RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 27 Julai 2018

RAFIZI, ANAK DIDIK ANWAR YANG 'NAKAL' TETAPI BIJAK


Apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan beliau untuk bertanding jawatan Presiden Keadilan di dalam pemilihan Parti Keadilan pada bulan September nanti, setakat ini belum ada mana-mana Negeri atau Cabang Keadilan yang menerimanya dengan berat hati, bahkan hajatnya itu disambut dengan penuh kegembiraan dan bersemangat sekali oleh ahli-ahli Keadilan keseluruhannya.

Tidak terbayangkan oleh kita, Keadilan yang dipimpin oleh isteri beliau Dato' Seri Wan Azizah semenjak tahun 1999 telah berjaya mengharungi berbagai rintangan dan dugaan dan akhirnya muncul sebagai parti yang paling cemerlang melalui keputusan PRU14 yang lalu, tentulah parti keramat yang wujud atas semangat reformasi yang dibawa oleh suaminya Dato' Seri Anwar Ibrahim akan lebih gemilang dan terbilang lagi apabila parti ini diambil alih oleh bakal PM yang ke 8 itu nanti.

Kesedian Kak Wan untuk memberi laluan kepada suami tercintanya untuk bertanding jawatan Presiden parti sekali lagi membuktikan keikhlasan dan kekuatan jiwa dan pengorbanan beliau demi parti. Terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Kak Wan tanpa memikirkan kepentingan dirinya. Beliau sedar, sudah sampai masanya 'baton' diserahkan kepada Anwar kerana Anwar juga telah berkorban segala-galanya untuk rakyat dan parti tercinta ini.

Saya menjangkakan, hampir pasti Anwar akan memenangi pemilihan kali ini tanpa bertanding. Sejarah akan tercipta apabila Anwar dinobatkan sebagai Presiden Keadilan dan kemungkinan jawatan Ketua Umum bakal dimansuhkan. Apabila Anwar berada di posisi itu kelak, saya yakin parti ini akan lebih kuat dan bersatu padu. Kekuatan parti ini juga akan membantu kekuatan Pakatan Harapan sepertimana Anwar berjaya menyatukan dan memperkuatkan Pakatan Rakyat suatu ketika dahulu.

Persoalannya, siapa akan berada di sebelah beliau selaku Timbalan Presiden? Sudah pasti ini satu persoalan yang menarik kerana Keadilan memiliki terlalu ramai tokoh yang berwibawa di kalangan tua, pertengahan dan golongan muda. Namun demikian, dua sosok tubuh di dalam Keadilan iaitu Timbalan Presiden sekarang, Azmin Ali dan Naib Presiden iaitu Rafizi Ramli adalah nama-nama yang disebut untuk bersaing bagi merebut jawatan nombor dua di dalam parti.

Azmin memiliki kelebihan sebagai bekas MB Selangor yang berjaya mempertahankan negeri yang terkaya itu selepas beliau menjadi MB menggantikan Khalid Ibrahim sehingga mencapai kemenangan besar di Selangor pada PRU14 baru-baru ini. Apatah lagi sekarang beliau dilantik sebagai Menteri Ekonomi di dalam kabinet Tun M. Bermodalkan sebagai bekas MB dan Menteri kanan, kekuatan dan pengaruh beliau idak boleh dipandang sepi.

Rafizi Ramli, seorang tokoh yang menjadi idola ramai anak muda merentasi kaum dan parti. Beliau dipilih menjadi Naib Presiden Keadilan bukannya melalui lantikan. Ada yang menyebut, sekiranya beliau juga berpeluang untuk menjadi MB di Selangor, beliau juga mampu mengukir nama yang hebat kerana beliau seorang anak muda yang kreatif, bijak serta berani. INVOKE, merupakan hasil dari kreativitinya untuk menentukan strategi menentang rejim yang memerintah waktu itu dapat diperbagaikan. Tidak hairanlah INVOKE sentiasa menjadi sasaran pihak musuh kerana mereka tahu strategi ini bisa melemahkan mereka.

Seorang pendebat, kritis dan 'budak nakal' yang kadangkala membuatkan Kak Wan pening kepala dengan gelagatnya. Di sebalik 'kenakalannya', tersembunyi seribu kebenaran. Oleh kerana memperjuangkan kebenaran itu, Rafizi sanggup menghadapi risiko besar samada dipandang serong oleh beberapa pimpinan parti atau dijadikan mangsa kezaliman oleh sang Penguasa waktu itu. Berbelas kes mahkamah beliau hadapinya dengan tenang dan beliau rela terpelanting dari menjadi calon PRU14 baru-baru ini demi memperjuangkan prinsip beliau iaitu menentang kemungkaran Kleptokrasi.

Bukan sahaja melalui INVOKE yang beliau bina atas titik peluh dan wang ringgit sendiri serta bantuan dari rakyat yang bersimpati, Rafizi juga banyak menghabiskan masanya menjelajah ke setiap pelusuk negeri terutamanya di kawasan-kawasan Parlimen yang menjadi sasaran Pakatan Harapan sebelum PRU14 yang lalu. Bahkan, beliau dilihat seolah-olah tidak serius untuk bertahan di Parlimen Pandan kawasannya sendiri tetapi sanggup membantu rakan-rakan di kawasan lain. Alhamdulillah, masyarakat di Pandan memahami perjuangan beliau dan redha dengan usaha yang beliau lakukan. Buktinya, rakyat di Pandan terus beri sokongan kepada Pakatan Harapan dengan majoriti yang besar kepada Kak Wan pada PRU14 yang lalu.

Sikap kritikalnya terhadap sesuatu perkara sukar untuk beliau tinggalkan. Beliau banyak mengkritik dan mendedahkan berbagai kepincangan kerajaan terdahulu seperti skandal NFC, Tabung Haji, KWAP, LTAT, Felda dan berbagai lagi skandal termasuk skandal terbesar iaitu 1MDB yang hingga kini di dalam siasatan. Kebanyakan isu-isu ini didedahkan dengan berani oleh Rafizi sehingga beliau terpaksa berdepan dengan mahkamah dan terpaksa lupakan dahulu Kerusi Parlimen Pandan. Baginya menjaga hak rakyat seluruh negara itu lebih penting dari menjaga kepentingan dirinya di Pandan.

Kritikan beliau bukan sahaja kepada pihak lawan. Beliau juga mahu partinya dan Pakatan Harapan tidak lari dari landasan. Beliau tidak takut untuk menegur mana-mana pimpinan parti yang beliau rasakan perlu ditegur. Beliau juga sanggup menerima teguran dari orang lain. Bahkan, kita masih ingat selepas PRU14 dan Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya, beliau adalah orang yang pertama menegur PM, Tun M sewaktu PM mengumumkan senarai Menteri di Kementerian terkanan. Teguran beliau jika dilihat dari sudut positif, ianya memang wajar kerana Pakatan Harapan perlu kekalkan prinsip rundingan sebelum sesuatu keputusan dibuat. Sepertimana teguran yang beliau buat itu secara positif dan jujur, begitulah juga Tun M menerima teguran tersebut secara positif.

Begitulah sedikit gambaran yang sempat saya fikirkan di dalam penulisan ini berkaitan Rafizi Ramli. Tidak ramai tokoh politik yang ada karisma seperti beliau. Seringkali beliau ditegur oleh Anwar kerana 'kenakalannya' tetapi Anwar tidak dapat menyembunyikan kehebatan anak muda kelahiran Terengganu ini. " Beliau anak muda, semangatnya lebih dan sedikit 'nakal' tetapi beliau budak bijak dan tidak harus diketepikan pandangannya". Itulah kata-kata yang pernah Anwar luahkan tentang anak muda ini.

Keadilan tentunya bertuah memiliki tokoh hebat seperti Anwar Ibrahim yang tiada sesiapa boleh mengatasi pengalamannya sebagai tokoh politik yang telah diuji dengan fitnah sepanjang lebih separuh dari usianya. Keadilan perlu kepada sosok tubuh seperti Anwar, kalaupun tidak sehebat ujian yang dihadapi oleh Anwar, tetapi sekurang-kurangnya mesti ada pengganti yang berprinsip, bijak dan berani seperti Anwar. Pada saya, merit itu ada pada Sdr Rafizi Ramli.