RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Khamis, 17 November 2016

WALAUPUN PENYOKONG TEGAR PAS, SAIFUL ISLAM MENULIS "MENGAPA SAYA TURUN BERSIH?"

 
 
 
Dari FB Saiful Islam

KENAPA SAYA TURUN BERSIH 5 ?

1) Saya demonstran Bersih 1 (10 Nov 2007), Bersih 2 (09 Julai 2011), Bersih 3 (28 April 2012) dan Bersih 4 (29-30 Ogos 2015).

2) Bersih 1 saya masih mahasiswa tahun 3 di KIAS Nilam Puri, Kelantan. Bersama sekitar 10 teman mahasiswa, kami naiki bas dari Nilam Puri dan sampai ke Hentian Putra, KL, seterusnya berehat sebentar pagi itu di Pejabat Agung PAS, Jln Raja Laut. Kami bergerak bersama Pemuda PAS Pusat menuju Dataran Merdeka dan selamat dari sekatan FRU di situ, terus menuju Istana Negara melalui Masjid Negara dan membentuk gabungan yang cukup besar dengan pergerakan dari tempat-tempat lain.

3) Bersih 2 saya baru sahaja berkahwin sekitar 1 bulan. Saya bersama isteri, adik perempuan dan seorang sahabat Pemuda PAS Lembah Pantai, Sdr. Khalil Zawawi dan isterinya. Kami menaiki LRT. Saya bersama pergerakan dari Jln.Pudu-Pudu Sentral, antara lokasi tembakan gas pemedih mata yang cukup menyakitkan. Kali pertama saya dan isteri menyedut gas itu. Saya saksikan beberapa teman dibelasah teruk berdekatan sebuah hospital Cina di situ.

4) Bersih 3 saya bertugas bersama Jabatan Amal Malaysia (AMAL) dari Brickfield menuju Masjid Jamek. Kami ditembak dengan gas pemedih mata bertalu-talu diantara Masjid Jamek dan bank-bank di hadapannya. Himpunan paling dahsyat saya saksikan dan tangkapan paling besar, iaitu 512 tangkapan. Bukan sahaja 'darah tumpah' dari hidung seperti Jamal, tetapi puluhan yang cedera dibelasah polis di bawa ke hospital.

5) Bersih 4 saya beranikan diri untuk turun juga bersendirian ke Dataran Merdeka walaupun parti saya tidak turut serta. Hari kedua, saya bawa isteri dan anak-anak kerana melihat situasi himpunan yang sangat aman tanpa gangguan dan provokasi liar dari mana-mana pihak walaupun mendapat sedikit sindiran dari teman-teman yang taat tidak mahu sertai.

6) 19 Nov 2016 Sabtu ini, Bersih 5. Sekali lagi saya nekad akan sertai insya'Allah, walaupun pergi berseorangan tanpa ada kawan-kawan yang mahu turut serta kerana 'tiada arahan'. Kenapa saya akan sertai?

i) Ustaz-ustaz dan murabbi saya yang telah mentarbiyyah saya dan kawan-kawan bahawa kita menerima sistem demokrasi (termasuk pilihanraya) untuk mengambil alih kerajaan secara damai (muwajahah bis silmiyyah) demi membentuk sebuah negara yang baik dan dipimpin oleh orang yang baik. Maka, pilihanraya mesti bersih dan adil untuk memastikan kita mendapat kemenangan.

Saya diajar dengan kaedah Fiqh: [Tidak sempurna perkara wajib melainkan dengan adanya ia, maka perkara itu juga menjadi wajib]. Menegakkan negara yang baik itu wajib. Memasuki pilihanraya itu wajib. Menuntut pilihanraya bersih dan adil itu wajib. Turun beramai-ramai meluahkan tuntutan itu wajib.

Mereka ajar saya.

ii) Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah saya, diam dari menyatakan kebenaran adalah syaitan bisu (Mafhum Hadith). Saya dengar dan belajar dari mereka bahawa, Allah akan mengazab kaum yang melihat kezaliman, tetapi mereka diam. Bercakap yang benar dihadapan pemimpin zalim adalah jihad. Jika dibunuh, syahid. Lidi sebatang boleh dipatah, seberkas lidi agak susah. Seorang bersuara, kerajaan pekakkan telinga, ramai-ramai bersuara kerajaan boleh mengalah. Selemah-lemah iman cegah mungkar dengan hati dan lain-lain.

Saya tidak pasti apakah masih ada yang tidak merasakan kerajaan yang ada pada hari ini melakukan sekian banyak mungkar dan kezaliman atau tidak terasa betapa bebannya hidup di Malaysia saat ini. Saya merasai keperitan itu. Maka saya perlu sertai himpunan ini.

iii) Bersih dipimpin oleh Ambiga (Non Muslim) dan kelompok tidak berfikrah Islam (Maria Chin dll)?

Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah saya dengan kisah Nabi s.a.w turut serta dalam Hilful Fudhul di rumah Abdullah bin Jud'an sewaktu Nabi masih kecil dalam misi menyelamatkan satu puak yang dizalimi, walaupun perjanjian itu dimeterai bersama oleh pemimpin jahiliyyah. (Sila baca Sirah Nabi - jangan jadi aktivis dakwah pemalas ).

Saya diulang berkali-kali tentang sikap Nabi terima bantuan dari orang kafir dalam perkara kebaikan seperti Abu Talib, Abdullah bin Uraiqit (musyrik membantu hijrah) dan jiran Abu Bakar non Muslim yang banyak membelanya.

Dimana salah dan haramnya terlibat melawan kezaliman dan penindasan jika dipimpin oleh non-Muslim? Dan salahkan jika non Muslim yang ramai hadir mendominasi himpunan ini? Anda yang tidak mahu sertai, lalu anda mempersoalkan kenapa ramai non-Muslim (Cina dll). Apakah anda beranggapan Melayu, Muslim sahaja yang rasa terbeban dengan keadaan negara pada hari ini?

iv) Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah, Allah tidak tanya apa hasil perjuangan, tetapi berjuang atau tidak. Dibawakan kisah burung memadam api yang membakar Nabi Ibrahim ( ada yang menyebut ini kisah Israiliyat, tetapi boleh diambil pengajarannya). Lalu saya difahamkan, memang kerajaan atau SPR khasnya tidak peduli semua tuntutan kita, tetapi setidak-tidaknya mereka terima satu dan paling penting, kita sudah melakukan usaha yang terdaya.

Bahkan bagi yang memperlecehkan usaha berhimpun dari Bersih 1-4 tidak membawa perubahan langsung, ini dakwaan mereka yang buta politik dan sebenarnya tidak membaca pun hasil himpunan Bersih terhadap PRU 2008 dan PRU 2013. Dakwat kekal antara yang berjaya diperjuangkan walaupun masih tidak dijalankan secara baik.

v) Matlamat Bersih sudah lari, terima dana dari pihak asing, pijak gambar pimpinan, provokasi, kekasaran dan lain-lain.

Saya tidak tahu disudut apa matlamat Bersih sudah lari. Jika tuntutan-tuntutan Bersih ada perubahan, seperti dakwat kekal tidak dimasukkan lagi kerana ia sudah dilaksanakan. Maka dimasukkan tuntutan-tuntutan baru yang masih dalam lingkungan 'pilihanraya bersih'.

Terima dana dari asing saya tidak tahu dimana sumber maklumatnya. Yang pasti isu dana asing ini doktrin TV3, Utusan dan pemimpin Umno sejak Bersih 1 lagi.

Ustaz-ustaz dan murabbi saya selalu peringatkan agar hati-hati dengan provokasi untuk burukkan himpunan Bersih. Mungkin ada pihak yang diupah atau SB yang melakukan aksi-aksi radikal untuk burukkan himpunan termasuk memijak gambar mana-mana pimpinan negara atau parti-parti tertentu. Saya yakin pijak gambar pimpinan bukan restu penganjur Bersih dan jika benar itu peserta Bersih, penganjur sudah memberi kerjasama agar pihak keselamatan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
------------------------------------------------
Cukuplah 5 alasan saya ini, saya akan sertai Bersih 5. Saya hormati anda yang memang ada strategi atau pendekatan lain yang diyakini lebih syar'ie bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Dan anda jangan kecam saya yang mahu turun!

Saya tidak ada lagi alasan untuk tidak turun di usia 30 tahun yang muda dan masih ada kekuatan ini. Saya mempelawa semua kawan-kawan yang bersama saya pada Bersih 1, 2, 3 & 4 untuk turut serta pada 19 Nov! Jangan lupa saat indah sewaktu tangan kita pernah bersilang erat dulu demi negara yang lebih baik!

Saya turun sebagai rakyat Malaysia!

- Abi Sumayyah -
16 Nov 2016 : Kuala Lumpur

Rabu, 16 November 2016

MAHU TUNGGU SIAPA LAGI MENJADI MANGSA?



MAHU tunggu siapa lagi yang dipenjarakan?  Anwar telah pun merengkok di dalam.  Rafizi pula bakal merengkok juga di dalam.  Yang masih menanti giliran adalah Tian Chua, Nurul Izzah dan beberapa pimpinan lagi.  Kita masih merasa selamat di luar sebab kita merasakan tidak kena pada kita, adik beradik, keluarga atau saudara mara kita.

Sampai bila kita mahu mempertahankan kezaliman ini?  Sampai bila kita hanya mampu menggelengkan kepala dengan apa yang kita saksikan?  Masakan kita tidak tahu apa yang Anwar dan Rafizi perjuangkan?  Adakah mereka mahu memperjuangkan nasib diri dan keluarga mereka sahaja?  Anwar bukan dari keluarga yang susah macam kita.  Sebelum dipenjarakan, Anwar ada gaji sebagai Ahli Parlimen dan ada elaun Ketua Pembangkang.  Isterinya juga adalah Wakil Rakyat yang mempunyai gaji dan elaun yang bukan sedikit.  Anaknya, Nurul Izzah pun begitu.  Anwar bukan keluarga susah macam kita.  Tapi mengapa Anwar sanggup masuk penjara untuk kali kedua?  Begitu juga Rafizi.  Sebelum menceburi politik, Rafizi ada kerjaya lumayan di Petronas dengan gaji puluhan ribu sebulan.  Bila dia jadi Ahli Parlimen, dia juga mendapat gaji dan elaun belasan ribu sebulan.  Rafizi bukan hidup susah macam kita.  Kita lihat sendiri bila Rafizi istiharkan hartanya secara sukarela, beliau memiliki simpanan lebih dari sejuta ringgit.  Bukan dari duit rasuah, komisyen atau sebagainya,  

Apakah kita rasa Anwar dan Rafizi sanggup masuk penjara kerana kepentingan diri?  Anwar dan Rafizi korbankan kesenangan yang ada tidak lain tidak bukan adalah kerana kita.  Kerana rakyat.  Mereka tahu rakyat tengah derita dan sengsara sekarang.  Mereka tahu banyak hak rakyat yang telah dirompak oleh penyamun.  Maka, Anwar dan Rafizi dedahkan agar kita tahu bahawa kita susah kerana hak kita telah dirompak.  Apakah kita masih mahu berdiam diri?  Tidak cukupkah lagi mereka menjadi korban kerana sikap kita yang tidak ambil kisah ini?

Cukuplah.  Marilah kita sama-sama baiki negara kita.  Tidak perlu lagi kita tunggu korban-korban seterusnya.  Sekarang giliran kita pula untuk berkorban, bukan perlu masuk penjara atau perlu ke depan seperti Anwar atau Rafizi.  Kita hanya perlu turun BERSIH pada 19 Nov ini.  Kita turun dengan aman, dengan satu tekad iaitu untuk memberitahu rejim bahawa kita sebagai rakyat tidak lagi redha dan restu hak-hak kita dirompak.  Kita mahu rejim hentikan kemungkaran ini.  

Ayuh, tunjukkan sokongan kita pada BERSIH bagi melawan kekotoran rejim.  Selamatkan negara tercinta ini.