RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 22 Ogos 2015

APA ITU DEIG ? AZMIN BETUL ATAU SALAH?

BANYAK perbahasan pro dan kontranya di dalam isu DEIG yang cuba diwujudkan oleh Kerajaan PR Selangor di bawah MB. Azmin Ali.  Isu ini masih hangat diperbahaskan di dalam Dun Selangor.  Aku tabik dengan beberapa Adun dari PR yang mampu berdiri dan berhujah secara kritikal di dalam Dun bagi mendapatkan penjelasan dari MB.

Ertinya, di Dun Selangor kesemua Adun berhak mengeluarkan suara termasuk mantan MB Selangor, TSKI.  Adun-adun dari Dap juga lantang bersuara.  Tabik juga buat MB yang tidak lari dari menjawab persoalan. 

Di bawah ini, boleh kita kongsikan serba sedikit berkaitan isu ini;  (Untuk ikuti lebih lanjut, klik saja sini --->  http://tv.selangorku.com/79504/rakaman-penuh-jawapan-mb-berhubung-isu-deig/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=twitter


DARUL EHSAN INVESTMENT GROUP BERHAD (DEIG)

DEIG adalah milikan penuh (100%) oleh MBI dan mempunyai modal berbayar sejumlah RM10 juta. Carian terkini dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan membuktikan fakta ini.

Dari segi operasi,DEIG akan ditadbir oleh Lembaga Pengarah yang terdiri daripada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Setiausaha Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan Ketua Pegawai Operasi MBI serta disokong oleh golongan professional yang pakar dalam bidang pelaburan strategik.

Asas Penubuhan

MBI tidak pernah menyumbang kepada pendapatan Kerajaan Negeri melalui dividen.

Ini disebabkan 12 kumpulan anak syarikat milik MBI menguruskan sendiri portfolio bisnes mereka serta dibebani dengan legasi masing- masing.

Justeru itu, aset-aset milik MBI harus dirasionalisasi dan konsolidasi untuk mengelakkan pertindihan serta untuk mendapat pulangan hasil yang baik.

Sebelum ini, MBI bertindak sebagai pentadbir dan pengurus pelaburan untuk membuat keuntungan serta melaksanakan aktiviti CSR.

Sehubungan dengan itu, aktiviti anak syarikat harus mempunyai pengkhususan (core business).
Contoh : Yayasan Selangor bertujuan untuk menyediakan akses kepada pendidikan bagi anak-anak Selangor. Tetapi ia juga menjalankan aktiviti bisnes pelaburan hartanah untuk menanggung kos bagi melaksanakan objektif utama untuk menyediakan pendidikan. Ini menyebabkan Yayasan Selangor telah lari daripada tujuan asal penubuhan.

Inilah yang berlaku di dalam MBI di mana pertindihan core business berlaku di antara anak syarikat. Ada anak syarikat melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan dan tanggungjawab sosial mengakibatkan fokus yang tidak tetap.

Tahap Akauntabiliti Tinggi

PAC dan Jawatankuasa Pilihan ABAS (Anak Syarikat Kerajaan Negeri) mempunyai akses untuk meneliti pengurusan dan kewangan DEIG sepertimana anak syarikat Kerajaan Negeri yang lain.

Laporan kewangan DEIG akan dikonsolidasikan diperingkat MBI. Maksudnya segala perincian kewangan di peringkat DEIG akan direkod doperingkat MBI melalui kaedah ‘Consolidated Account’.
Contoh : Sekiranya DEIG mempunyai 1,000 ekar tanah, ia akan direkod di Consolidated Account MBI.

10. DEIG didaftarakan mengikut Akta Syarikat 1965, Seksyen 169, Sub Seksyen 1 Akta berkenaan mewajibkan penyata kewangan DEIG diaudit dan dibentangkan kepada pemegang saham serta dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat setiap tahun. Orang awam boleh melihat perincian laporan kewangan berkenaan menerusi laman web SSM.

11.Diperingkat MBI, Enakmen No. 3 Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) 1994 akan ditambah baik untuk memastikan segala laporan kewangan termasuk DEIG yang telah dikonsolidasikan di peringkat MBI akan dibentang di Dewan.

12.Demi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban, segala keputusan komersil dan pelaburan DEIG akan ditentukan oleh Jawatankuasa-Jawatankuasa Pemilihan, Tender, Audit dan Pelaburan.

13.DEIG akan mempunyai struktur tatakelola dan “check and balance” yang menurut best practice industri korporat.

14.Kerajaan Negeri akan memastikan DEIG ditadbir menurut ketelusan, tatakelola korporat, akauntabiliti dan kawalan dalaman yang ketat. Pengurusan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor akan subscribe to the highest form of governance.

Falsafah Kerajaan

15.Falsafah yang menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh melibatkan diri dalam bisnes tidak boleh digunapakai sepenuhnya. Kerajaan harus juga melibatkan diri dalam bidang-bidang strategik seperti perumahan mampu milik, kesihatan awam, pembekalan air bersih dan sebagainya.

16.Kerajaan Negeri akan fokus untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk bisnes.

17.Kerajaan Negeri juga akan memastikan keadilan dalam pengagihan menerusi program-program keadilan sosial seperti (perumahan, pendidikan dsb). 18.Kerajaan Negeri akan memastikan tiada lagi perjanjian yang berat sebelah dan tidak memberi keuntungan setimpal untuk anak syarikat milik Kerajaan Negeri.

Selasa, 18 Ogos 2015

ORANG YANG HILANG JAWATAN PUN TIDAK KECUH, MENGAPA ORANG LAIN SAKIT HATI?

KISAHNYA adalah TSKI yang menyaman bekas SUA KEADILAN, Sdr Saifuddin Nasution dan juga parti KEADILAN kononnya menfitnah beliau.  Aku pun gembira dengan cara TSKI itu kerana hanya melalui mahkamah saja kita boleh tahu samada Saifuddin mahupun KEADILAN betul-betul ada hujah atau fakta untuk menuduh TSKI, begitu juga hanya mahkamah saja tempat TSKI boleh membersihkan namanya.

Tida cukup dengan kita hanya mendengar dari mulut Saifuddin saja, begitu juga tidak adil jika kita mendengar dari mulut TSKI semata-mata.  Maka, elok benar biar mahkamah saja beri peluang kedua-dua mereka ini berhujah dan membawa bukti serta fakta masing-masing.  Aku tidak mahu sentuh soal jawatan MB Selangor yang terlucut dari TSKI kerana bagi aku sekiranya TSKI tiada apa-apa salah pun tetapi jika parti tidak lagi menaruh keyakinan kepada beliau untuk menjadi MB, ditambah pula disokong penuh pula oleh Dap rakan sekutu di dalam PR, maka TSKI memang tidak layak duduk di situ.

Belum pun sempat masuk mahkamah, hasil nasihat dan pandangan Anwar maka kes saman yang difailkan oleh TSKI ini ditarik balik atas tiga asas penting.  Pertama, Saifuddin dan KEADILAN memohon maaf kepada TSKI.  Kedua, TSKI pula memohon maaf kepada Saifuddin dan KEADILAN.  Ketiga, kedua-dua pihak terutamanya di pihak Saifuddin dan Nasution tidak perlu lagi ungkit apa jua dakwaan terhadap TSKI.  Ini adalah jelas satu persefahaman yang adil atau "win-win".  

Mengapa TSKI sanggup tarik balik saman yang sebenarnya amat penting untuk kita ketahui kesudahannya kerana kita telah dengar bermacam-macam tentang TSKI?  Adakah hanya kerana di bulan Syawal, kerana perlunya memohon "maaf Aidil Fitri" saja maka TSKI sanggup lepaskan saman sebesar itu?  Bukankah tuduhan-tuduhan terhadap beliau sebelum ini amat menjejaskan imej dan maruahnya?  Tentu ada yang lrebih utama dan penting yang menyebabkan TSKI menarik balik samannya.  Apakah kerana beliau tahu jika dibawa ke mahkamah akan bertambah banyak yang terbongkar?  Jika itu alasannya, aku pun rasa setuju beliau berbuat demikian.

Mengapa pula Saifuddin dan KEADILAN memohon maaf dan buat untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah?   Jika diteruskan kes, untungnya KEADILAN apa?  Masa habis, duit pun habis sedangkan matlamat untuk menukar TSKI sebagai MB Selangor telah pun tercapai.  Ertinya, samada saman itu diteruskan atau tidak, TSKI tetap bukan lagi MB Selangor.  Jadi, KEADILAN tidak perlu buang masa melayani saman tersebut, apatah lagi TSKI sendiri setuju untuk selesaikan kes tersebut di luar mahkamah dengan terma-terma yang disebut di atas.  Sepertimana kata Saifuddin, beliau telah bersedia untuk menghadapi kes saman tersebut kerana tiada apa yang perlu ditakutkan.  Namun, atas nasihat Anwar dan diterima pula oleh TSKI, maka Saifuddin dan KEADILAN sanggup menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.

Ertikata lain, Saifuddin dan KEADILAN tidak rugi atau untung jika kes tersebut disebut atau diselesaikan.  TSKI mungkin dapat banyak keuntungan kerana sudah tentu beliau tidak mahu banyak lagi perkara akan timbul jika diteruskan saman ini.  Jika beliau menang kes saman itu pun, jawatan MB Selangor tetap juga bukan milik beliau lagi.  Ini adalah kerana jawatan tersebut dipilih dari majoriti di Dun Selangor.  TSKI hanya boleh memiliki semula jawatan itu jika majoriti Adun di Selangor menyokongnya sebagai MB Selangor samada TSKI menang atau kalah di dalam kes saman tersebut.

Sikap kedua-dua pihak yang memilih untuk berdamai adalah langkah paling bijak.  Saling bermaafan ini amat tidak disenangi oleh puak-pua yang selama ini tidak suka kepada "Kajang Move" kerana dengan Kajang Move lah rakyat sudah kenal puak-puak ini.  Sebab itu ada lebai yang bodoh memikirkan bahawa Saifuddin dan KEADILAN yang memohon maaf kepada TSKI, maka membuktikkan benarlah TSKI selama ini difitnah.

Bagi aku, atas apa jua faktor permohonan maaf ini dibuat oleh edua-dua pihak, terbukti mereka ada kekuatan jiwa dan moral yang tinggi.  Ini berbeza dengan kes fitnah edar pil kuda.  Tukang fitnah aman sejahtera saja menanggung fitnah yang dibuatnya tanpa sedikit pun terniat untuk memohon maaf.

Jumaat, 14 Ogos 2015

JAMUAN HARI RAYA KEADILAN PAHANG BERSAMA PRESIDEN KEADILAN ESOK (SABTU - 15/8/15) DI BENTONG



ESOK, Sabtu (15/8/15) jam 4.00 Petang sehingga 07.00 petang, KEADILAN Negeri Pahang akan mengadakan Rumah Terbuka Aidil Fitri KEADILAN Pahang, bertempat di Dewan Perhimpunan Cina, Bandar Bentong.  Kehadiran tetamu undangan adalah Presiden KEADILAN Pahang, YB Datin Seri Wan Azizah serta Timbalan Presiden, YAB Azmin Ali dan pimpinan KEADILAN Pusat serta Negeri.  Kepimpinan Pas dan Dap Pahang juga turut dijemput bersama.

Seluruh rakyat Negeri Pahang khususnya serta NGOs, penyokong-penyokong mana-mana parti politik turut dijemput bagi meraikan Aidil Fitri yang kali ini Bentong dipilih sebagai Tuan Rumah.

Pada majlis tersebut turut akan disajikan dengan Deklamasi Puisi tentang perjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di penjara Sg Buluh.  Sebelum itu, satu sesi taklimat tertutup oleh Presiden dan seluruh Ahli MPN KEADILAN Pahang akan diadakan sempena Program Jelajah Presiden. 

Pahang merupakan negeri terakhir di dalam Program Jelajah Presiden ke seluruh negeri bermula awal Julai yang lalu.

Sabtu, 8 Ogos 2015

KEADILAN DAN DAP HARUS SERIUS MENERIMA GHB SEBAGAI RAKAN MENUJU PUTRAJAYA

MELIHAT kepada komitmen Gerakan Harapan Baru (GHB) sekarang ini yang tidak kenal erti penat dan letih, merata ke pelusuk negeri untuk melawan rejim Umno/Bn, maka aku merasakan wajib untuk KEADILAN dan Dap menerima GHB sebagai rakan bersama di dalam misi kita ke Putrajaya.  

Ada yang menuduh GHB adalah kumpulan kecewa dan ingin mencari kesenangan dunia semata-mata.  Bagi aku itu tuduhan bodoh yang berunsurkan dengki dan khianat yang tidak berkesudahan.  Jika GHB ingin selesa dan mengejar dunia, kumpulan ini tidak akan berbaik dengan KEADILAN dan Dap.  Mereka harus keluar parti dan umumkan untuk bersama Umno/Bn, kompom mereka senang lenang.  Tapi GHB memilih untuk terus susah dan senang bersama rakyat.  

Kumpulan ini sewaktu berada di dalam Pas sehingga kini komited melawan rejim.  Ada juga tuduhan kononnya GHB di dalam ceramahnya menghentam Pas.  Aku kerap ikuti program mereka melalui jauh melalui siaran langsung program-program GHB ini, aku tidak nampak mereka serang Pas.  Jika ada mereka sebut Pas pun, itu adalah sebagai membalas tuduhan jahat terhadap mereka.  Di samping itu, GHB juga menerangkan misi dan mengapa GHB wajib diwujudkan.  Selebihnya program mereka terus konsisten menentang rejim Umno/Bn.

Maka, sudah sampai masanya KEADILAN dan Dap lebih serius untuk menerima GHB sebagai rakan bersama di dalam PR setelah GHB secara resminya ditubuhkan sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam secara syumul dengan pendekatan yang penuh hikmah dan bijaksana.

Khamis, 6 Ogos 2015

DI MANA SUARA EZAM SESUMPAH TERHADAP NAJIB?

DISAAT Najib sekarang di dalam keadaan amat tertekan dengan berbagai isu dan skandal yang dipersoalkan kepadanya, aku tertanya-tanya di mana suara Ezam Mohd Nor?  Bukankah Ezam dipelihara Najib begitu manja sekali mengalahkan ramai lagi ahli-ahli Umno yang lain namun disaat Najib ketika ini amat memerlukan tukang 'cover' dirinya, Ezam menyepi diri.  Ezam adalah salah seorang yang bertugas di Pejabat Menteri Kewangan, iaitu Najib sebagai penasihatnya.

Aku masih ingat sewaktu Ezam menghalalkan dirinya untuk menyertai Umno di antara faktor utamanya katanya adalah beliau semakin yakin dengan kepimpinan Umno selepas Mahathir.  Apabila beliau mulanya dilantik sebagai Senator, maka beliau semakin hebat menyerang Anwar waktu itu.  Tiada lain yang keluar dari mulutnya selain dari memburukkan bekas bosnya itu.  Kemudian Ezam sesumpah ini terus dilantik sebagai Penasihat oleh Najib di Kementerian Kewangan.

Sekarang, Najib diselimuti dengan "kudis-kudis" buta dengan berbagai dakwaan terhadapnya.  Bermula dengan isu Altantuya, kemudiannya skandal 1MDB dan bertambah menekan lagi adalah isu wang RM 2.6 Bilion yang berada di dalam akaunnya.  Apakah Ezam juga sanggup mengangguk dan bersetuju bahawa itu semuanya adalah wang kutipan derma?  Di mana kejantanan Ezam ?

Aku mencabar Ezam sesumpah agar bercakap sepatah perkataan untuk bertanya Najib, siapakah yang menderma ke dalam akaun beliau sebanyak itu?  Beranikah Ezam?  Jika tidak, lebih baik Ezam bersara dari kancah politik daripada terus memikul biawak hidup.  Ezam kini pada aku lebih bangsat dari raja katak, Ibrahim Alkataki.  Alhamdulillah, Allah keluarkan Ezam dari KEADILAN lebih awal.

Ahad, 2 Ogos 2015

APABILA BLOGGER KECEWA LEKEHKAN ANAK-ANAK MUDA

MAKA, blogger Omak Kau pun mengulas di sini, himpunan anjuran anak-anak muda semalam tidak mendapat sambutan disebabkan tiada penglibatan Pemuda Pas.  Ertinya, selama ini semua demo yang berjaya hanya kerana ada penglibatan Pemuda Pas?  Demo HINDAR pun tiada penglibatan Pemuda Pas gamaknya sebab itu hambar walaupun kemudahan selesa diberi untuk demo itu.

Blogger ini sejak terpelantingnya TSKI, beliau banyak menulis tentang Azmin.  Apa jua yang beliau tulis semuanya tentang Azmin.  Andainya bukan Azmin yang menjadi MB Selangor dan Azizah menjadi MB Selangor, tidak mustahil Azizah pun dia hentam.  Maklumlah, hanya TSKI saja yang terbaik baginya.  Oleh kerana hatinya yang terlalu derita dek kerana TSKI tidak menjadi MB Selangor, maka tidak hairanlah beliau setiap hari meroyan.



Tulisan terbarunya dia meroyan pula apabila anak-anak muda berdemo.  Beliau mungkin berfikir bahawa demo itu semestinya mencapai ratusan ribu.  Jika tidak, demo itu gagal kerana tiada Pemuda Pas.  Lojik atau tidak, himpunan anjuran Pas sendiri seperti HINDAR pun tidak jauh bezanya dengan demo anjuran budak-budak muda ini, masakan Pemuda Pas gagal menjadikan himpunan HINDAR itu demo terbesar?  Jika demo anjuran parti sendiri pun mereka gagal, apakah lojik untuk menyatakan demo semalam itu juga gagal kerana tiada Pemuda Pas?


Beliau kena tahu bahawa walau sepuluh orang pun yang hadir tetapi tujuannya untuk melawan rejim, itu sudah cukup untuk kita tabik apa yang mereka lakukan.  Sudahlah kita tidak menyokong semangat anak-anak muda ini, kita pula memperlecehkannya.  Perbuatan kita itu sebiji seperti amno.  Sebelum TSKI ini dipecat, tidak pernah kita dengar beliau memperlekehkan demo walaupun kita tahu sahak gagap ini bukan orang yang suka bersusah berdemo ini.  Boleh dibilang sahak gagap hadir demo.  Dapat dua kali hadir pun sudah dikira kuat.

Begitulah beliau menunjukkan kekecewaannya yang amat sangat semenjak terpelantingnya Sahak gagap.  Partinya sendiri pun sudah tidak memperdulikannya.  Kepada siapa beliau ingin mengadu?  

Tahniah kepada anak-anak muda dari berbagai kaum yang turun semalam di hadapan Sogo.  Ramai yang ditahan.  Mereka ternyata lebih berani dari para penyokong Muhyidin yang berterusan menyerah diri kepada rejim zalim walaupun bos mereka turut menjadi mangsa kezaliman.

Khamis, 30 Julai 2015

RAMAI AHLI UMNO BARU KENAL APA ITU KEZALIMAN

SEBAIK saja mantan TPM, Muhyidin Yassin terus bercakap secara terbuka tentang skandal 1MDB sewaktu beliau merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Cheras baru-baru ini, dalam tempoh 24 jam beliau terpecat.

Rata-rata ahli Umno amat kecewa kerana pemimpin mereka masih gagal di dalam melakukan perubahan.  Najib yang memperkenalkan transformasi di dalam pentadbiran kerajaan, ternyata beliau gagal merealisasikan di dalam partinya sendiri.  Kezaliman terus berlaku dan Umno terus kekal dengan corak pemerintahan di era Mahathir.   

Di zaman Mahathir, Musa Hitam menjadi mangsa.  Kemudiannya DS Anwar pula yang memecah rekod Timbalan Perdana Menteri yang dipecat dari kerajaan dan parti malah lebih zalim lagi terus difitnah seterusnya terpenjara.  Rekod beliau ini belum ada yang mengatasinya.  Jika Musa Hitam keluar dengan sendirinya, Muhyiddin pula dipecat, bezanya beliau tidak diaibkan atau difitnah.  

Ternyata umno semakin parah dan hilang kredibiliti untuk menjadi tunjang kerajaan yang memerintah.  Bagaimana Umno mahu menunjukkan contoh kepada rakan-rakannya di dalam Bn yang sedang berkrisis seperti MIC, jika Umno lebih parah dari MIC?  Umno kini ditertawakan oleh MIC.  Waktu ini menjadi ahli Umno adalah amat memalukan.

Sering kita sebut, ramai ahli Umno yang selama ini tidak peka kepada kezaliman seperti yang telah berlaku kepada DS Anwar, tetapi apabila berlaku atas batang hidung mereka sendiri, baru mereka kenal apa itu kezaliman.   Masih adakah yang berminat untuk terus dikenali sebagai orang Umno?  Tidak malukah sesiapa atau mana-mana parti yang ingin bersama umno?  Di mana muka pemimpin parti politik yang selama ini setuju Najib terus berkuasa sehingga PRU14 ini hendak menyorokkan muka mereka?

Selasa, 28 Julai 2015

GERAKAN HARAPAN BARU MENGUBATI KEKECEWAAN KITA

MERUJUK kepada apa yang disebut oleh Nik Amar, bahawa Pas tiada masalah bersendirian sekiranya tiada lagi ikatan bersama KEADILAN setelah Pas menyingkirkan Dap, aku yakin dengan apa yang disebut oleh Nik Amar itu.  Ikhlasnya, memang Pas mampu bersendirian jika kita tidak bercakap soal ke Putrajaya.

Begitu juga dengan apa yang disebut oleh Dr Haron Din, Mursyidul Am Pas bahawa Pas akan menyingkirkan KEADILAN jika parti yang diterajui oleh DS Anwar dan Azizah ini menerima Dap dan Gerakan Harapan Baru (GHB).  Ertinya, Pas memberi pilihan kepada KEADILAN samada ingin bersama Pas atau DAR juga GHB.  Apakah KEADILAN tertekan dengan alternatif yang diberikan oleh Pas itu?

Kalau ditanya kepada Dap, Pas mahupun KEADILAN, semuanya tentu bersetuju bahawa untuk menjatuhkan rejim Umno/Bn ini tiada jalan lain melainkan dengan gabungan seperti sebelum ini iaitu Pakatan Rakyat.  Ini bukan teori kosong, malah telah terbukti bahawa rejim menjadi lemah dengan adanya pakatan pembangkang.

Takdir menentukan segalanya.  Kita tidak fokus untuk menjatuhkan rejim selepas PRU 13 yang lalu.  Kita tidak konsisten untuk mencapai agenda Buku Jingga yang telah kita persetujui.  Pas menghambat benda lain yang tiada kita gariskan di dalam Buku Jingga.  Mereka memikirkan bahawa Buku Jingga tidak Islamik tanpa Hudud.  KEADILAN pula melihat bahawa apa yang kita ingin capai di dalam Buku Jingga itu juga adalah kewajipan yang dituntut oleh Islam.  KEADILAN tidak melihat tanpa Hudud di dalam Buku Jingga maka kita gagal melaksanakan tuntutan Islam.

Apakah Dap selama ini menghalang semua agenda Islam Pas?  Atau, adakah KEADILAN yang dipimpin oleh orang Melayu Islam itu anti kepada Islam?  Jika Pas tidak beranggapan sedemikian, maka sebab apa Pas boleh hilang fokus?  Apa pun, Dap dan KEADILAN terus melihat Pas dengan caranya sendiri.  Pas yakin Umno akan membantunya menjayakan agenda Islam iaitu Hudud.  Terbukti setakat ini, bunga-bunga untuk Umno membantu Pas tidak kelihatan.  Bagaimana mungkin Umno mahu kepada Hudud di dalam masa yang sama mereka membawa akta zalim yang bercanggah dengan keadilan Islam itu sendiri, umpamanya akta POTA dilaksanakan?  Lojikkah Hudud mahu didukung serentak dengan POTA?

Pas gagal melihat helah Umno.  Paling mengecewakan bila Nik Abduh sendiri akhirnya mengaku bahawa Pas sanggup dan rela menjadi mangsa penipuan kerana Pas bukan pihak yang menipu.  Benar, penipu itu berdosa dan mangsa penipuan tidak berdosa.  Tetapi apakah dengan sengaja mendedahkan diri untuk ditipu berkali-kali itu menepati kaedah Islam?

Benarlah ramalan aku selama ini.  Silap perhitungan, yang dikejar tidak dapat manakala yang dikendung berciciran.  Hudud entah ke mana, Pas pula kehilangan rakan-rakan yang selama ini sanggup menangis dan ketawa bersama.  Umno pula semakin lebar senyumannya.

Alhamdulillah, wujudnya GHB ini, hati kita sedikit terubat.  Rupa-rupanya masih ada di kalangan Pas yang masih kenal wajah Umno.  Bersamalah kita mendoakan agar Pakatan Rakyat 2.0 akan menjadi kenyataan demi meneruskan perjuangan menentang rejim umno/Bn.  


Rabu, 15 Julai 2015

SELAMAT BERSUSAH BERSAMA KAMI BUAT WADAH BARU GHB

SELAMAT datang Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk meneruskan kesinambungan wadah politik berlandaskan Islam, melawan kezaliman dan menuntut keadilan di bumi Malaysia ini.  GHB diumumkan sebagai satu lagi wadah politik yang akan bersama KEADILAN dan Dap untuk meneruskan langkah yang sedikit terencat sekarang bagi menghadapi rejim Umno/Bn.

Pakatan Rakyat yang dahulunya adalah melibatkan KEADILAN, Pas dan Dap nampaknya seperti tiada jodoh yang berpanjangan kerana ada suara-suara yang menzahirkan rasa tidak puas hati hingga ke tahap kebencian dan mengugut untuk bercerai.  Dap berkata putuslah hubungan dengan Presiden Pas tapi tetap bersama Pas.  Ertinya, mahu terus berbaik dan berkawan dengan si anak, namun tidak berkenan dengan perangai si ayahnya.  Pas pula bertindak lebih 'berani' dan hebat.  Pas tidak tolak Kit Siang atau Guan Eng, malah lebih berani apabila Pas menolak batang tubuh Dap keseluruhannya.  Ertikata, Pas beranggapan kerana Dap tidak mahu berkawan dengan 'ayah' (Presiden) maka kami dari keluarga si ayah tidak mahu berkawan dengan seluruh keluargamu (Dap).  Begitulah keadaannya sekarang.

Di atas kertas belum bercerai walaupun kata-kata nista dan cerai dilafazkan di khalayak ramai bahkan satu dunia sudah tahu usul memutuskan hubungan dengan Dap telah diluluskan tanpa bahas di dalam Muktamar, iaitu badan berkuasa penuh di dalam Pas. Katanya, usul tersebut belum muktamad kerana Majlis Syura belum luluskan.  Nah, baru-baru ini Majlis Syura Ulamak telah pun bertindak tepat menyokong usul dari Dewan Ulamak itu.  Maka, sah atau tidak cerai itu?  Katanya lagi, belum sah lagi kerana tidak dibawa lagi di dalam AJK Pas Pusat.  Atau, sebenarnya telah sah cuma tunggu AJK Pas Pusat saja laksanakannya.  Itulah situasi pelik bin ajaib yang berlaku di dalam PR sekarang.

Secara peribadinya, aku rasa amat tepat pada masanya GHB muncul untuk menenangkan situasi.  Umno/Bn kini memang di dalam keadaan amat lemah.  Pemimpin mereka kini telah terlondeh segala-galanya, bayangkan jika sampai ke tahap akaun bank laki bini pun didedahkan orang.  Maka, ini lah waktu dan saat yang paling baik GHB berada dalam satu saf perjuangan rakyat yang telah diamanahkan di dalam PRU 13 yang lalu.  Kita tidak mampu lagi untuk melayani drama "Hudud" yang dipersembahkan oleh Umno untuk membuli umat Islam.  Kita tidak sanggup lagi melihat Hudud dijadikan modal untuk merealisasikan cita-cita UG yang tidak pernah digemari oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.  Kita mahu Hudud dilaksanakan atas kesedaran ugama bukan untuk mainan politik untuk mencipta perpecahan.

GHB tentunya tidak percaya kepada Umno/Bn untuk merealisasikan Hudud.  GHB tentunya mahu melihat Islam itu bukan hanya tertumpu kepada Hudud semata-mata tetapi kebajikan rakyat juga satu kewajipan agama.  GHB tentu merasa sedih melihat masih ada lagi rakyat yang merempat tiada tempat tinggal, tiada pendidikan dan masih berada di dalam khemah menjelang Raya.  Ini bukan cara Islam mentadbir.  Islam  itu syumul, bukan hanya terkandung Hudud di dalamnya.  Justeru itu, GHB merasakan tiada pilihan melainkan turut sertai jihad menentang rejim Umno/Bn.  GHB tidak akan sesekali bersetuju bahawa Najib perlu dikekalkan sehingga PRU 14 untuk meneruskan kezalimannya.  

Mudah-mudahan GHB akan menjadi wadah yang efisyen untuk berganding bahu bersama kita semua.  Mana-mana wadah lain yang tidak mahu bersusah payah berjuang dan hanya mahu berada di dalam keselesaan dengan menggosok belakang Umno, biarkan mereka dengan uslubnya. 

   

Ahad, 12 Julai 2015

APA BEZA TSKI DENGAN AZMIN? TENTULAH JAUH BEZA....



PERJANJIAN Air (Langat 2) telah pun dimuktamadkan. Begitu lama isu ini mahu diselesaikan. Semua tahu cerita ini dimulakan oleh mantan MB Sgor, TSKI dan ditentang hebat ramai pihak atas satu sebab saja, iaitu TSKI gagal mendapatkan persetujuan dan gagal memaklumkan sebarang isi perjanjian Langat 2 ini kepada partinya sendiri bahkan Pakatan Rakyat.

Anwar selaku Ketua Umum KEADILAN, Ketua Pembangkang dan selaku Penasihat Ekonomi Selangor waktu itu gagal dimaklumkan oleh TSKI, sebaliknya beliau membelakangkan bos beliau dan Pakatan Rakyat dan bergegas bertemu Najib di Putrajaya untuk mengadakan perjanjian ini. TSKI bertindak 'one man show".


TSKI buat 'taik', kini Azmin sebagai MB Selangor terpaksa mencucinya. Bukan mudah untuk batalkan satu2 perjanjian apatahlagi melibatkan Kerajaan Pusat dalam keadaan rakyat Selangor sering hadapi masalah air. Sebab itulah, sebarang perjanjian yg mahu dibuat adalah lebih baik dibawa berbincang dulu bersama pimpinan parti baik dan buruknya agar sebarang risiko kita boleh bertanggungjawab bersama.

Di antara salah sebab TSKI dipecat dari parti adalah kerana masalah 'disiplin'nya yang sering membelakangkan pimpinan dan parti di dalam tindakannya terutamanya yang melibatkan dasar PR.

Sebelum Anwar ke penjara, Anwar menasihati Azmin agar berhati-hati dan mengkaji semula isi perjanjian tersebut. Asasnya, tumpuan hendaklah diberi kepada mengatasi masalah air, tetapi jangan sampai hak rakyat Selangor yang lain dirampas atau Selangor rugi di dalam perjanjian ini. Anwar tidak arahkan batalkan perjanjian air, tetapi beliau mahu Azmin tidak melakukan seperti TSKI lakukan iaitu membelakangkan kepentingan dan kedaulatan negeri Selangor demi memenuhi selera kroni Umno/Bn, di samping Azmin mesti sentiasa berhubung dengan pimpinan dan rakan-rakan di dalam PR sebelum membuat keputusan.

Semalam, setelah sekian lama Azmin 'study' perjanjian ini dan dikatakan terdapat beberapa pindaan yang telah dibuat di dalam perjanjian, dan jika ada pun kerugian di pihak kerajaan Selangor hasil dari perjanjian tanpa bincang oleh TSKI ini, Azmin telah cuba untuk meminimakannya. Maka, semalam perjanjian ini dimuktamadkan.

Ada yang bertanya apa beza Azmin dengan TSKI? Jawapannya banyak perbezaan. TSKI yang memulakan perjanjian, bukan Azmin. TSKI membelakangkan pimpinan parti dan PR di Pusat, manakala azmin pula telah berbincang isu ini beberapa kali dengan pimpinan parti dan PR serta Exco-Exconya. Kehadiran beberapa Exco dan pimpinan PR negeri dari Pas dan Dap sewaktu perjanjian ini dimuktamadkan sudah cukup membayangkan ianya tidak 'rahsia'.

Apa yang pasti, selepas ini ada yang kata aku bodek Azmin. Lantak hang la, kalau aku bodek Azmin pun aku dapat apa? Aku bukan rakyat Selangor pun.

Khamis, 9 Julai 2015

JIKA PAS TELAH LAKUKAN PEMBERSIHAN DAN BUANG 'NYAMUK" DI DALAM PARTINYA, PAKATAN JUGA PERLU BERBUAT DEMIKIAN

WUJUDKAN Pakatan Harapan Baru sejurus selesai kita meraikan Hari Raya Aidil Fitri?  Ini lah yang selalu diperkatakan di mana-mana lebih-labih lagi di alam maya.  Sepertimana memetik kata-kata seorang tokoh agung, kadangkala pembersihan di dalam parti politik ini ada baiknya iaitu untuk 'membuang' kotoran yang ada.  Kata tokoh agung ini lagi, "Jangan terganggu kita tidor dengan nyamuk-nyamuk' ini.  
 
Aku setuju sungguh dengan kata-kata tokoh bergelar ulamak ini.  Sebab itulah aku tidak sabar operasi pembersihan dilakukan di dalam pakatan pembangkang sekarang.  Banyak sangat kotoran yang dibawa bukan saja menjangkiti di kalangan partinya sendiri bahkan mula berjangkit kepada kawan-kawan.  Sukar pakatan pembangkang mahu tidur sejak berbulan-bulan ini kerana ada 'nyamuk' itu.
 
Nyamuk ini semakin ganas dan bencana yang dibawanya amat bahaya.  Sehubungan itu, marilah kita berdoa agar pakatan pembangkang mengikuti contoh kata-kata Hukamak agung ini untuk lakukan pembersihan segera atau paling lewat selepas Aidil Fitri nanti.