Selasa, 12 Mei 2009
TERKINI - TAKLIMAT YAB IR NIZAR
ISU PERAK - APAKAH MAKSUD PERKATAAN INI?

Komen saya: Adakah mereka tidak takut YAB Ir Nizar jadi MB Perak, atau sebenarnya takut untuk serahkan kuasa pada rakyat melalui pilihanraya?
TERKINI - Nizar keluar dari pejabat MB

12 May 2009 3:42PM
IPOH: Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bersama barisan Exconya keluar dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak kira-kira pukul 2.45 petang ini.
~~ Sumber KLPOST
TERKINI - ZAMBRY BERJAYA TANGGUH KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI SEMALAM

Begitulah mahkamah di dunia tidak akan dapat mengatasi mahkamah di Akhirat kelak. Mahkamah dunia sentiasa boleh dicabar dan kadangkala keputusan mahkamah dikatakan `silap' atau khilaf. Meskipun semalam jalan telah dibuka seluas-luasnya untuk rakyat Perak menggunakan kuasa menentukan pemimpin mereka, tetapi terdapatnya manusia yang terus ingin menafikan kuasa rakyat. Kita lihat apa episod yang berlaku selepas ini. Moga DYMM Sultan Perak akan menggunakan kuasa mutlaknya demi kepentingan rakyat Perak.
~~Sumber News ADIL
APA NASIB TIGA PENCACAI MALANG SELEPAS INI?

Sesungguhnya YAB Ir Nizar MB Perak seharusnya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang telah memutuskan bahawa beliau adalah MB Perak yang sah. Keputusan tersebut sudah pasti menyemerakkan lagi sokongan rakyat terhadap beliau khususnya dan PR, amnya. Sekaligus, keputusan tersebut menggambarkan betapa tidak selama-lamanya mereka boleh memperkudakan sesiapa yang mereka suka untuk berkuasa. Hasil keputusan yang diumumkan tersebut sebenarnya tidak sedikit pun menguntungkan Nizar secara peribadi bahkan tidak juga dikatakan menguntungkan PR.
Siapa yang beruntung hasil daripada keadilan mahkamah tersebut? Sudah tentu rakyat Perak yang selama ini derita jiwa dan raganya di bawah pemerintahan yang mereka tidak pilih. Pujian harus diberikan kepada Nizar kerana sebaik sahaja beliau dikembalikan kuasa yang telah dirampas, beliau sertamerta mengumumkan untuk mengembalikan hak memilih pemimpin negeri Perak kepada rakyat Perak. Itulah jiwa seorang pejuang rakyat yang mendahulukan rakyat dari dirinya sendiri. Bukannya seperti omongan kosong bercakap tentang `rakyat diutamakan' dan berbagai bentuk kosmetik ucapan lagi oleh pemimpin Umno/Bn. Setelah Allah memberikan nikmat kemenangan ini, maka terpulanglah kepada rakyat Perak untuk memilih haluan dan pilihan masing-masing selepas ini. Tugas Nizar serta rakan-rakan di dalam PR hampir ke penyudahnya dan rakyat Perak hanya perlu mengesahkan semula pilihan mereka.
Kita tidak hairan apabila Najib berkata Umno/Bn akan berusaha untuk merayu keputusan tersebut kerana kita sememangnya tahu ketika ini Umno/Bn begitu fobia dengan pilihanraya. Apakah `bala' yang akan menanti di Dun Penanti belum diketahui, mana mungkin Umno/Bn berani untuk berdepan dengan satu lagi pilihanraya yang lebih besar. Kita tetap berharap walau apa jua yang berlaku selepas ini, rakyat Perak mesti bangun untuk menuntut hak mereka iaitu dengan memilih pemimpin mereka di dalam pilihanraya. Meskipun di war-warkan bahawa akan ada Persidangan Dun Perak yang bakal mengusulkan undi tidak percaya kepada YAB Nizar, tetapi semuanya itu taktik yang sudah basi dan mudah untuk dapat dibaca oleh rakyat Perak. Apa pun tindakan Umno/Bn selepas ini tidak akan menyekat rakyat Perak untuk berhadapan sekali lagi di dalam pilihanraya negeri. Tiada ubat lain yang lebih mujarab bagi memulihkan `penyakit kudis buta' demokrasi di Perak sekarang melainkan kembali kepada rakyat sebagai `bomoh'nya.
Walaupun Nizar menang di dalam kes di mahkamah ini, beliau memahami bahawa mahkamah bukanlah penentu sokongan rakyat di dalam memilih pemimpin mereka. Sehubungan itu, wajarlah Dun Perak dibubarkan walaupun mungkin menyebabkan ada di kalangan pemimpin Umno yang menggeletar kedua-dua lututnya. Sekali lagi duit rakyat bakal akan digunakan memulihkan demokrasi di Perak yang kebelakangan ini dikoyak rabakkan oleh mereka yang rakus kuasa itu. Kepada ketiga-tiga Adun Bebas yang melompat parti itu, mereka wajiblah bertanding sekali lagi kerana rakyat rindukan bahan kempen mereka. Tetapi atas nama parti apa pula mereka akan bertanding selepas ini? Atau sanggupkah Umno/Bn beri laluan kepada ketiga-tiga mereka? Senang cerita, eloklah mereka umumkan kemasukan mereka sebagai ahli Umno/Bn seberapa segera sebelum terlewat. Jika tidak, kita bimbang mereka umpama `pencacai malang' yang menjadi seperti pepatah `yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran'.
WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com
Nizar mempengerusikan 'meeting' exco tengah malam

11 May 2009 10:19PM
Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang disahkan sebagai Menteri Besar selepas 96 hari 'berehat' akan mempengerusikan mesyuarat Exco pertamanya pada pukul 11 malam ini.
Ia disahkan oleh Datuk Ngeh Khoo Ham yang merupakan Exco Kanan dalam kerajaan Pakatan Rakyat sehingga awal Februari lalu.
"Kami akan adakan mesyuarat Exco pukul 11 malam dan selepas itu kami akan adakan sidang media," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Mesyuarat itu turut disahkan oleh seorang lagi ADUN Pakatan, N. Sivanesan yang juga Exco sehingga Februari lalu.
Ngeh yang Pengerusi DAP Perak berkata, esok pihaknya akan mempersembahkan permohonan untuk menghadap Raja Muda Raja Nazrin.
"Esok, pagi kami cuma nak memohon untuk menghadap Tuanku bukan menghadap...media telah petik petang tadi," katanya.
Petang tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah. / ~~Sumber KLPOST- Mstar
Raja Nazrin setuju bertemu Nizar

12 May 2009 12:01AM
Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah bersetuju untuk menerima menghadap Menteri Besar Perak yang sah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
The Malaysian Insider melaporkan Mohammad Nizar akan menghadap Raja Dr. Nazrin pada 8.30 pagi Selasa bagi memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak sekaligus memberi laluan kepada pilihanraya kecil negeri diadakan.
Perkara ini disahkan oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Adun Sungkai S.A. Sivanesan.
"Saya baru bercakap dengan Nizar dan beliau mengesahkan akan menghadap Raja Dr. Nazrin pada 8.30 pagi esok (Selasa)", kata Sivanesan kepada The Malaysian Insider.
Mahkamah Tinggi petang Isnin memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Nizar telah kehilangan jawatan tersebut awal Februari berikutan krisis politik Perak.
Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir telah memohon agar menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara mahu mengemukakan rayuan.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mula membacakan kertas penghakiman bermula kira-kira 2.30 petang.
Nizar daripada Pakatan Rakyat memfailkan kesnya 13 Februari lalu supaya mahkamah mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.
Nizar, 52, dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac 2008 setelah pakatan DAP, Pas dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008.
Bagaimanapun pada 4 Februari lalu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak daripada Pakatan memutuskan untuk keluar daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong BN.
Tindakan itu menyebabkan BN secara automatik telah memiliki sokongan majoriti dalam DUN Perak.
Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Februari lalu.
Nizar dalam afidavitnya berkata, beliau masih Menteri Besar atas alasan tidak ada sebarang undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau juga tidak meletak jawatan.
Semasa prosiding Khamis lalu, peguam utama yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.
Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.
Ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.~~ Sumber KLPOST
Isnin, 11 Mei 2009
RAKYAT PENGUBAT LUKA DEMOKRASI DI PERAK

Seperti yang diberitakan oleh Siaran Astro Awani (Berita BERNAMA) sebentar tadi, YAB Ir Nizar pertamanya akan menggantung tugas Penasihat Undang-Undang Negeri Perak. Beliau juga akan mengadakan mesyuarat Exconya dan yang yang paling berani akan dilakukan oleh YAB Ir Nizar adalah untuk mengadap DYMM Sultan Perak bagi pembubaran Dun. Meskipun dari segi politiknya, usaha untuk pembubaran Dun amat-amat ditakuti oleh mana-mana pemerintah kerajaan kerana dikhuatiri akan kehilangan kuasa, namun YAB Ir Nizar bukanlah seorang yang gila kuasa. Apa yang penting baginya kini adalah kestabilan di Perak dan kepentingan rakyat harus didahulukan. Bukan sedikit risiko yang bakal diambil oleh beliau untuk membubarkan Dun, mungkin beliau akan kehilangan kuasanya yang baru dikembalikan semula kepadanya. Tetapi, jika itu yang rakyat Perak mahukan apakan daya.
Begitulah berakhirnya drama politik yang terlalu sadis ini dapat kita lihat. Angkara siapa yang menjadi puncanya biarlah rakyat Perak yang menghukumnya nanti di dalam Pilihanraya Negeri Perak yang bakal diadakan sekiranya mendapat perkenan sultan. Kita penuh yakin, DYMM Sultan Perak pasti turut merasa lega kerana beliau kini punyai pilihan dan alasan sendiri untuk memperkenankan pembubaran Dun. Biarlah demokrasi yang sudah luka parah di Perak ini diubati oleh rakyat Perak sendiri. Bukan Sultan mahu pun mahkamah yang berupaya mengubati luka-luka parah ini, tetapi rakyat Perak sendiri. Tahniah YAB Ir Nizar.
WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com
SEMPENA HARI IBU - BERTUAHNYA IBU BAPA INI!!

Malang sekali bagi ibu bapa Sipengkhianat yang belot terhadap kepercayaan rakyat yang inginkan pembelaan darinya. Hasil tangan Sipengkhianat-Sipengkhianat ini telah menjadi punca kepada semua permasalahan dan menyusahkan rakyat di Negeri Perak sekarang. Secara tidak langsung mereka telah berfungsi sebagai `batu api' pencetus konflik di antara rakyat dan Istana. Amat malang menjelang Hari Ibu hari ini, mereka gagal menyempurnakan hasrat ibu mereka untuk menjadi pembela rakyat. Mungkin, ada di antara mereka ini dapat memberikan limpahan kesenangan kepada ibu bapa mereka hasil dari `upahan' mencekik darah dan air mata rakyat. Bahagiakah ibu bapa mereka? Adakah sama seperti yang diperolehi oleh ibu bapa YB Sivakumar?
WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com
Ahad, 10 Mei 2009
PRK DUN PENANTI - JANGAN BEBANKAN DS ANWAR SEORANG
Keyataan Ketua Pemuda PAS, Salehuddin Ayub baru-baru ini yang menggesa DS Anwar turun ke kawasan Permatang Pauh dan juga Penanti agar mengembalikan semula keyakinan ahli-ahli PAS terutamanya terhadap PKR, merupakan satu kenyataan yang mengelirukan. Apakah Sallehuddin mahukan DS Anwar bekerja untuk meyakinkan ahli-ahli PAS di sana yang sebelum ini mahukan kerusi tersebut diberikan kepada calon PAS? Pada pandangan saya, sewajarnya Sallehuddin sendiri turut membantu turun ke Permatang Pauh dan selaku Ketua Pemuda beliau lebih hampir kepada ahli-ahli parti beliau untuk menerangkan mengapa PAS Pusat mengambil keputusan sedemikian (tidak meletakkan calon PAS). Tidak seharusnya beliau menyapu tangan dan semuanya ingin dipertanggungjawabkan kepada DS Anwar? Sememangnya menjadi tugas DS Anwar selaku Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR untuk turun berkempen di Permatang Pauh khususnya di Dun Penanti. Tetapi, mana mungkin DS Anwar dibebankan dengan tugas yang seharusnya boleh diselesaikan oleh Ketua Pemuda PAS itu sendiri? Apakah Sallehuddin beranggapan bahawa DS Anwar adalah menjadi punca mengapa hati ahli-ahli PAS di sana terluka?
Meletakkan segala tanggungjawab kepada DS Anwar adalah satu tindakan yang tidak harmonis yang dilakukan oleh Sallehuddin. Telah banyak bukti dapat dilihat betapa kerjasama erat dan mantap di antara semua pimpinan di dalam PR berjaya menjadikan Umno/Bn seperti nazak ketika ini. Suasana ini wajib dikekalkan untuk kebaikan bersama lebih-lebih lagi PAS yang dikatakan parti yang semakin diyakini umum sekarang. Saya mulai rasa bimbang sekiranya PR kalah di Dun Penanti, akan timbul berbagai kisah dan ungkit mengungkit di kalangan kita dan sudah pastinya DS Anwar akan dijadikan sasaran. Sedangkan kita sendiri tidak berbuat apa-apa untuk meyakinkan rakyat dan ahli parti kita untuk sama-sama menyokong calon pilihan bersama pimpinan kita.
Hari pengundian Pilihanraya Kecil Dun Penanti semakin hampir. Kita tidak banyak masa lagi untuk `berteori'. Masa sekarang adalah masa untuk bekerja dan meyakinkan rakyat betapa rakyat perlu memilih PR. Umno/Bn kini sudah terlalu lemah ditambah pula dengan isu yang berlaku di Perak. Pembebasan tahanan Akta ISA terutamanya yang melibatkan Adun Kota Alam Shah, YB Manoharan terbukti menunjukkan kekuatan PR. Umno/Bn kini tidak mampu untuk bangkit melawan kecuali jika kita sendiri memberikannya `tongkat' dan dipapah untuk mereka bangun kembali.
WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com
Ketua pemuda Kelantan: Anak Tok guru 'kantoi' 22 undi
SATU panggilan dan satu SMS masuk ke dalam telefon bimbit saya lewat petang ini memaklumkan yang anak Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Abduh kalah dalam pertandingan merebut jawatan ketua pemuda Pas Kelantan ditangan Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.Nik Abduh kalah dengan 22 undi. Beliau mendapat 56 undi manakala Latiff mendapat 78 undi. Terkejut pun ada, tidak terkejut pun ada dengan apa yang berlaku. Seperti mana saya sebut dalam Surat Merah, kedua mereka adalan adik-adik saya belaka. Jadi tidak elok kalau saya merasa suka atas kemenangan Latiff sebab saya juga kena rasa sedih dengan kekalahan Nik Abduh.
Tak mengapa, saya harap keduanya menerima hakikat begitulah adat perlawanan dan natijah demokrasi. Kepada Latiff diucapkan tahniah dan kepada Nik Abduh usah risau perjalanan perjuangan masih jauh. Kalau kita ikhlas, komited dengan jihad kita boleh memberi sumbangan kepada perjuangan meskipun tanpa jawatan. Sesuatu kena ingat saf pemuda Kelantan hampir separuh bersama Nik Abduh!
Kekalahan Nik Abduh saya sudah merasakan sejak dari pagi tadi memandangkan kepada sikap serba salah dan sikap terbuka ayahnya sendiri. Ayahnya boleh membantunya untuk menang, tetapi nampaknya ayahnya tidak mahu membantu anaknya takut dikatakan kroni. Atas sifat Mursyidul Am Pas, ayahnya boleh panggil Nik Abduh dan Latiff berkompromi, samada Latiff sebagai ketua atau Nik Abduh mengekalkan kedudukannya sebagai ketua. Tetapi malang apa yang boleh dilakukan itu tidak terbuat oleh ayahnya yang percaya kepada ketulusan demokrasi!
Kompromi bukan tidak pernah dibuat di Kelantan dan Tok Guru bukan tidak pernah menggunakan kuasa vetonya. Semasa Mohammad Sabu menang sebagai YDP Kubang Kerian melawan Mohammad Iraq, Tok Guru boleh minta Mat Sabu letak jawatan dan beri laluan kepada Mohammad Iraq wahal pemilihan Mat Sabu itu dibuat dalam mesyuarat. Dan bila Tok Guru tidak bersedia berbuat demikian terhadap anaknya apakah pada ukurannya, Nik Abduh dan Latiff sama hebat ilmu dan politiknya?
Manakala menurut seorang penjenguk blog Merah Tinta dalam emailnya kepada saya dia merasakan kekalahan Nik Abduh sejak petang semalam lagi. Kata penjenguk itu kebetulan petang semalam dia berada di Pantai Cahaya Bulan (PCB), membawa anak-anaknya bercuti. Dia ternampak Latiff dan beberapa orang sedang menanti seseorang.
Ceritanya, sekejap kemudian Zaki Ibrahim (bekas ketua pemuda Kelantan) datang dan bergabung dengan kumpulan Latiff. Katanya dia ingin meninjau dewan tempat bersidang. Kata penjenguk itu dia hairan dan tertanya-tanya kenapa Nik Abduh sebagai timbalan ketua tidak ada. Sepatutnya Nik Abduh turut tinjau sama.
"Melihat suasana itu saya sudah merasakan yang Nik Abduh akan kalah," kata penjenguk itu melaporkan apa yang beliau saksikan. Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian di sini apakah Latiff dan Zaki bersekongkol atau sebaliknya. Namun apa yang saya tahu keduanya adalah orang Husam Musa.
Seperti saya kata tadi, tidak kisah siapa yang diberikan amanah untuk memimpin barisan Pemuda Kelantan. Yang penting mereka yang menerima amanah itu dapat memikulnya sebaik mungkin untuk kebaikan Pas Kelantan dan sebagai kesinambungan kepimpinan lampau.
Dan paling saya harapkan semoga kejernihan akan bertaut balik selepas ini. Jadikan pertandingan itu sebagai biduk lalu kiambang bertaut. Hendaknya Latiff tidak akan membiarkan begitu sahaja Nik Abduh, masih ada guna tenaga dan buah fikirannya untuk perjuangan Pas.
Apa yang saya nak ulaskan mengenai pertandingan Latiff dengan Nik Abduh itu, saya melihat ia membawa signifiken tertentu. Ia bukan pertandingan biasa sebenarnya. Perlawanan itu ada ujian kepada masa depan politik Kelantan dan juga kepimpinan dalam Pas hari ini.
Katakan bahawa Latiff adalah proksi kepada Husam Musa yang akan membawa perubahan dan kepimpinan bentuk baru yang sedang digilai kini. Maksudnya yang tidak ekstrem, fanatik dan berwajah ulamak berserebeh dengan janggut panjang yang sering ditunding kepada Nik Abduh. Latiff tidak berjanggut sepanjang Nik Abduh. Husam pula janggut tidak sepanjang janggut Tok Guru. Manakala Zaki Ibrahim pula langsung tidak berjanggut.
Manakala, katakan pula Nik Abduh adalah proksi ayahnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kebetulan, Nik Aziz ada janggut dan anaknya juga ada janggut. Timbalan ketua pemuda Ahmad Baihaki Atiqullah juga ada janggut. Mungkin mereka satu kem!
Kalaulah andaian saya ini benar bermakna kumpulan tak berjanggut panjang menang di Kelantan. Kemenangan Latiff yang tidak ada janggut itu membawa makna dan erti besar kepada kumpulan itu di Kelantan yang diketuai oleh Husam. Saya yakin Husam tentu gembira dan berpuas hati dengan anak didiknya itu kerana berjaya menyingkirkan si berjanggut Nik Abduh.
Kemenangan Latiff dengan 22 undi itu memberi isyarat juga kepada kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang berjanggut. Bahawa kepimpinan muda hari ini sudah tidak mahukan kepada orang berjanggut lagi. Kerana Nik Abduh adalah anak Nik Aziz ini bermakna separuh pemuda Kelantan tidak mahu lagi kepada orang berjanggut termasuk kepada Nik Aziz sendiri.
Mungkin bagi Tok Guru sendiri beliau tidak faham dengan perkembangan ini. Dengan jatuh anaknya itu permainan dalaman sudah pun bermula. Signal kepada beliau juga sudah pun bermula. Sekiranya isyarat awal ini tidak diawasi ia bakal memberi bahana kepada kumpulan berjanggut panjang.
Janganlah Tok Guru merasa sedih kalau di masa depan kumpulan anak muda ini akan membuat berbagai telatah termasuk menggesanya agar berundur. Atas alasan janggut panjang tidak diperlukan lagi ataupun kerana sudah terlalu lama, maka mereka akan terang-terang akan meminta agar si janggut pendek menggantinya.
Apapun ini adalah ilusi dan andaian saya saja. Hendaknya semuanya tidak betul dan tidak akan terjadi. Janggut pendek dan janggut panjang akan terus saling hormat menghormati antara satu sama lain. ~~ Sumber MSO


