Chen Shaua Fui, Lim Hong Siang
Apr 13, 2011
Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud akhirnya berjanji untuk berundur dalam tempoh dua tahun, walaupun sebelum ini mendakwa bahawa dirinya tidak akan terperangkap dengan permainan pembangkang untuk mengumumkan waktu berundur dan penggantinya.
"Secara  terus-terang saya berkata kepada anda.  Saya berkata dari hati saya,  kerana saya akan meninggalkan anda dalam masa dua tahun.  Sebagai kata  perpisahan, saya sayang kamu semua.  Tak apa kalau kamu tak dengar  kata-kata saya.  Tapi saya mesti beri amaran kepada anda.  Negara ini  tidak akan ke mana, tidak baik untuk orang Cina, melainkan orang Cina  memilih pemimpin yang betul, untuk bekerjasama dengan bangsa lain,"  kata Taib Mahmud (gambar kiri) dalam satu jamuan anjuran pertubuhan Cina  tempatan di Kuching, malam tadi.
BN semakin terdesak
Luahan Taib Mahmud malam tadi memberi petanda bahawa Barisan Nasional semakin terdesak dengan sentimen masyarakat Sarawak yang dilihat memihak kepada Pakatan Rakyat. Pada 19 Mac 2011, Taib Mahmud mengumumkan bahawa dirinya akan memimpin BN dalam PRN Sarawak 2011, dan bakal memastikan peralihan kuasa yang lancar apabila beliau bersara.

Bagaimanapun,  Taib Mahmud mendakwa bahawa dirinya akan berundur "beberapa tahun  kemudian" pada 12 April, malah berkata dirinya enggan terperangkap  dengan permainan pembangkang untuk mengumumkan masa beliau bersara dan  penggantinya.  Sentimen ini terus dimainkan, malah pada 11 April,  Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution telah menunjukkan satu keratan  akhbar Borneo Post bertarikh
7 November 1995 yang melaporkan bahawa Taib berjanji akan berundur dalam tempoh lima tahun.

Jelas, PRN Sarawak adalah pertarungan yang sengit buat BN, dan semestinya memberi impak terhadap lanskap politik Malaysia secara keseluruhannya.
Baca: Undur-kekal Taib: BN kini diheret PR
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan