Jumaat, 28 Ogos 2015

PAKATAN RAKYAT (BARU) TERDIRI DARI KEADILAN, PAS, DAP DAN GHB DITOLAK?

ADA yang bertanya, jika begitu lama Pas pernah bertahalluf Siyasi dengan Dap dan KEADILAN sehingga terbentuknya Pakatan Rakyat, apakah mustahil Pas bertahalluf Siyasi dengan GHB?

Rasanya lebih mudah dan tentunya kurang kesangsian jika Pas bertahalluf Siyasi dengan GHB sekiranya NGO ini mendaftar menjadi satu parti politik yang juga mempunyai hasrat yang sama iaitu ingin memperjuangkan Islam dengan pendekatan yang berbeza dari Pas.  Kebanyakan pimpinan dari GHB ini adalah bekas tokoh-tokoh besar di dalam Pas dan di dalam darah mereka masih mengalir darah pejuang Islam.  

Aku berpendapat agak sukar bagi Pas mengadakan Tahalluf Siyasi dengan GHB kerana satu sebab saja iaitu GHB mengadakan kerjasama dengan Dap.  Dap kini musuh Pas.  Lebih-lebih lagi di dalam pertemuan di antara Timbalan Presiden Pas, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan rombongannya dengan Presiden KEADILAN dan pimpinan-pimpinan kanan KEADILAN, Pas dengan tegas mahu KEADILAN tidak mengadakan kerjasama dengan GHB.  Namun, KEADILAN menolak gesaan itu sebaliknya KEADILAN mencadangkan agar Pakatan Rakyat (baru) diwujudkan dengan KEADILAN, Pas, Dap serta GHB.  Cadangan KEADILAN ini tidak diterima oleh Pas.  Maka, satu dari usaha untuk perdamaian ternyata gagal.

Usaha ini gagal kerana Pas menolak Dap dan menolak GHB.  Ini memberi maksud bahawa Pas hanya bersedia untuk bersama KEADILAN.  Tentunya tidak masuk akal untuk KEADILAN menjadikan musuh Pas (Dap dan GHB) sebagai musuh KEADILAN.  Itu bukan caranya kita berkawan.  Islam juga tidak mengajar cara berkawan sedemikian.  Jika kita tidak mahu berbaik dengan pihak lain atau tidak mahu berusaha untuk berbaik, mana boleh kita mengajak rakan kita untuk menyertai perbalahan kita?

Bagi aku, cadangan untuk menyatukan KEADILAN, Pas, Dap dan GHB amat baik di dalam memperkuatkan Pakatan Rakyat (baru).  Tetapi ianya tidak mendapat perhatian dari Pas.  Maka, secara tidak langsung, KEADILAN dan Dap telah dipaksa untuk membuat keputusan untuk memilih GHB sebagai ganti Pas. 

Seandainya berlaku perpecahan di dalam Pakatan Rakyat (KEADILAN, Pas dan Dap), kita tidak perlu saling salah menyalah di antara satu sama lain kerana kita ada formula terbaik untuk menyelesaikannya, tetapi kita tolak.  Mana-mana yang menolak pembentukan Pakatan Rakyat (baru), tentunya mereka merasa sudah kuat dan boleh bersendirian di dalam menghadapi rejim.  Benar atau tidak, itu semua di dalam ilmu Allah.  

Khamis, 27 Ogos 2015

KEADILAN TERLALU 'COOL' SEHINGGA AHLI NAIK MELUAT

MEMILIH kawan yang betul adalah dengan memilih kawan yang sanggup susah dan senang bersama.  Pilihlah kawan yang sanggup berkongsi masalah bersama, sanggup berbincang jika berlaku perselisihan.  

Begitu juga jika mahu memilih rakan di dalam parti politik.  Seandainya KEADILAN terpaksa memilih antara satu samada GHB atau Pas, atau terpaksa memilih samada Pas atau Dap, maka itulah ukurannya untuk KEADILAN membuat pilihan.  Siapa yang terbukti sanggup susah dan senang bersama?  Siapa di antara rakan itu sering menunjukkan keras kepala, ego dan bongkak, elok tinggalkan saja.

Tidak guna KEADILAN terus berbaik sangka sehingga kaduk naik junjung.  Cuba tengok orang lain, mereka pantang kalau 'ayah' mereka dilekehkan sehingga sanggup berputus arang.  Tapi KEADILAN 'cool' bila 'ibu' nya dilekehkan.  Bahkan, 'anak-anak' dituduh sebagai pengedar pil kuda pun KEADILAN boleh cool.  Mana bukti dan saksi?  Sampai sekarang tiada, tapi imej KEADILAN sudah terjejas akibat tuduhan ini.  KEADILAN masih 'cool'.

KEADILAN kena tahu, ada kawan kita yang telah merasa dia kuat. Mereka mahu 'buli' KEADILAN semahu-mahunya.  Kita memang tidak sekuat mereka tapi kita ada maruah.  Jangan berlembut sehingga ahli-ahli naik bosan dan jijik dengan cara kita.

Rabu, 26 Ogos 2015

MAHU TETAPKAN HUKUM HIMPUNAN BERSIH PUN LINTANG PUKANG, ULAMAK APAKAH INI?

SEMENJAK bila Himpunan BERSIH ini menjadi 'halal' kepada pengampu2 rejim?  Jika dulu yang sering mentakwilkan BERSIH ini 'haram' kerana penyebab huru-hara ini adalah dari kalangan rejim itu sendiri, tetapi sekarang berbeza.  Ada yang bergelar 'ulamak' pun mula termakan dakyah rejim ini.  Malang sungguh.

Hakikatnya bukan kerana 'hukum' berkaitan BERSIH itu 'halal atau haram', tetapi sebenarnya memang di hati sudah mula terasa 'sayang' kepada rejim dan bencinya kepada kumpulan yang selama ini pernah bersama mereka basah disembur air FRU dan pening termuntah akibat gas FRU.  Di kalangan mereka ini pun sebenarnya berbelah-bahagi tentang perlu atau tidak untuk mereka bangkit bersama-sama rakyat di dalam Himpunan BERSIH 4 nanti.

Sekejap menyebut himpunan ini akan menjadi penyebab huru-hara, dan dalam masa yang sama boleh pula menghantar wakil ke perhimpunan tersebut.  Dolak dalik tentang hukum inilah yang menjadikan imej mereka sebagau ulamak tercemar.  Tidak konsisten, berubah-ubah mengikut musim.  Jika benar bakal mencetuskan huru-hara, sepatutnya jangan benarkan hatta seorang pun terlibat.  Mengapa perlu ada wakil untuk 'menghuru-harakan' negara?

Usahlah cari berbagai alasan.  Alasan tarikh himpunan BERSIH4 pada 29 dan 30 ogos ini hampir dengan sambutan Hari Kebangsaan, kononnya.  Semenjak bila mereka ini peka sangat dengan sambutan Hari Kebangsaan?  Peliknya, pada tarikh 30 Ogos itu, ada pula program yang mereka anjurkan.  Rakyat tidak bodoh untuk dipersendakan.  Alangkah baiknya berterus-terang saja dengan ahli-ahli kamu bahawa pihak kamu tidak lagi mahu berhimpun.  Buang masa.  Haram cetuskan huru-hara.  Cakap sajalah.  

Apapun yang kamu mahu lakukan dan apa jua alasan kamu, rakyat sudah tidak peduli.  Rakyat sudah jemu dengan perangai "U-Turn' tidak berkesudahan.  Ulamak sepatutnya konsisten bukan sering berdolak-dalik.  Mungkin satu provokasi untuk menunjukkan kehebatan puaknya.  Kalau betul hebat, baguslah.  Tapi jangan buat kenyataan yang memperbodohkan orang sehingga kehebatan kamu tidak lagi dihormati orang.  Sebab itu jangan pelik, dulunya orang muliakan kamu tetapi sekarang setiap hari menjadi bahan ketawa dan sendaan orang.  


Selasa, 25 Ogos 2015

MP KEADILAN PATUT SOKONG UNDI TIDAK PERCAYA KEPADA NAJIB DENGAN SYARAT.....

AKU setuju bahawa semua MP dari KEADILAN turut sama menyokong usul undi tidak percaya kepada Najib selaku PM.  Menurunkan Najib selaku PM melalui Parlimen bukan satu jenayah, dalilnya apa yang berlaku di Dun Perak sewaktu kerajaan PR Perak di bawah Nizar dijatuhkan, itu pun bukan melalui Dun hanya sekadar kutip tandatangan sahaja.

Kali ini di Parlimen.  Kalau menurunkan seseorang PM atau MB melalui undi tidak percaya adalah satu jenayah, maka kerajaan PR Perak perlulah dikembalikan semula.  Mana mungkin kerajaan yang jatuh hasil dari kerja jenayah boleh diteruskan sehingga kini.  

Menurunkan Najib bukan bererti menyokong Muhyyiddin atau mana-mana individu di dalam Umno untuk menjadi PM.  Itu soal kedua.  Apa yang wajib dilakukan adalah jangan biarkan pemimpin yang merugikan rakyat dan zalim dari terus mentadbir negara ini.  Ada orang kata, biarlah Najib terus jadi PM sehingga PRU 14 akan datang kerana ianya satu 'rahmat' kononnya buat Pembangkang.  Najib lemah dan teramat teruk maka mengekalkan Najib sehingga PRU 14 akan datang menguntungkan Pembangkang, itu kata mereka.  

Tahukah mereka berapa tahun lagi untuk PRU 14?  Apakah sepanjang tempuh tersebut kita ada jaminan Najib tidak bertambah teruk?  Apa akan jadi pada negara dalam tempuh tersebut?  Dan, andainya kita menang PRU14 akan datang kerana teruknya Najib ini, apakah kita sedar kerajaan baru bawah PR akan mewarisi sebuah negara yang 'bankrap'?  Apa untungnya pada rakyat waktu itu?  Berapa lama lagi rakyat mahu tunggu kerajaan baru ini akan memulihkan negara yang dirosakkan oleh Najib?  Sudah tentu banyak manifesto kita tidak mampu dilaksanakan waktu itu kerana negara kehabisan wang.  Itu pun jika sistem pilihanraya kita adil dan jentera kerajaan serta SPR tidak ditekan oleh Najib.

Sehubungan itu, kita tiada masa lagi.  Peluang terbaik adalah turunkan Najib secepat mungkin melalui cara demokrasi yang sah iaitu undi tidak percaya kepadanya.  Namun, kita wajib letakkan syarat untuk membuat keputusan penting ini.  Jika mahu bersama mereka untuk melakukan undi tidak percaya kepada Najib, tentukan jaminan bahawa Anwar dibebaskan.  Kita bukan mahu jaminan Anwar menjadi PM menggantikan Najib tetapi kita mahu Anwar bebas dari kezaliman.  Apa ertinya kita turunkan Najib atas sebab salah lakunya dan kezalimannya, sedangkan selepas beliau turun Anwar terus dizalimi.  Itu bukan tindakan bijak.

Maka, syarat bebaskan Anwar adalah releven.  Jika syarat itu tidak dipenuhi, lupakan saja untuk mengundi tidak percaya pada Najib.  Kita tidak mahu merasa selesa jika Najib turun sedangkan Anwar terus derita di balik tirai besi penjara Sg Buluh.  Bebaskan Anwar dan beliau akan dapat bersama kita meneruskan perjuangan.  Pedulikan siapa PM waktu itu dan kita teruskan kerja kita.  

Ya, Najib turun bukan jaminan Umno turut turun dan sistem berubah.  Tetapi kita mengambil kaedah bahawa  memiluh yang kurang risiko dari yang terbukti berisiko.