RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Khamis, 17 November 2016

WALAUPUN PENYOKONG TEGAR PAS, SAIFUL ISLAM MENULIS "MENGAPA SAYA TURUN BERSIH?"

 
 
 
Dari FB Saiful Islam

KENAPA SAYA TURUN BERSIH 5 ?

1) Saya demonstran Bersih 1 (10 Nov 2007), Bersih 2 (09 Julai 2011), Bersih 3 (28 April 2012) dan Bersih 4 (29-30 Ogos 2015).

2) Bersih 1 saya masih mahasiswa tahun 3 di KIAS Nilam Puri, Kelantan. Bersama sekitar 10 teman mahasiswa, kami naiki bas dari Nilam Puri dan sampai ke Hentian Putra, KL, seterusnya berehat sebentar pagi itu di Pejabat Agung PAS, Jln Raja Laut. Kami bergerak bersama Pemuda PAS Pusat menuju Dataran Merdeka dan selamat dari sekatan FRU di situ, terus menuju Istana Negara melalui Masjid Negara dan membentuk gabungan yang cukup besar dengan pergerakan dari tempat-tempat lain.

3) Bersih 2 saya baru sahaja berkahwin sekitar 1 bulan. Saya bersama isteri, adik perempuan dan seorang sahabat Pemuda PAS Lembah Pantai, Sdr. Khalil Zawawi dan isterinya. Kami menaiki LRT. Saya bersama pergerakan dari Jln.Pudu-Pudu Sentral, antara lokasi tembakan gas pemedih mata yang cukup menyakitkan. Kali pertama saya dan isteri menyedut gas itu. Saya saksikan beberapa teman dibelasah teruk berdekatan sebuah hospital Cina di situ.

4) Bersih 3 saya bertugas bersama Jabatan Amal Malaysia (AMAL) dari Brickfield menuju Masjid Jamek. Kami ditembak dengan gas pemedih mata bertalu-talu diantara Masjid Jamek dan bank-bank di hadapannya. Himpunan paling dahsyat saya saksikan dan tangkapan paling besar, iaitu 512 tangkapan. Bukan sahaja 'darah tumpah' dari hidung seperti Jamal, tetapi puluhan yang cedera dibelasah polis di bawa ke hospital.

5) Bersih 4 saya beranikan diri untuk turun juga bersendirian ke Dataran Merdeka walaupun parti saya tidak turut serta. Hari kedua, saya bawa isteri dan anak-anak kerana melihat situasi himpunan yang sangat aman tanpa gangguan dan provokasi liar dari mana-mana pihak walaupun mendapat sedikit sindiran dari teman-teman yang taat tidak mahu sertai.

6) 19 Nov 2016 Sabtu ini, Bersih 5. Sekali lagi saya nekad akan sertai insya'Allah, walaupun pergi berseorangan tanpa ada kawan-kawan yang mahu turut serta kerana 'tiada arahan'. Kenapa saya akan sertai?

i) Ustaz-ustaz dan murabbi saya yang telah mentarbiyyah saya dan kawan-kawan bahawa kita menerima sistem demokrasi (termasuk pilihanraya) untuk mengambil alih kerajaan secara damai (muwajahah bis silmiyyah) demi membentuk sebuah negara yang baik dan dipimpin oleh orang yang baik. Maka, pilihanraya mesti bersih dan adil untuk memastikan kita mendapat kemenangan.

Saya diajar dengan kaedah Fiqh: [Tidak sempurna perkara wajib melainkan dengan adanya ia, maka perkara itu juga menjadi wajib]. Menegakkan negara yang baik itu wajib. Memasuki pilihanraya itu wajib. Menuntut pilihanraya bersih dan adil itu wajib. Turun beramai-ramai meluahkan tuntutan itu wajib.

Mereka ajar saya.

ii) Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah saya, diam dari menyatakan kebenaran adalah syaitan bisu (Mafhum Hadith). Saya dengar dan belajar dari mereka bahawa, Allah akan mengazab kaum yang melihat kezaliman, tetapi mereka diam. Bercakap yang benar dihadapan pemimpin zalim adalah jihad. Jika dibunuh, syahid. Lidi sebatang boleh dipatah, seberkas lidi agak susah. Seorang bersuara, kerajaan pekakkan telinga, ramai-ramai bersuara kerajaan boleh mengalah. Selemah-lemah iman cegah mungkar dengan hati dan lain-lain.

Saya tidak pasti apakah masih ada yang tidak merasakan kerajaan yang ada pada hari ini melakukan sekian banyak mungkar dan kezaliman atau tidak terasa betapa bebannya hidup di Malaysia saat ini. Saya merasai keperitan itu. Maka saya perlu sertai himpunan ini.

iii) Bersih dipimpin oleh Ambiga (Non Muslim) dan kelompok tidak berfikrah Islam (Maria Chin dll)?

Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah saya dengan kisah Nabi s.a.w turut serta dalam Hilful Fudhul di rumah Abdullah bin Jud'an sewaktu Nabi masih kecil dalam misi menyelamatkan satu puak yang dizalimi, walaupun perjanjian itu dimeterai bersama oleh pemimpin jahiliyyah. (Sila baca Sirah Nabi - jangan jadi aktivis dakwah pemalas ).

Saya diulang berkali-kali tentang sikap Nabi terima bantuan dari orang kafir dalam perkara kebaikan seperti Abu Talib, Abdullah bin Uraiqit (musyrik membantu hijrah) dan jiran Abu Bakar non Muslim yang banyak membelanya.

Dimana salah dan haramnya terlibat melawan kezaliman dan penindasan jika dipimpin oleh non-Muslim? Dan salahkan jika non Muslim yang ramai hadir mendominasi himpunan ini? Anda yang tidak mahu sertai, lalu anda mempersoalkan kenapa ramai non-Muslim (Cina dll). Apakah anda beranggapan Melayu, Muslim sahaja yang rasa terbeban dengan keadaan negara pada hari ini?

iv) Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah, Allah tidak tanya apa hasil perjuangan, tetapi berjuang atau tidak. Dibawakan kisah burung memadam api yang membakar Nabi Ibrahim ( ada yang menyebut ini kisah Israiliyat, tetapi boleh diambil pengajarannya). Lalu saya difahamkan, memang kerajaan atau SPR khasnya tidak peduli semua tuntutan kita, tetapi setidak-tidaknya mereka terima satu dan paling penting, kita sudah melakukan usaha yang terdaya.

Bahkan bagi yang memperlecehkan usaha berhimpun dari Bersih 1-4 tidak membawa perubahan langsung, ini dakwaan mereka yang buta politik dan sebenarnya tidak membaca pun hasil himpunan Bersih terhadap PRU 2008 dan PRU 2013. Dakwat kekal antara yang berjaya diperjuangkan walaupun masih tidak dijalankan secara baik.

v) Matlamat Bersih sudah lari, terima dana dari pihak asing, pijak gambar pimpinan, provokasi, kekasaran dan lain-lain.

Saya tidak tahu disudut apa matlamat Bersih sudah lari. Jika tuntutan-tuntutan Bersih ada perubahan, seperti dakwat kekal tidak dimasukkan lagi kerana ia sudah dilaksanakan. Maka dimasukkan tuntutan-tuntutan baru yang masih dalam lingkungan 'pilihanraya bersih'.

Terima dana dari asing saya tidak tahu dimana sumber maklumatnya. Yang pasti isu dana asing ini doktrin TV3, Utusan dan pemimpin Umno sejak Bersih 1 lagi.

Ustaz-ustaz dan murabbi saya selalu peringatkan agar hati-hati dengan provokasi untuk burukkan himpunan Bersih. Mungkin ada pihak yang diupah atau SB yang melakukan aksi-aksi radikal untuk burukkan himpunan termasuk memijak gambar mana-mana pimpinan negara atau parti-parti tertentu. Saya yakin pijak gambar pimpinan bukan restu penganjur Bersih dan jika benar itu peserta Bersih, penganjur sudah memberi kerjasama agar pihak keselamatan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
------------------------------------------------
Cukuplah 5 alasan saya ini, saya akan sertai Bersih 5. Saya hormati anda yang memang ada strategi atau pendekatan lain yang diyakini lebih syar'ie bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Dan anda jangan kecam saya yang mahu turun!

Saya tidak ada lagi alasan untuk tidak turun di usia 30 tahun yang muda dan masih ada kekuatan ini. Saya mempelawa semua kawan-kawan yang bersama saya pada Bersih 1, 2, 3 & 4 untuk turut serta pada 19 Nov! Jangan lupa saat indah sewaktu tangan kita pernah bersilang erat dulu demi negara yang lebih baik!

Saya turun sebagai rakyat Malaysia!

- Abi Sumayyah -
16 Nov 2016 : Kuala Lumpur

Rabu, 16 November 2016

MAHU TUNGGU SIAPA LAGI MENJADI MANGSA?



MAHU tunggu siapa lagi yang dipenjarakan?  Anwar telah pun merengkok di dalam.  Rafizi pula bakal merengkok juga di dalam.  Yang masih menanti giliran adalah Tian Chua, Nurul Izzah dan beberapa pimpinan lagi.  Kita masih merasa selamat di luar sebab kita merasakan tidak kena pada kita, adik beradik, keluarga atau saudara mara kita.

Sampai bila kita mahu mempertahankan kezaliman ini?  Sampai bila kita hanya mampu menggelengkan kepala dengan apa yang kita saksikan?  Masakan kita tidak tahu apa yang Anwar dan Rafizi perjuangkan?  Adakah mereka mahu memperjuangkan nasib diri dan keluarga mereka sahaja?  Anwar bukan dari keluarga yang susah macam kita.  Sebelum dipenjarakan, Anwar ada gaji sebagai Ahli Parlimen dan ada elaun Ketua Pembangkang.  Isterinya juga adalah Wakil Rakyat yang mempunyai gaji dan elaun yang bukan sedikit.  Anaknya, Nurul Izzah pun begitu.  Anwar bukan keluarga susah macam kita.  Tapi mengapa Anwar sanggup masuk penjara untuk kali kedua?  Begitu juga Rafizi.  Sebelum menceburi politik, Rafizi ada kerjaya lumayan di Petronas dengan gaji puluhan ribu sebulan.  Bila dia jadi Ahli Parlimen, dia juga mendapat gaji dan elaun belasan ribu sebulan.  Rafizi bukan hidup susah macam kita.  Kita lihat sendiri bila Rafizi istiharkan hartanya secara sukarela, beliau memiliki simpanan lebih dari sejuta ringgit.  Bukan dari duit rasuah, komisyen atau sebagainya,  

Apakah kita rasa Anwar dan Rafizi sanggup masuk penjara kerana kepentingan diri?  Anwar dan Rafizi korbankan kesenangan yang ada tidak lain tidak bukan adalah kerana kita.  Kerana rakyat.  Mereka tahu rakyat tengah derita dan sengsara sekarang.  Mereka tahu banyak hak rakyat yang telah dirompak oleh penyamun.  Maka, Anwar dan Rafizi dedahkan agar kita tahu bahawa kita susah kerana hak kita telah dirompak.  Apakah kita masih mahu berdiam diri?  Tidak cukupkah lagi mereka menjadi korban kerana sikap kita yang tidak ambil kisah ini?

Cukuplah.  Marilah kita sama-sama baiki negara kita.  Tidak perlu lagi kita tunggu korban-korban seterusnya.  Sekarang giliran kita pula untuk berkorban, bukan perlu masuk penjara atau perlu ke depan seperti Anwar atau Rafizi.  Kita hanya perlu turun BERSIH pada 19 Nov ini.  Kita turun dengan aman, dengan satu tekad iaitu untuk memberitahu rejim bahawa kita sebagai rakyat tidak lagi redha dan restu hak-hak kita dirompak.  Kita mahu rejim hentikan kemungkaran ini.  

Ayuh, tunjukkan sokongan kita pada BERSIH bagi melawan kekotoran rejim.  Selamatkan negara tercinta ini.

Khamis, 10 November 2016

KONVENSYEN PH - TIBA MASANYA PH BUAT KEPUTUSAN LOJIK DAN RASIONAL

 
APABILA sahih Pas tidak akan bersama barisan Pembangkang yang lain untuk berada dalam Konvensyen Pakatan Harapan pada 12 Nov ini, maka sudah sampai masanya PH berfikir secara bijak dan rasional samada Pas berupaya membantu Pakatan Pembangkang.

Bersikap baik, ingin berbaik dan tidak mahu berpecah sesama Pembangkang telah pun kita lakukan begitu lama.  Tidakkah sampai ke hari ini Pas tidak sedikit pun menunjukkan minat untuk bersama kita?  Maka, sampai bila kita mahu berjalan perlahan sambil mengangkat tangan melambai-lambai kepada Pas untuk bersama kita bertempur melawan rejim Umno/Bn?  Sepatutnya lambaian itu adalah "selamat tinggal kepada Pas" dan jangan kita ganggu lagi usaha Pas untuk berbaik dengan rejim Umno/Bn.

Biarlah Pas dengan keimanan dan istiqomahnya mengharapkan Umno akan bantu parti itu untuk menegakkan Islam.  Kalau Pas sudah yakin Umno boleh laksanakan Islam bersama parti tersebut, biarkan saja.  Kita tetap anggap Umno penipu besar, usahkan untuk laksanakan undang-undang Islam, untuk melaksanakan akhlak dan ketelusan sebagai insan pun Umno tidak mampu lakukan.  Dipalit dengan skandal 1MDB dan pemimpinnya sudah mengaku ada duit masuk di dalam akaunnya berbilion ringgit, maka kita takkan percaya Umno mahu Islam.  Pas mahu percaya, itu hak Pas.

Sehubungan itu, tinggalkan Pas dan kita mara ke depan dengan kekuatan yang kita ada.  Jangan kita masih bermimpi dengan kisah-kisah lalu.  Pas bukan seperti dulu lagi, kita jangan lupa.


Ahad, 6 November 2016

BERSIH5 PAHANG - MENGAPA YB DARI KEADILAN TIDAK MENONJOL?

 
ADA sahabat tanya aku, kenapa YB2 dari Keadilan seperti tak menonjol dan ke depan dlm Jelajah Bersih5 Pahang?

Aku nak jawab, sememangnya pimpinan Keadilan khususnya YB2 kami tidak menonjolkan diri ke hadapan sepanjang Jelajah Bersih5 ini kerana kami tidak mahu Bersih dilihat di bawah pengaruh politik kepartian. Sebab itu yg mengetuai Bersih5 Pahang bukan pimpinan utama parti atau YB bahkan dilantik seorang aktivis wanita sahaja.

Namun demikian, kesemua pimpinan dan YB2 Keadilan turun di dalam banyak program Jelajah Bersih khususnya dlm program2 besar atau utama seperti penyerahan obor Bersih. Mereka juga banyak beri pandangan, nasihat, bahkan sedikit sebanyak menyumbang kpd aktiviti BERSIH. 

Tahukah anda, pejabat khidmat MP Kuantan YB Fuziah Salleh telah menjadi mangsa simbahan cat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab hanya kerana bangunan pejabat beliau dibenarkan sebagai Pusat Operasi Bersih5 Pahang?

Pimpinan2 politik dari Keadilan, Dap dan Amanah juga turut meraikan peserta2 BERSIH5 ini setiap kali mereka sampai ke kawasan mereka. BERSIH melampaui sentimen kepartian kerana perjuangan BERSIH adalah untuk rakyat MSia keseluruhannya.

Khamis, 3 November 2016

BIAR KITA YANG BUKA PINTU, JANGAN KITA MASUK PINTU MEREKA

PAS buka pintu kepada PH?  Baca tajuk je pun aku mahu ketawa.  Bukan apa, kita semua tahu bahawa PH sewaktu seawal ditubuhkan lagi telah menyatakan bersedia untuk membuka pintu kepada mana-mana pihak untuk bersama PH melawan rejim Umno/Bn yang zalim itu.  PH tidak pernah menyatakan keinginan untuk menyertai 'rumah' orang lain, termasuk 'rumah suci' Pas.

Oleh itu, bila membaca kenyataan "Pas bersedia untuk buka pintu kepada PH dengan syarat jangan buat onar dalam rumah Pas", tentulah kita yang tidak berada dalam perigi buta ini tertawa.  Siapa 'offer' siapa ni?  PH atas dasar tidak berdendam dan berbaik sangka menyatakan bersedia untuk menerima mana-mana pihak untuk bersama.  Kalau tidak berada dalam PH pun, berada dalam satu saf perjuangan pun tidak mengapa asalkan sasarannya sama iaitu, Najib, Umno dan Bn.  Parti Bersatu sebagai bukti telah diterima sebagai rakan PH dengan syaratnya mudah iaitu sanggup bersusah bersama untuk menentang rejim.

Sekiranya Pas pula membuka pintu rumah sucinya itu untuk PH masuk dengan syarat-syaratnya, kita ucapkan terima kasih sajalah.  Biarlah Ikatan sahaja yang menjadi penghuni di dalam rumah suci Pas itu.  Aku rasa PH tidak berselera berada di dalam rumah tersebut apatah lagi apabila melihat semakin ramai penghuninya yang secara senyap-senyap keluar dari tingkap dan meninggalkan rumah suci yang bersejarah itu.

Di dalam waktu yang sama, aku suka ingatkan PH tentang kisah Hang Tuah dan Hang Jebat.  Dua sahabat baik, apabila menjadi seteru, Hang Jebat cuba memerangkap Hang Tuah dengan membuka pintu istana dan menjemput Hang Tuah masuk ke dalam.  Hang Tuah, walaupun dia amat sayang kepada Hang Jebat kerana itulah rakannya sejak kecil, tapi Hang Tuah sedar akan tipu muslihat Hang Jebat itu.  Maka, Hang Tuah mengambil sikap berhati-hati sekali.

Umno memang kita kenali memang kaki kelentong.  Sesiapa yang berbaik dengan kaki kelentong, tidak mustahil akan belajar kelentong juga.  Sehubungan itu, elok lupakan saja pintu yang dibuka oleh Pas itu.  Lebih baik jika kita yang membuka pintu kepada mana-mana pihak yang mahu bertahalluf dengan kita untuk menumbangkan rejim Umno/Bn.  Rumah kita tidak perlu kepada Penasihat rejim yang akan buat semak di dalam rumah kita.

Rabu, 2 November 2016

PERLUKAH EZAM DISEKAT UNTUK BERSAMA MELAWAN REJIM NAJIB?



EZAM Mohd Noor kini bukan lagi ahli Umno dan Bn.  Beliau secara sah telah menyertai PPBM atau aku lebih suka menyebut sebagai "Bersatu".  Ertinya, beliau kini adalah musuh Najib, Umno dan Bn.  Musuh Ezam sekarang adalah musuh kita juga.  Sepertimana kita mahu Najib, Umno/Bn tumbang seberapa segera, begitulah juga Ezam, begitulah juga kehendak Parti Bersatu.

Aku sebenarnya merasa bersyukur kerana Ezam tidak memohon untuk menyertai Keadilan.  Aku tahu tidak semudah itu untuk Keadilan menerima Ezam kembali.  Ramai warga Keadilan masih terluka dan terasa hati dengan gelagat Ezam sewaktu beliau meninggalkan Keadilan, apatah lagi apabila beliau 'mengganas' menyerang Anwar dan keluarganya selepas itu sehingga serangan beliau itu terlalu peribadi dan lebih berbisa dari serangan Tun Mahathir sendiri.  Siapa dari warga Keadilan yang sudah lupa dalang fitnah Liwat 2?  Kita semua tahu siapa yang bertemu Saiful sebelum babak fitnah ini bermula.  Ezam tidak boleh menafikan penglibatannya.  Oleh itu, tidak pelik jika kami dari Keadilan terlalu sukar untuk menerima Ezam jika Ezam mahu kembali bersama Keadilan.  Nasibnya baik, Ezam tidak memohon untuk menyertai Keadilan, seperti juga Tun Mahathir atau Muhyidin.

Apakah atas alasan di atas, maka sudah berakhir dunia ini buat Ezam?  Apakah Ezam tidak berhak untuk memperbetulkan jalannya?  Apakah kita rela melihat Ezam berterusan menyokong rejim zalim dan penfitnah terbesar itu?  Salahkah Ezam untuk bersama Tun Mahathir dan Muhyidin beserta rakan-rakan bekas Umno yang lain menebus dosanya dengan menghunus keris untuk menentukan hayat Najib, Umno/Bn berkubur seberapa segera?

Kita telah menerima Tun Mahathir dan Muhyidin di dalam saf perjuangan kita walaupun berbeza parti.  Apakah Tun Mahathir dan Muhyidin tidak berdosa kepada kita sebagai rakyat, lebih-lebih lagi kepada Anwar dan keluarganya?  Jika kita boleh berlapang dada menerima Tun Mahathir dan Muhyidin bersama Bersatu untuk kita mara ke medan perjuangan, mengapa harus kita kecualikan Ezam?  Tidak adakah sedikit ruang untuk kita memberi peluang kepada Ezam agar beliau boleh buktikan bahawa beliau kini adalah Ezam yang sebenarnya, Ezam yang dulunya anak didik Anwar.  Ikutkan hati dan perasaan, memang kita mahu Ezam musnah dengan kesilapannya yang lalu.  Tapi kita diajar oleh Anwar, kita bukan pejuang yang pendendam. 

Biarlah Ezam berjuang di dalam Bersatu.  Aku yakin satu hari nanti Ezam akan lakukan seperti Tun Mahathir dan Muhyidin lakukan iaitu bertemu Anwar dan sama-sama hulurkan tangan.  Walaupun Anwar tidak pernah menuntut itu semua, tapi Anwar tidak pernah lari dari menyambut salam dari tangan-tangan insan yang pernah menyiksanya.  Itulah Anwar dan tidak ramai yang boleh jadi seperti Anwar, jauh sekali kita. 

 

 

Selasa, 25 Oktober 2016

KONVOI JELAJAH BERSIH5 DI PAHANG MULAI CUBA DIGANGGU

PADA 22 Okt 2016, Sabtu jam 5.00 petang, konvoi Jelajah BERSIH5 dari Terengganu telah sampai terlebih dahulu di Pintu Gerbang sempadan Kemaman/Kuantan di Chendor.  Tidak beberapa minit kemudian, konvoi lebih dari 20 buah kenderaan yang bergerak dari Pejabat Adun Semambu, Indera Mahkota pun tiba di Pintu Gerbang Kemaman bagi menyambut obor BERSIH5 untuk meneruskan Jelajah BERSIH5 ke Negeri Pahang pula.


Serah menyerah obor dari Terengganu kepada Ketua Koordinator BERSIH5 Pahang, Puan Sitarunnisa disaksikan juga oleh MP Indera Mahkota yang juga Pengerusi Keadilan Pahang, YB Dato' Fauzi Abdul Rahman, Adun Semambu YB Lee Chean Chung dan Adun Teruntum YB Sin Choon Siang, kesemuanya dari Keadilan.  Selain dari pimpinan Keadilan Negeri Pahang, turut serta adalah wakil dari pimpinan Parti Amanah tempatan serta pimpinan NGOs.



Selesai serah menyerah obor, konvoi Jelajah BERSIH5 terus membawa obor BERSIH5 ke Pejabat MP Kuantan, YB Fuziah Salleh untuk disimpan sebelum memulakan jelajah keesokkannya.  Pada 23 Okt 2016, jam 09.00 pagi Jelajah BERSIH5 telah mula memenuhi perkarangan UTC, tengah bandar Kuantan.  Di UTC, Jelajah BERSIH5 Peringkat Negeri Pahang dilancarkan secara resminya oleh MP Kuantan, YB Fuziah Salleh.  Di dalam ucapan beliau, YB Fuziah menjelaskan secara panjang lebar 5 matlamat utama perjuangan BERSIH5.  Selesai pelancaran, peserta-peserta Jelajah BERSIH5 membuat edaran risalah BERSIH5 kepada semua yang berada di sekitar UTC dan pasar pagi berhampiran.





Jelajah BERSIH5 kemudiannya bergerak ke Kg Tiram, Indera Mahkota bagi menemui dan memberikan sokongan kepada anak-anak muda yang berada di Pertandingan Futsal Piala MP Indera Mahkota/Dun Semambu bertempat di Gelanggang Futsal Kg Tiram.  MP Indera Mahkota, YB Dato Fauzi Abdul Rahman dan Adun Semambu YB Lee Chean Chung turut menyaksikan pertandingan tersebut dan seterusnya menyampaikan piala dan hadiah kepada Johan Pertandingan iaitu Tim Galing Baru dan Naib Johan, Tim Bukit Bayrot.  

 



Selesai saja pertandingan, Jelajah BERSIH5 terus menuju ke Taman Gelora untuk mengadakan gotong royong membersihkan kawasan Taman Gelora.  Peserta-peserta Jelajah BERSIH5 berehat dan makan tengahari di Taman Gelora di samping mengedar risalah kepada para pengunjung.


Pada 24 Okt 2016, Jelajah BERSIH5 meneruskan jelajah memasuki kawasan Rompin.  Di sinilah bermulanya Jelajah BERSIH5 telah diprovokasi oleh Kumpulan Baju Merah di Leban Chondong, Rompin.  
Konvoi Bersih 5 dalam misi mengedarkan risalah dan memberi penerangan berkaitan gerakan itu dihalang oleh sekumpulan penduduk yang menanti di Leban Chondong.  Konvoi yang menuju ke Bandar Kuala Rompin selepas singgah di Leban Chondong kemudiannya ditahan di Kampung Derahman sekitar jam 12.30 tengahari.   Setelah ditenteramkan oleh pihak polis yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, keadaan kembali tenang dan konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Kuala Rompin dan kemudiannya meneruskan perjalanan ke lokasi yang ingin dituju iaitu di Kedaik, kawasan perkampungan Orang Asal untuk mengadakan "Medical Camp" kepada para penduduk di situ.  




Sambutan dari masyarakat setempat amat baik sekali.  Tahniah kepada peserta Konvoi BERSIH5 yang berjaya menangani provokasi oleh Baju Merah dengan baik dan berdisiplin sekali.  Kerjasama pihak Polis juga amat baik dan diharapkan akan berterusan sehingga Jelajah BERSIH5 di Pahang ini berakhir pada 18 Nov ini nanti.  Esok, 25 Okt 2016, InsyaAllah, BERSIH5 akan berada di Kawasan Paya Besar iaitu di Taman Tas, Kuantan pula.

Sabtu, 22 Oktober 2016

AYUH BERSAMA JELAJAH BERSIH5 DI PAHANG BERMULA PETANG INI


BERSIH5 kini menghampiri sempadan Pahang.  Petang nanti, Sabtu (22/10/16) lebih kurang jam 05.00 petang Jelajah Bersih yang telah menghabiskan tugasnya di Terengganu akan memasuki sempadan Pahang dan kami dari warga Pahang akan menyambutnya di Pintu Gerbang Kemaman/Kuantan (Chendor).

Kepada rakyat Pahang yang menyokong perjuangan Bersih diseru untuk beramai-ramai menyambut kehadiran Jelajah Bersih ke bumi Pahang.  Lokasi berkumpul dengan kenderaan masing-masing adalah di Pejabat Komuniti Adun Beserah, Jalan Hj Ahmad, Kuantan pada jam 2.30 petang untuk menerima taklimat pergerakan dan keselamatan.  Para peserta yang akan berkonvoi ke Pintu Gerbang Kemaman digalakkan memakai pakaian berwarna Kuning Bersih atau kuning.



Menyedari Jelajah Bersih ini akan menghadapi risiko provokasi daripada pihak-pihak tertentu, maka aspek keselamatan perlu diutamakan.  Dilarang samasekali para peserta membawa sebarang peralatan merbahaya atau sebarang senjata tajam bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.  Para peserta juga dilarang mencetuskan kontroversi atau menimbulkan sensitiviti agama mahupun perkauman sepanjang Jelajah Bersih.  Apa yang perlu disampaikan adalah mesti berpandukan kepada objektif perjuangan Bersih yang sedia maklum.  Sebarang kegiatan sepanjang Jelajah Bersih ini mestilah mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Sekretariat Bersih.

Adalah dilarang samasekali peserta bergerak bersendirian atas nama Jelajah Bersih ini.  Larangan ini adalah bertujuan untuk menjaga keselamatan para peserta Bersih.  Sekiranya berlaku sebarang kejadian atau provokasi, semua peserta mestilah mematuhi arahan pihak berkuasa atau Sekretariat Bersih.  Tidak dibenarkan para peserta bertindak bersendirian dan pihak Bersih tidak akan bertanggungjawab ke atas sesiapa yang tidak mematuhi arahan yang diberikan.

Sekali lagi, rakyat Pahang diseru untuk bersama-sama menyertai Jelajah Bersih yang akan bermula petang nanti,  keesokkannya di UTC Kuantan dan seterusnya mengikut jadual yang ditetapkan dengan penuh aman dan tertib.  

Ahad, 16 Oktober 2016

MENJAWAB KENYATAAN TERBARU PJ PAS PAHANG

SEBELUM aku ulas kenyataan PJ Pas Pahang, ada baiknya kita baca dulu apa yang beliau sebut;


PAS PAHANG TETAP DENGAN PENDIRIANNYA.
 

PAS Pahang tidak akan menyerahkan walau satu pun kerusi yang ditandingi pada PRU 13 yang lalu kepada mana-mana komponen Pakatan Harapan.

Kerusi yang ditandingi PAS pada PRU 13 yang lalu adalah hasil muafakat dalam Pakatan Rakyat. Kini PAS dan PKR masih lagi berada di dalam Pakatan Rakyat, maka semua kerusi antara PAS dan PKR adalah berdasar kepada status quo.

Namun suasana politik terkini memungkinkan Pakatan Harapan akan bertanding di kerusi PAS melalui komponennya samaada PAN atau DAP.

PAS Pahang menegaskan bahawa jika sekiranya Pakatan Harapan bertanding di kerusi PAS bertanding, PAS Pahang juga akan meletakkan calonnya termasuk di kerusi PKR bertanding.

Kerana PKR adalah komponen Pakatan Harapan, maka diharapkan PKR dapat berbincang sebaik mungkin untuk rakan-rakan Pakatannya tidak menganggu kerusi PAS bertanding.

Keputusan ini telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri Pahang baru-baru ini, kerana jentera PAS telah bekerja disetiap DUN PAS bertanding sejak bertahun lalu dan lebih agresif lagi apabila hampir pilihanraya. Jika PAS menarik diri untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan pasti akan melemahkan jentera pilihan raya PAS yang kini sedang bersemangat untuk menghadapi PRU 14.

PAS tidak mungkin akan menerima Pakatan Harapan selagi di dalamnya ada DAP dan PAN. Walaupun di dalamnya ada PKR yang sangat mesra dengan PAN, tapi masih bertahaluf dengan PAS, PAS tidak mungkin akan bertolak ansur untuk membenarkan Pakatan Harapan bertanding dikerusi PAS.

PKR dan DAP boleh berbincang sesama mereka untuk memberikan kerusi mereka kepada PAN, bukan ambil kerusi PAS, PAS tidak akan bertanding dikerusi PKR bertanding, namun PAS Pahang tegaskan sekali lagi bahawa PAS Pahang akan bertanding dimana2 kerusi sekalipun termasuk kerusi yang ditandingi PKR jika ada salah satu kerusi PAS dicerobohi oleh Pakatan Harapan.

PAS bukan sahaja bersedia untuk bertanding 3 penjuru, malahan beberapa penjuru sekali pun dan inilah juga kesediaan diperingkat akar umbi PAS, PAS nekad untuk bertegas apatah lagi setelah pengerusi DAP Pahang mengeluarkan kenyataan menghina kepimpinan PAS dan menghalau PAS keluar dari bumi Pahang dalam ucapannya di Raub baru-baru ini. Kenyataan ini sangat menghiris hati ahli PAS.

Keutamaan PAS ialah perjuangkan prinsip Islamnya demi kebaikan rakyat. PAS tetap akan menentang UMNO dan BN dan sesiapa sahaja yang menghalang PAS dari perjuangkan prinsipnya. PAS tidak akan berganjak walau seinci pun, InsyaAllah PAS akan terus mengharungi cabaran politik Negara bersama rakan didalam "Gagasan Sejahtera". 
 
Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang
 

MENJAWAB KENYATAAN TERBARU PJ PAS PAHANG

PJ Pas Pahang ada keluarkan kenyataan bahawa Pas tetap akan bertanding di semua Kerusi yg Pas bertanding dalam PRU13 yg lalu, kononnya atas persefahaman di dalam PR sebelum PRU13 yg lalu. Sekiranya parti lain dalam PH bertanding di Kerusi Pas, maka Pas akan bertanding di semua Kerusi termasuk Keadilan.

Sebagai PJ Pas Pahang patutnya beliau arif dan peka dengan situasi politik semasa dan jangan masih bermimpi dengan perkara lalu. Suka atau tidak, harus diakui PR sudah tidak wujud termasuk di Pahang sekarang ini. Apa yang ada sehingga hari ini adalah kerjasama dua parti iaitu Keadilan dan Pas dan kerjasama ini direstui oleh PH. Oleh itu, alasan persefahaman PR tidak lagi releven. Beliau juga harus tahu bahawa setiap persefahaman atau perbincangan Kerusi tidak kekal dan perbincangan tentangnya sentiasa diadakan setiap kali menjelang PRU. Alasan PJ Pas untuk mengekalkan persefahaman sebelum PRU13 dahulu adalah melucukan.

Kita semua tahu, walaupun sebelum PRU13 yang lalu ada persefahaman dan disahkan melalui Mesyuarat PR, namun masih ada yang melanggar persefahaman tersebut dan bertanding sesama sendiri. Maka, alasan untuk bertanding di Kerusi Keadilan sekiranya Amanah bertanding di Kerusi Pas, bagi saya satu lawak jenaka kerana semua tahu sebelum Amanah wujud pun berlaku pertandingan 3 penjuru di tempat yang telah disepakati. Sampai ke tahap sanggup menfitnah calon Keadilan edar pil kuda dan berfahaman komunis demi mahu rebut Kerusi.

Saya andaikan adalah tidak betul jika kamu bergaduh dengan satu pihak, pihak yang lain menjadi mangsa. Apakah itu cara Islam? Apabila kami menyeru kepada penyatuan untuk satu barisan Pembangkang yang kuat bersama Keadilan, Amanah, Dap dan Bersatu, agar perbincangan boleh dilakukan demi menjatuhkan rejim Umno/Bn, kamu meletakkan berbagai alasan dan syarat. Kalau dengan Syiah pun kamu sanggup ingin satukan dengan Sunni tanpa syarat, mengapa untuk bersatu melawan rejim Umno/Bn menjadi satu masalah besar bagi kamu?

Siapa sebenarnya yang tidak mahu bersatu?

Jumaat, 14 Oktober 2016

EZAM MEMILIH UNTUK BERSAMA BERSATU, ADAKAH KITA RUGI ?


EZAM Mohd Noor adalah salah seorang tokoh muda yang amat popular sewaktu berada di dalam Parti Keadilan sesuai dengan jawatannya diwaktu itu selaku Ketua Pemuda Keadilan (sekarang disebut Angkatan Muda Keadilan).  Beliau popular kerana berada dalam wadah Keadilan bukan kerana batang tubuhnya atau auranya. 

Apabila beliau meninggalkan Keadilan dan menubuhkan Gerak, satu pertubuhan menentang rasuah, belum ada yang membenci Ezam bahkan beliau sering dijemput berceramah di atas pentas Pembangkang atas kapasitinya selaku Pengerusi Gerak.  Menentang rasuah adalah salah satu perjuangan Parti Keadilan maka perjuangan Ezam di dalam Gerak dianggap membantu perjuangan Parti Keadilan.  Mantan Timbalan Presiden Keadilan, Dr Syed Husin Ali ada menulis tentang mengapa Ezam keluar parti, di antara lainnya beliau menyebut Ezam menghadapi masalah kewangan.  Apa pun alasan Ezam keluar parti, perjuangannya di dalam Gerak waktu itu mendapat sokongan rakyat dan juga dari Parti Keadilan sendiri.  Nama Ezam tetap terpelihara ketika itu.

Waktu bila Ezam telah mencemarkan imej dan namanya?  Nama Ezam mula membusuk apabila menyerahkan borang untuk menyertai Umno di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku PM dan Presiden Umno.  Rakyat melihat benarlah seperti apa yang dinyatakan oleh Dr Syed Husin tentang Ezam.  Ezam tidak cukup kuat bertahan dengan perjuangan yang sukar dan penuh liku.  Alasannya untuk menyertai Umno adalah kerana beliau yakin dengan kepimpinan Pak Lah.  Beliau ingin membersihkan Umno dari dalam, kononnya, satu alasan yang pernah bekas bosnya Anwar Ibrahim gunakan sewaktu Anwar menyertai Umno dahulu.  Sewajarnya Ezam berfikir, jika seorang tokoh hebat seperti Anwar pun gagal mensucikan Umno dari dalam, siapakah Ezam?

Ezam terus yakin dengan Umno walaupun Pak Lah tidak lagi menjadi PM.  Ezam masih yakin bahawa Umno di bawah Najib selepas itu akan gemilang dan terbilang.  Ahli-ahli Umno sendiri kurang senang apabila Ezam bersama Umno dan ada yang berprasangka Ezam adalah "Trojan Horse" Anwar Ibrahim.  Ezam adalah 'spy' yang diutuskan oleh Anwar untuk merosakkan Umno dari dalam, fikir sebahagian dari pemimpin dan ahli-ahli Umno.  Ezam sedar akan hal ini, maka Ezam cuba membuktikan kepada ahli-ahli Umno bahawa beliau hadir ke dalam Umno adalah untuk membantu Umno berdepan dengan Pembangkang, terutamanya Anwar Ibrahim.  Ezam berfikir, cara paling berkesan untuk membuktikan kejujuran beliau untuk bersama Umno adalah dengan menyerang Anwar Ibrahim habis-habisan.    

Maka, menyalak dan melolonglah Ezam membelasah Anwar, bekas bosnya itu.  Tidak ada apa yang sulit dan buruk tentang Anwar yang Ezam tidak dedahkan kepada umum.  Boleh dikatakan kutukan, makian dan cercaan Ezam terhadap Anwar melampau apa yang pernah dibuat oleh pemimpin Umno sendiri malah Tun Dr Mahathir orang yang memecat Anwar sendiri tidak berbuat sehebat Ezam lakukan.  Berbaloikah apa yang Ezam lakukan?  Pada aku, tindakan Ezam itu langsung tidak berkesan untuk menghilangkan pengaruh Anwar.  Anwar terus diangkat sebagai wira dan Pembangkang terus melanyak Umno/Bn sehingga parti Ezam waktu itu hilang 2/3 majoriti di Parlimen.  Bukti jelas Ezam tidak langsung membantu memperkuatkan Umno.  Beliau hanya diupah dengan Senator dan sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan.  Di dalam parti, Ezam hanya mampu menjadi Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja, menang tanpa bertanding.  Setakat itu sahaja Ezam punya standard.  Lokman Adam, bekas seperjuangan Ezam sewaktu di dalam Pemuda Keadilan yang kini berada bersama Umno sendiri di dalam kenyataan terbarunya mengakui Ezam gagal di dalam Umno dan tidak membantu PM walau sedikitpun di dalam isu-isu kontroversi seperti isu 1MDB.

Akhirnya, Ezam mengistiharkan keluar dari Umno atas alasan tidak lagi percaya dengan Najib dan Umno terutamanya di dalam isu 1MDB dan beberapa isu lain.  Ezam baru sedar Umno sampai bila-bila pun tidak boleh disucikan.  Bahkan, batang tubuh Ezam sendiri berlumuran 'najis' dari tong najis Umno.  Tindakannya yang menyerang Anwar habis-habisan dan penglibatannya di dalam kes fitnah Liwat 2 terhadap Anwar adalah kemuncak 'kekotoran' batang tubuh Ezam.  

Baru-baru ini Ezam umumkan beliau akan bersama parti Tun Mahathir dan Muhyidin iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau sinonimnya disebut 'Bersatu".  Aku merasa amat lega kerana Ezam tidak memilih Keadilan semula kerana aku tahu ramai di kalangan ahli parti Keadilan tidak akan setuju jika Ezam menyertai Keadilan.  Tidak salah untuk Ezam mahu insaf dan menebus segala dosanya sebelum ini.  Seperti juga Tun Dr Mahathir dan Muhyidin, dosa-dosanya kerana melakukan kezaliman atau bersekongkol dengan kezaliman satu ketika dahulu boleh ditebus dengan kembali bersama rakyat melawan rejim Umno/Bn.  

Walaupun Keadilan bukan tempat yang sesuai dan terbaik untuk Ezam, tetapi jika Ezam jujur untuk membersihkan dirinya, tiada cara lain, Ezam perlu memilih wadah yang sesuai untuknya bagi melawan rejim Umno/Bn.  Sebagai pejuang keadilan, kita harus akur dengan pilihan Ezam dan berikan peluang kepadanya untuk membuktikan keikhlasannya.  Bersatu akan bersama PH untuk melawan rejim Umno/Bn, dan Ezam adalah sebahagian dari jentera Bersatu.  

Samada Ezam boleh dipercayai atau tidak, jawapannya tetap sama apabila kita menerima Tun Dr Mahathir dan Muhyiddin di dalam gabungan Pembangkang sekarang.  Boleh saja kita merasa sangsi dan boleh saja kita 'Tabayyun' dan aku memilih untuk "Tabayyun" kerana bagi aku di dalam politik segalanya mungkin dan politik memerlukan seramai mungkin sahabat dan minimakan musuh.  Kita tiada hak untuk melarang Bersatu menerima Ezam.  Sekumpulan orang-orang yang pernah menyakiti Anwar kini ingin bersama kita dan Anwar untuk menghancurkan Umno/Bn, apakah kita rugi jika menerima mereka?  

Kembali kita kepada kata-kata Anwar sendiri, "  Saya telah maafkan semua, tapi saya tidak lupa".  Ertinya, kita harus berhati-hati dalam strategi kita walau dengan sesiapa pun.  Ingatlah, Allah tidak melihat masa lampau kita, Allah akan melihat masa akhir kita.  Semoga mereka yang bersama kita benar-benar insaf bahawa negara ini perlu diselamatkan dari rejim Umno/Bn.  Jika kita mahu selamatkan Anwar, kita tiada pilihan selain dari jatuhkan Umno/Bn walaupun yang ingin bersama kita dahulunya adalah musuh-musuh kita.  Orang yang zalim tidak harus kita biarkan menyokong kezaliman berterusan.
 

Isnin, 10 Oktober 2016

MENYANGGAH KENYATAAN SAMM WILAYAH TERHADAP RAFIZI

AKU ada membaca knyataan dari Penyelaras SAMM Wilayah persekutuan, Sdr Shariful Azmir bertarikh 09 Okt 2016 yg mengutuk tindakan Jamal baju merah yg sering mencetuskan kontroversi terhadap Jelajah Bersih5. SAMM Wilayah juga memuji tindakan Pengerusi Bersih, Maria Chin yg mengambil tindakan untuk menyaman Jamal kerana menfitnah Bersih dengan tuduhan kumpulan Pengganas dan kononnya ingin mengepung beberapa lokasi tertentu bagi menumbangkan kerajaan.

Apa yang aku tidak bersetuju di dalam kenyataan SAMM Wilayah itu apabila beliau mempersoalkan sikap Rafizi Ramli yang tidak berbuat apa2 apabila Jamal menfitnahnya sebagai orang yg menyalurkan maklumat kepadanya tentang kegiatan Bersih. Rafizi disebut sebagai ego dan bodoh apabila tidak menyaman Jamal, kata kenyataan SAMM Wilayah.

Aku berpendapat, Rafizi telah melakukan yg sewajarnya iaitu menafikan tentang tuduhan tersebut dan mengembalikan semula tuduhan bodoh dan lucu dari Jamal itu dengan menggelar Jamal sebagai "Badut Umno". Tuduhan yg bodoh wajar dijawab dengan cara yang bodoh untuk orang bodoh seperti Jamal. Terpulang pula kepada Jamal samada ingin menyaman Rafizi jika benar beliau bukan "Badut Umno:.

Rafizi bertindak tepat mengembalikan semula bola ke kaki Jamal. Apakah setiap tuduhan yang bodoh perlu dilayan dengan saman? Kalau tidak layan maka kita pun jadi bodoh? Jika begitu, Anwar adalah insan yang paling banyak dituduh dengan tuduhan2 bodoh dan kadangkala melucukan. Anwar tidak melayani kesemuanya dan tidak pun mengambil tindakan saman ke atas semua tuduhan bodoh berkenaan. Apakah kita mahu sebut Anwar ego dan bodoh?

Aku juga pernah dengar banyak tuduhan ke atas Chegu Bard, termasuk difitnah oleh salah seorang pimpinan AMK Keadilan di Selangor yang menuduh beliau telah diupah oleh Umno untuk merosakkan parti. Beliau juga pernah dituduh minum arak dan berpoya2 di kelab malam. Lucu bukan tuduhan ini? Perlukah Chegu Bard menyaman fitnah yang jelas nampak bodoh itu? Apakah Chegu Bard juga ego dan bodoh?

Sehubungan itu, kita harus berfikir panjang sebelum membuat kenyataan yang merendah2kan orang lain sebaliknya kita berdiam diri apabila terkena kepada kita.