Saya masih ingat, pada bulan Februari 2017 kumpulan reformis telah mengadakan konvensyen mereka di IDCC Shah Alam bagi menuntut pembebasan DS Anwar Ibrahim. Konvensyen julung kalinya diadakan itu tanpa diduga turut dihadiri oleh Tun M yang dilihat begitu berani untuk berhadapan dengan penyokong tegar DS Anwar.
Meskipun saya insan kerdil yang bukan dari kumpulan aktivis reformasi jauh sekali digelar Otai Reformasi, saya turut hadir ke konvensyen tersebut untuk memberian sokongan padu kepada para penyokong tegar DS Anwar Ibrahim yang ketika itu berada di penjara Sg Buloh. Pada awalnya sedikit membimbangkan apabila ketibaan Tun M ke dewan itu seolah-olah tidak dialu-alukan oleh kumpulan penyokong tegar DS Anwar yang memenuhi dewan IDCC Shah Alam kerana kita pun tahu mengapa berlakunya sedemikian. Mereka tidak patut dipersalahkan kerana kehadiran Tun M pada hari itu ibarat ' luka lama berdarah kembali".
Walau bagaimanapun, para reformis masih memiliki jiwa yang bersih dan adab kesopanan yang diajar oleh tokoh reformasi DS Anwar Ibrahim. Akhirnya, mereka menyedari bahawa kehadiran Tun M ke situ adalah juga untuk membantu mereka menjatuhkan rejim zalim Umno/Bn. Kunci utama untuk membebaskan Anwar dari penjara adalah mesti jatuhkan rejim Umno/Bn terlebih dahulu. Apakah salah jika Tun M hadir untuk memberikan 'peluru' kepada kita? Apakah di kala usia Tun M yang sudah lanjut itu kita tidak memberikan ruang untuknya menebus kesilapan lampaunya? Tun M telah diberikan penghormatan untuk berucap dan saya masih ingat kata-kata Tun M pada hari itu, " Jeritan reformasi dan laungan bebaskan Anwar tidak bermakna sekiranya Umno/Bn tidak ditumbangkan".
Alhamdulillah, rejim kleptokrasi Umno/Bn telah pun tumbang pada 09 Mei 2018. Tun M telah diangkat sebagai PM sepertimana perjanjian di dalam PH. Saya tahu, para reformis terlalu berat untuk menerima Tun M sebagai PM, tetapi mereka masih meletakkan keyakinan dan prasangka baik bahawa Tun M sekarang bukan Tun M di kala tahun 1998. Mereka tahu tidak masuk akal insan yang berada di dalam penjara ketika Umno/Bn tumbang diangkat terus untuk menjadi PM. Maka, prasangka baik "husnu Zon" mengatasi segala-galanya. Para reformis berkorban demi Anwar Ibrahim.
Ahad ini (24 Nov 2019) di IDCC Shah Alam bakal menyaksikan para reformis tanahair berhimpun sekali lagi. Tidak seperti kali pertama dahulu, kali ini mereka berhimpun di saat kerajaan sekarang adalah kerajaan PH dan Anwar Ibrahim kini telah menjadi Ahli Parlimen. Mengapa perlunya berhimpun? Ya, bagi para reformis adalah reformasi sebenar kuncinya ada pada DS Anwar Ibrahim bakal PM ke 8. Tokoh yang tidak pernah merasai keperitan dan kepayahan reformasi jalanan tidak akan berjaya untuk mewujudkan reformasi tulen. Bahkan, ada tokoh yang dulunya lantang menjerit reformasi dan menggertak mahu merobohkan tembok penjara untuk membebaskan Anwar, tetapi apabila diuji dengan pangkat, jawatan dan kedudukan, tokoh-tokoh ini lupa kepada agenda reformasi dan paling dahsyat sekali sanggup menghina DS Anwar Ibrahim.
Maka, konvensyen reformis ini wajib diadakan juga kerana tidak semua orang ingat kepada agenda reformasi. Para reformis ingin mengingatkan mereka bahawa pejuang reformasi tidak lapar kepada jawatan dan kedudukan, mereka cuma mahu agenda reformasi itu direalisasikan segera dan Anwar patut diberikan peluang segera untuk membuka kunci reformasi yang didambakan itu. Sekiranya para reformis sebelum ini sanggup berkorban dan memberikan keyakinan kepada Tun M untuk memimpin negara setelah Umno/Bn ditumbangkan, sudah tiba masanya Tun M pula berkorban dan memberikan kepercayaan kepada tokoh reformasi, DS Anwar Ibrahim. Itu sahaja yang dituntut oleh pejuang-pejuang reformasi, bukannya jawatan mahupun kontrak.
Ayuh para pejuang reformasi !! Di saat Anwar diserang dari luar dan dalam, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjadi benteng mempertahankan anak cheruk To' Kun ini. Marilah kita beramai-ramai memenuhi dewan IDCC Shah Alam bagi menyatakan sokongan padu kita kepada DS Anwar Ibrahim. Persetankan para pengkhianat yang telah buncit perut memakan laba hasil darah dan keringat DS Anwar Ibrahim.
Kita bertemu di Shah Alam. Lawan Tetap Lawan !!