RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Rabu, 23 Disember 2015

HUBUNGAN PH - PR, KEADILAN PERLU MANDAT AKAR UMBI

APA jua pendapat dan pandangan orang ramai terhadap kemesraan Presiden Pas, Hadi Awang dengan Presiden Umno, Najib Razak harus kita raikan.  Pendapat yang menyatakan ini satu permulaan yang baik untuk memperkuatkan barisan Pakatan Harapan tanpa membuang masa yang panjang menanti kemasukan Pas, itu satu pandangan yang boleh dipersetujui.  Pendapat lain, mana mungkin Pas akan bersama Umno hanya kerana kemesraan yang terjalin itu kerana Pas hanya mahu 'menasihati' rejim yang zalim, itu saja.  Pendapat ini boleh dipakai dan boleh saja ditertawakan.

Pendapat peribadi aku, apa pun keputusan KEADILAN selepas perkembangan mutakhir Pas ini haruslah mengikut kehendak akar umbi.  Kehendak akar umbi mesti didengar kerana akar umbi adalah kekuatan kepada parti.  Pemimpin hanya berada di atas, mereka jauh untuk melihat apa yang berlaku di bawah.  Pucuk di atas mereka hampir kepada buah dan kadangkala mereka terlalu asyik di atas tanpa menyedari akar pada batang pokok itu sedang diracun.  Jika dibiarkan, racun-racun ini akan memusnahkan batang dan cabang pokok ini sekaligus mematikan pucuk dan buahnya.  Itu yang dibimbangi.

Apakah tidak baik untuk kita mendengar pendapat akar umbi?  Atau kita merasakan kita sudah terlalu bijak melihat situasi sekarang?  Mungkin juga pemimpin ingin bermain selamat yang akhirnya parti tidak selamat?

Seandainya majoriti akar umbi mahu bebaskan KEADILAN dari Pas maka kita harus menghormati kehendak mereka.  Kenapa sekarang ini mereka tidak mahu lagi kepada Pas?  Kenapa sekarang?  Tentu ada sebab musababnya cuma mereka tiada saluran untuk sampaikan pandangan mereka.  Keputusan MPP KEADILAN selalunya dilihat sebagai wakil suara akar umbi.  Secara teknikalnya memanglah begitu, tetapi di dalam keadaan tertentu dengan perkembangan yang baru, tentulah suara-suara dari MPP tidak semestinya suara dari akar umbi.  Adalah lebih baik KEADILAN dapatkan mandat dari akar umbi berkaitan isu ini.  

Ahli-ahli KEADILAN bukan mahu melihat parti ini hancur.  Mereka mahu parti ini kuat dan tidak mudah diperbodohkan.  Kita mahu kawan yang kuat tetapi kita lebih mahu kawan yang setia.  Kawan yang kuat mungkin dapat membantu kita, tetapi tidak mustahil dengan kekuatan mereka kita juga akan ditentangnya.  Waktu itu, baru kita tahu betapa pentingnya kesetiaan.  Kawan yang lemah, mereka bersedia untuk susah atau senang bersama kita.