RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Sabtu, 19 Mac 2011

WAWANCARA - APA TERJADI JIKA NIK AZIZ TIADA LAGI DI SITU ?

Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 13 Februari 2011 di ibu pejabat PAS, Mujahid Yusof menekankan kepentingan wujudnya institusi Majlis Syura, malah jawatan Mursyidul Am dalam struktur organisai PAS. Bagaimanapun, penulis buku "Menuju PAS Baru- Krisis, Peluang dan Dinamisme" ini enggan/gagal memberi jawapan kepada soalan "andaian" - apakah yang bakal terjadi seandainya Nik Aziz yang berusia 80 tahun ini tidak lagi berada di situ?

Lanjutan senario "Erdogan vs pro-UG"?

MR: Bagaimana YB melihat pemilihan yang bakal berlangsung pada Jun 2011 ini...

Mujahid (celah): Sangat menarik.

MR: Apakah senarionya lanjutan daripada pemilihan pada tahun 2009?

Mujahid: Ya, selalunya dalam mana-mana pemilihan parti, pihak yang kalah tidak akan diam. Dia akan meneruskan usaha-usaha untuk memastikan bahawa dia dapat bertapak. Jadi bagi saya, apa yang berlaku pada tahun 2009 akan terus berlaku pada tahun 2011.

MR: Tapi adakah senarionya akan berubah selepas dua tahun?

Mujahid: Senario tidak akan berubah. Malah perkembangan yang berlaku di sekeliling ini memberikan lagi satu keperluan kepada PAS untuk melakukan satu perubahan yang lebih mendasar, satu perubahan yangg lebih meyakinkan orang ramai.

Orang nombor dua

MR: Jadi bagaimana dalaman PAS menilai prestasi Timbalan Presiden? Dalam buku tulisan YB, Timbalan Presiden kini dikatakan tidak begitu berkesan untuk membantu Presiden.

Mujahid: Itulah persepsi awam dalam PAS. Saya tidak tahu sejauh manakah dominannya pandangan ini, tetapi terdapat kata-kata sedemikian mengenai orang nombor dua ini. Lagipun saya tidak berhak untuk berkata lebih daripada itu. Anda kena bertanya kepada dia sendiri.

MR: Apakah batasan-batasan, yang mungkin dihadapi beliau (Nasharuddin Mat Isa, gambar kanan) dalam hal ini? Sudah lama beliau menyandang jawatan Timbalan Presiden (sejak tahun 2005). Kami melihat beliau melakukan sedikit sebanyak usaha dalam memperbaiki persepsi umum terhadap PAS, rebranding, sebelum tsunami politik.

Mujahid: Tidak, saya rasa apa yang saya katakan hanyalah fikiran (a pure thought of mind). Saya rasa untuk berlaku adil, setiap orang mempunyai sumbangannya. Dan saya rasa beliau telah melakukan sesuatu yang baik, untuk menunjukkan bahawa PAS mempunyai orang yang bijak, muda untuk memimpin. Saya rasa itu tidak dinafikan.

Tetapi selalunya saya rasa orang PAS ni bijak memilih. Dia tengok performance macam mana. Jadi saya rasa orang PAS ini akan membuat penilaian, penilaian secara terbuka, tanpa ragu-ragu. Malah mereka mungkin menyuarakan dengan lantang apa yang terpendam dalam hati, melalui undi mereka.

Nik Aziz vs Hadi Awang?

MR: Bagaimana kalau saya katakan bahawa ini adalah pertembungan antara Nik Aziz dengan Hadi Awang, di mana seorangnya (Nik Aziz) diwakili Husam Musa, dan seorang lagi (Hadi Awang) diwakili Nasharuddin Mat Isa?

Mujahid: Bergantung kepada bagaimana kamu menafsirkannya-lah! Kerana dalam PAS sebenarnya tidak ada apa yang orang kata... Nik Aziz tidak pernah campur tangan, (dalam hal) siapa dalam senarai, siapa tidak berada dalam senarai. Hadi pun tidak pernah campur tangan.

MR: Tidak pernah?

Mujahid: Sebagaimana yang saya tahu. Saya tidak tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Tapi yang kita tahu, asalnya memang begitu. Kita tak pernah letakkan kamu begitu... ini senarai aku, itu senarai aku. Kalau ada pun itu under current yang saya tak tahu siapa yang mewakilinya.

Tapi mungkin kalau kamu meneliti dari pemikirannya, Nik Aziz macam ini punya pemikirannya, Hadi macam ini punya pemikiran, kemudian kamu mungkin mentafsir - ini senarai Hadi, ini senarai Nik Aziz. Jadi, ini bukan berkaitan dengan Nik Aziz dengan Hadi, tetapi lebih kepada pemikiran (thinking), yang reform dengan yang konservatif.

MR: Kalau saya katakan bahawa generasi pemimpin PAS lapisan kedua ini, misalnya Husam Musa, beliau lebih bergantung kepada ketokohan ataupun kewibawaan Nik Aziz. Begitu juga dengan Nasharuddin yang bergantung kepada Hadi Awang. Seandainya apa-apa berlaku kepada kedua-dua orang pemimpin ini... Kalaulah, seandainya Tok Guru Nik Aziz sudah tidak berada di situ, mungkin tak puak ini, atau sekta ini tidak lagi mendapat sokongan dalam parti?

Mujahid: Inilah saya kata, saya sendiri tidak berani nak mengiakan keadaan itu. Tapi selama yang saya ketahui, kalaupun Nik Aziz membuat apa-apa kenyataan, baikpun Hadi, mereka membuat kenyataan itu di atas kapasiti mereka sebagai jawatan yang ada, bukan sebagai pelobi kepada sesiapa. Kalau adapun orang ramai mahu menganggap demikian, kita tidak boleh menghalang.

Kerana manusia lebih mudah, dia letakkan kategori supaya dia senang faham. Itulah undercurrent yang berlaku sebenarnya. Adapun nak mengiakan adakah ini sesuatu yang berlaku secara rasmi (officially), saya nak kata ia bukan official, tapi dalam mana-mana parti politi, itu perkara lumrah saya rasa. Saya rasa tidak ada pelik dalam hal ini.

MR: Tapi ia mungkin meletakkan PAS dalam satu keadaan yang bahaya. Maksud saya, puak "Erdogan" terlalu bergantung kepada kewibawaan Nik Aziz. Seandainya apa-apa berlaku pada Tok Guru, mengambil kira usianya yang lanjut, bagaimana keadaannya? Puak "kerajaan perpaduan" mungkin akan mendominasi...

Mujahid: Saya melihat di sebalik fenomena yang saya sebut dalam buku itu, ia tidak semestinya... orang kata satu benda yang absolute truth (kebenaran yang mutlak). Ia hanya satu kajian dan pandangan. Dan bagi saya, di dalam PAS apa yang ada dilabelkan dengan nama erdogan, profesional dan ulamak... itu hanya label-label yang diberi, tapi hakikatnya kalau anda baca dalam buku, saya ada sebut sebenarnya ia adalah pertembungan antara reformis dan konservatif. Ada orang yang mahu conserve, dan ada pula orang yang mahu reform.

Saya ingat dalam mana-mana parti politik, konservatif dan reformis selalunya bertembung. Secara kebetulannya ada pemimpin-pemimpin yang menyokong reform, dan ada yang menyokong konservatif. Maka dijadikan mereka sebagai kononnya tempat bergantung. Tapi bagi saya kita tidak perlu bergantung kepada sesiapa, tetapi bergantung kepada kejelasan kita, apa yang kita nak bawa dalam parti kita.

Seandainya Nik Aziz tidak berada di situ...

MR: Kita lihat dalam isu Kerajaan Perpaduan. Kalau bukan Mursyidul Am Nik Aziz yang berada di situ untuk membantah keras canangan idea tersebut, mungkin sesuatu akan berlaku...

Mujahid: Itulah perlunya ada Mursyidul Am! Biar saya jelaskan kepada kamu. Majlis Syura ini, dia bagi halatuju, dia tengok tak betul, (dia akan ingatkan) come, anda sudah lari (dari landasan). Sebab tu nak jadi Mursyidul Am ini bukan calang-calang orang. Ayah saya ialah Mursyidul Am. Pada masa itu dia ada pandangannya sendiri, beliau menasihat pada benda yang beliau rasa tidak betul.

Apa yang dilakukan Nik Aziz sekarang sekadar melaksanakan tugasnya. Dan sesiapa yang menjadi Mursyidul Am kemudian, tanpa Nik Aziz, dia akan memikirkan ke mana kita (PAS) menuju. Bagi saya, kebetulan Mursyidul Am di situ, Nik Aziz di situ, jadi beliau datang dan menasihat.

MR: Kami bukan bermaksud menafikan itu (peranan yang dimainkan Nik Aziz sebagai Mursyidul Am). Apa yang kami ajukan adalah, seandainya Niz Aziz tidak berada di situ, maka golongan reformis sukar untuk menyekat kemaraan golongan (konservatif)...

Mujahid: Yalah, sebab itu saya ulang balik. Satu-satu tempat itu bila kita meletakkan orang, adalah tempatnya. Orang itu ada kewibawaannya. Kebetulan kali ini ialah Nik Aziz. Jadi kalau kita nak cakap "kalau", susahlah. Kalau tak ada, jadi ini...

MR: Tetapi ia mencerminkan satu masalah dalam PAS, iaitu bergantung kepada ketokohan seseorang pemimpin, secara individu. Ia tidak mempunyai satu mekanisme dari strukturnya untuk menyelesaikan masalah ini. Perkara ini (kerjasama dengan UMNO) telah diputuskan dalam Mesyuarat Agung. Seandainya wujud mekanisme ini, maka walaupun Tok Guru Nik Aziz berdiam diri, perkara ini mungkin tidak akan berbangkit...

Mujahid: Macam ni. Orang awam salah faham. Bila Tok Guru Nik Aziz panggil untuk... Beliau mencadangkan Muktamar Khas, ia belumpun menjadi...Akhirnya dia jadi satu seminar khas, kan? Walau bagaimanapun itu hak dia untuk melontarkan (cadangan). Tapi apa yang dibuat Nik Aziz adalah kebimbangan beliau, perbincangan di bawah ini seolah-olah macam di luar kawalan. Antara UG dengan Pakatan. Di luar kawalan.

Sebab itu dia mari. Dia kata, henti, buat ini. Kita mesti pegang kepada keputusan Muktamar 2009 bahawa kita bersama dengan... (Pakatan). Apa yang dilakukan adalah menegaskan semula keputusan yang telah dibuat. Apa yang cuba dikatakan adalah, kalau kamu rasa kamu ada idea yang berbeza, bawalah idea itu (ke mesyuarat). Biar ahli yang menentukan. Bukan tiga, empat orang dalam jawatankuasa yang memutuskan. Jadi, inilah semangat di sebalik mesyuarat ini.

Adapun mengatakan bahawa tanpa Nik Aziz, benda tu tidak berlaku dan sebagainya. Saya tidak mahu keterlaluanlah menyatakan itu. Tetapi apa yang kita buat dalam mesyuarat ialah kita berpegang kepada keputusan yang telah dibuat sebelumnya. Dan kita memutuskan. Kalaupun ada idea yang lain, kamu tidak boleh hanya berbincang di sini. Anda kena bincang di peringkat yang lebih terbuka. Kita memerlukan mandat. Itulah maksudnya.

Kalau tanpa Nik Aziz pun, dari segi struktur yang kamu bincangkan, ada! Terdapat struktur untuk menyelesaikan masalah ini, melalui Jawatankuasa PAS Pusat, Muktamar Khas dan sebagainya.

MR: YB, sudah beberapa kali Kerajaan Perpaduan ini dibangkitkan, kemudian diputuskan dalam Muktamar agar tidak diungkitkan lagi. Namun, selepas isu ini tutup, dia dibuka balik, termasuk oleh Hadi Awang sendiri. Sehinggalah Mursyidul Am Nik Aziz tampil untuk....

Mujahid: Ya, sebab itu saya kata, peranan Mursyidul Am, apabila kekeliruan berlaku, sebab itu perlu ada orang yang lebih... Kalau dulu, zaman sebelum ada kepimpinan ulama, sebelum ada Mursyidul Am, Presiden yang membuat keputusan. Itu berlaku pada Asri (bekas Presiden PAS). Suka hati dia-lah, hari ini dia sebut begini, esok dia sebut begini. Sebab tu saya kata, sistem yang ada dalam PAS ini tidak mungkin... Kalaupun Nik Aziz tidak ada, siapa-siapa Mursyidul Am ketika itu tetap akan turun untuk menyatakan kamu kena ikut keputusan yang...

MR: Kalaulah Harun Taib menjadi Mursyidul Am, mungkin nasihat yang diberi berlainan...

Mujahid: Kita bukan Tuhan untuk mengetahui apa yang akan disebut di masa hadapan. Kita boleh andaikan dan kita boleh speculate, bagi saya saya tidak mahu layan yang itu. Saya lebih melihat realiti yang ada. Dan parti ini adalah parti yang sentiasa diberi panduan oleh Tuhan, selagi parti ini ikhlas dengan perjuangannya./MerdekaReview

2 ulasan:

  1. PARTI ISLAM AKAN GANTI PARTI SEKUTU APCO ARUS JAHILIAH INSYALLAH !
    ISLAM UNTUK DUNIA & AKHIRAT ALLAHU AKHBAR !

    BalasPadam
  2. INILAH KENYATAANNYA. PAS ADALAH PARTI POLITIK BIASA YANG DIANGGOTAI MANUSIA BIASA. GHAIRAH KEPADA KUASA.

    BEZANYA, KEPADA PAS ISLAM ADALAH ALAT BUKAN MATLAMAT.

    BalasPadam