KUANTAN – Himpunan Turun Anwar yang dirancang pembangkang diadakan pada penghujung Julai ini disifatkan hanya retorik dan tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, rakyat kini bijak menilai trek rekod pemerintahan pembangkang selama 33 bulan berbanding hampir tiga tahun kerajaan Madani memerintah hari ini.
“Himpunan ‘Turun Anwar’ hanyalah retorik dan taktik jahat, dengki dan busuk hati semata-mata.
“Rakyat akan menolak parti yang hanya tahu mencari salah, menabur fitnah dan tidak mahu melihat negara ini stabil,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas mengumumkan akan menganjurkan himpunan aman `Turun Anwar’ pada 26 Julai ini.
Difahamkan ia akan diadakan sebagai satu manifestasi besar rakyat Malaysia yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Wan Fauzuldin berkata rakyat akan menolak parti yang hanya tahu mencari salah, menabur fitnah dan tidak mahu melihat negara ini stabil.
“Apakah rakyat mahu terima lagi Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, atau mereka mahu Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Datuk Seri Hamzah Zainudin pula?
“Ternyata pembangkang hari ini hilang hala tuju dan kehabisan modal dek kerana prestasi PMX serta kerajaan Madani semakin cemerlang,” tambahnya.
Mengulas lanjut Wan Fauzuldin berkata pada awalnya pembangkang merancang menganjurkan himpunan membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Namun katanya, tema itu ditukar kepada ‘Turun Anwar’ selepas mendapati masyarakat bandar, khususnya penghuni rumah flat lama, menyokong pelaksanaan RUU tersebut demi kebaikan mereka.
“Hasutan pembangkang kononnya URA ini taktik kerajaan untuk mengusir orang Melayu dari bandar tidak berjaya menarik perhatian, bahkan menjadi bahan lawak jenaka.
“Maka, himpunan yang dirancang itu ditukar tajuk kepada ‘Himpunan Turun Anwar’, tetapi rakyat tidak mudah untuk diperdayakan oleh pembangkang,” jelasnya.
Ujarnya tindakan tergesa-gesa pembangkang itu menunjukkan mereka terdesak, lebih-lebih lagi tiada calon Perdana Menteri dikemukakan bagi menggantikan Anwar.
“Jika mahu Anwar turun, kamu (pembangkang) seharusnya ada pengganti yang lebih baik dari Anwar dan rakyat mahu tahu siapa sertan mereka mahu menilai calon perdana menteri dari pembangkang sebelum mereka mahu sertai himpunan kamu itu.
“Sudah jelas, pembangkang tiada calon dan mereka masih tidak sepakat untuk menamakan calon perdana menteri dari kalangan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan