JUMLAH undi yang datang mengundi dengan jumlah undi yang diperolehi dikhabarkan menimbulkan keraguan di PRK Teluk Intan. Apa pun, SPR telah umumkan bahawa calon Bn, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong hanya mampu memperolehi majoriti 238 menewaskan gadis muda, calon DAP iaitu Dyana Sofya.
Peratusan yang keluar mengundi amat mengecewakan, dan sememangnya di dalam PRK sekiranya peratusan keluar mengundi terlalu kecil ianya lebih memihak kepada Bn. Amat sukar untuk menang menentang Bn dengan segala jentera kerajaan termasuk media perdana yang mereka gunakan apabila yang keluar mengundi peratusannya tidak mencecah 80%. Di PRK Teluk Intan semalam, hanya 66.5% sahaja yang keluar mengundi.
BN memenangi PRK Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 238 undi, apabila calonnya, Datuk Mah Siew Keong mendapat 20,157 undi manakala Dyana mendapat 19,919 undi. Untuk menewaskan anak gadis ini saja, Najib terpaksa tawarkan jawatan Menteri kepada Presiden Gerakan itu sekiranya beliau menang. Maka dengan majoriti setipis itu, Datuk Mah menang.
Sengit saingan yang diberi oleh Dyana. Beliau memaksa TPM turun dengan bala tentera dari Putrajaya. Umpan peruntukan jutaan ringgit ditawarkan sehingga ingin mewujudkan Universiti. Ini membuktikan Dyana berjaya gugat Bn.
Sikap tidak ambil berat untuk pulang mengundi dari pengundi-pengundi luar ternyata memberi kesan. Mungkin 'aura' Dyana yang jauh lebih hebat dari calon Bn membuatkan ramai pengundi luar yang penuh yakin bahawa anak gadis ini akan menang mudah. Satu pengajaran untuk masa akan datang. Dikatakan terdapat krisis dalaman DAP turut menjejaskan keputusan untuk Dyana. Walaupun krisis itu tidak serius, tetapi melihat kepada keputusan dan majoriti yang diperolehi sedikit sebanyak ada kesannya krisis dalaman ini.
Bagaimana dengan kontroversi jumlah undi yang dikatakan meragukan itu? Kita harap pakar-pakar kita akan mengkaji keputusan ini sebaik mungkin.



