BERUNTUNGKAH jika PH bersama parti Tun Mahathir yang sinonim disebut BERSATU itu? Sehingga kini BERSATU masih belum diterima menjadi komponen di dalam PH walaupun BERSATU telah menyatakan hasrat untuk berganding bahu bersama PH di dalam menjatuhkan rejim Umno/Bn. BERSATU sama seperti PSM yang masih tidak bersama PH tetapi mempunyai nawaitu yang sama.
Samada BERSATU berada di dalam PH atau tidak, itu tidak penting. Apa yang penting adakah BERSATU mahu menjatuhkan Najib, Umno/Bn? Jawapannya adalah Ya. Berbeza dengan Pas yang masih belum jelas apakah Pas mahu Najib jatuh sekarang ini atau Pas hanya mahu tunggu PRU14? Menunggu PRU14 adalah pilihan terakhir, tetapi berusaha dan berikhtiar untuk menjatuhkan Najib sekarang wajib dilakukan kerana kemudharatannya selaku PM tdak boleh dibiarkan walaupun untuk tempoh 1 hari lagi apatah lagi untuk dua tahun lagi.
Bagi Keadilan, Dap, Amanah dan BERSATU, kerja untuk menjatuhkan Najib harus bermula sekarang. Lemahkan rejim Umno/Bn wajib bermula dengan gugurkan Najib. Itu pilihan utama. Jika gagal sekarang, kita ada peluang lagi pada PRU14. Jika berjaya sekarang, itu bonus. Rakyat tidak boleh terima mana-mana parti yang hanya menupang dagu sahaja menunggu PRU14 sedangkan rakyat di dalam keadaan tertekan dengan kehidupan yang semakin menyesakkan nafas.
BERSATU akan menguntungkan PH. Jika Pas menjauhkan diri dari PH, BERSATU adalah parti yang boleh mengisi kekosongan Pas. Jika selama ini Pas mendakwa parti itu mahu menarik ahli dari mereka yang tidak suka kepada Najib, tetapi tidak mahu bersama PH, mereka boleh berada bersama Pas, tetapi dengan kehadiran BERSATU, sudah tentu menyukarkan Pas untuk menarik sokongan dari rakyat. Sekarang pun sudah jelas, BERSATU kini semakin giat mendaftarkan ahli-ahli mereka.
BERSATU akan mengisi Kerusi-Kerusi yang tidak mungkin dimenangi oleh wakil parti dari PH. BERSATU dilihat berupaya mengisi banyak Kerusi Parlimen di kawasan yang mempunyai kekuatan Umno/Bn. Program BERSATU yang kini menjelajah dari satu negeri ke satu negeri terutama di kawasan pendalaman amat membantu PH. Undi kepada Umno/Bn akan dipecahkan. Memecahkan undi Umno/Bn adalah usaha kita bertahun-tahun lamanya. Amat bodoh sekiranya PH tidak meraikan usaha BERSATU ini.








