RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Sabtu, 23 Ogos 2014

ZURAIDAH, KETUA WANITA PKR - JADILAH SEORANG WANITA SEJATI

ZURAIDAH telah diumumkan menang sebagai Ketua Wanita PKR menewaskan Dr Rodziah dengan undi yang tipis.  Di dalam keadaan pemilihan yang begitu kelamkabut, Zuraidah tidak berjaya menjarakkan dirinya jauh dari pesaingnya.  Ertinya apa?  Ertinya Zuraidah kini mula mengalami kemorosotan sokongan dari kaum wanita di dalam PKR.

Mengapa Zuraidah selalu diperkatakan orang?  Tidak lain tidak bukan adalah kerana kelancangan mulutnya.  Beliau tidak mampu mengawal mulutnya dari menghentam tanpa batasan lawannya samada dari Umno bahkan rakan sendiri.  Aku juga tidak menyokong TSKI dan sentiasa mendedahkan tidak betulnya TSKI tetapi tidak lah sampai menghina setahap Zuraidah selalu perkatakan kepada bakal mantan MB Selangor itu.  Kutukan yang tidak sepatutnya datang dari seorang YB yang juga Ketua Wanita.  Bukankah wanita ini mempunyai sifat lemah lembut, sopan dan berbudi bahasa?  Tegurlah TSKI secara baik, sekurang-kurangnya lebih baik dari ayat-ayat aku.

Terbaru di dalam ucapannya sewaktu perasmian Kongres Wanita PKR di Shah Alam, bukan main ego dan sombongnya Zuraidah.  Beliau sebut jika diadakan PRN Selangor, semua Kerusi Umno/Bn akan kita sapu bersih.  Ini bukan keyakinan, ini ego dan sombong yang tidak berpijak dibumi nyata.  Jangan terlalu meninggi diri.  Cermin dulu adakah anda dan PKR telah benar-benar bersedia untuk menghadapi PRN?

Sepatutnya di dalam ucapan itu beliau fokus kepada penyatuan ahli.  Berikan suntikan kepada ahli wanita PKR dan beri amaran kepada mereka bahawa PKR khususnya dan PR amnya berada di dalam situasi genting jika tiada penyatuan di dalam kemelut MB Selangor.  Itu fakta dan itu hakikat yang sebenar.  Mengapa perlu sedapkan hati sendiri dan menipu perwakilan?

Rakyat akhirnya bukan tidak mahu sokong PR tetapi akan merasa tercabar dengan keegoanmu itu.  Kangan kamu fikir kamu merasa selamat di Parlimen Ampang tetapi tidak langsung memikirkan kawasan-kawasan lain yang diwakili oleh rakan-rakan dari PKR, PAS dan DAP?  Jangan kerana mulut kamu maka mereka ditolak rakyat. Jika kamu seorang ditolak tidak mengapa sebab itu memang yang kamu cari.

Aku harap Zuraida boleh berubah sikap.  Jadilah Ketua Wanita yang berjiwa wanita.  Wanita boleh menyertai peperangan dengan semangat yang kuat dan berani, tetapi bukan bermakna maruah dan nilai wanita itu dilenyapkan.

Jumaat, 22 Ogos 2014

KEPUTUSAN PEMILIHAN PKR TIDAK BOLEH MENJADI SEBAB UNTUK MENDIAMKAN ADUAN

KEPUTUSAN Pemilihan di dalam KEADILAN telah diumumkan oleh parti semalam.  Kepimpinan yang telah dipilih adalah berdasarkan sistem "Satu Kepala Satu Undi" iaitu satu sistem yang rasanya terbaik dari kaedah demokrasi di negara ini.  Tiada parti yang berani melakukannya selain dari KEADILAN.

Namun, sistem yang baik akan tercemar jika perlaksanaannya tidak baik.  Perlaksanaan yang tidak mengikut semangat sistem itu sendiri boleh menghilangkan keyakinan kepada sistem yang baik ini.  Justeru itu, sepatutnya sebelum sistem ini diguna pakai KEADILAN seharusnya telah bersedia dari segala segi untuk melaksanakannya.  Pada pendapat aku, pemilihan kali ini belum begitu berjaya di dalam merealisasikan semangat sistem itu sendiri.  Buktinya, terlalu banyak kontroversi yang timbul bahkan berganda lebih dahsyat dari pemilihan sebelum ini.  Hinggakan kadangkala kita merasakan alangkah baiknya kita kembali kepada sistem yang lama yang terbukti tiada masalah seteruk kali ini.

Jika aku diberi peluang untuk memberikan 'markah' untuk pengendali pemilihan kali ini iaitu JPP, maka aku tidak perlu berfikir banyak kali untuk memberikan markah "GAGAL' buat JPP.  Adakah kesemua keputusan itu tidak adil?  Aku tidak anggap begitu dan aku tidak peduli sangat siapa yang menang atau tewas walaupun aku ada tokoh yang aku sokong, ada yang menang dan ada yang tewas.  Aku nyatakan JPP GAGAL bukan kerana tokoh yang aku sokong itu tewas, tetapi fakta di depan mata sudah cukup membuktikan begitu teruknya proses pemilihan berlangsung.

Terdapat aduan dan terdapat bukti yang dikemukakan oleh pihak-pihak tertentu yang mendakwa berlaku penyelewengan dan penipuan di dalam pemilihan kali ini.  Semua dakwaan ini pernah berlaku juga di tahun 2010, cuma ketika itu tidak separah ini.  Aku tidak kata terbukti berlaku penipuan atau salah laku di dalam pemilihan kali ini walaupun bukti dikemukakan oleh pihak-pihak yang mengemukakan aduan.  Aku hanya akan terima dan mengakui samada memang berlaku penipuan atau tidak apabila JPP menyiasatnya secara telus dan memaklumkan secara terbuka hasil siasatan.

Sebagai contoh, jika ada yang mendakwa pegawai JPP telah disuapkan dengan wang, dan wang itu diberikan oleh si polan dan si polan yang menyokong si A.  Apakah kita boleh terus menuduh dan mendakwa si A merasuah?  Itu tidak adil.  Ada kemungkinan orang lain sogok wang kononnya untuk memenangkan si A, tetapi si A tidak pernah mengarah atau terlibat dengan perbuatan sogok itu.  Wajarkah si A dihukum?  Tidak wajar dan tentunya tidak adil.  Maka, aku rasa masalah besar yang dihadapi oleh JPP adalah untuk 'membuktikan' siapa yang sogok wang itu atau siapa yang arahkan sogokan dibuat?  

Memang mencabar tugas JPP ini.  Sebab itulah aku katakan jika kita rasa tidak cukup jentera atau kakitangan untuk mencuba sistem yang sedemikian rupa, maka wajar kita menilai kembali sistem ini.  Sistem ini boleh dilaksanakan jika kita cukup jentera dan anggota yang terlatih untuk melaksanakannya dan yang paling penting pihak yang mengendalikan itu mesti adil dan kelihatan adil.  Keberanian mesti ada untuk memberikan keadilan kepada semua.  Tidak guna mengadakan pemilihan berulangkali apabila dikritik tetapi kita masih takut untuk bertindak adil.

Amat malang tokoh yang sepatutnya menang tetapi tewas hasil dari kelemahan dan kecurangan sistem yang dikendalikan ini.  Diharapkan pemilihan kali ini tidak sama seperti tahun 2010 di mana segala aduan ada yang disimpan di bawah 'karpet'.  Aku setia menanti siasatan yang masih belum diumumkan dan aku harap tiada penipuan berlaku dan ini mesti dibuktikan serta diumumkan secara terbuka.

Rabu, 20 Ogos 2014

PRK DUN PENGKALAN KUBUR - BERI PELUANG KEPADA PAS PULA UNTUK RAMPAS KERUSI BN


   
 
UJIAN besar menanti PR, khususnya PKR dan PAS sejurus PR baru saja bergelut dengan krisis MB Selangor.  Meskipun jalan penyelesaian telah tercapai, namun tiada siapa boleh menjamin sedikit luka yang dialami semenjak krisis di Selangor ini masih belum sembuh.
 
Kini, PR khususnya PKR dan PAS diuji lagi di 'bumi PAS' Kelantan.  Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, hari ini.  Allahyarham meninggal dunia pada pukul 5.45 pagi waktu Malaysia.  Ertinya, satu PRK terpaksa diadakan dan kawasan itu adalah milik PKR bagi dua penggal yang lalu.
 
 
Pada PRU 12, calon PKR tewas di tangan Bn dengan majoriti hanya 100 undi sahaja.  Malangnya dalam PRU 13 yang lalu, calon PKR terus menunjukkan prestasi yang amat teruk sehingga tewas lagi dengan majoriti yang berganda besarnya iaitu 1, 736 undi.  Ertinya, kawasan itu bukan lagi kawasan yang selamat buat PKR tetapi mungkin selamat buat PAS.  Jangan ditanya mengapa jadi begitu kerana politik di Kelantan amat sukar untuk dibaca.  Bahkan di dalam PRU 13 yang lalu juga menyaksikan beberapa Kerusi PAS turut jatuh ke tangan Bn.
 
Kali ini PR diberi peluang untuk membuktikan bahawa PR boleh bersatu walaupun baru sahaja mengalami krisis.  Tidak mustahil Kerusi tersebut boleh dirampas asalkan kedua-dua pihak berlapang dada dan belajar dari kelemahan strategi yang terdahulu.  Para penyokong dari kedua-dua parti iaitu PKR dan PAS mesti sanggup berlapang dada jika ingin merampas Kerusi tersebut.
 
Aku berpendapat sudah sampai masanya PKR memberi peluang kepada PAS bertanding di Dun Pengkalan Kubur di mana PKR telah pun tewas dua kali berturut-turut di situ.  PKR perlu berkorban jika serius ingin melihat Kerusi tersebut dirampas semula oleh PR.  Buang sikap ego dan zahirkan sikap merendah diri kepada PAS kerana kita ada asas untuk mengalah.  Tentunya PAS bersedia untuk menggantikan PKR di situ.  Aku yakin jentera PAS amat terlatih di Kelantan dan mereka mempunyai kelebihan selaku pemerintah untuk merampas Kerusi berkenaan.
 
PKR harus menyedari kita ada tugas berat yang lain iaitu untuk menyelesaikan banyak masalah di dalam parti terutamanya di Selangor.  Jangan kita bebankan tugas ini kepada pimpinan Pusat yang sekarang ini sedang bertungkus lumus untuk memperbaiki semula krisis di Selangor termasuk beberapa kemelut yang berlaku sewaktu pemilihan parti baru-baru ini.  PAS dilihat lebih selesa dan tenang sekarang, maka eloklah serahkan kepada parti itu untuk berdepan dengan Umno/Bn dan PKR hanya perlu membantu semampu mungkin agar kita sama-sama dapat membuktikan bahawa PKR dan PAS bersedia bersatu apabila berdepan dengan musuh nan satu.
 
Mahu tidak mahu, suka atau tidak, kita dalam PKR harus terima bahawa kita ada tugas yang lebih mencabar.  Tumpukan isu di Selangor dan pulihkan semula keyakinan rakyat kepada parti kita.  Salah satu jalannya adalah kita bersedia untuk membantu kejayaan rakan kita PAS di dalam merebut Kerusi ini.   InsyaAllah, pengorbanan kita ini pasti akan membuka kembali perpaduan sesama kita yang baru-baru ini agak terjejas.

Selasa, 19 Ogos 2014

KEPUTUSAN PR CALONKAH AZIZAH - MAT SABU PULA DIPERSALAHKAN

TERUK juga Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS kena hentam di dalam isu MB Selangor.  Jika Umno yang menghentam beliau, pastinya tidak pelik dan pastinya sepantas kilat Mat Sabu menyambar.  Malangnya, yang menghentam beliau adalah dari beberapa kelompok di dalam partinya sendiri.

Ramai jemaah yang tidak tahu mengapa sering benar Mat Sabu dihantar sebagai mewakili Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.  Banyak sudah Mesyuarat Majlis Presiden PR yang disertai oleh Mat Sabu sebagai wakil Tok Guru Presiden.  Ertinya, beliau amat dipercayai dan diamanahkan oleh Presiden dan parti.  Peliknya, apa yang berlaku jika ada keputusan dari Mesyuarat Majlis Presiden PR yang agak sukar diterima oleh kelompok ini, mereka melabelkan Mat Sabu sebagai "orang Anwar' dan takut kepada DAP.  


Aku terfikir mengapa kelompok ini yang tidak meyakini Mat Sabu sebagai wakil tertinggi PAS di dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR itu tidak pernah bertanyakan, "Mengapa Tok Guru Hj Hadi sendiri hadir?  Bukankah kami lebih mempercayai Tok Guru?".  Mengapa itu tidak ditanyakan kepada Tuan Guru Presiden atau bertanyakan mengapa parti lebih suka menghantar Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS sahaja?

Amat malang sekali yang membuat dakwaan buruk dan fitnah ke atas Mat Sabu ini bukan para penyokong atau ahli-ahli PAS bawahan.  Di kalangan mereka itu berpendidikan tinggi hingga ke tahap profesor bahkan ada yang bertaraf Ulamak serta Ustaz di dalam PAS.  Di dalam media-media sosial, mereka memperlekehkan dan mempersendakan Timbalan Presiden mereka sendiri yang dipilih majoriti dari ahli-ahli PAS di dalam Muktamar.  Mat Sabu jadi Timbalan Presiden melalui pertandingan yang sihat.  Ertinya jemaah yang memilih beliau.  


Walaupun teramat sedikit bilangan yang jumud seperti ini yang memperlekehkan kewibawaan Mat Sabu tetapi oleh kerana seorang dua yang bertaraf profesor atau ulamak, kesannya amat tidak baik kepada PAS.  Mereka lupa atau mungkin tidak kenal sejarah perjuangan Mat Sabu.  Memang amat sukar bagi Mat Sabu untuk berdepan dengan kelompok seperti ini yang fanatik dan jumud malahan jauh dari mengenali kaedah "Tahalluf Siyasi" yang diamalkan oleh PAS.  Jika berdepan dengan hujah Umno atau serangan dari Umno, tentunya Mat Sabu akan bangkit walaupun bersendirian untuk menentangnya.  Tetapi tidak tergamak buat Mat Sabu untuk berdepan dengan "cicak mengkarung" yang sebahagian dari jemaahnya itu.

Terlalu marah mereka apabila mendapat berita PR bersetuju untuk menghantar satu nama sahaja kepada Tuanku sebagai calon MB Selangor iaitu DS Wan Azizah.  Mereka cop Mat Sabu gagal membawa mesej PAS yang mahukan dua nama selain dari DS Wan Azizah iaitu Azmin Ali.  Mat Sabu sebenarnya telah membawa kesemua mesej PAS itu tiada dikurangkan mahupun sedikitpun ditambah.  Tetapi apakah Timbalan Presiden PAS itu boleh memaksa PKR dan DAP untuk mengikut kehendak PAS?  Lebih-lebih lagi adakah Mat Sabu boleh memaksa Azmin untuk terima cadangan PAS?  Azmin sendiri sebagai tokoh yang dinamakan oleh PAS secara terus terang memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada DS Wan Azizah, Presidennya.  Bahkan, ada Akuan Bersumpah dari Azmin.  Tidakkah ini difahami oleh kelompok yang ingin mencalarkan nama Mat Sabu?

Di masa akan datang, jika kelompok ini tidak lagi yakin dan percaya kepada Mat Sabu sebagai wakil PAS di dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR, aku rasa ada baiknya mereka usulkan kepada PAS bahawa setiap Mesyuarat Majlis Presiden PR diwajibkan Presiden PAS sendiri hadir kecuali uzur.  Apakah mereka berani berbuat demikian?  Apakah nawaitu mereka ingin melihat PAS keluar dari PR gagal, maka Mat Sabu dijadikan puncanya? 

Isnin, 18 Ogos 2014

SIAPA KATA PAS BUAT 'U-TURN" ?

TAHNIAH kepada PAS terutamanya yang telah membuktikan bahawa parti itu mempunyai prinsip tersendiri di dalam menyelesaikan kemelut MB Selangor.  Kenyataan media yang ditandatangani oleh Tok Guru Presiden PAS sudah cukup untuk melemahkan urat saraf Umno.  PAS menyatakan keputusan parti itu untuk menyokong DS Wan Azizah sebagai calon MB Selangor di samping meletakkan juga Azmin Ali sebagai calon ke dua.  

Apa yang penting dan menghancurkan harapan Umno adalah apabila PAS menolak dan tidak menyokong TSKI sebagai MB dan PAS akan terus bersama PR untuk lawan Umno/Bn.  Apakah PAS buat "U-Turn' setelah sebelum ini PAS menyokong TSKI dan menolak Azizah?  Jawapannya tidak.  PAS menyokong TSKI sebelum ini adalah kerana waktu itu TSKI adalah ahli PKR.  Apabila TSKI dipecat dan TSKI tidak pula menyertai mana-mana parti di dalam PR, maka tiada ertinya PAS mahu menyokong beliau.  Secara automatik keputusan Majlis Syura tidak lagi releven atas perkembangan terbaru itu.

Bagaimana dengan kenyataan PAS bahawa parti itu menolak DS Wan Azizah?  Adakah PAS telah "U-Turn" juga?  Jawapannya tidak.  Buktinya PAS mencadangkan calon kedua iaitu Azmin Ali dan PAS secara automatiknya memang mahu Azmin sebagai MB Selangor.  
 
Namun, selagi PAS berada di dalam PR maka PAS tidak boleh memaksa rakan-rakannya PKR dan DAP untuk menerima kesemua pandangan dan pilihan PAS.   Apabila Mesyuarat Majlis Presiden PR diadakan pada petang semalam sejurus selesai Mesyuarat AJK PAS Pusat, maka PR membuat kesimpulan bahawa hanya DS Wan Azizah saja dicalonkan untuk menjadi MB Selangor setelah mengambil kira Azmin Ali juga turut menyokong Presiden PKR itu.  Itulah semangat PR yang selama ini berjaya menyatuka padukan kita.

Tentunya puak-puak yang ingin memecahkan PR atau yang ingin melihat PAS bersendirian melawan Umno atau jika ada puak yang ingin melihat PAS masuk ke dalam 'tong najis' itu akan terasa kecewa yang amat sangat di atas keputusan PAS dan PR.  Gagallah usaha mereka selama ini walaupun awalnya dilihat seperti seolah-olah berjaya.  

Aku berpendapat sudah sampai masanya TSKI menderaf surat letak jawatan segera.  Sementara menanti kepulangan Tuanku, TSKI bolehlah bersedia dengan surat meletakkan jawatan, atau memohon perkenan Sultan untuk mengadakan undi tidak percaya di Dun Selangor sekiranya TSKI masih perasan beliau memiliki sokongan majoriti di dalam Dun.  Jika dilihat dari peristiwa di Perak dulu dan keputusan mahkamah atas kes di Perak, tidak masuk akal jika Dun Selangor dibubarkan.  Ini adalah kerana PR memiliki majoriti lebih 2/3 di dalam Dun.  Apa yang perlu, TSKI letak jawatan dan DS Wan Azizah boleh mengadap Tuanku untuk ditabalkan sebagai MB Selangor yang baru.

Jika TSKI meminta dengan Tuanku untuk bubar Dun, terbuktilah nanti bahawa terdapat 'hipokrit' di dalam institusi raja berpelembagaan di negara kita ini.  Kerajaan PR Selangor adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan ianya patut kekal selagi majoriti di dalam Dun masih menyokong PR.

Ahad, 17 Ogos 2014

AZIZAH ATAU AZMIN ? PILIHLAH YANG KURANG MUDHARAT

AZIZAH atau Azmin?  Siapa yang sepatutnya berada di takhta MB Selangor?  Kemelut ini berterusan apabila sahih TSKI gugur sebagai MB Selangor kerana tiada majoriti sokongan di dalam Dun.  Penyokong Azizah dan Azmin kelihatan bersatu untuk gugurkan TSKI kerana itu adalah kehendak parti, bukan kehendak Anwar.

Kini, PAS pula berpegang kepada prinsip dan persefahaman PR bahawa Kerusi MB Selangor adalah hak PKR, begitu juga dengan DAP.  Jika itu Kerusi PKR, memang PKR punyai hak untuk tentukan siapa pengisinya tetapi amat kurang adab jika PKR membelakangkan pandangan dan pendapat rakan-rakan di dalam PR.  Justeru itu, Mesyuarat Majlis Presiden PR diadakan sebagai tanda isu MB Selangor harus disepakati bersama.

Datin Seri Wan Azizah - Bakal MB Selangor?
PAS pada awalnya hanya membuat keputusan melalui Majlis Syura bahawa PAS menyokong TSKI sebagai MB Selangor.  Itu keputusan sebelum TSKI dipecat dari PKR.  Selepas dipecat, Majlis Syura belum membuat sebarang mesyuarat melainkan kenyataan bahawa PAS masih berpegang kepada keputusan Majlis Syura, iaitu sokong TSKI.  Ertikata lain, Majlis Syura menyokong calon Bebas sekarang.  Tiada langsung keputusan dari Majlis Syura bahawa PAS menyokong penurunan jawatan TSKI dan PAS menolak Azizah.  Mungkin di dalam perkembangan terkini iaitu TSKI telah dipecat dari PKR, PAS hanya akan tentukan keputusan baru pada Mesyuarat AJK PAS Pusat pada hari ini (17 Ogos).  

Bolehlah turun perlahan-lahan...
Mesyuarat Lajnah PAS Pusat kelmarin baru kita dimaklumkan bahawa PAS telah menolak Azizah sebagai calon MB.  PKR diminta mencari calon lain dan PAS juga dijangka akan mengumumkan calon cadangan dari PAS walaupun itu hak PKR yang pilih.  Tidak mengapa, memang PAS ada hak cadangkan calon-calon yang mereka rasa terbaik pada pandangan PAS.

Azmin Ali - Ada harapan?
Buat PKR, tidak salah jika PKR adakan mesyuarat semula untuk mengkaji baik dan buruknya jika Azizah terus dipertahankan.  PAS dah sebut, isunya bukan wanita.  Ada isu lain.  Aku rasa PAS tidak sokong Azizah kerana Azizah isteri Anwar.  Mungkin PAS rasa amat sukar mahu hilangkan persepsi rakyat marhaen di bawah yang akan bertanya, "Mengapa Azizah?".  Tiada calon lain kah?  Itulah sebabnya aku fikir PAS tidak setuju Azizah bukannya soal wanita atau tidak layak.  Azizah seorang doktor perubatan yang menjadi pelajar terbaik sewaktu di Universiti, pernah diuji dengan berat di era reformasi, pernah menjadi Ketua Pembangkang dan kini Presiden PKR.  Dari segi kelayakan memang sudah dari mencukupi untuk menjadi seorang MB.  Tidak lain sebabnya Azizah adalah isteri Anwar.  Itu saja angapan aku apa yang PAS fikirkan.

Jangan salahkan PAS jika parti itu berfikiran begitu kerana memang ada asasnya.  Namun, PKR tidak boleh terus terima pendapat PAS.  PKR mesti ada pendapat sendiri dan hujah sendiri samada bersetuju atau tidak.  Seandainya memilih Azizah boleh mengendurkan krisis di antara penyokong Azmin dan TSKI yang masih di dalam parti, apa salahnya Azizah dikekalkan?  Jika parti berpandangan melantik Azmin yang kini menjadi Pengerusi MPN Selangor lebih praktikal dan krisis penyokong Azmin dan TSKI dilihat tidak lagi hebat seperti dulu setelah TSKI dipecat, maka Azmin juga boleh ditimbangkan.  

Seandainya Azizah dipilih, aku lebih suka Azizah dihadkan masa untuk mengemudi Selangor.  Azizah boleh jadi MB sementara kendurkan dulu krisis penyokong Azmin dan TSKI.  Selepas itu Azizah boleh berundur apabila semuanya stabil.  Jika Azmin pula dipilih, Azmin perlu diberikan syarat bahawa beliau tidak boleh melakukan perangai seperti TSKI.  

Kesimpulannya, PKR perlu membuat keputusan sendiri berdasarkan keyakinan sendiri bahawa sesiapa yang dilantik sebagai MB Selangor mestilah yang terbaik untuk rakyat Selangor.  Pilihlah yang kurang mudharat.