ADA yang bertanya, jika begitu lama Pas pernah bertahalluf Siyasi dengan Dap dan KEADILAN sehingga terbentuknya Pakatan Rakyat, apakah mustahil Pas bertahalluf Siyasi dengan GHB?
Rasanya lebih mudah dan tentunya kurang kesangsian jika Pas bertahalluf Siyasi dengan GHB sekiranya NGO ini mendaftar menjadi satu parti politik yang juga mempunyai hasrat yang sama iaitu ingin memperjuangkan Islam dengan pendekatan yang berbeza dari Pas. Kebanyakan pimpinan dari GHB ini adalah bekas tokoh-tokoh besar di dalam Pas dan di dalam darah mereka masih mengalir darah pejuang Islam.
Aku berpendapat agak sukar bagi Pas mengadakan Tahalluf Siyasi dengan GHB kerana satu sebab saja iaitu GHB mengadakan kerjasama dengan Dap. Dap kini musuh Pas. Lebih-lebih lagi di dalam pertemuan di antara Timbalan Presiden Pas, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan rombongannya dengan Presiden KEADILAN dan pimpinan-pimpinan kanan KEADILAN, Pas dengan tegas mahu KEADILAN tidak mengadakan kerjasama dengan GHB. Namun, KEADILAN menolak gesaan itu sebaliknya KEADILAN mencadangkan agar Pakatan Rakyat (baru) diwujudkan dengan KEADILAN, Pas, Dap serta GHB. Cadangan KEADILAN ini tidak diterima oleh Pas. Maka, satu dari usaha untuk perdamaian ternyata gagal.
Usaha ini gagal kerana Pas menolak Dap dan menolak GHB. Ini memberi maksud bahawa Pas hanya bersedia untuk bersama KEADILAN. Tentunya tidak masuk akal untuk KEADILAN menjadikan musuh Pas (Dap dan GHB) sebagai musuh KEADILAN. Itu bukan caranya kita berkawan. Islam juga tidak mengajar cara berkawan sedemikian. Jika kita tidak mahu berbaik dengan pihak lain atau tidak mahu berusaha untuk berbaik, mana boleh kita mengajak rakan kita untuk menyertai perbalahan kita?
Bagi aku, cadangan untuk menyatukan KEADILAN, Pas, Dap dan GHB amat baik di dalam memperkuatkan Pakatan Rakyat (baru). Tetapi ianya tidak mendapat perhatian dari Pas. Maka, secara tidak langsung, KEADILAN dan Dap telah dipaksa untuk membuat keputusan untuk memilih GHB sebagai ganti Pas.
Seandainya berlaku perpecahan di dalam Pakatan Rakyat (KEADILAN, Pas dan Dap), kita tidak perlu saling salah menyalah di antara satu sama lain kerana kita ada formula terbaik untuk menyelesaikannya, tetapi kita tolak. Mana-mana yang menolak pembentukan Pakatan Rakyat (baru), tentunya mereka merasa sudah kuat dan boleh bersendirian di dalam menghadapi rejim. Benar atau tidak, itu semua di dalam ilmu Allah.