RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 4 April 2014

PEMILIHAN JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN- TIAN CHUA BOLEH BERI LALUAN PADA SAIFUDDIN

BEBERAPA tokoh telah tampil menghantar borang untuk bertanding merebut jawatan utama di dalam KEADILAN yang bakal berlangsung April hingga Mei ini.  Aku mahu fokus dulu kepada jawatan Timbalan Presiden dan fokus aku hanya kepada tokoh popular iaitu Azmin (Penyandang), TS Khalid (MB Selangor), Saifuddin Nasution dan Tian Chua,

Sekiranya kekal kesemua mereka ini bertanding sehingga hari pengundian, aku cukup optimis Azmin akan menang di dalam perebutan ini.  Bukan bermakna Azmin mempunyai sokongan kuat ahli di semua peringkat tetapi faktor pecah undi terutamanya undi kepada Saifuddin, Tian Chua dan TS Khalid.  Situasi ini menguntungkan Azmin dan tentunya beliau berharap pencalonan ini kekal.

Kepada yang mahu mengubah jawatan Timbalan Presiden kepada tokoh baru, tentunya mereka mahu salah seorang di antara Tian Chua mahu pun Saifuddin menarik diri.  TS Khalid, pada aku tiada kesan kepada undi Azmin.  Sokongan kepada MB Selangor ini hanya berkitar di Selangor sahaja itu pun tidak sampai separuh Cabang yang menyokong beliau.  Tetapi jangan lupa, bukan Cabang atau perwakilan yang mengundi.  Satu kepala, satu undi.  Siapa boleh jangkakan sesuatu yang berlaku dan TS Khalid boleh buktikannya?

Aku juga mahu Saifuddin dicuba untuk jawatan No.2 di dalam KEADILAN ini.  Pada pemilihan sebelum ini, aku adalah penyokong kuat Azmin dan berkempen gila babi untuk beliau yang waktu itu ditentang oleh Zaid Ibrahim.  Asas aku waktu itu, Azmin orang lama, setia dan komited kepada parti.  Itu saja.

Sekarang, aku tidak boleh guna asas yang sama kerana Saifuddin dan Tian Chua juga terbukti mempunyai prinsip yang sama, setia dan komited dengan parti.  Sedikit markah aku kurang buat Azmin hanya kerana aku lihat Azmin kadangkala terlalu banyak campur pengurusan dan pentadbiran parti di negeri-negeri terutamanya sewaktu pemilihan calon PRU 13 yang lalu.  Umumnya kita tahu, pemilihan calon Parlimen ditentukan mutlak oleh Pusat dan ini kita tidak kisah.  Tetapi apabila penentuan calon di Dun pun cuba dicampuri oleh Azmin sehinggakan berbalah sesama pimpinan dan Ketua-Ketua Cabang, aku mulai merasa Azmin cuba untuk tunjuk kuasa melebihi yang sepatutnya.

Walaupun apa yang aku katakan ini mungkin ditolak oleh para penyokong Azmin, namun percayalah bagi aku itu hanya sedikit kelemahan Azmin.  Dan, aku tidak menolaknya 100%.  Seandainya masih kekal pencalonan nama-nama seperti di atas, mungkin undi aku tetap pada Azmin kerana aku merasa sia-sia mengundi kepada tokoh lain sedangkan mereka tidak serius untuk mengelak dari perpecahan undi.  Cuma harapan aku, Azmin mampu mengubah sikapnya.

Jika ditanya pada aku, siapakah yang patut tarik diri?  Jawapan aku, aku harap Tian Chua sudi beri laluan pada Saifuddin.

Khamis, 3 April 2014

USTAZ TUAN IBRAHIM MEMBELA ANWAR DAN SOKONG REFORMASI

MALAM tadi (02/4/14) bertempat di Cenderawasih, Kuantan, aku sempat menghadiri program Ceramah Anjuran PAS Indera Mahkota Kuantan sempena dengan kutipan dana Kompleks PAS Pahang.  Penceramah utama malam tadi adalah Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Us Dato' Tuan Ibrahim sedang berucap
Seperti biasa di dalam ceramah beliau banyak pengisian tentang perjuangan Islam terutamanya di dalam kaedah berpolitik.  Tetapi apa yang menarik perhatian malam tadi, beliau turut menceritakan tentang kezaliman yang berlaku terhadap DS Anwar Ibrahim.  Kezaliman yang dilakukan oleh rejim itu tidak pernah putus dan tidak pelik katanya negara kita sering dilanda dengan berbagai masalah.  Mungkin peristiwa yang berlaku terhadap DS Anwar ada yang beranggapan tiada kena mengena dengan kesukaran dan bencana yang berlaku kepada negara sekarang, namun sebagai umat Islam kita harus melihat kepada apa yang Allah janjikan kepada pemerintah yang zalim.
 
Bersama Adun Beserah, YB Andansura dan Adun Semambu, YB Lee Chean Chung
Sebab itulah aku sejak dulu sentiasa menyokong perjuangan Us Tuan Ibrahim Tuan Man, bukan kerana dia membela DS Anwar tetapi beliau amat sensitif dengan kezaliman yang berlaku terhadap sesiapa sekalipun.  Sewaktu beliau bertanding jawatan Naib Presiden PAS, ada rakan-rakan memberitahu aku mengapa aku mempromosikan sokongan kepada Us Tuan Ibrahim kerana beliau dianggap golongan Ulamak.  Bagi rakan aku itu, golongan Ulamak di dalam PAS lazimnya tidak begitu suka kepada DS Anwar.
 
Aku katakan pada mereka, golongan yang anti dengan Anwar di dalam PAS hanyalah kumpulan "UG" yang bagi aku hanya tinggal beberapa kerat sahaja.  Us Tuan Ibrahim bukan UG, bukan Anwarisme mahu pun kumpulan Erdogan di dalam PAS.  Pemikiran Us Tuan Ibrahim sama seperti Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang bijak menilai apa itu "Tahalluf Siyasi".  Menyokong perjuangan Anwar bukan bermakna menggadai prinsip dan dasar PAS kerana Anwar sepanjang mengetuai PR tidak pernah mengusik jauh sekali mengganggu gugat prinsip dan dasar PAS.  
 
Apa yang berbeza cuma pendekatan yang ingin dibawa oleh Anwar adakalanya tidak dipersetujui oleh PAS.  Itu lumrah di dalam PR dan tidak kesemua tindakan PAS juga digemari oleh Anwar mahupun pemimpin PR yang lain.  Namun kesemuanya ditangani dengan amat bijak sekali sehinggakan Umno/Bn seperti hilang punca untuk memisahkan PAS dan PKR, terutamanya Anwar.
 
Anwar perlukan PAS untuk memperkuatkan PR yang diterajuinya, begitu juga sebaliknya PAS perlukan Anwar untuk memperluaskan pengaruh PAS.  Di dalam ceramah Us Tuan Ibrahim malam tadi, ternyata komitmen beliau terhadap menentang kezaliman yang dilakukan oleh rejim terhadap Anwar yang telah dihukum 5 tahun penjara. Rakyat harus bangkit menentang kezaliman ini kerana jika dibiarkan kezaliman berleluasa, bukan yang berdosa sahaja yang akan menerima bala bencana Allah malahan seluruhnya akan merasai sama kerana kegagalan kita menentang kezaliman.

Difahamkan pada Program Reformasi 2.0 peringkat Negeri Pahang yang akan diadakan pada 12 April 2014 (Sabtu) di Padang Kemunting, Kuantan nanti, Us Tuan Ibrahim akan hadir sebagai tanda sokongan kepada perjuangan Reformasi.  Janganlah ada di antara kita sentiasa bersangka bahawa ini semua hanya untuk peribadi Anwar.  Anwar terlalu banyak berkorban untuk kita semua dan beliau kini telah bersedia untuk masuk ke kandang besi semula.  Namun, apakah kita hanya sekadar memerhati atau kita gembira dengan berita ini?


Isnin, 31 Mac 2014

DUA POLIS JADI KAMBING HITAM KES ALTANTUYA, KINI SIAPA KAMBING SETERUSNYA DALAM KES MH370?

MACAM-MACAM kisah menarik yang kadangkala melucukan bila kita singkap kembali dari awal kisah tragedi MH370 ini.  Aku tidak mahu cerita semula kisah-kisah ini kerana sudah cukup lah kisah-kisah ini memalukan negara kita.  

Sekarang, masuk kisah terbaru pula.  Kononnya Pilot Kapt Zaharie mengalami masalah keluarga dan emosi terganggu sebelum beliau lakukan penerbangan.  Sebelum itu, kita sudah dengar cerita Pilot ini diganggu emosi juga kerana sebelum beliau lakukan tugas menerbangkan pesawat yang malang tersebut, beliau kononnya kecewa apabila Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun terhadap tokoh pujaannya, DS Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat.

Tidak cukup dengan itu, simulator penerbangan yang dimiliki oleh Pilot ini juga disiasat polis.  Wah, fokus betul kepada si Pilot ini.  

Pendapat aku mudah.  Apa kaitan gangguan emosi (jika benar) yang dialami oleh Pilot ini samada kerana kes Anwar mahu pun kes rumahtangga beliau dengan kemasukan dua passport palsu yang lepas masuk ke dalam pesawat berkenaan?  Kerana gangguan emosi, maka passport palsu lepas masuk pesawat?  Kerana gangguan emosi Pilot, maka radar kita gagal mengesan?

Tolonglah, mengaku saja kita gagal tangani kes ini sebenarnya.  Kita telah dimalukan seteruk-teruknya sekarang akibat pemimpin kita yang cuai, lemah dan banyak 'bermain'.  Jangan cuba mahu kambing hitamkan sesiapa.  Cukuplah dua orang Polis telah jadi kambing hitam di dalam isu Altantuya.


Jumaat, 28 Mac 2014

WAN AZIZAH TUNJUK JALAN SEBAGAI AHLI POLITIK KEPADA TS KHALID

MESKIPUN seorang wanita, Adun Kajang yang baru DS Wan Azizah nampaknya lebih pantas bertindak berbanding dengan beberapa Adun lelaki bagi merealisasikan manifestonya sewaktu berkempen PRK Dun Kajang baru-baru ini.

Masalah trafik di Kajang merupakan masalah besar yang sering menjadi rungutan penduduk Kajang.  Tidak menunggu masa lama, tidak perlu menanti berada di Dun Selangor beberapa hari, Presiden PKR ini telah mula bekerja untuk rakyat.  Ertinya, silap besar mereka yang beranggapan PRK Dun Kajang tidak membawa erti apa-apa kepada penduduk Kajang.

Kerajaan Selangor merancang untuk menyediakan bas pengantara (feeder bus) sebagai alternatif menaik taraf sistem pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan trafik di Kajang.  DS Wan Azizah Wan Ismail berkata, projek khas itu sebagai penyelesaian masalah trafik yang dijangka akan meningkat ekoran pembinaan stesyen Aliran Transit Massa (MRT) di Kajang.   “Antara masalah apabila MRT ini siap nanti, tiada penghubung khas untuk penduduk ke stesyen itu.   “Untuk mengelakkan kesesakan bertambah teruk, terutama pada waktu pagi dan petang, kita buat satu sistem pengangkutan awam iaitu sistem pengangkutan baru (feeder system). Sistem ini ke arah menyelesaikan masalah trafik,” katanya kepada media, hari ini.
 
Aku berharap MB Selangor TS Khalid akan dapat mencontohi usaha DS Wan Azizah yang lebih prihatin dengan rungutan rakyat akar umbi tanpa perlu 'berkira' atau asyik 'menabung' semata-mata.  Simpanan wang ringgit rakyat Selangor mestilah dibelanjakan untuk rakyat.  Pimpinan yang baik bukan saja tidak rasuah atau berintegriti, tetapi mesra rakyat dan tahu apa yang rakyat perlukan.  Siapa boleh nafikan Selangor di bawah TS Khalid memang memiliki simpanan wang yang banyak berbanding di zaman Umno dahulu, tetapi tiada siapa juga boleh menafikan terdapat beberapa masalah walaupun kelihatan kecil seperti jalan rosak, longkang tersumbat, sampah yang tidak dipungut dan beberapa masalah lain menjadikan rakyat merasa pelik ke mana wang yang banyak itu mahu digunakan.
 
TS Khalid diharapkan berubah dari seorang "korporat' kepada seorang pemimpin politik yang berjiwa rakyat.  Kita tidak mahu beliau menjadi seorang 'Korporat' sepertimana juga kita tidak mahu beliau menjadi seorang 'politiking' yang melampau dan bersikap kronisme.  Kita mahu beliau menjadi pemimpin politik berjiwa rakyat.
 
Jika beliau tidak berupaya menjadi seperti yang diharapkan, maka eloklah beliau tidak menjadi MB Selangor.  Harus diingat, Selangor bukan sebuah Syarikat.  Selangor juga bukan untuk PKR, PAS mahu pun DAP semata-mata.  Selangor milik rakyat Selangor, dan TS Khalid adalah ahli politik yang naik atas kuasa politik, maka tidak wajar ketepikan sama sekali mana-mana parti politik yang menaikkannya di samping tidak abaikan kepentingan rakyat keseluruhannya.

Rabu, 26 Mac 2014

KITA BOLEH MAAFKAN KECUAIAN ASALKAN NAJIB, HISHAMUDDIN DAN ZAHID HAMIDI LETAK JAWATAN SEGERA


BERAPA kali kita mahu dimalukan?  Banyak sudah kenyataan yang memalukan tersembur keluar dari mulut PM dan Menteri kita berkaitan tragedi Pesawat MH370 yang kini katanya 'berakhir' di lautan Hindi.  

Terbaru, di Parlimen tersembur lagi kenyataan yang kalau aku kata bodoh tentu nampak kasar, tapi cukup sekadar aku sebut Timbalan Menteri ini amat tidak bijak sekali.  Bukan saja tidak bijak, kenyataannya itu amat bahaya di dalam aspek keselamatan negara.

Petikan kenyataan di Parlimen, "Kementerian Pertahanan menjelaskan, pasukan tentera tidak memintas pesawat misteri yang dikesan melalui ruang udara Selat Melaka kerana menyangka ia diarah berpatah balik oleh menara kawalan. Timbalan Menteri Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia mengesahkan bahawa pesawat itu tidak memberi ancaman, ketika ia dikesan oleh radar tentera pada jam 2.40 pagi." (Malaysiakini).

Mana boleh kita hanya main "sangka-sangka" apabila dapat mengesan pesawat yang tidak dikenali?  Apabila pesawat itu tidak dikenali tidakkah kita terfikir dari mana datangnya pesawat itu dan apa tujuannya?  Apakah waktu itu pasukan keselamatan kita yang bertanggungjawab tidur lena dibuai mimpi?

Timbalan Menteri ini kata, pesawat itu tidak memberi ancaman maka dibiarkan.  Apakah SOP pasukan tentera kita mesti bertindak apabila ancaman sudah berlaku?  Ertinya, mana-mana pesawat boleh memasuki ruang udara negara kita asalkan tidak mengancam?  Apakah kita boleh percaya suatu hari nanti jika ada negara asing ingin menyerang negara kita, mereka akan hadir dengan pesawat dan memberitahu kita mereka datang bukan untuk mengancam?  Maka, mereka bebas ke hulu ke hilir di ruang udara kita?

Itulah sebabnya aku kata, Najib, Hishamuddin dan Zahid Hamidi patut letak jawatan sekarang.  Mereka ini gagal dengan memalukan samasekali.  Jika diberi markah, layak sangat mereka mendapat markah "F -" kerana menjadi bahan cemuhan dan tertawa dunia luar.  Pada awal Najib takut untuk bersoal jawab dengan wartawan asing itu lagi aku sudah merasakan Najib memang patut letak jawatan.  Berdebat dengan Ketua Pembangkang takut, berdepan dengan wartawan asing pun takut.   Sampai bila Najib mahu bergantung dengan wartawan Utusan Meloya dan TV3 suku saja?  

Isnin, 24 Mac 2014

ADA YANG KECEWA MENGALAHKAN ORANG UMNO KECEWA

PR Menang, BN tewas.  Itu saja yang aku mahu.  Aku tak peduli berapa majoriti sekalipun kerana di dalam mana-mana PRK di negara ini menang itu amat sukar, apatah lagi kita berdepan dengan media haprak berat sebelah, berdepan dengan seluruh jentera kerajaan dan sistem pilihanraya yang sememangnya pincang.

Apakah dengan kemenangan PR di PRK Dun Kajang ini maka kita sudah iktiraf SPR itu bagus dan adil?  Semestinya tidak. Kita dianggap terlalu kuat jika kita boleh menang di dalam keadaan sistem pilihanraya yang tidak pernah berubah.  Ertikata lain, kita boleh benamkan BN lebih teruk dari ini jika sistem itu benar-benar telus.

Tahniah kepada Kak Wan.  Memang ada suara-suara boikot PRK Dun Kajang, ada rakan-rakan di dalam PR sendiri inbox di FB aku berkali-kali menyatakan doanya agar di Kajang nanti PKR tewas, kononnya untuk mengajar PKR akibat mengosongkan Kerusi Kajang dengan "sengaja".  Aku hanya menjawab, "InsyaAllah, PKR akan menang kerana tidak srmua di dalam PR sebodoh kamu untuk berfikir".  Alhamdulillah, kita menang juga.  Aku rasa beberapa teman aku itu mungkin lebih kecewa dari orang Umno waktu ini.  

Aku amat hormati rakan-rakan terutama dari PAS yang terus komited untuk melawan Umno/Bn, mereka bekerja kuat membantu kemenangan ini.  Ramai pemimpin PAS termasuk YB-YB dari PAS yang aku temui sepanjang kempen sehingga hari terakhir.  Inilah rakan kita diwaktu susah dan senang.

Jumaat, 21 Mac 2014

MALAM INI (21/3/14) PENUHI STADIUM KAJANG - REFORMASI 2.0

Waktu rehat dari keletihan yang diharungi dalam usaha menyelamatkan negara ini melalui Pilihan Raya Umum ke-13 pada tanggal 5 Mei tahun lalu telah sampai ke penghujungnya. Kini sudah tiba masanya rakyat Malaysia bersedia untuk aksi lebih besar.


Belum pun masuk setahun kemenangan Barisan Nasional dengan penuh penipuan pada PRU 13, mereka menunjukkan taring dengan menghukum bukan sahaja pemimpin politik lawannya, malah rakyat jelata turut menjadi mangsa kezaliman. Satu persatu pemimpin dan pejuang rakyat dalam rangka disumbat ke penjara, dalam masa sama juga satu persatu janji ‘Rakyat Didahulukan’ dicemari tanpa ehsan.

Justeru itu, ayuh kita tamatkan segera onar penderitaan rakyat dengan bersama melancarkan satu fasa gagasan perjuangan yang diperbaharui – #RakyatBangkit Reformasi 2.0 “Kembalikan Keadilan – Hentikan Kezaliman”.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai tuan rumah aksi kali ini menyeru kehadiran orang ramai pada malam ini, 21 Mac 2014 jam 8.30 malam di Stadium Kajang dalam aksi Pelancaran Jelajah #RakyatBangkit Reformasi 2.0. Ia sebuah himpunan permulaan, hadirlah dengan tema hitam sebagai lambang perlawanan, ini masanya rakyat menunjukkan kekuatan.

Penjelasan mengenai kecurangan sistem kehakiman dalam pengendalian rayuan kes Fitnah II ke atas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes hasutan Ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh akan dibarisi oleh Anwar dan Karpal sendiri selain Mat Sabu, Tian Chua, Anthony Loke, Dr Hatta Ramli, Chegu Bard dan Rafizi Ramli.

 
 
SAMM menggesa semua pihak bersatu, kerana rakyat yang bersatu tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana regim sekalipun. SAMM menjemput semua pihak bersama menjayakan hari besar titik mula perlawanan baru ini.

Siri himpunan #RakyatBangkit Reformasi 2.0 akan menjelajah ke seluruh negara sebelum hari kemuncaknya – bersama himpunan gergasi 1 Mei di medan jalan raya.

Kehadiran awal di sebelah petang amatlah digalakkan bagi memeriahkan program sebelumnya iaitu “Bersama Srikandi Masa Depan Negara” yang bermula jam 5 petang. Turut bersama dalam program 5 petang ialah YB Nurul Izzah Anwar, YB Rodziah Ismail, YB Kashturi Pato, YB Elizabeth Wong, Aishah, Aiman Athirah, Cikgu Mala, YB Fuziah Salleh, YB Dr Siti Mariah dan YB Hannah Yeoh.

Badrul Hisham Shaharin atau Che’GuBard
Pengasas SAMM

Khamis, 20 Mac 2014

HADIR SEPENTAS BERSAMA ANAK MUDA DI KAJANG MALAM INI

AKU sudah sampai Kajang.  Meskipun berkesempatan hadir lewat, namun aku bangga telah ramai rakan-rakan berkampong di sini.  Semuanya di dalam keadaan bersemangat sekarang.

Kelmarin telah selesai undi awal dan undi pos.  Seribu lebih layak mengundi kelmarin dan aku percaya calon PR, DS Wan Azizah tidak berharap sangat keajaiban undi awal kerana kita telah maklum lama kaedah undi awal ini adalah aset mereka.  Jika Kak Wan dapat 20% daripada jumlah undi itu pun kira nasib sangat.

Malam ini aku akan cuba hadirkan diri di Stadium Kajang untuk berada sepentas dengan anak-anak muda dan mahasiswa.  Pengerusi KEADILAN Pahang yang juga MP Indera Mahkota juga turut hadir, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman yang pastinya akan membawa kisah menarik tentang partinya dahulu iaitu Umno.

Marilah beramai-ramai malam ini kita bertemu di Stadium Kajang, InsyaAllah.

Rabu, 19 Mac 2014

HARI-HARI HISHAMUDDIN COVER NAJIB, NAJIB PULA SIBUK DENGAN HARGA AYAM

TEKANAN buat Najib bertambah hebat.  Tragedi pesawat MH370 benar-banar buat pemimpin kerajaan 47% ini tidak tidor malam.  Jika beliau yang bertanggungjawab tidak tidor malam, bayangkan waris-waris kepada semua mangsa dan krew yang terlibat.  Tentunya mereka lebih tertekan.

Terbaru dengar khabarnya waris-waris yang terlibat di China ingin mogok kerana mereka tidak berpuas hati dengan negara ini menangani tragedi malang ini.  Bagi mereka banyak yang tersembunyi dari yang mereka ingin ketahui tentang nasib keluarga mereka.  Jika benar mereka ini akan melancarkan mogok, ianya merupakan satu tekanan baru yang lebih hebat buat Najib.  Aku tidak lagi terperanjat jika Najib umumkan letak jawatan sekiranya dua tiga hari ini tragedi malang ini menemui jalan buntu.

Ramai yang merasakan sebenarnya Najib tahu apa yang berlaku dan apa yang beliau tahu terlalu lama beliau pendamkan dan tidak mahu berterus terang.  Hati siapa yang tidak sedih bercampur marah jika Najib tidak boleh bertindak pantas dan apa yang dilaporkan setiap hari tidak berubah atau menunjukkan perkembangan positif.  Rahsia tetap rahsia.

Kita tahu memang ada yang perlu dirahsiakan, tetapi masakan semua perkara mahu dirahsiakan?  Berita bahawa pencarian masih berjalan diulang setiap hari.  Belum pun Najib dapat meyakinkan mereka tentang tindakan kerajaan sekarang adalah serius untuk mencari pesawat tersebut, media kita bagaikan haramjadah memainkan isu mengaitkan latarbelakang politik Pilot yang terlibat.  

Rakyat China bukan mahu dengar kisah politik haprak negara ini.  Mereka mahu tahu apakah langkah bijak kerajaan di dalam menyelesaikan perkara ini.  Mereka bukan mahu lihat tikar terbang, teropong mahupun buah kelapa atau Bubu.  Peristiwa bodoh itu biarkan si bodoh dacing baghdad saja yang melihat dan mempercayainya.  Dunia luar anggap kerja bodoh Tok Bomoh 1 Malaysia itu hanya sebagai bahan jenaka.  

Setiap hari hanya Hishamuddin yang terpaksa berdepan dengan wartawan seluruh dunia.  Di mana Najib?  Sepatutnya di tahap ini, Najib yang perlu ke depan.  Sebagai PM, Najib bukan layak bercakap soal harga kangkung mahupun tentang harga ayam seringgit.  Najib mesti tunjukkan beliau bukan hebat di TV3 suku sahaja.  


Selasa, 18 Mac 2014

UG BOIKOT PRK DUN KAJANG, SIAPA DIA UG ?

APA sudah jadi dengan negara kita?  Apakah ini pembalasan apabila kita berada di sebuah negara yang diperintah oleh kerajaan 47% yang tentunya tidak berkat kerana majoriti rakyat tidak menyokong mereka menjadi pemerintah?  

Benar, 47% adalah minoriti tetapi dari sudut undang-undang negara bukan semangat atau roh demokrasi, mereka tetap menjadi kerajaan kerana miliki Kerusi di dalam Parlimen lebih banyak dari PR.  Oleh kerana mereka hanya mendapat 47% sepatutnya mereka bersyukur kerana masih menghuni Putrajaya.  Apakah mereka bersyukur?  

Sebaik saja mereka menang, rakyat terus dibebankan dengan kenaikan harga minyak, barang dan tenaga letrik.  Janji untuk menurunkan kadar tol tidak tertunai, cuma janji tol tidak dinaikkan yang memberi erti harga tol adalah sama seperti sebelum PRU 13 yang lalu.  Rejim 47% ini terus berlaku zalim apabila Ketua Pembangkang dihukum 5 tahun penjara.  Puaskah hati mereka?

Tentulah puas kerana tokoh yang mereka amat takuti bakal merengkok di dalam penjara.  Anwar tidak lagi dibimbangi menjadi MB Selangor.  Mereka sedar jika Anwar menjadi MB Selangor, rakyat akan lihat nanti prestasi Anwar di Selangor.  Prestasi ini pastinya akan menjadi kayu pengukur kepada rakyat apabila PR menwar-warkan Anwar menjadi PM sekiranya PR dipilih oleh rakyat di dalam PRU 14 akan datang.  Jika Khalid Ibrahim anak didik Anwar ini pun Umno tidak mampu untuk menjatuhkannya, bayangkan jika Anwar berada di Kerusi MB. Itu yang mereka takuti sangat.

Ini memberi makna strategi "Kajang Move" besar kesannya kepada Umno/Bn.  Strategi ini menyebabkan Anwar dihukum 5 tahun penjara.  Strategi "Kajang Move" juga memaksa Najib tiba-tiba lembut hati menandatangani MOu pengambilalihan konsesi air di Selangor.  Jika tiada "Kajang Move", kerat jari jika Najib mahu turuti kehendak Kerajaan Negeri Selangor.  Buktinya, mana royalti di Kelantan?  Mengapa tidak dikembalikan?  Jawapannya mudah, iaitu tiada PRK di Kelantan.  Itu saja.

Aku tahu ada rakan-rakan di kalangan kita yang mahu boikot PRK Dun Kajang nanti.  Ini golongan beku otak mereka.  Mereka tidak boleh berfikir panjang.  Mereka sanggup tidak mengundi mana-mana parti untuk menunjukkan keras kepala mereka, biarpun nanti Umno/Bn menang.  Ada mereka kisah?  Golongan ini ternyata memiliki dendam terhadap Anwar kerana Anwar dilihat terlalu berpengaruh di dalam dan di luar negara.  Mereka tidak mengundi langsung membawa maksud mereka adalah penyokong Umno.  Tidak mengaku tidak mengapa, tapi ramai yang sudah tahu wajah mereka sebenar.

Di saat tragedi MH370 masih buntu, di saat 6 orang mati sewaktu menyaksikan persembahan konsert gila atau mabuk di Bukit Jalil baru-baru ini, adik beradik UG sanggup membantu Umno/Bn menang di Kajang walaupun tidak secara langsung.  Jangan marah aku, aku tidak sebut nama siapa dia di kalangan UG tersebut.  Tidak sebut nama tidak salahkan?

Ahad, 16 Mac 2014

BOMOH TIKAR TERBANG ITU LUCU, TAPI NAJIB LEBIH PELIK

APA yang terkininya tentang berita Pesawat MH370 yang hilang itu apabila Najib mengadakan "Khutbah"nya semalam?  Aku sebut "Khutbah" bukan PC kerana hanya "Khutbah" saja yang Khatib akan baca dan pendengar atau Makmum tidak boleh bertanya atau bersoal jawab.  Jika PC atau Sidang Media, sudah tentunya berbeza dari Khutbah.
 
Najib hanya baca sejarah dari awal tragedi malang tersebut.  Kita pun setiap hari dapat berita yang diulang oleh Najib itu.  Apa yang baru hanyalah kata Najib, "Berdasarkan data baru, pihak berkuasa penerbangan Malaysia dan rakan-rakan antarabangsanya percaya kapal terbang itu boleh berada di dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Tukministan dan utara Thailand atau koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.  Najib berkata, berdasarkan perkembangan terkini ini, pihak berkuasa Malaysia memfokuskan penyiasatan mereka ke atas anak kapal dan penumpang.  Katanya lagi,  "Walaupun ada laporan media yang mengatakan pesawat ini dirampas, saya ingin jelaskan kami masih menyiasat semua kemungkinan yang menyebabkan MH370 menyimpang dari laluan asalnya," katanya.
 
Kami masih menyiasat. Kita pun tahu memang sudah seminggu disiasat.  Dia kata fokus kepada anak kapal dan penumpang, itu pun memang sepatutnya dilakukan tetapi jika mahu fokus kepada anak kapal dan pernumpang, tentunya terpaksa fokus juga kepada pesawat sebab kesemua mereka itu berada di dalam pesawat.  Masalahnya di mana pesawat itu?  

Bagi aku tiada yang baru di dalam "Khutbah" Najib.  Selama seminggu hanya Hishamuddin saja yang berbelit-belit bercakap di hadapan ratusan media asing dan tempatan, semalam Najib muncul.  Kita ingatkan tentu ada yang menarik serta positif yang Najib boleh kongsikan.  Malangnya tiada.  Malahan lebih hampa apabila Najib takut untuk ditanya oleh wartawan.  

Malu kita ada pemimpin yang takut untuk berdepan dengan soalan wartawan.  Takut apa?  Memang tidak semua perkara boleh diberitahu kepada orang awam, tetapi apa salahnya sekadar menjawab soalan yang boleh dikongsikan bersama orang awam?  Mana-mana yang dirasakan tidak perlu dijawab, beritahu saja tidak boleh dijawab atas alasan-alasan tertentu, keselamatan umpamanya.  Tetapi langsung tidak mahu berdepan dengan wartawan ini amat meragukan dan memalukan.

Jika Najib selama ini memang kita tahu amat takut untuk berdebat dengan Anwar, tidak terfikir pula oleh kita Najib takut untuk berdepan dengan wartawan khususnya wartawan asing.  Maklumlah, biasa berdepan dengan wartawan kelas bawah seperti dari utusan meloya dan TV3 suku, maka tentunya Najib bimbang jika beliau tidak boleh elak untuk tidak menipu.  Rakyat Malaysia tentu merasa dukacita melihat perangai pelik Najib berbanding dengan pemimpin negara luar.  

Bagi aku, jika kita merasa pelik dan lucu dengan tingkah laku bomoh tikar terbang yang bodoh itu, kita patut lebih pelik lagi dengan perangai Najib yang melarikan diri dari wartawan.