KISAHNYA adalah TSKI yang menyaman bekas SUA KEADILAN, Sdr Saifuddin Nasution dan juga parti KEADILAN kononnya menfitnah beliau. Aku pun gembira dengan cara TSKI itu kerana hanya melalui mahkamah saja kita boleh tahu samada Saifuddin mahupun KEADILAN betul-betul ada hujah atau fakta untuk menuduh TSKI, begitu juga hanya mahkamah saja tempat TSKI boleh membersihkan namanya.
Tida cukup dengan kita hanya mendengar dari mulut Saifuddin saja, begitu juga tidak adil jika kita mendengar dari mulut TSKI semata-mata. Maka, elok benar biar mahkamah saja beri peluang kedua-dua mereka ini berhujah dan membawa bukti serta fakta masing-masing. Aku tidak mahu sentuh soal jawatan MB Selangor yang terlucut dari TSKI kerana bagi aku sekiranya TSKI tiada apa-apa salah pun tetapi jika parti tidak lagi menaruh keyakinan kepada beliau untuk menjadi MB, ditambah pula disokong penuh pula oleh Dap rakan sekutu di dalam PR, maka TSKI memang tidak layak duduk di situ.
Belum pun sempat masuk mahkamah, hasil nasihat dan pandangan Anwar maka kes saman yang difailkan oleh TSKI ini ditarik balik atas tiga asas penting. Pertama, Saifuddin dan KEADILAN memohon maaf kepada TSKI. Kedua, TSKI pula memohon maaf kepada Saifuddin dan KEADILAN. Ketiga, kedua-dua pihak terutamanya di pihak Saifuddin dan Nasution tidak perlu lagi ungkit apa jua dakwaan terhadap TSKI. Ini adalah jelas satu persefahaman yang adil atau "win-win".
Mengapa TSKI sanggup tarik balik saman yang sebenarnya amat penting untuk kita ketahui kesudahannya kerana kita telah dengar bermacam-macam tentang TSKI? Adakah hanya kerana di bulan Syawal, kerana perlunya memohon "maaf Aidil Fitri" saja maka TSKI sanggup lepaskan saman sebesar itu? Bukankah tuduhan-tuduhan terhadap beliau sebelum ini amat menjejaskan imej dan maruahnya? Tentu ada yang lrebih utama dan penting yang menyebabkan TSKI menarik balik samannya. Apakah kerana beliau tahu jika dibawa ke mahkamah akan bertambah banyak yang terbongkar? Jika itu alasannya, aku pun rasa setuju beliau berbuat demikian.
Mengapa pula Saifuddin dan KEADILAN memohon maaf dan buat untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah? Jika diteruskan kes, untungnya KEADILAN apa? Masa habis, duit pun habis sedangkan matlamat untuk menukar TSKI sebagai MB Selangor telah pun tercapai. Ertinya, samada saman itu diteruskan atau tidak, TSKI tetap bukan lagi MB Selangor. Jadi, KEADILAN tidak perlu buang masa melayani saman tersebut, apatah lagi TSKI sendiri setuju untuk selesaikan kes tersebut di luar mahkamah dengan terma-terma yang disebut di atas. Sepertimana kata Saifuddin, beliau telah bersedia untuk menghadapi kes saman tersebut kerana tiada apa yang perlu ditakutkan. Namun, atas nasihat Anwar dan diterima pula oleh TSKI, maka Saifuddin dan KEADILAN sanggup menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
Ertikata lain, Saifuddin dan KEADILAN tidak rugi atau untung jika kes tersebut disebut atau diselesaikan. TSKI mungkin dapat banyak keuntungan kerana sudah tentu beliau tidak mahu banyak lagi perkara akan timbul jika diteruskan saman ini. Jika beliau menang kes saman itu pun, jawatan MB Selangor tetap juga bukan milik beliau lagi. Ini adalah kerana jawatan tersebut dipilih dari majoriti di Dun Selangor. TSKI hanya boleh memiliki semula jawatan itu jika majoriti Adun di Selangor menyokongnya sebagai MB Selangor samada TSKI menang atau kalah di dalam kes saman tersebut.
Sikap kedua-dua pihak yang memilih untuk berdamai adalah langkah paling bijak. Saling bermaafan ini amat tidak disenangi oleh puak-pua yang selama ini tidak suka kepada "Kajang Move" kerana dengan Kajang Move lah rakyat sudah kenal puak-puak ini. Sebab itu ada lebai yang bodoh memikirkan bahawa Saifuddin dan KEADILAN yang memohon maaf kepada TSKI, maka membuktikkan benarlah TSKI selama ini difitnah.
Bagi aku, atas apa jua faktor permohonan maaf ini dibuat oleh edua-dua pihak, terbukti mereka ada kekuatan jiwa dan moral yang tinggi. Ini berbeza dengan kes fitnah edar pil kuda. Tukang fitnah aman sejahtera saja menanggung fitnah yang dibuatnya tanpa sedikit pun terniat untuk memohon maaf.