SEBELUM ini aku menulis bahawa jika Tuanku tidak berkenan wanita jadi MB samada atas faktor kewanitaannya ataupun kerana difikirkan tidak layak, walaupun sekurang-kurang 30 Adun telah menyatakan Azizah itu layak, Tuanku boleh saja menimbangkan calon lain dari PKR iaitu Azmin.
Bila aku sebut Azizah, ada yang kata aku diupah untuk promosi Azizah. Bila aku sebut tiada masalah untuk pilih Azmin, tuduhan tetap sama aku diupah untuk promosi Azmin. Betapa bengapnya pemikiran yang beranggapan sedemikian. Tidakkah mereka pernah membaca aku juga sebelum ini adalah di antara yang paling kuat menyokong TSKI sewaktu kempen pemilihan di dalam parti baru-baru ini?
Sokongan aku pada TSKI bukan sekadar di dalam tulisan, bahkan aku mengundi TSKI di Cabang aku. Berkempen kuat untuknya. Adakah waktu itu aku juga diupah? Berapa banyak duit aku sekarang akibat menerima upahan dari beberapa pemimpin? Sokongan aku terhenti kepada TSKI apabila beliau telah disabitkan dengan kesalahan tatatertib, itu pun aku amat berharap beliau dapat membela dirinya, menjawab surat tunjuk sebab, menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Jawatankuasa Disiplin Parti. Malangnya TSKI gagal untuk membela dirinya. Begitu menghampakan, akhirnya beliau dipecat. Di situ, aku bukan saja tidak lagi menyokongnya bahkan aku menyokong tindakan parti untuk menurunkan beliau dari Kerusi MB.
Pada aku, sebaik atau sehebat manapun pemimpin itu jika gagal menunjukkan rasa hormat pada parti, itu bukan pemimpin yang aku mahu sokong. Begitu juga jika aku menyokong Azizah mahu pun Azmin. Sokongan ini tidak mutlak. Kita mahu lihat adakah kedua-dua mereka ini mampu menggalas amanah parti dan amanah rakyat jika diberi peluang menjadi MB Selangor. Jika gagal, kita wajib turunkan mereka. Bukankah itu yang selalu kita kempen kepada rakyat untuk tukar kerajaan yang gagal membela nasib rakyat?
Aku tahu, ada rakan-rakan dari pihak sana mahukan PAS jadi MB. Tiada masalah pun asalkan PAS sanggup lakukan dua syarat ini;
Pertama, langgar saja perjanjian untuk tidak mengambil Kerusi MB dari PKR dan perjanjian dari Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu yang terang dan jelas menyebut, PAS akan tolak jika diberikan Kerusi MB. Jika PAS sanggup langgar perjanjian ini, tiada masalah.
Kedua, PAS mesti dapat sokongan majoriti dari Adun-Adun terutamanya dari Adun PR. Atau, PAS sanggup tidor sebantal dengan Umno dan mencuri beberapa Adun lagi dari PR untuk mencukupkan majoriti bagi menjadi MB. Jika ini berjaya, tiada masalah PAS untuk menjadi MB.
Aku tertarik dengan tulisan Ustaz Mokhtar Senik (Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang) yang juga AJK Dewan Ulamak PAS Pusat, yang menyebut, jika PAS dipilih menjadi MB, PKR dan DAP wajib sokong untuk buktikan kerjasama di dalam PR. Rasa mahu gelak membacanya sebab kenyataan itu datangnya dari Ulamak.
Tidak perlulah aku sebut mengapa aku nak gelak membacanya. Tapi yang jelas, kenyataan itu membuktikan tidak semua Ulamak tahu berpolitik dan tidak hipokrit !!