RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Jumaat, 29 Ogos 2014

MENGAPA KAK WAN ?

KRISIS MB Selangor semakin ke penghujung.  Meskipun PKR dan DAP sudah sepakat untuk menghantar nama calon MB hanya seorang iaitu Kak Wan kerana Kak Wan telah memperolehi sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang, dan PAS masih bertindak sendirian untuk menghantar lebih dari dua nama calon yang dikatakan dari Adun PKR juga, pada aku krisis ini semakin sejuk berbanding sebelumnya.

Tidak sukar untuk difahami mengapa PAS bertindak berbeza dari rakan-rakan di kalangan PR walaupun PAS paling galak bermesyuarat.  Masalah bagi PAS adalah mengapa mesti Kak Wan?  Itu saja.  Sebab itu PAS menambah satu lagi calon pilihan mereka iaitu Azmin Ali walaupun Azmin sendiri tetap menyokong Kak Wan sebagai MB Selangor.


Prinsipnya PAS setuju Kerusi MB Selangor adalah milik PKR.  Tetapi PAS mahu suara mereka didengari juga iaitu mereka seolah-olah keberatan menerima Kak Wan, Presiden PKR sebagai satu-satunya calon tungal yang ingin dipersembahkan ke Istana.  Jangan salahkan PAS di dalam soal ini, cuma salahkan mereka yang masih enggan terima hakikat bahawa PKR juga ada sebab untuk meletakkan Kak Wan sebagai MB Selangor yang baru.  Hanya DAP saja yang mungkin memahami mengapa PKR begitu komited inginkan Kak Wan berada di situ.

Bagi aku, sokongan aku pada Kak Wan sebagai MB Selangor bukan disebabkan Kak Wan itu isteri Anwar.  Aku tahu Kak Wan lahir sebagai orang politik bukan kerana ditunjuk oleh Anwar.  Beliau muncul di kancah politik kerana menyedari tentang kezaliman dan menegakkan keadilan di negara ini.  Awalnya tentulah beliau bangkit berjuang untuk membela nasib suaminya yang difitnah dan dizalimi.  Namun, setelah suaminya dibebaskan wajarkah Kak Wan berhenti berjuang sedangkan beliau sedar ramai lagi yang telah dizalimi.  Begitu juga dengan anak sulungnya Nurul Izzah.  Beliau terpaksa bangkit bersama ibunya untuk meneruskan perjuangan bapanya.  Salahkah mereka berjuang?  


Di era kesusahan melanda, tiada siapa hirau mengapa Kak Wan dan anaknya diangkat rakyat sebagai pemimpin.  Tidak berbunyi pun kalimah 'nepotisme' kerana masing-masing ingin menumpang tuah hasil dari perjuangan keluarga Anwar ini.  Kak Wan juga pernah diangkat sebagai Ketua Pembangkang bagi mengetuai PAS dan DAP di Parlimen.  Waktu itu tiada juga kalimah Kak Wan itu wanita atau nepotisme.  

Selaku seorang pejuang sejati yang pernah diuji dengan kesukaran dan kepayahan yang bukan kepalang, salahkah rakyat dan parti mengangkatnya tanpa perlu diarahkan atau ditunjuk oleh Anwar?  Siapa boleh buktikan Kak Wan naik kerana Anwar mahu dia dipilih?  Dia menang sebagai MP Parlimen Permatang Pauh adalah kerana sokongan rakyat.  Dia jadi Presiden PKR pun atas sokongan sebulat suara tanpa ada pertandingan.  Kak Wan dikatakan menang di Permatang Pauh dulu kononnya itu memang kubu kuat Anwar.  Kak Wan membuktikan sebaliknya, beliau tampil di Dun Kajang dan beliau tetap diangkat oleh rakyat, bukan oleh Anwar.  Itu juga berlaku pada Nurul Izzah.  Apa pun jawatan Nurul Izzah di dalam parti mahu pun sebagai Wakil Rakyat di Lembah Pantai, tiada langsung boleh dikaitkan dengan pertunjuk dari Anwar.

Ertikata lain, memang tepat PKR dan DAP mencalonkan Kak Wan di Kerusi MB Selangor.  Bukan soal Kak Wan itu isteri Anwar.  Sebelum ini TSKI jadi MB, tiada kaitan pun dengan keluarga Anwar.  Andainya diletakkan Azmin sekalipun pastinya akan ada suara-suara sumbang yang mendakwa Azmin adalah "anak emas" Anwar.  Begitulah politik yang tidak matang.  Politik sakit hati atau busuk hati.

Jika kita gagal lahirkan keluarga yang berjuang untuk rakyat, mengapa harus dengki dan sakit hati dengan keluarga Anwar?  Perlukah kita dengki juga dengan keluarga Tok Guru Nik Aziz selaku Mursyidul Am PAS yang Majlis Syura adalah penentu semua calon Pilihanraya dari PAS?   Adakah Majlis Syura yang diPengerusikan oleh Tok Guru Nik Aziz telah setuju Nik Abduh bertanding di Pasir Mas dan kini menjadi MP Pasir Mas boleh kita anggap satu 'nepotisme' juga?  Apakah anak Presiden PAS, Tok Guru Hj Hadi iaitu Ustaz Khalil yang kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS dan satu hari nanti bakal menjadi Wakil Rakyat akan kita sebut "nepotisme:" juga?  Adakah "nepotisme" juga bila menantu Presiden PAS kini berada di dalam Syarikat Perangsang di bawah Kerajaan Negeri Selangor?  Aku samasekali tidak bersetuju dengan tafsiran "nepotisme: sedemikian.

Aku bersetuju Kak Wan dicalonkan sebagai MB Selangor hanyalah kerana itu keputusan parti, bukan kerana Kak Wan adalah isteri Anwar.  Andainya selepas ini parti membuat keputusan baru meletakkan Azmin sebagai calon MB Selangor, aku akan akur kerana Azmin juga layak untuk dicalonkan kerana beliau orang lama di dalam parti dan menjawat jawatan Timbalan Presiden PKR juga sebagai Pengerusi PKR Negeri Selangor.  Sokongan aku pada Azmin bukan kerana Azmin itu dikatakan "anak emas" Anwar.

Kemelut MB Selangor pastinya menjadi lebih mudah jika PR boleh bermuafakat dan saling menghormati.  Pihak Istana juga diharapkan dapat membuat keputusan berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan.  MB Selangor seharusnya dipilih dari suara Wakil2 Rakyat yang mempunyai majoriti kerana itu adalah suara rakyat.  Meskipun tidak dinafikan Sultan mempunyai hak memilih mengikut budi bicaranya, namun aku yakin semangat Raja Berperlembagaan itu tetap menjadi keutamaan. 

Rabu, 27 Ogos 2014

TSKI BAKAL BERSARA, TOK GURU PULA JADI MANGSA FITNAH?

PECAH berita kononnya Presiden PAS, Tok Guru Hj Hadi membuat tawaran kepada Azmin Ali untuk menyertai PAS seterusnya dilantik sebagai MB Selangor setelah membentuk kerajaan bersama Umno.  Berita ini tersiar di dalam The Malaysian Insider dan mengejutkan ramai pihak termasuk para penyokong PAS sendiri.

Benarkah berita ini?  Berdasarkan penafian oleh SU Presiden PAS sendiri yang menyatakan, "Saya merujuk kepada berita yang dipaparkan oleh The Malaysian Insider (TMI) pada hari ini, 26 Ogos 2014 dengan tajuknya “Hadi tawar Azmin sertai PAS bentuk kerajaan bersama Umno, dakwa AJK Pas Pusat” adalah bukan sahaja tidak benar tetapi juga bertujuan jahat.", Maka, dapatlah kita simpulkan berita ini mungkin tidak benar.  

Perjumpaan Azmin dengan Tok Guru Presiden memang ada, tetapi bukan berkisar tentang memujuk Azmin sertai PAS.  Itu yang dimaksudkan oleh SU Presiden PAS.  Aku sendiri pun tidak percaya semudah itu Tok Guru Hj Hadi ingin 'menjual' PAS kepada Umno demi memastikan Kak Wan tidak menjadi MB Selangor.  Tidak setuju dengan Kak Wan, tetapi sanggup bersama Umno pada aku mustahil PAS sanggup bertindak sedemikian.

Sekarang, Kak Wan tetap diangkat dan disokong oleh 30 Adun dari PR.  13 lagi Adun dari PAS masih tidak dapat ilham atau 'wahyu' lagi.  Mungkin mereka perlukan lagi meeting untuk membuat keputusan.  Itu tidak mengapa kerana kita tidak mahu dilihat seolah-olah PKR ini 'memaksa' PAS untuk terima Kak Wan walaupun Kak Wan bukan calon Bebas atau Umno.  13 Adun PAS boleh sokong TSKI walaupun beliau Bebas, tetapi PAS mungkin ada sebab tidak mahu sokong Kak Wan.  Di dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR baru-baru ini PAS setuju dua nama, iaitu Kak Wan dan Azmin.  PAS juga setuju hanya seorang nama dihantar ke Istana iaitu Kak Wan, tetapi PAS tidak gugurkan nama Azmin.

Ertinya PAS setuju dengan Kak Wan untuk jadi MB Selangor.  PKR dan DAP sebulat suara menyokong Kak Wan, begitu juga dengan PAS, cuma PAS ada 'reserved' satu lagi iaitu Azmin.  Malangnya 13 Adun PAS tidak mahu tandatangan tanda setuju kepada Kak Wan.  Sokong tapi enggan tandatangan.  Itu pun PKR terutamanya tidak mengamuk dengan PAS.  PKR redha dengan 30 Adun yang tahu erti berkawan dan berpakat, maka 30 orang itu diangkat ke Istana.  

Sehari dua lagi mungkin kita akan dapat lihat adakah PAS serius untuk bersama PR.  Apakah PAS masih dengan keputusannya untuk tidak memberikan sokongan kepada Kak Wan sedangkan PAS tahu Kak Wan kini telah mendapat sokongan majoriti.  Ada di antara penyokong-penyokong PAS menuduh PKR keras kepala.  Cuba kita lihat situasi yang ada, siapa sebenarnya yang keras kepala?  PKR dan DAP telah mematuhi secukupnya undang-undang asas iaitu MB itu mestilah dari kalangan Adun yang mendapat sokongan majoriti, maka calun itu adalah Kak Wan.  Apa hujahnya mahu dikatakan keras kepala?

Kita boleh nilai sendiri siapa yang keras kepala.  Buat PKR atau DAP, tolong hormati keputusan PAS.  Jika kita tidak mampu untuk mendapatkan kerjasama dari PAS, kita lakukan setakat mana yang kita mampu lakukan.  PAS ada Majlis Syura mereka untuk membuat keputusan, maka hormatilah.  

Bagi aku, kejayaan besar yang aku amat bersyukur adalah jatuhnya TSKI sebagai MB.  Aku amat tidak boleh terima seorang MB yang tidak berdisiplin dan respek kepada pimpinan dan partinya sendiri.  Lain daripada itu TSKI adalah MB yang terbaik, aku akuinya.  Namun, kebaikan atau ketelusan saja tidak cukup untuk menjadi pemimpin di dalam politik tanpa ada sifat berdisiplin atau menghormati pimpinan dan parti.

Selasa, 26 Ogos 2014

IMPIAN GADIS HANCUR KERANA DITIPU BAPAKNYA.....

ARAKIAN tersebutlah kisah, di sebuah rumah berlaku kekecuhan di antara seorang anak gadis dgn bapanya;

Gadis: Bapak kejam...bapak penipu...bapak kata bapak restu dgn pilihan saya..

Bapak: Hang jangan nak menuduh bapak bukan2....Bukankah bapak dah cakap bapak takde masalah dengan pilihan jodoh hang tu?

Gadis: Habis tu, bapak setuju lah saya kawin dengan dia?

Bapak: Ye...bapak setuju dengan pilihan kamu walaupun bapa ada cadangkan yang lain untuk jodoh kamu. Tapi kamu mahu yang itu juga, maka bapak terima lah.

Gadis: Kalau camtu, tadi waktu nak isi borang nikah tu, kenapa bapak tak mahu tandatangan kebenaran sebagai Wali saya?

Bapak: Bapak hanya setuju untuk kamu bernikah dengan dia. Bapak tak kata bapak setuju nak tandatangan borang tu. Hang yang pandai2 bawa borang tu untuk bapak tandatangan buat apa?

Gadis: Kalau camtu, macam mana saya nak nikah ni bapak....sebenarnya saya tahu bapak tak suka pilihan saya....Sekarang saya nak tanya bapak betul2...bapak nak saya nikah dengan siapa sebenarnya?

Bapak: Bapak serahkan kepada Tok Kadhi untuk tentukan...MUKTAMAD !!

Gadis: Uwaaaaaaaa.....silap2 saya dapat jodoh dgn suku sakat tok kadhi nantiii...tak nakkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk !!!

SEKIAN,

Isnin, 25 Ogos 2014

BERI PELUANG KEPADA PAS UNTUK BUKTIKAN KESETIAAN MEREKA

JANGAN berburuk sangka dengan PAS yang sekali lagi mahu mengadakan Mesyuarat apabila diminta untuk menandatangani akuan untuk menyokong Kak Wan sebagai MB Selangor.  Kita sudah maklum bahawa PAS sendiri setuju dua nama sebagai calon untuk dibawa ke Istana iaitu Kak Wan dan Azmin, walaupun PR hanya membawa satu nama iaitu Kak Wan.

Mengapa perlu gusar lagi?  Apakah kita tidak yakin dengan Parti Islam tersebut?  Cuma kita mesti berikan masa buat PAS untuk berbincang kaedah mana yang mereka fikirkan terbaik untuk menentukan bahawa akhirnya TSKI itu turun dari Kerusi MB Selangor.  Soal PAS tidak mahu tandatangan atau akhirnya setuju tandatangan sokongan ke atas Kak Wan, itu hanya soal teknikal.  Hakikat dan faktanya adalah Kak Wan kini telah memiliki 30 Adun yang menyokongnya dan ini sudah cukup melegakan kita.  Hanya 13 orang sahaja lagi Adun dari PAS yang perlu mendapat kebenaran dari PAS Pusat untuk turut menyatakan sokongan kepada Kak Wan atau mereka memilih calon kedua iaitu Azmin.  Pokoknya, kedua-duanya adalah dari KEADILAN juga.

Bak kata Sdr Rafizi, " "Saya fikir tidak tepat untuk mengatakan ADUN PAS tidak mahu menandatangani (surat akuan bersumpah). “PAS hanya mahu meneliti kandungan surat itu," kata beliau kepada Malaysiakini ketika ditemui semasa persidangan Kongres Nasional PKR ke-10 di Shah Alam tadi.

Kita jangan bersangka negatif kepada PAS kerana setakat isu ini berjalan, PAS masih lagi dilihat bersama dan mendokong perjuangan kita di dalam PR.  Soal bagaimana PAS mahu menguruskan isu ini terpulang kepada kebijaksanaan parti berkenaan.  Menuduh PAS begitu awal dengan tuduhan somborono kononnya PAS sengaja melewat-lewatkan penyelesaian isu ini untuk memberi ruang kepada TSKI membubarkan Dun adalah satu tuduhan yang tersasar jauh.   

Apa untungnya PAS berbuat demikian jika Dun dibubarkan?  Tiada untung buat PAS seperti juga KEADILAN.  DAP mungkin tidak merasa kesannya jika Dun dibubarkan.  Tapi bagi PAS dan PKR tentu ada kesannya kerana rakyat masih belum cukup maklumat untuk menerima kenyataan TSKI mesti diturunkan.  Apakah boleh diterima akal PAS sanggup menghadapi risiko itu?  Tentu tidak kerana KEADILAN juga akan terpaksa menghadapi risiko yang besar.  Justeru itu, jangan kita anggap PAS sebagai parti baru yang tidak matang untuk membuat keputusan.

Aku sentiasa menaruh kepercayaan kepada parti Islam ini.  PAS sehingga kini telah membuktikan bahawa mereka komited dengan PR.  Mana mungkin PAS akan bertindak berlawanan dengan rakan-rakan yang lain.  Apa pun kita berdoa agar TSKI dibukakan hatinya untuk menerima baik takdir ke atasnya bahawa sudah cukup buat beliau diberi peluang mentadbir Selangor.  Kita harap TSKI tidak akan bersara dari politik di dalam keadaan yang memalukan dan dihina sepanjang masa.

Ahad, 24 Ogos 2014

JANGAN SANGGAH KENYATAAN USTAZ NIK AMAR

USTAZ NIK AMAR, Timbalan MB PAS Kelantan berkata jika beliau ada kuasa, beliau akan pecat 2 Adun PAS yang sokong DS Wan Azizah sebagai MB Selangor itu kerana MELANGGAR DISIPLIN iaitu mendahului parti di dalam membuat keputusan.  Tabik, begitu tegas dengan disiplin.

Aku harap sesiapa pun di dalam PR termasuk mana-mana pemimpin jangan mempertikaikan kenyataan Nik Amar ini kerana itu satu kenyataan yang pada aku tepat sekali.  Jangan pertikai adakah 2 Adun itu telah disabitkan dengan rasuah atau pecah amanah atau apa saja kerana DISIPLIN di dalam parti tidak semestinya boleh disabitkan dengan mahkamah.

Atas prinsip yang sama dengan Nik Amar, maka aku menyokong parti memecat TSKI kerana masalah DISIPLIN yang merugikan parti.  Perlukah kita mahu sebut apa jenayah atau kes rasuah TSKI sehingga parti memecatnya?  Tidak perlu kerana ianya masalah integriti atau disiplin di mana parti merasakan sudah cukup buat parti bersabar dengan karenah disiplin TSKI ini.  Tidakkah sejajar dengan apa yang disebut oleh Nik Amar?  Sebab itu aku menyokong kenyataan beliau dan aku akan menentang sesiapa saja yang menyanggah kenyataan Nik Amar.  Bagi aku, jika kita ada hak atas disiplin ahli-ahli kita, maka PAS juga ada hak.  Alangkah baiknya jika kita saling menghormati hak masing-masing.

Tidak adil jika kita mahu anak kita taat kepada kita, tetapi kita menyokong anak jiran kita yang derhaka kepada ayah dan ibunya.  Sehubungan itu, marilah kita jadikan kenyataan Nik Amar itu sebagai panduan.  Jadilah ahli yang berdisiplin dan patuh kepada parti.