RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Rabu, 14 Oktober 2015

KEADILAN PERLU JAUHKAN DIRI DARI PERKASA, ELAKKAN DIRI DARI MENJADI BODOH

PERKASA hakikatnya telah lama ditolak oleh rakyat, bukan sahaja dari kaum Melayu tetapi ditolak secara total oleh bukan Melayu.  Bila sebut Perkasa, terbayang kepada mereka 'rasis' yang terlampau.  Ini yang dirasai oleh kaum bukan Melayu, terutamanya kaum Cina.

Bagi kaum Melayu pula, jika mereka rasa mereka sayang sangat kepada Melayu, Perkasa bukan tempatnya.  Mereka ada Umno. Sejarah Umno dulunya tidak menjadi musuh kepada mana-mana kaum.  Sekarang ini kaum bukan Melayu tidak lagi yakin dengan Umno bukan kerana kaum Melayu tetapi Umno mentadbir negara selaku tunjang Kerajaan Bn sekarang mentadbir dengan secara amat tidak telus.  Sikap Umno yang memelihara kroni itu menjadi puncanya.

KEADILAN sudah lama menjauhkan diri dari Perkasa.  Kita melihat Perkasa hanya sebagai ejen Umno untuk menjatuhkan KEADILAN terutamanya kerana Umno paling takut dengan KEADILAN berbanding parti Pembangkang yang lain.  Sebab itu tidak mustahil apa jua program KEADILAN terutamanya program ceramah yang dihadiri oleh DS Anwar Ibrahim malahan oleh anaknya Nurul Izzah pun sering cuba diganggu oleh Perkasa.  Begitu juga program Pas, contohnya program Mat Sabu di Rembau dulu cuba digempur oleh puak-puak ini.  

Usah bicara tentang perangai Presiden Perkasa, Ibrahim Ali.  Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah bersangka baik kepada raja katak ini dengan meletakkan beliau sebagai calon Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan logo Pas.  Apabila beliau menang saja, Ibrahim Ali lupa segala-galanya.  Beliau rasa beliau dipilih oleh pengundi di Pasir Mas atas kehebatan dirinya.  Ibrahim Ali dicop pengkhianat oleh Almarhum Tok Guru.  Bahkan, sehingga Almarhum Tok Guru baru saja disemadikan, Ibrahim Ali terus merendah-rendahkan keperibadian Almarhum.  Statusnya di dalam FB yang menghina Almarhum Tok Guru selepas kematiannya mendapat cemuhan dari orang ramai sehingga memaksa beliau membuang status tersebut.  Sehingga kini Ibrahim tidak pernah memohon maaf kepada waris Almarhum Tok Guru.  Itulah Ibrahim Ali.

Sehubungan itu, KEADILAN seharusnya menjauhkan diri dari Perkasa.  Kata-kata fitnah jijik Ibrahim Ali terhadap DS Anwar Ibrahim masih kita ingat.  Beliau mengeji DS Anwar Ibrahim bahkan beliau orang paling kuat berdoa dan bersyukur apabila DS Anwar dipenjarakan semula.  Seandainya KEADILAN lupa akan semua ini dan cuba untuk berpeluk mesra dengan Perkasa, itulah sejarah KEADILAN yang paling bodoh. 


Isnin, 12 Oktober 2015

PAS DAN PSM DITAWAR UNTUK SERTAI RAKYAT MARHAEN MELAWAN REJIM

MPP KEADILAN telah pun bermesyuarat petang semalam dengan mengekalkan 'Status Quo' yang diputuskan oleh Pakatan Harapan (PH) iaitu gabungan PH terdiri dari KEADILAN, Dap dan Amanah di samping masih terbuka untuk Pas dan PSM menyertai gabungan ini.

Bezanya, di dalam rundingan Meja Bulat baru-baru ini nama PSM seolah-olah tidak disebut secara khusus, tetapi MPP petang semalam menyebutnya secara khusus iaitu mempelawa Pas dan PSM bersama.  Itu keputusan MPP petang semalam.  Sebelum ini, PH pun tidak menyekat Pas dan mana-mana parti politik untuk menyertai PH asalkan sanggup terima terma yang dipersetujui bersama di dalam PH.  

Parti yang dikatakan paling 'bermusuh' dengan Pas iaitu Dap dan kemudiannya Amanah yang dianggap pengkhianat oleh Pas, masing-masing berfikiran terbuka untuk menerima kehadiran Pas di dalam PH.  Malangnya, sehingga kini Pas belum menunjukkan minat untuk bersama PH.  Pas lebih berminat untuk bekerjasama dengan KEADILAN, itu pun di dalam konteks Selangor yang nampaknya lebih jelas.  Kita sedia maklum, Selangor di bawah Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN yang mempunyai hak untuk membentuk kabinet Kerajaan Negeri Selangor sudah tentulah banyak memberi keuntungan kepada Pas sekiranya Pas kekal bekerjasama dengan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Keputusan MPP petang semalam menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dibawa oleh Kak Wan selaku Presiden KEADILAN dan disokong kuat oleh Rafizi selaku SUA KEADILAN dan Saifuddin Nasution untuk mengekalkan PH sebagai pengganti Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya.  Khabar-khabar angin yang menyebut PH akan dibantutkan perjalanannya melalui mesyuarat MPP petang semalam ternyata tidak benar.  Jika ada pun sekelumit idea untuk berbuat demikian, pastinya akan ditolak majoriti di dalam MPP kerana masing-masing faham betapa pentingnya PH itu wujud sekarang ini.

Aku telah menulis sebelum ini tentang kekhuatiran terhentinya PH sekiranya ada yang mahu korbankan PH hanya kerana Pas.  Ternyata kekhuatiran aku tersasar.  Apakah kita boleh berpuashati dengan keputusan MPP semalam?  Jika tanya aku, aku merasa lega kerana PH terus dipertahankan, Kak Wan terus dapat sokongan dan tiada yang 'terkorban' hanya kerana pertahankan PH.  Itu yang utama yang pada aku amat berjaya.  Jika puak-puak yang ingin melihat PH gagal, ternyata mereka kecewa semalam.

KEADILAN telah 'upgrade' semula pelawaan kepada Pas dan PSM.  Ertinya, tiada lagi tuduhan yang boleh menyatakan mengapa Pas dan PSM tidak dijemput.  Sekarang, bola di kaki Pas dan PSM.  Aku rasa PH tetap berlapang dada jika akhirnya Pas menyedari bahawa terlalu banyak masa terbuang untuk bersengketa sesama sendiri berbanding dengan melawan rejim.  Pas harus terima hakikat bahawa ada agenda yang lebih aula berbanding agenda lain, iaitu jatuhkan rejim dan bina satu kerajaan yang lebih baik dari yang ada.  



Ahad, 11 Oktober 2015

MESYUARAT MPP MALAM INI - USAH BICARA SOAL PERJUANGAN JIKA TAKUT HADAPI RISIKO!!

BENARKAH Parti KEADILAN kini telah mula dipermainkan oleh Pas?  Apakah mesyuarat khas MPP malam ini adalah salah satu dari tanda bahawa KEADILAN sanggup berbuat apa saja demi mengikut kehendak Pas?  Oleh kerana Pas tiada di dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), maka KEADILAN terpaksa membuat petisyen untuk menentukan KEADILAN menanti Pas?

Jika benar, aku tidak faham mengapa petisyen perlu dibuat hanya kerana PH tidak menyenaraikan Pas sedangkan semua tahu KEADILAN, Dap dan Amanah bersedia untuk menerima Pas bersama di dalam satu gabungan, namun Pas memilih untuk mencipta berbagai alasan agar parti itu tidak dikotori dengan 'najis' Dap dan Amanah.  Bagi Pas, hanya KEADILAN sahaja yang 'suci bersih' yang boleh mereka buat kawan walaupun sebelum ini bermacam-macam mereka perkatakan tentang Keadian.  Kita tahu layanan Presiden Pas terhadap Anwar.  Kita juga tahu apa Presiden Pas katakan terhadap Kak Wan selaku Presiden KEADILAN.  Semua tahu kisah fitnah edar pil kuda yang dilakukan oleh Presiden Pas terhadap calon-calon KEADILAN, cuma nama tidak disebut kerana takut disaman dan juga kerana tiada bukti atau saksi.  

Apa pun yang Presiden Pas atau beberapa pimpinan wala perkatakan kepada KEADILAN, Dap dan Amanah, namun demi rakyat dan negara ini kita masih bersedia untuk terima Pas.  Maka, tawaran menyertai PH dibuat juga kepada Pas.  Oleh kerana Pas merasakan partinya kuat bersendirian sepertimana yang sering pimpinan mereka laungkan, maka Pas tidak mahu terlibat di dalam PH.   Tetapi, mengapa Pas di Selangor membisu?  

Adakah Pas di Selangor sudah hilang 'wala'nya terhadap kata-kata Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Mahfodz yang ada menyebut Pas akan tarik diri dari bekerjasama dengan KEADILAN termasuk di Selangor?  Apakah kita lupa amaran dari Pas sebelum ini bahawa jika KEADILAN berkawan dengan Amanah, maka Pas akan putuskan hubungan dengan KEADILAN di Selangor?  Mengapa Pas masih lagi buat selamba di Selangor?  Sewajarnya sebuah parti Islam sikap istiqomah mesti ada dengan sebarang tindakan dan kata-kata.  Apakah kerana KEADILAN menjadi MB Selangor maka menyebabkan beberapa pimpinan Pas di Selangor yang duduk di kerusi empuk Exco dan memegang jawatan di dalam GLC Selangor hilang 'Wala'nya?   Bayangkan jika bukan dari KEADILAN kerusi MB Selangor, adakah anda yakin Pas akan menunggu seperti sekarang?

Kepada KEADILAN, kita telah cari jalan sebaiknya iaitu menjadikan semua sebagai kawan atas asas melawan rejim itu lebih utama.  Tetapi di dalam berkawan, kita tidak boleh memaksa orang lain untuk bersama kita.  Kita patut boleh membaca kawan-kawan yang mana ikhlas berkawan dengan kita kerana hanya "tentera-tentera" yang ikhlas, jujur dan istiqomah melawan rejim sahaja yang boleh menjatuhkan rejim ini.  Kita tidak perlu bergaduh sesama kita hanya kerana ingin membela orang yang tidak pernah suka kepada kita sebenarnya.

Keputusan Mesyuarat MPP malam ini aku yakin, KEADILAN sudah matang membuat keputusan.  KEADILAN mesti berani buat keputusan demi rakyat.  USAH BICARA SOAL PERJUANGAN JIKA TAKUT HADAPI RISIKO.




Jumaat, 9 Oktober 2015

DEMI RAKYAT, KEMBALIKAN SEMULA SEMANGAT BARU PAKATAN DENGAN MENERIMA ADIK BONGSU BARU "AMANAH"

SERING kita mendengar persoalan dari beberapa pimpinan Pas bahawa sekiranya Amanah bertanding di dalam PRU 14 akan datang, parti yang dibidani oleh Mat Sabu itu mahu bertanding di kawasan mana?

Pas sudah beri amaran awal-awal bahawa parti itu tidak akan memberikan Kerusi kepada Amanah, bahkan parti itu bersedia pula untuk bertanding di Kerusi Dap.  Ertinya, Pas mahu cari Kerusi sebanyak mungkin maka mana lojik Pas mahu "sedekah" Kerusi kepada musuhnya, Amanah?  Baru-baru ini pun, Ketua Dewan Ulamak Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Johor, Dr Mahfodz berkata bahawa Pas bersedia untuk bertanding di semua Kerusi di Johor.  Adakah Kerusi KEADILAN juga akan dilibatkan?  Terpulang.

Kita semua tahu, Presiden Amanah, Mat Sabu berulangkali menyebut bahawa Amanah tidak fokus Kerusi bertanding buat masa ini.  Amanah kini sedang mempersiapkan jentera dan bala tenteranya untuk menyerang rejim bersama Pakatan Harapan.  Menyerang rejim tidak semestinya masuk bertanding di dalam Pilihanraya.  Sekiranya Amanah merasakan jenteranya sudah lengkap dengan bala tenteranya, waktu itu pastilah Amanah akan memikirkan strategi seterusnya termasuk kawasan-kawasan yang ingin ditandinginya.  Manakah kawasannya?  Itu pertanyaan Pas.

Itulah sebabnya Pakatan Harapan diwujudkan untuk menggabungkan semua parti Pembangkang yang merasakan rejim Umno/Bn wajib ditamatkan di dalam PRU 14 akan datang.  Malangnya, hanya KEADILAN, Dap dan Amanah sahaja yang sudi menawarkan diri di dalam gabungan pembangkang ini.  Melalui gabungan ini, tentulah ada cara dan kaedah dilakukan untuk menyusun pembahagian Kerusi sesama rakan sekutu.  Tapi, Pas tidak mahu dilibatkan dan hanya mengiktiraf KEADILAN sahaja sebagai rakannya, itu pun masih belum pasti jika kita melihat beberapa kenyataan beberapa pimpinan Pas sendiri.  Mursyidul Am Pas juga sering membayangkan Pas mungkin menarik diri dari bekerjasama dengan KEADILAN kerana parti yang diasaskan oleh DS Anwar ini berkawan dengan Dap dan Amanah.  Ketua Dewan Ulamak juga berfikiran sedemikian.  Ertinya, hubungan Pas dengan KEADILAN amat longgar.

Pas menyatakan jika Amanah bertanding di Kerusi Pas, ini bermakna Amanah sengaja memecahkan undi dan Amanah akan berikan kemenangan mudah kepada Umno/Bn.  Amanah ejen Umno/Bn, kata pimpinan Pas.  Amanah pula bertanya, Pas akan bertanding di Kerusi Dap dan Pas juga akan memecahkan undi para penyokong pembangkang, akhirnya tidakkah itu menguntungkan Bn?  Salahkah jika Amanah turut mendakwa Pas sebagai ejen Bn?   Nampaknya Pas selalu lupa apa yang parti itu buat tetapi selalu nampak bila orang lain buat.

Hakikatnya, ramai yang setuju Pakatan Harapan atau apa jua nama Pakatan itu sewajibnya dibarisi oleh KEADILAN, Pas, Dap dan Amanah bahkan jika perlu libatkan PSM sekali asalkan semuanya bertolak ansur atas beberapa perkara selagi ianya tidak menyalahi syarak.  Tidak bersetuju dengan pendekatan atau cara-cara melaksanakan Hudud itu tidak menyalahi Syarak.  Menolak secara total hukum tersebut itu jelas salah dan merosakkan akidah umat Islam.  Selagi ada jalan terbaik, sebaiknya eloklah berbincang dan berpakat.  

"Teknik bijak menjawab soalan peperiksaan, buatlah soalan yang mudah dahulu tetapi jangan tinggalkan semua soalan kerana semua soalan itu penting", pesan Guru Sekolah yang masih aku ingat.


Khamis, 8 Oktober 2015

NEGARA MENANTI PENGGANTI NAJIB , ANWAR 'COME BACK"

NAJIB tidak perlu lagi bertahan dengan kuasa.  Apabila sampai ke tahap institusi Raja pun sudah mula bersuara, tokoh-tokoh profesional, ahli-ahli perniagaan, apatah lagi tokoh-tokoh politik, dan paling jelas rakyat mahu Najib berundur, beliau tiada pilihan.  Samada Najib takut untuk bersara, beliau mesti turun dari pejabatnya di Putrajaya.

Rakyat tidak mempersoalkan sangat siapa akan menggantikannya, yang penting Najib kena turun.  Peluang telah diberikan kepadanya untuk menjadi PM yang paling tidak pun lebih baik sedikit dari Pak Lah.  Malangnya, Najib lebih teruk dari Pak Lah.  Negara merasa malu ada PM seperti Najib yang merupakan satu-satunya PM yang suka tabur wang tunai kepada rakyat melalui BRIM untuk mengatasi masalah rakyat.

Nama negara begitu tercemar di luar negara.  Tiada negara di luar sana yang tidak tahu isu 1 MDB atau wang RM 2.6 Bilion di dalam akaunnya.  Kisah pembunuhan Altantuya juga begitu hangat diperkatakan di dalam media-media asing.  Sehingga kini tiada siapa boleh menjawab bagaimana Sirul, salah seorang yang didapati bersalah terlibat di dalam pembunuhan Altantuya boleh berada di luar negara.  Siapa tahu, siapa yang arahkan Altantuya dibunuh dengan begitu kejam?  Tiada siapa yang tahu bahkan mahkamah juga tidak pernah diberitahu tentang itu.

Terlalu banyak yang boleh kita sebut sebagai bukti untuk menyatakan betapa pentingnya Najib turun dari takhta.  Jika kita benar-benar sayang kepada negara tercinta ini melebihi kasih sayang kita kepada Najib atau Rosmah, kita mesti bersedia untuk mendesak Najib dan Rosmah balik ke Pekan dan bersara.  Negara ini bukan ditentukan oleh rakyat atau ahli-ahli Umno di Pekan sahaja.  Jika Tun Mahathir yang terkenal dengan kezalimannya di penghujung pemerintahannya pun menyebut Najib zalim, adakah kita mahu katakan Najib adalah PM terbaik?

Siapa patut ganti Najib?  Jika ditanya kepada penyokong-penyokong Umno sekarang, sudah pasti masih ramai yang mahu Najib atas sebab-sebab ada kepentingan atau kejahilannya tentang berbagai isu di dalam negara ini.  Tidak kurang juga ada di antara mereka yang mahu Muhyiddin, mantan Timbalan Presiden Umno yang juga mantan TPM diangkat sebagai PM.  Bagi kami di dalam Pakatan Harapan, pilihan terbaik kami adalah DS Anwar Ibrahim dan kami yakin Anwar akan membuat 'come back'  secepat mungkin. 

Rabu, 7 Oktober 2015

LANGKAH AZMIN SONGSANG !!

TINDAKAN Azmin, MB Selangor yang menyebut Pakatan Harapan tiada kena mengena dengan Kerajaan Negeri Selangor satu perkataan yang bersifat seperti angkuh.  Apakah Azmin merasakan Pakatan Harapan itu tidak mendapat sokongan kuat dari akar umbi berbilang kaum dan fahaman politik?  Bukankah majoriti dari mereka ini menyokong terdirinya kerajaan Selangor kini di bawah Azmin?

Azmin bukan teruk sangat.  Azmin yang suka menjadikan dirinya teruk.  Kalau Azmin belum bersedia sekalipun untuk mengisiharkan Kerajaan Selangor sebagai Kerajaan Pakatan Harapan, sekurang-kurangnya dia tidak perlu berkata Pakatan Harapan itu tiada kaitan dengan Selangor.  Bayangkan, pada waktu pilihanraya nanti apabila kita berkempen, rakyat menjawab "kami tiada kaitan dengan kamu dan parti kamu".  Apa perasaan kita waktu itu?

Azmin tidak perlu menjadi MB yang mudah dicucuk hidung oleh kumpulan minoriti.  Kita bukan mahu Azmin menjadi pak angguk kepada sesiapa, kita cuma mahu setiap pemimpin mesti akur dengan disiplin berorganisasi dan mesti menghormati keputusan bersama.  Mengapa Kerajaan Negeri P.Pinang lebih berdisiplin di dalam hal ini?  


Selasa, 6 Oktober 2015

AZMIN JANGAN LENA SANGAT DENGAN MIMPI

APA pun yang berlaku, Pakatan Harapan (PH) mesti terus mara ke hadapan.  Pertemuan meja bulat melibatkan KEADILAN, Dap dan Amanah yang membuat keputusan ini.  Ini bukan keputusan KEADILAN saja, bahkan KEADILAN khabarnya mahu tiada pengumuman dibuat agar memberi sedikit masa buat Pas untuk bersedia menyertai pakatan baru itu nanti.

Bukan juga kehendak Dap bersendirian atau Amanah.  Semuanya berhujah di meja bulat, pro dan kontra, masing-masing membawa hujah mewakili parti masing-masing atau NGOs masing-masing.  Apabila kesemuanya telah memberikan pandangan, maka majoriti bersetuju untuk pakatan baru disegerakan agar ruang dan masa dapat dimanafatkan untuk memperkukuhkan pakatan yang baru ini.  Maka, lahirlah Pakatan Harapan yang terdiri dari KEADILAN, Dap dan Amanah, dalam masa yang sama pintu terus dibuka kepada semua yang mempunyai hasrat untuk menumbangkan rejim.  

Atas disiplin yang kuat, maka Dap pun terus mengumumkan P.Pinang adalah Kerajaan Pakatan Harapan.  Ini menunjukkan keikhlasan dan kejujuran Dap di dalam rundingan atau muafakat.  Bagaimana pula dengan Kerajaan Selangor?  Azmin, MB Selangor yang juga Timbalan Presiden hanya sekadar boleh komen 
" Pakatan Harapan tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri Selangor".   Peribadi, aku malu KEADILAN gagal mendisplinkan diri.

Presiden kita selaku Ketua Pembangkang yang memanggil pertemuan meja bulat dan mengumumkan Pakatan Harapan, malangnya parti sendiri masih teraba-raba untuk menamakan negeri yang diperintahnya.  Jika rakyat bertanya, " Selangor di bawah kerajaan siapa?".  Apa yang Azmin selaku MB Selangor akan jawab?  Selangor di bawah "arwah' Pakatan Rakyat?  Jangan buat kerja bodohlah.

Kegagalan mengumumkan Selangor sebagai Kerajaan Pakatan Harapan amat mengecewakan rakyat yang tidak sabar-sabar untuk melihat Pakatan Harapan terus mara melawan musuh.  Kita di Selangor masih "mendodoikan" anak yang tidak mengaku kita warisnya.  Kita terpedaya dengan lakonan mereka kononnya amat menghormati kita.  Aku yakin jika Selangor bukan kita yang menjadi MB, kirim salam mereka ini untuk terus 'setia' dengan kita.  Buktinya, di dalam keadaan kita 'dodoikan' mereka pun, lihat saja tutur kata percakapan pimpinan-pimpinan mereka termasuk dari Dewan Ulamak bahkan media resmi mereka pun yang sering memburukkan parti dan pimpinan kita.

Azmin jangan terlalu lena tidor.  Mimpi indah kadangkala membawa maksud buruk.


Sabtu, 3 Oktober 2015

PENGIKTIRAFAN KEPADA AMANAH SUNTIK SEMANGAT BARU


TERLEBIH dahulu, Tahniah dan syabas !! 

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia untuk meminda undang-undangnya termasuk penukaran nama pertubuhan itu kepada Parti Amanah Negara (Amanah). Kelulusan yang diberikan ini antara lain merangkumi pindaan nama pertubuhan tersebut daripada Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia kepada Amanah, pertukaran alamat daftarnya serta pindaan perlembagaannya. 

Parti di bawah kepimpinan Mat Sabu ini adalah alternatif kepada Pas setelah berbagai kritikan telah melanda Pas sehinggalah parti tersebut berani melakukan 'islah' iaitu memutuskan hubungan dengan Dap, seterusnya lahirlah Amanah kerana masih ramai di dalam Pas yang merasakan Dap bukan musuh sebenar yang merosakkan negara tetapi musuh sebenar adalah Umno/Bn.  Maka, untuk menentang Umno/Bn, mereka perlu keluar dari Pas kerana tidak mahu terikut rentak menjadikan Dap sebagai musuh sebenar.

Sudah tentu hasrat Amanah ini disokong oleh mana-mana parti atau NGO yang juga menjadikan Umno/Bn sebagai musuh.  Hanya pihak yang menganggap Umno tidak sejahat Firaun sahaja menganggap Amanah itu pengkhianat.  Maka, KEADILAN sudah pastinya menerima Amanah secara terbuka, begitu juga Dap.  Bezanya, KEADILAN sentiasa dengan 'husnuz zon"nya masih harap Pas akan bersama di dalam satu "bala tentera' untuk menentang rejim. 

Kini, terpulang pada Pas samada ingin mengiktiraf Dap dan Amanah sebagai musuh Nombor Wahid atau rejim Umno/Bn.  Sebaiknya tiada paksaan atau sikap melutut kepada sesiapa kerana setiap perjuangan itu mestilah ikhlas.

Semoga Amanah terus bersama di dalam jentera kita bersama untuk mara ke hadapan menentang musuh.  Selamat berjaya, Amanah.


Jumaat, 2 Oktober 2015

BERDISKUSI, DIALOG BERSAMA USTAZ WAN JI DI INDERA MAHKOTA, KUANTAN MALAM INI


MALAM ini (Jumaat - 02/10/15) mari semua terutama anak-anak muda untuk kita berdiskusi, berdailog dan beramah mesra dengan Ustaz Wan Ji, bertempat di Restoren Sari Idaman, bersebelahan Kolej Shahputra, Indera Mahkota, Kuantan mulai jam 09.00 malam.

Program ini adalah anjuran Pemuda AMANAH Kuantan bersama AMK Indera Mahkota, Kuantan.


Khamis, 1 Oktober 2015

PAKATAN HARAPAN - JIKA TIDAK BERANI REALISASIKAN, BAIK BATALKAN SAJA

BARU-baru ini AMK dan Wanita KEADILAN P.Pinang mengeluarkan kenyataan untuk mendesak semua ahli Pas yang memegang jawatan di dalam Kerajaan Negeri P.Pinang untuk melepaskan jawatan atau tidak dilantik semula selepas tamat tempoh kontrak mereka.  Bagaimana pun, Presiden KEADILAN, DS Wan Azizah menyatakan itu bukan keputusan resmi parti.

Salahkah pendirian yang diambil oleh AMK dan Wanita P.Pinang tersebut?  Semua maklum bahawa Kerajaan Negeri telah mengistiharkan bahawa Kerajaan Negeri P.Pinang kini adalah Kerajaan Pakatan Harapan iaitu kerajaan bersama di antara KEADILAN, Dap dan Amanah.  Pas memilih untuk tidak mahu sertai pakatan tersebut.  Pas hanya selesa dengan KEADILAN di Selangor kononnya masih wujud Pakatan Rakyat di Selangor.  Kita faham sebab musabab mengapa Pas pertahankan sangat di Selangor walaupun Ketua Dewan Ulamak Pas, Dr Mahfodz menyebut Pas mungkin akan keluar dari Kerajaan Selangor.  

Berbalik di P.Pinang.  Apabila terbentuknya Kerajaan Pakatan Harapan di negeri tersebut maka lojiklah AMK dan Wanita KEADILAN memohon agar Pas menarik diri atau tidak dipilih lagi.  Keputusan dari KEADILAN Pusat memang tiada sebab itulah Azmin masih bertahan dengan Pas di Selangor.  Namun, jangan lupa perjumpaan meja bulat yang mengesahkan kewujudan Pakatan Harapan itu, bukan KEADILAN yang buat keputusan sendirian tetapi dibuat oleh tiga parti iaitu KEADILAN, Dap dan Amanah serta disokong kuat oleh beberapa Ngo.  Ini bererti apa yang dilakukan oleh Lim Guan Eng, KM P.Pinang mengumumkan P.Pinang adalah negeri Pakatan Harapan amat wajar sejajar dengan keputusan Meja Bulat itu.  AMK dan Wanita P.Pinang hanya mahu Pakatan Harapan itu direalisasikan di P.Pinang, itu saja.  Jika tidak, usah kita war-warkan Pakatan Harapan jika kita takut untuk merealisasikan.

Aku masih yakin di Selangor akan berubah juga dengan Kerajaan Pakatan Harapan.  Kecuali, kita fikirkan kembali bahawa Pakatan Harapan ini tidak baik untuk rakyat maka sila batalkan Pakatan Harapan.  Tidak perlu ada Pakatan Harapan kalau sekadar di mulut tetapi tidak melekat di dalam jiwa dan hati.  "Jika takut kepada ombak, jangan berumah di tepi pantai".  "Usah bicara soal Perjuangan jika takut kepada Risiko". 

Rabu, 30 September 2015

TENTANG KHUTBAH BERUNSUR FITNAH DAN CETUS UNSUR PERKAUMAN

BARU-baru ini kecuh isu Khutbah Hari Raya Aidil Adha di seluruh Negeri Pahang yang dikeluarkan JAIP mengandungi unsur-unsur perkauman, sentimen keagamaan berupa fitnah dahsyat terhadap Dap.  Meskipun nama Umno, PKR, Pas dan Amanah disebut, namun Dap disebut dengan jelas sebagai parti anti Islam.

Masyarakat yang bijak mesti tertanya-tanya apakah hanya Dap sahaja yang kononnya anti Islam?  Bagaimana dengan MCA atau Gerakan?  Jika Dap dikatakan anti Islam hanya kerana tidak bersetuju dengan hukum Hudud, apakah MCA dan Gerakan bersetuju dengan Hudud?  Bahkan, Umno sendiri belum pernah bercita-cita untuk melaksanakan hukum Allah tersebut meskipun telah memegang tampuk kuasa melebihi 50 tahun.  Lupakah kita bahawa Umno melalui kuasa yang ada pada mereka pernah menghalang hukum Hudud dilaksanakan di Kelantan?  Tidakkah kita tahu Umno juga melalui kuasanya telah menggagalkan RUU Akta Syariah yang dibawa oleh Hj Hadi dari dibahaskan di Parlimen?  Bukan sekali Umno menunjukkan sikapnya seolah-olah tidak suka kepada hukum Islam.  Mengapa ini tidak langsung disentuh di dalam teks khutbah tersebut?

Tidak lain tidak bukan hanyalah kerana minda kita termasuk orang-orang yang memegang kuasa di institusi agama buta sejarah atau tidak mengambil tahu perkembangan politik tetapi mahu bercakap seperti orang politik.  Kalau lah Lim Guan Eng berkata, paling kurang pun peruntukan perkembangan syiar Islam di P.Pinang lebih jauh tinggi berbanding di Negeri Pahang, tentu malu kita di Pahang.  Itu belum lagi Lim Guan Eng kata, bumi P.Pinang tiada Pusat judi terbesar seperti di Genting.  Atau, Guan Eng cabar Tok Peti Pahang usulkan agar Pahang laksanakan hukum Hudud.  Guane gamaknya?

Pelik lagi ajaib, PJ Pas Perak, Razman Kastam pun sokong teks khutbah berunsur fitnah tersebut.  Beliau tidak baca pun teks berkenaan tapi terus menyokong buta.  Begitukah contoh akhlak Islam yang mahu kita tunjukkan kepada Non Muslim?  Razman lupa, mimbar masjid pernah digunakan untuk memburuk-burukkan Pas sebelum ini.  Itu dulu, mungkin tidak lagi sekarang.  Sebab apa?