RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Selasa, 17 Mei 2016

DEBAT DEKLARASI RAKYAT MALAM TADI - ANTARA PERSEPSI DAN HUJAH


MALAM tadi satu debat telah diadakan di Dewan KLSCAH, Selangor atas anjuran SAMM bertajuk 
" Deklarasi: Mana Pergi Rakyat".  Pertamanya aku nak ucapkan tahniah kepada SAMM yang membuka ruang perdebatan isu yang agak panas ini.

Memang tepatlah pendebat-pendebat yang tampil malam tadi.  Pendebat-pendebat mewakili pro Deklarasi adalah YB Khalid Samad, Ambiga dan Khairudin.  Manakala pendebat-pendebat yang sering mempertikaikan kewajaran Deklarasi terdiri dari Chegu Bard (SAMM), Arul (PSM) dan Haris (ABU).

Masing-masing membawa hujah bagi mempertahankan pendirian mereka tanpa ada selindung.  Masing-masing bercakap secara terbuka.  Perdebatan boleh dikatakan panas tetapi masih terkawal dan beretika walaupun sesekali ada segelintir para penonton cuba untuk memprovok pendebat-pendebat.  

Aku tidak mahu ulas perdebatan di antara kedua-dua pihak jauh sekali untuk menyebut siapa yang memenangi perdebatan tersebut.  Bagi aku, ini isu cabang dan pendekatan semata-mata.  Yakni, satu pihak merasakan wajarnya Deklarasi Rakyat ini dibuka seluas mungkin hatta Tun Mahathir bersama.  Satu pihak lagi meragui akan kehadiran Tun Mahathir di dalam Deklarasi Rakyat ini.  Ini semua soal Cabang.  Soal pokoknya iaitu wajib turunkan Najib dan Umno/Bn, aku yakin kedua-dua pihak sama-sama bersetuju.

Kaedahnya ada macam-macam dan belum tentu kaedah-kaedah itu berjaya.  Contohnya, kita telah cuba satu kaedah untuk memaksa Najib turun dengan cara membawa usul menolak Bajet di dalam Parlimen.  Namun kita gagal di dalam kaedah ini.  Apakah dengan kegagalan itu maka kita harus berhenti dan menunggu untuk dua tahun lagi agar Najib terus berkuasa?  

Kebimbangan Chegu Bard dan kumpulannya terhadap kejujuran Mahathir berdasarkan rekod lampau beliau dan kurangnya komitmen Mahathir di dalam isu-isu lain selain dari mahu turunkan Najib ada benarnya kebimbangan itu.  YB Khalid pula lebih terbuka di mana beliau menyatakan jika Mahathir ada agenda, PH juga ada agenda.  Ertinya, siapa cekap di dalam mempergunakan satu sama lain mereka akan berjaya dalam strategi ini.  

Kesimpulannya, aku bangga dengan perdebatan yang walaupun terhad masa untuk berhujah panjang lebar tapi sekurang-kurangnya kita dapat lihat betapa sebenarnya ramai rakyat yang bencikan Najib.  Terpulang kepada pimpinan PH bagaimana dan apakah kaedah terbaik selepas ini ?

Isnin, 16 Mei 2016

PRK SG BESAR DAN K.KANGSAR - UKUR BAJU JANGAN GUNA SAIZ UKURAN RAYA TAHUN LEPAS !!

TERAMATLAH aku setuju dengan pendapat Hj Hadi yang sebut kena 'ukur baju di badan sendiri' bagi mana-mana parti yang mahu bertanding di PRK Parlimen Sg Besar dan K.Kangsar.  Pandangan ini terpakai kepada semua parti bahkan termasuk Umno/Bn sendiri.

Sekiranya KEADILAN mahu meletakkan calon, parti ini harus mengukur baju di badan sendiri dan sebagai rakan bersama dalam PH eloklah minta pandangan teman-teman juga dari Dap dan Amanah, apakah sesuai dan cantik baju yang telah diukur itu.  Carilah mana-mana ukuran yang sesuai pada saat dan waktu sekarang.

Perlu ingat, jangan guna saiz ukuran Raya tahun lepas untuk digunakan pada Raya tahun ini.  Mungkin perut dan boroi terlebih makan dedak atau sudah kempis akibat kurang makan.  Ukuran baju mesti ikut saiz sekarang. 

Ahad, 15 Mei 2016

POLL BLOG - PERATUS MENYOKONG AMANAH UNTUK BERTANDING TINGGI SETAKAT INI

SIAPA wakili PH di PRK di Sg Besar dan K.Kangsar?  Amanah telah bermesyuarat dan mahu calonnya bertanding di kedua-dua kawasan tersebut.  Ertinya, Amanah menawarkan dirinya walaupun parti yang baru berusia lebih kurang 8 bulan ini bakal berdepan dengan rejim berkuasa Umno/Bn serta sekutu mesra alamnya iaitu Pas.

KEADILAN pula masih belum membuat keputusan walaupun jika melihat kepada gerak kerja dan program-program yang sedang berjalan di Parlimen Sg Besar seolah-olah KEADILAN telah bersedia untuk menawarkan diri.  Apa yang pasti, Dap awal-awal lagi mengumumkan tidak akan bertanding di dua kawasan tersebut dan bejanji hanya akan menyokong dan berkempen untuk calon dari PH sahaja.

Bagaimana dengan Pas?  Ada pimpinan Pas yang menyatakan Pas tetap akan bertanding di kedua Kerusi berkenaan dan tidak akan 'menyerang dan menyentuh' Umno di dalam kempennya.  Ertikata lain, Pas akan berperang tanpa menghalakan senapang ke arah kubu musuh.  

Apa pilihan pengundi-pengundi di dua kawasan berkenaan?  Adakah para pengundi akan melihat parti atau calon?  Pilihan anda pula bagaimana?  Sila buat undian di atas.

Jumaat, 6 Mei 2016

HUSAM MUSA SERTAI KEADILAN ?

HUSAM Musa telah dipecat dari Pas.  Semua tahu berapa banyak teguran dan kritikan dari bekas Naib Presiden Pas ini terhadap partinya, bahkan sehingga beliau sanggup berdebat atau berforum bagi mempertahankan dakwaannya.  Seperti yang dijangka, Husam tetap dipecat.


Ada dakwaan menyebut Husam sengaja mencari jalan untuk dipecat.  Jika benar dakwaan itu, mengapa perlu pecat Husam?  Bukankah lebih baik biarkan saja Husam agar 'cita-cita'nya untuk dipecat itu akan gagal?  Apabila Husam dipecat, ditambah pula tiada ruang untuk dirinya berdiri mempertahankan hujahnya maka sahihlah ada kebenaran dari banyak dakwaan Husam itu.  Sehingga kini banyak persoalan yang Husam timbulkan tidak terjawab.

Aku masih ingat sewaktu KEADILAN memecat TSKI dulu, berbagai-bagai dikatakan kepada KEADILAN.  Bermacam-macam nas yang keluar untuk menyatakan pemecatan TSKI itu sebagai 'tidak syarie'.  Nah, adakah pemecatan Husam ini 'syarie'?

Selepas dipecat, agaknya ke mana arah Husam?  Ramai yang meramalkan Husam akan bersama geng-geng lamanya di dalam Amanah.  Bagi aku, Husam mungkin akan memilih KEADILAN sebagai wadah politiknya bagi mengikuti jejak rakannya Datuk Kamarudin Jaafar, MP Tumpat.  Husam akan dapat membantu KEADILAN agar lebih maju ke hadapan apatah lagi dengan ketiadaan DS Anwar Ibrahim.  Bukankah Husam di antara tokoh-tokoh yang disebut sebagai bakal PM yang baik selain dari Anwar?  Ketokohan Husam Musa diakui sendiri oleh Almarhum Tok Guru Nik Aziz.  Anwar juga pernah menyebut, jika beliau jadi PM, Husam adalah di antara tokoh terbaik untuk membantunya.

Bayangkan jika Husam berganding dengan Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution dan ramai lagi tokoh hebat di dalam KEADILAN.  Tentunya KEADILAN di bawah Kak Wan akan lebih mantap dan digeruni.  Seandainya Husam memilih untuk bersama Amanah pun, untungnya dapat juga kepada PH.  Tentunya Amanah bertuah jika dapat memiliki Husam, anak emas Almarhum Tok Guru Nik Aziz ini.

Segala-galanya terpulang kepada Husam sendiri.  Beliau tidak lagi diperlukan oleh Pas, itu hakikatnya.  Aku yakin, Husam tidak akan membuat rayuan kepada Pas kerana beliau yakin beliau di pihak benar.  Pas mungkin merasa selesa dan selamat tanpa Husam.  Masa akan menentukannya.  Husam pastinya tidak akan membiarkan Kelantan dirampas oleh Umno/Bn di dalam PRU14 akan datang kerana kerajaan Kelantan sekarang ini adalah warisan Almarhum Tok Guru Nik Aziz.  Husam pasti akan menggerakkan orang-orangnya untuk mempertahankan Kelantan yang kini dilihat semakin menggusarkan.  

Rabu, 4 Mei 2016

CADANGAN BODOH DARI ZAID IBRAHIM

ZAID Ibrahim mencadangkan agar Dap dan Amanah singkirkan KEADILAN hanya kerana isu Kerusi bertindih di Sarawak.  Secara peribadi aku juga amat kesal di atas apa yang berlaku akibat kurangnya sikap disiplin dan bertanggungjawab di dalam muafakat dan seharusnya KEADILAN perlu memandang serius isu ini agar tidak berlaku lagi di masa-masa akan datang.

Namun, untuk menyatakan KEADILAN harus disingkirkan dari PH adalah kenyataan paling bodoh dari orang politik veteren seperti Zaid.  PH wujud bukan kerana usaha Zaid dan kemajuan PH sekarang ini hanya tidak sampai 0.01 % pun dari Zaid.  Beliau cuma menumpang di dalam PH.  Parti beliau sendiri, parti KITA pun beliau gagal uruskan dengan baik sehingga terkubur walaupun keahlian KITA boleh dikira dengan jari.  Sepatutnya parti yang kecil seperti itu mudah untuk diurus tadbir oleh Zaid sebagai tokoh politik berpengalaman, namun Zaid gagal.  Bayangkan, KEADILAN sebuah parti besar dan memiliki tokoh-tokoh besar dan berpengaruh, sudah tentu banyak cabaran dan mehnahnya.  Itu biasa bagi sesebuah parti besar dan berpengaruh, tetapi itu semua satu pembelajaran untuk parti terus mempertingkatkan kualitinya.

Cuba sebut parti mana yang tidak pernah berlaku kontroversi di dalam partinya sendiri?  Dap juga ada kontroversi, begitu juga Amanah.  Kebetulan kita berdepan dengan PRN, dan PH baru saja memeterai perjanjian dan persefahaman, sebab itu isu ini dilihat lebih ke hadapan.  Meskipun kita kesal dengan apa yang berlaku, paling tidak pun rasa lega kerana pertindihan hanya berlaku hanya sekitar 10% sahaja dari jumlah Kerusi yang dipertandingkan.  Rugi tetap rugi walaupun hanya berlaku satu Kerusi yang bertindih.  Tapi itulah ujiannya kepada KEADILAN khususnya dan PH, amnya.  Banyak yang boleh dipelajari dari situasi ini.

Sebelum menyuarakan pandangan negatif sedemikian rupa, Zaid sepatutnya berfikir terlebih dahulu mana lebih menguntungkan jika KEADILAN bersama PH atau hanya Dap dan Amanah sahaja yang bergabung?  Kecuali, jika Zaid mahu realisasikan agenda Mahathir untuk hanya jatuhkan Najib dan naikkan Umno.  Bagi KEADILAN, Deklarasi Rakyat yang dianggotai juga oleh Zaid bukan untuk jatuhkan Najib semata-mata tetapi kami mahu PH menggantikan Umno/Bn di dalam PRU14 akan datang.  Langkah pertama, Najib wajib jatuh kerana beliau perosak negara sekarang ini.

Khamis, 28 April 2016

RAFIZI PENYELAMAT KAK WAN

NASIB baik ada Rafizi, itu kata teman aku.  Ya, aku setuju sekali.  Keadilan bertuah kerana masih ada orang seperti Rafizi yang menduduki jawatan penting di dalam parti tetapi tidak menggunakan jawatan dan kedudukannya itu untuk kepentingan dirinya sendiri.  Beliau jujur di dalam memperkatakan sesuatu.


Di dalam keadaan ramai pimpinan cuba menegakkan benang basah akibat kesalahan kita menyebabkan berlakunya pertandingan 3 penjuru di Sarawak, Rafizi tampil memohon maaf tanpa beliau nyatakan siapa yang berhak dipersalahkan.  Tidak perlu beliau sebut siapa yang patut dipersalahkan kerana ramai sudah tahu apa yang berlaku sebenarnya.  Namun, Keadilan terpaksa bertanggungjawab dan beliau selaku SUA Keadilan dan juga Naib Presiden Keadilan turut merasa bersalah.  

Keberaniannya memohon maaf disanjung ramai dan sedikit sebanyak mengurangkan kemarahan para penyokong terhadap parti.  Kemarahan kini hanya tertumpu kepada beberapa individu yang menjadi punca kontroversi ini.  Sekarang ramai yang telah memperkatakan bahawa Keadilan mesti mengangkat insan seperti Rafizi jika mahu parti reformasi ini terus dihormati kawan dan digeruni lawan.  InsyaAllah, masa menentukan bahawa Rafizi akan berada di tempat yang sepatutnya di dalam parti.

Dap, melalui Kit Siang telah memohon maaf walaupun partinya menjadi mangsa.  Keadilan, melalui Rafizi juga telah memohon maaf.  Pagi nanti, (28/4/16) dikhabarkan bahawa Kak Wan akan mengadakan sidang media untuk mengulas tentang kontroversi ini.  Aku dapat rasakan bahawa Kak Wan selaku Presiden Keadilan juga akan turut memohon maaf kepada rakyat terutamanya para pengundi di Sarawak.  Mana suara mohon maaf dari yang lain terutamanya si 'pelakun'nya?

Aku tetap berharap Keadilan akan belajar dari apa yang telah berlaku.  Keadilan mesti mengelakkan diri dari digelar parti hipokrit atau parti yang mengkhianati kawan.  Keadilan mesti berani berpencak di dalam gelanggang bukan setelah gelanggang ditutup.     

Rabu, 27 April 2016

PENDEKAR ATAU DALANG WAYANG KULIT?

SIAPA itu "Pendekar' yang hebat? Pendekar yg hebat itu mereka bertarung di dalam gelanggang. Jika di dalam pertarungan menunjukkan 'lembik' dan 'mengaku kalah', tetapi apabila pengadil menamatkan pertarungan, barulah nak tunjuk pencak silatnya agar para penyokong anggap beliaulah pendekar, itu bukan pendekar tetapi 'dalang' wayang kulit. 
 
 
Kisah 'Pendekar Bujang Lapok' amat menarik. Paling lucu, sewaktu Ahmad Nisfu dan orang2nya datang ke rumah Pendekar Mustar untuk 'berbincang' tentang tuntutan gantirugi perahu yg rosak, Si Ajis kawan Ramlee takut untuk berdepan dgn geng2 Ahmad Nisfu. Hanya P.Ramlee saja yg berjaya mengusir kumpulan Ahmad Nisfu.

Tapi, sebaik saja kumpulan Ahmad Nisfu beredar dari halaman rumah Pendekar Mustar, barulah Si Ajis menunjukkan 'keberanian'nya untuk memikat anak dara Pendekar Mustar. Akhirnya dapat sebijik batu kat kepala beliau yg dibaling oleh geng Ahmad Nisfu....

Tunjuk hebat bukan pada tempat dan waktunya....melucukan !!

Isnin, 25 April 2016

JATUHKAN NAJIB TUGAS NOMBOR WAHID !!

ANWAR tidak boleh bebas selagi sistem atau reform terhadap institusi kehakiman tidak diperbetulkan.

Tiada reform terhadap semua sistem dan institusi kerajaan yg tempang sekarang ini selagi Najib jadi PM.

Kalau nak jatuhkan Najib pun gagal, usah bermimpi nak jatuhkan Umno. Usah bermimpi nak jatuhkan Bn kalau Umno masih berkuasa.

Kesimpulannya, jatuhkan Najib itu tugas Nombor Wahid. Bagi melaksanakan tugas nombor satu ini, tiada syarat diletakkan kecuali kamu memang benci kpd Najib sebagai PM.

Jumaat, 22 April 2016

DEKLARASI RAKYAT DAN KEMPEN BEBASKAN ANWAR

WALAUPUN ada yg cetek pemikiran mereka mendakwa sesiapa yg menyokong Deklarasi Rakyat untuk menjatuhkan Najib maka mereka ini telah melupakan Anwar, namun bagi aku Deklarasi Rakyat itu lahir dari semangat atau roh DS Anwar itu sendiri.
 

Sebelum Anwar disumbatkan ke dalam penjara, Anwar sendiri mahu Najib letak jawatan ataupun diundurkan. Kelantangan Anwar itu mengakibatkan sekali lagi beliau terpenjara. Namun, semangat Anwar disambung pula oleh Kak Wan, isterinya yg juga Presiden KEADILAN dan juga Ketua Pembangkang. Maka, Kak Wan melalui Parlimen telah membuat ucapan di antara lain menyebut " Selamatkan Malaysia wajib bermula tanpa mengira apa jua fahaman politik mereka".

Kak Wan mencuba dengan kaedah membawa usul di Parlimen untuk menolak bajet yang dibentangkan oleh Najib. Sejarah tercipta melalui Kak Wan. Menolak bajet ini adalah usaha simbolik untuk mendesak Najib letak jawatan. Usaha ini telah dijangka sukar namun usaha perlu dibuat.
 

Kini, telah diwujudkan Deklarasi Rakyat yang menjurus kepada mendesak agar Najib diturunkan dan terkandung di dalamnya beberapa tuntutan lain termasuk melakukan reform ke atas sistem yg telah rosak teruk termasuk reform terhadap institusi kehakiman.

Adakah menyokong Deklarasi Rakyat maka bererti kita tidak lagi berjuang untuk membebaskan Anwar? Sebelum ini kita giat melakukan kempen "Bebaskan Anwar" dan kempen ini masih berjalan dan aku di antara yg menandatangani menyokong pembebasan Anwar dan berkempen ke arah itu. Ke mana saja aku pergi, samada bertemu teman2 atau berceramah, isu Anwar tidak lekang dari mulut aku. Jujurnya, aku mula bersama Pembangkang tegar semenjak 1998, era reformasi, walaupun waktu itu aku masih berkhidmat di dalam tentera.
 

Aku menggunakan segala yang aku ada, samada melalui ceramah2 yg aku dijemput, samada melalui media sosial dan juga radio KOBAT FM yg aku selia, aku tidak pernah lupa insan bernama Anwar. Aku percaya bukan hanya ada satu atau dua kaedah saja yang boleh kita lakukan untuk memperjuangkan nasib Anwar. Tentu ada kaedah2 lain yang boleh kita cuba dan usahakan.

Kita telah mencuba dengan demonstrasi, kita cuba dengan kempen pembebasan Anwar, kita menulis tentang Anwar dan kita bercakap tentang Anwar. Sekarang diwujudkan pula Deklarasi Rakyat yang sememangnya amat digeruni oleh Najib. Najib takut dengan Deklarasi Rakyat ini kerana Deklarasi Rakyat ini telah berjaya menarik penyokong2 Umno sendiri untuk menentangnya.

Media2 kawalan Umno memainkan propaganda bahawa Deklarasi Rakyat itu adalah Deklarasi Mahathir - Kit Siang. Mereka mendakwa Mahathir telah digunakan oleh Pembangkang untuk menjatuhkan Umno/Bn. Peliknya, ada di kalangan kita pula mendakwa Pembangkang telah dipergunakan oleh Mahathir. Najib dan Umno takut kepada Deklarasi Rakyat yang akan memusnahkan dirinya dan Umno, tetapi kita jadi bodoh apabila kita takut kepada Mahathir 'pencen' yang menyokong kita. Pelik kan?

Deklarasi Rakyat aku sokong kerana aku yakin selagi Najib menjadi PM, usah berangan untuk kita bebaskan Anwar. Selagi sistem kehakiman tidak diperbetulkan, kita pasti berangan2 untuk melihat Anwar bebas segera. Kita kumpul jutaan tandatangan untuk bebaskan Anwar, namun yang paling penting Najib mesti turun segera dan perbetulkan sistem yg ada.

Walaupun ada kempen menandatangani Deklarasi Rakyat untuk jatuhkan Najib, kempen menandatangani pembebasan Anwar tidak boleh kita hentikan. Di mana saja kita berada dan apa jua program yang kita buat, isu Anwar mestilah dibawa terutamanya oleh pimpinan2 kita. Kita perlu sedar, majoriti yg menyokong Deklarasi Rakyat itu mahu Najib turun, mahu sistem negara ini diubah dan secara tidak langsung usaha untuk membebaskan Anwar lebih cerah.

Khamis, 21 April 2016

TUNGGU PRU14, NAJIB LEMAH, KITA BOLEH MENANG?

DI DALAM menguruskan kerja untuk menjatuhkan Najib dan Umno, Keadilan mempunyai banyak pendapat dan pandangan yg lojik dan didokong ramai ahlinya.

Kali ini aku mahu ulas tentang pendapat pertama, iaitu kita mesti jatuhkan Najib dan Umno dalam Praya dan biarkan Najib terus lemah sekarang untuk memudahkan kita melawannya di dlm PRU14 nanti. Pendapat ini kurang popular di dlm Keadilan dan mungkin agak popular di dalam Pas.

Persoalannya, benarkah jika dibiarkan Najib sehingga PRU14 maka beliau dan partinya bertambah lemah? Najib memang lemah tapi orang yg zalim tidak bodoh untuk terus mengekalkan rejimnya. Dia akan terus mengukuhkan kuasa dan tajamkan taringnya utk melakukan lebih byk kezaliman lagi? Lihat, waktu terdekat YB Rafizi telah menjadi mangsa. Siapa selepas ini? Nurul Izzah, Mat Sabu, Guan Eng ? Selepas semua mereka itu nanti ditangkap dan mungkin terpenjara, bagaimana kita mahu hadapi PRU14 tanpa mereka? Kita telah pun kehilangan Anwar.

Bukankah dia memiliki banyak dedak untuk ditaburkan di dalam tempuh dua tahun lagi? Apakah kita tidak yakin di dalam Umno masih ramai suka makan dedak? Salah satu sebab kita gagal jatuhkan Najib melalui Parlimen (undi tidak percaya), adalah kerana masalah dedak ini lah. Bukti lain, PRN Sarawak yang telah mula hangat dengan kempen, kita menyaksikan ramai pimpinan utama dari PH yang dilarang memasuki Sarawak. Rejim terus menggunakan kuku mereka. Kita harapkan rejim lemah untuk dua tahun lagi?

Lebih dari itu, adakah sebagai sebuah parti yang konsisten melawan kezaliman dan membela nasib rakyat, Keadilan harus biarkan Najib zalim dan rakus seperti sekarang dan biarkan rakyat menanggung derita untuk dua tahun lagi? Demi mahu kuasa kononnya Umno akan lemah di bawah Najib, kita pertaruhkan air mata rakyat?

Adakah Islam membenarkan kita melihat kezaliman yang berlaku di hadapan kita tanpa kita berbuat apa-apa? Kehilangan banyak wang rakyat di dalam skandal 1MDB, isu moral dan integriti pemimpin negara dipersoalkan oleh satu dunia di dalam skandal wang derma RM 2.6 Bilion, isu pembunuhan Altantuya dan banyak lagi skandal melibatkan institusi kerajaan, sudah cukup untuk kita berusaha menghentikan salahlaku pemimpin negara sekarang ini bukan menanti dan terus menanti.

Memang benar, tiada pemimpin yang tidak melakukan kesilapan kerana pemimpin itu bukan Malaikat. Namun, kita harus bezakan di antara kesilapan, kelemahan dan penyelewengan serta kezaliman. Isu 1MDB dan tersoroknya laporan audit negara dari dibentangkan di dalam laporan PAC, itu bukan kelemahan tapi melibatkan integriti. Isu wang derma RM 2.6 Bilion juga bukan menunjukkan kelemahan tetapi melibatkan soal salahlaku, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang. Isu Altantuya, ini kes jenayah yang gagal diselesaikan dengan persoalan yang masih tergantung " siapa arahkan Altantuya dibunuh dan kenapa?".

Kita tidak sebut lagi soal pemimpin negara yang bermewah-mewah bersama isterinya. Kezaliman ke atas DS Anwar Ibrahim jelas menunjukkan rejim tidak gentar untuk melakukan yang lebih dahsyat lagi sekiranya dibenarkan terus berada di Putrajaya. Insitusi Peguam Negara, PDRM, SPRM, Bank Negara adalah di antara institusi yang semakin hancur dan reput di bawah rejim sekarang.

Aku tidak mahu menunggu dua tahun lagi untuk Najib terus berada di Putaraja. Najib adalah mudharat yang paling besar sekarang. Jika Najib jatuh, kita mungkin ada pilihan lain dan paling tidak pun kita terpaksa terima mudharat yang lebih kecil.

Buang mudharat besar, pilih mudharat kecil jika kita tidak mampu ubah semuanya. Jika tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua.

Isnin, 18 April 2016

SOKONG DEKLARASI RAKYAT SELAGI PARTI MEMBENARKANNYA

AKU masih menyokong Deklarasi Rakyat selagi parti tidak melarang aku berbuat demikian. KEADILAN tidak pernah melarang mana2 ahlinya untuk bersama Deklarasi Rakyat, tetapi KEADILAN juga tidak pernah menyuruh mana2 ahlinya menyokong Deklarasi Rakyat.

Ertinya apa? Ertinya kita ada pilihan. Kalau kamu yakin Deklarasi Rakyat punyai kekuatan untuk turunkan Najib, kamu ingin bersamanya maka silakan. Kalau kamu yakin Deklarasi Rakyat hanya omongan Mahdey untuk menguatkan Umno, maka kamu wajar menolaknya.

Bagi aku, selagi ada Rafizi di situ, selagi ada Salahudin Ayub, Khalid Samad dan Kit Siang di situ, aku yakin mereka ini tidak akan mengkhianati Anwar Ibrahim kerana mereka inilah yg lantang mahu Anwar jadi PM.