RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 10 Oktober 2014

KENAIKAN GAJI MP - MENGAPA PERLU DITENTANG ?

KINI isu kenaikan gaji Ahli Parlimen galak diperdebatkan.  Wajar atau tidak kenaikan gaji tersebut setelah begitu lama gaji MP tidak dinaikkan dan tahun lepas cadangan kenaikan gaji tersebut ditolak awal-awal lagi oleh Ketua Pembangkang dan PR kerana kenaikannya begitu tinggi.  Isu sekarang, bukan wajar atau tidak tetapi berapa peratus kenaikan itu?  

Aku sokong sangat jika gaji atau elaun MP dinaikkan kali ini tetapi mesti munasabah dan tidak begitu menghiris hati dan perasaan rakyat yang kini tertekan dengan kos kehidupan yang semakin tinggi tambahan pula harga minyak petrol dan diesel baru saja dinaikkan sebelum Hari Raya Korban baru-baru ini.  Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan kenaikan gaji MP tetapi beliau menegaskan kenaikan itu harus dilakukan dengan kadar yang rendah dan munasabah kerana ia sudah lama tidak dinaikkan.

"Saya menunggu cadangan daripada kerajaan, dan pada dasarnya kita setuju kalau kenaikan itu pada tahap yang rendah dan munasabah," kata beliau kepada Malaysiakini di lobi Parlimen hari ini. Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata elaun MP yang sekarang ini berjumlah kira-kira RM6,500 adalah antara yang paling rendah di dunia.  Beliau berkata cadangan kenaikan pada 2012 sebelum ini tidak dipersetujui pembangkang.  Anwar pula berkata beliau sebelum ini menolak cadangan tersebut pada 2012 kerana kenaikan itu terlalu mendadak dan tinggi.  "Dulu saya telah membuat kenyataan menolak kerana kenaikan itu agak mendadak.  Tetapi oleh kerana cadangan dan bertahun tiada kenaikan, kita bersetuju tetapi dengan kadar yang kita anggap munasabah," kata beliau.

Mengapa kita perlu sokong kenaikan gaji MP ini?  Di antaranya adalah seperti berikut;

1.  MP terutamanya dari PR tidak mendapat peruntukan dari Kerajaan Pusat bagi kawasan-kawasan yang mereka wakili dan sekiranya ada sekalipun bukan diberikan terus kepada MP dari PR dan ini menyukarkan perancangan Wakil Rakyat berkenaan untuk membangunkan kawasan masing-masing.

2.  Pengurusan dan pentadbiran Pejabat Khidmat MP perlu kepada peruntukan bagi menyediakan segala kelengkapan pejabat, kelengkapan lojistik dan juga elaun kepada kakitangan Pusat Khidmat di kawasan masing-masing.  

3.  Terbukti masih banyak Pusat Khidmat Wakil Rakyat khususnya dari PR yang menyediakan tabung derma memohon sumbangan orang ramai hanya untuk menyediakan kelengkapan dan peralatan pejabat seperti kemudahan komputer, kertas komputer, dakwat komputer, Telefon/Fax, kemudahan Internet dan berbagai lagi bertujuan untuk melicinkan lagi pengurusan pejabat untuk menyalurkan perkhidmatan kepada rakyat.

4.  Terdapat kakitangan pejabat MP yang tidak bergaji atau mendapat elaun yang terlalu rendah bahkan kadangkala dibayar dan kadangkala tidak.  Namun mereka faham MP dari PR lebih mengutamakan rakyat di kawasan mereka dan MP tidak mempunyai cukup wang untuk kakitangan pejabatnya sendiri.

5.  Menyedari bahawa pengurusan yang licin dan sistematik serta mempunyai kakitangan pejabat yang cekap memerlukan kos dan MP tidak mampu untuk menangung kesemuanya.

Atas dasar ini, maka wajarlah gaji atau elaun para MP ini dinaikkan agar mereka mampu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan efisyen lagi,  Ini bukan masalah MP tidak menghiraukan kesusahan rakyat, tetapi langkah ini juga akan menjadikan MP lebih bersemangat untuk membela nasib rakyat.


Selasa, 7 Oktober 2014

PESTA ARAK "OKTOBERFEST" - KERAJAAN SELANGOR WAJIB HENTIKAN JIKA MAHU LIHAT SELANGOR MEMILIKI RAKYAT YANG SIHAT JIWANYA

SEKARANG ribut pasal "OktoberFest" yang sebenarnya telah pun bermula pada 24 Sept yang lalu dan difahamkan kemuncaknya akan diadakan pada 10 Okt hingga 12 Okt ini bertempat di Tempat Letak Kereta One Utama, Petaling Jaya.  Keributan ini adalah kerana pesta itu merupakan 'pesta minum arak' dan ramai yang menentang aktiviti ini.

Kita faham, arak hanya haram kepada penganut berugama Islam dan aku rasa ugama lain pun tidak 'redha' sebenarnya kepada peminum arak, apatah lagi minum sambil berpesta.  Kita juga maklum bahawa bukan PR yang meluluskan Kilang Arak terbesar di Shah Alam itu, dan ramai di antara kita tahu siapa yang merasmikan Kilang Arak berkenaan puluhan tahun yang lalu.  Bukan Non Muslim yang merasmikannya.  Namun demikian, apakah cukup dengan alasan itu maka kita terpaksa 'restu' dengan aktiviti yang tidak berfaedah langsung dan ianya seolah-olah satu kempen atau mempromosikan arak kepada anak-anak remaja tidak kira Non Muslim lebih-lebih dahsyat lagi kepada yang berugama Islam.

Aku percaya tanyalah kepada semua ibu bapa samada mereka Islam atau tidak, adakah mereka suka anak-anak mereka meminum arak atau menjadi peminum tegar arak?  Mungkin ibu atau bapa mereka sudah tidak boleh disekat lagi ketagihannya, tetapi apakah mereka gembira anak-anak mereka menjadi peminum arak yang tegar sehingga dewasa nanti?  Jawapannya sudah pasti tidak.  Atas faktor ini, kita mohon Kerajaan Selangor di bawah MB baru, YAB Azmin Ali duduk berbincang bersama semua rakan dari PR dan terangkan kepada mereka betapa perlunya pesta arak ini dihentikan.  Apakah tidak cukup lagi arak buat mereka sekadar minum sahaja, mengapa perlu berpesta?  Apa untungnya kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan lebih jauh lagi kepada Negeri Selangor, khususnya.

Jika PR tidak berupaya mengharamkan arak dari dijual atau menutup Kilang Arak terbesar di Shah Alam itu kerana kuasanya berada di bawah Kerajaan Pusat yang ditunjangi Umno, paling kurang kita elakkan untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang ada aktiviti berpesta arak.  Arak minuman yang dibenarkan kepada penganut ugama lain, memadailah mereka membelinya dikedai-kedai yang ditentukan sahaja dan mereka boleh sahaja meminumnya seperti minuman biasa tanpa perlu berpesta.  Bagi umat Islam, hukumnya jelas tiada dalih lagi.

Sehubungan itu, aku mengutuk sekeras-kerasnya Kerajaan Negeri Selangor sekiranya kerajaan yang baru dibentuk dengan MB barunya ini terlibat secara langsung atau tidak langsung 'merestu' aktiviti yang tidak sihat ini.  Ini bukan soal ekstremis tetapi memadai kita melihat dari sudut moral, adakah wajar arak ini dijadikan satu pesta sedangkan semua tahu samada Non Muslim lebih-lebih lagi Muslim bahawa arak ini banyak mendatangkan mudharat berbanding dengan kebaikannya.  Hentikan aktiviti yang bakal meracun minda anak-anak muda kita tidak kira apa jua agama.  Jika merokok yang semua tahu satu amalan yang tidak baik untuk diamalkan, apatah lagi dengan arak.

Azmin Ali wajib peka dengan isu ini.  Rakyat mesti diterangkan mengapa Kerajaan Negeri tidak mahu rakyat Selangor menjadi semakin ramai ketagih dengan arak dan mengapa aktiviti negatif ini mesti dihalang.  Kita juga berharap semua pimpinan parti di dalam PR juga peka dengan isu ini dan bersama-sama menjadikan Selangor sebagai negeri yang bukan sahaja maju tetapi mempunyai rakyat yang sihat jiwanya. 

Hentikan "OktoberFest".