AKU amat tidak setuju dengan sesetengah saranan dari pimpinan PR yang mahu agar PAS boikot PRK Dun K.Besut yang akan diadakan nanti. Tiada asas langsung untuk PAS memboikot PRK tersebut. Asasnya apa? Adakah kerana kita bantah keputusan PRU 13 dan penipuan SPR maka kita patut boikot PRK yang amat penting itu?
Jika itu sebagai asasnya, alangkah baiknya juga kesemua MP dari PR juga tidak perlu mengangkat sumpah di Parlimen baru-baru ini? Tentunya kesemua Adun dari PR juga tidak perlu mengangkat sumpah dan kita tidak perlu wujudkan kerajaan negeri, tidakkah lojiknya begitu? Mengapa MP dan Adun mengangkat sumpah dan mengapa kita wujudkan kerajaan negeri atas nama PR? Adakah kita telah bersetuju bahawa tiada penipuan di dalam PRU 13 yang lalu?
Biarlah kita buat keputusan yang bijak. Di dalam kita menentang penipuan yang dilakukan oleh SPR, kita mesti menghantar wakil kita di Parlimen dan Dun kerana desakan dan tekanan kepada SPR khususnya mesti dilakukan melalui Parlimen dan Dun, mesti juga direalisasikan di luar Parlimen/Dun oleh individu, kumpulan NGO, parti-parti politik dan sebagainya. Apa jua bentuk dan pendekatan mesti kita sokong asalkan tekanan kita kepada SPR lebih efisyen.
Apakah kita yakin, tanpa wakil kita di Parlimen/Dun maka SPR akan berubah? Adakah dengan memboikot PRK maka SPR akan faham tuntutan kita? Kita silap jika memikirkan sedemikian, dan yang pasti adalah Umno/Bn kerana mereka akan terus kekalkan Kerusi Dun K.Besut seterusnya mentadbir Terengganu dengan amat mudah. Bukankah itu pengkhianatan kita kepada rakyat Terengganu yang selama ini amat komited menyokong kita?