mahu sokong.  Begitu juga jika aku menyokong Azizah mahu pun Azmin.  Sokongan ini tidak mutlak.  Kita mahu lihat adakah kedua-dua mereka ini mampu menggalas amanah parti dan amanah rakyat jika diberi peluang menjadi MB Selangor.  Jika gagal, kita wajib turunkan mereka.  Bukankah itu yang selalu kita kempen kepada rakyat untuk tukar kerajaan yang gagal membela nasib rakyat?

Aku tahu, ada rakan-rakan dari pihak sana mahukan PAS jadi MB.  Tiada masalah pun asalkan PAS sanggup lakukan dua syarat ini;

Pertama, langgar saja perjanjian untuk tidak mengambil Kerusi MB dari PKR dan perjanjian dari Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang terang dan jelas menyebut, PAS akan tolak jika diberikan Kerusi MB.  Jika PAS sanggup langgar perjanjian ini, tiada masalah.

Kedua, PAS mesti dapat sokongan majoriti dari Adun-Adun terutamanya dari Adun PR.  Atau, PAS sanggup tidor sebantal dengan Umno dan mencuri beberapa Adun lagi dari PR untuk mencukupkan majoriti bagi menjadi MB.  Jika ini berjaya, tiada masalah PAS untuk menjadi MB.

Aku tertarik dengan tulisan Ustaz Mokhtar Senik (Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang) yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, yang menyebut, jika PAS dipilih menjadi MB, PKR dan DAP wajib sokong untuk buktikan kerjasama di dalam PR.  Rasa mahu gelak membacanya sebab kenyataan itu datangnya dari Ulamak.

Tidak perlulah aku sebut mengapa aku nak gelak membacanya.  Tapi yang jelas, kenyataan itu membuktikan tidak semua Ulamak tahu berpolitik dan tidak hipokrit !!

Rabu, 10 September 2014

CALON MB SGOR - PILIHAN AKHIR ADALAH AZMIN ?

BERTIUP kencang kononnya Iskandar Samad dari PAS bakal diangkat sebagai MB Selangor.  Aku sebenarnya tidak percaya kerana mana mungkin MB Selangor diangkat dari calon yang tidak ada sokongan majoriti di dalam dewan, kecuali beliau perolehi sokongan majoriti disaat-saat akhir.

Orang kata Tuanku ada kuasa melantik jika Tuanku mahu.  Jika mahu berhujah "jika Tuanku mahu" , aku patut menyerah saja kerana bak kata Tok Guru Nik aziz, "Raja is Raja".  Dalam maksud Tok Guru tu, orang yang mengaji mantik boleh faham.

Namun aku masih yakin Tuanku tentu lebih memahami konsep Raja Berpelembagaan.  Tentu Tuanku lebih arif mengapa negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan kaitan konsep ini dengan sistem Pilihanraya yang kita amalkan.

Yang diturunkan itu TSKI seorang Melayu Islam.  Yang mahu dinaikkan itu juga Melayu Islam, bezanya Wanita sahaja.  Bab Wanita pula tiada hujah untuk menafikan kelayakan memimpin kecuali hujah dari Hj Hadi yang terlalu mudah untuk kita bahaskan.  Hujahnya terlalu nipis lebih nipis dari kulit bawang.  Jadi, soalnya bukan kelayakan Azizah.

Baiklah, jika Tuanku tidak berkenan dengan Azizah kerana Tuanku mahu seorang lelaki menjadi MB maka kita tidak boleh bantah kerana kita masih ada Azmin, seorang Melayu Islam dan berkelayakan juga.  Jika dikatakan nama Azmin tidak disenaraikan oleh PKR dan DAP juga mungkin tiada dalam senarai PAS,  tiada masalah kerana Istana telah maklumkan Tuanku boleh memilih sesiapa juga Adun yang Tuanku rasa layak dan yakin mendapat sokongan majoriti.  Siapa lagi jika bukan Azmin?

PAS pula telah awal-awal beritahu bahawa PAS tidak berminat untuk Kerusi MB walaupun hantar nama calon.  Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS secara tegas menyebut jika Istana calonkan MB dari PAS, PAS akan tolak.  Maka, tidak mustahil calon MB nanti hanya berkisar di antara Azizah atau Azmin.

Semoga kemelut ini cepat selesai dan jalan penyelesaiannya sudah terbentang awal sebenarnya.  Cuma mahu kepada kejujuran dan keadilan saja untuk menamatkan krisis ini.


Isnin, 8 September 2014

MB SELANGOR - PATUHI JANJI ATAU TIDAK DERHAKA?

SEKALI lagi di dalam isu MB Selangor, jaminan diberi oleh PAS setelah parti itu bermesyuarat di dalam AJK Pas Pusat semalam bahawa;

1.  PAS akan tolak sekiranya calon PAS dipilih oleh Tuanku sebagai MB Selangor - Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS.

2.  PAS tidak tuntut Kerusi MB Selangor, terpulang kepada Tuanku -  Mustafa Ali, SUA PAS Pusat.

Perkara di No 1, "hukum'nya 'qatie' iaitu jelas bahawa "PAS AKAN TOLAK".  Noktah.

Perkara di No. 2, Terdapat 'khilaf' dan tidak "qatie' iaitu "Terpulang kepada Tuanku", tapi PAS tidak tuntut Kerusi MB Selangor.  

Mana satu akan berlaku jika Tuanku mahu PAS menjadi MB Selangor walaupun di atas kertas PAS tiada sokongan majoriti?  Ikut kenyataan Mat Sabu, PAS akan tolak tawaran itu kerana Mat Sabu mungkin merasakan amat tidak jujur dan tidak Islamik jika PAS berada di Kerusi MB atas sebab-sebab mungkin berikut;

-  Kerusi itu bukan hak PAS kerana PAS tiada sokongan majoriti dan berada di jawatan yang bukan hak tentulah bercanggah dengan Islam.  Mana mungkin kita boleh berada di tempat Imam Solat di dalam keadaan majoriti jemaah tidak redha kita jadi Imam, walaupun kita dilantik oleh pihak berkuasa?

-  Islam mewajibkan tunai janji hatta berjanji dengan Non Muslim.  Janji PAS adalah Kerusi MB Selangor itu milik PKR.  Di mana mahu letak maruah dan imej parti Islam dikaca mata masyarakat termasuk kepada yang bukan Islam sekiranya PAS sanggup langgar janji kerana jawatan?  Tidak mungkin.

Bagaimana kita melihat kenyataan Mustafa Ali?  Kata SUA PAS itu, PAS tidak akan menuntut Kerusi MB Selangor, itu satu kenyataan yang boleh kita percayai.  Aku pun yakin 100% bahawa PAS tidak akan tuntut Kerusi itu.

"Tidak akan menuntut", bukan bererti WAJIB menolaknya jika diberi tawaran.  Mudah kata, "Aku tak minta, tapi jika kasi aku terima saja...".  Betulkah ungkapan itu?  Apa alasannya?

-  Alasannya, PAS tidak tuntut tetapi PAS 'terpaksa' taat kepada perintah Tuanku.

Itu sajalah pada aku yang PAS ada untuk buat alasan.  Bagi aku, sebagai sebuah parti Islam, tentunya PAS lebih faham mana lebih 'aula' atau wajib samada patuh pada perjanjian dan tidak khianat dengan tidak menderhaka?  

Hukum mematuhi perjanjian itu wajib.  Hukum taat kepada Sultan pula?  Kena lihat dulu apakah Sultan menitahkan benda yang betul atau salah mengikut semangat Raja Berperlembagaan.  Semangatnya adalah MB itu seharusnya mewakili rakyat negeri dan tentulah MB itu mendapat sokongan majoriti Wakil-Wakil Rakyat.  Jika perintah itu tidak menepati semangat itu, adakah 'wajib' PAS mematuhinya atau sekadar dari segi adat "cuma derhaka"?  Pilih hukum atau adat?

Untuk tidak peningkan kepala, lebih afdhal rasanya PAS menghormati perjanjian di samping menghormati semangat demokrasi Raja Berperlembagaan.  Jangan kerana jawatan yang tidak lama itu kita akan merana dan rugi berpuluh tahun.  Membina kekuatan di dalam PR bukan mudah, tetapi lebih sukar untuk mempertahankannya.  Lebih mudah dan cepat pula untuk menghancurkannya.