RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Isnin, 11 Oktober 2010

PEMILIHAN PKR - TERGUGATKAH AZMIN DENGAN KEHADIRAN TAN SRI KHALID ?

Justify FullOleh: WFAUZDIN NS

TERLEBIH dahulu saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid Ibrahim yang berani membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR. Pengumuman beliau itu patut kita lihat secara positif walaupun beliau mungkin dianggap terlalu awal untuk menduduki kerusi berkenaan namun Dato Zaid dilihat lebih `muda' dari Tan Sri Khalid di dalam PKR. Dato Zaid juga ingin bertanding jawatan yang sama. Tidak menjadi masalah besar kerana ini suatu bukti menunjukkan PKR sentiasa mengamalkan demokrasi yang lebih baik dari Umno.

Beberapa alasan yang diberikan oleh Tan Sri Khalid yang merasakan wajar beliau bertanding jawatan tersebut bolehlah kita terima sebagai alasan yang munasabah. Lebih wajar lagi untuk beliau mencuba nasib di kerusi nombor dua itu adalah kerana kedudukan Tan Sri Khalid sekarang sebagai MB Selangor. Beliau juga dilihat tidak `rakus' berkempen dan tidak pernah `mengusik' sesiapa apatah lagi memburukkan kepimpinan parti. Beliau seorang yang tegas, berkarisma dan tidak mudah untuk di`provokasi'kan oleh musuh luar dan dalam parti. Semangat setiakawan Tan Sri Khalid amat disenangi oleh ahli-ahli PKR termasuk pemimpin parti.

Jika ada pun sesiapa yang ingin mencari sebab untuk tidak menyokong beliau hanyalah kerana Tan Sri Khalid terlalu bersifat `profesional' dan tidak mempunyai kepintaran politik. Walaupun Tan Sri Khalid tidak sebaik YB Azmin di dalam kehebatan berpidato, tetapi kecekapannya menguruskan Negeri Selangor mungkin lebih baik dari YB Azmin sekiranya MP Gombak itu menjadi MB Selangor. Itulah hebatnya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimana pula dengan Dato Zaid Ibrahim? Bagaimana dengan janji beliau yang tidak akan bertanding kerusi Timbalan Presiden PKR sekiranya Tan Sri Khalid bertanding jawatan yang sama? Apakah Dato Zaid sudah bersedia untuk menunaikan janjinya? Bagaimana pula dengan janji terbaru Dato Zaid, bahawa beliau sanggup menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR sekiranya YB Nurul Izzah juga bertanding jawatan yang sama? Mana satu pilihan Dato Zaid sekarang? Kita percaya Dato Zaid tidak akan memungkiri janji-janji beliau lagi.

Adakah YB Azmin tergugat dengan keputusan Tan Sri Khalid ini? Sudah tentu keputusan Tan Sri Khalid sedikit sebanyak akan membuatkan YB Azmin lebih perlu bekerja kuat untuk meyakinkan ahli-ahli PKR. Pertandingan ini tentunya akan menjadi lebih hebat dan meriah sekiranya YB Nurul Izzah juga memasuki gelanggang. Sdr Mustafa Kamil Ayub juga mempunyai peluang yang agak besar sama seperti Tan Sri Khalid. Pada saya, YB Nurul Izzah harus berfikir banyak kali untuk mencuba nasib di peringkat ini.

Saya tetap yakin, menaruh harapan bahawa YB Azmin akan dipilih untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Komitmen beliau terhadap parti, berkarisma serta mempunyai kelebihan berkomunikasi yang hebat menjadi salah satu faktor mengapa YB Azmin perlu diangkat menduduki kerusi nombor dua di dalam PKR itu.

Namun, seandainya beliau tewas tidak ralat atau rugi rasanya jika Sdr Mustafa Kamil Ayub mahu pun Tan Sri Khalid dinobatkan sebagai Timbalan Presiden PKR. Calon yang lain daripada itu sukar untuk saya lihat kehebatan dan kelebihannya. Namun, semuanya atas pilihan ahli-ahli PKR sendiri./wfauzdin.blogspot.com

Ahad, 10 Oktober 2010

PRK DUN GALAS - SI MAT MASLAN BAKAL `MENYUMPIT' PULA

Di Manek Urai, Si Mat Maslan menoreh, Di Galas mungkinkah Si Mat Maslan menyumpit pula?

Oleh: WFAUZDIN NS


SAMADA kebetulan atau tidak dengan PRK Dun Galas, kerajaan telah umumkan peruntukan RM 200 juta untuk kemudahan bekalan air bagi orang Asli. Pengumuman tersebut dibuat di Gua Musang iaitu kawasan di mana terletaknya Dun Galas yang akan mengadakan Pilihanraya Kecil di situ. Gua Musang adalah satu daerah yang terdapat ramainya masyarakat orang Asli.

"Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Nisra Nisran Asra Ramlan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada Kelantan, membabitkan 50 kampung yang dihuni masyarakat Orang Asli." (Sinar) Teringat kita dialog yang popular sewaktu PRK Parlimen Sibu iaitu," I Help U, U Help Me". Mungkin ini bukan rasuah politik tetapi `kebetulan' kerajaan ingin beri peruntukan tersebut. Memang sepanjang pemerintahan Bn, banyak yang `kebetulan' berlaku, sebab itu SPRM tidak mampu buat apa-apa apatah lagi SPR.

Walau bagaimanapun, peruntukan yang diumum disaat begini tentulah memalukan Ahli Parlimen Gua Musang, Ku Li yang baru sahaja bersetuju untuk menjadi Pengarah Pilihanraya bagi Umno di PRK Dun Galas. Ini bermakna Ku Li yang telah menjadi Ahli Parlimen sekian lama di Gua Musang masih gagal menguruskan hal air terutamanya kepada masyarakat orang Asli.

Tidak hairan sekiranya sewaktu kempen PRK Dun Galas nanti akan ada beberapa pemimpin Umno yang akan belajar cara `menyumpit' atau `menari tarian orang Asli'. Jika di Manek Urai dahulu, kita dapat melihat Si Mat Maslan menoreh getah, kali ini adakah si Mat Maslan akan menyumpit pula? Tentu banyak adegan atau drama yang bakal kita lihat nanti./wfauzdin.blogspot.com

KISAH DUA `ARWAH' - RAHIMI DAN SAIFUL

Rahimi Jadi 'C4' Untuk Ranapkan Anwar Selepas Saiful Gagal

KUALA LUMPUR 9 OKT: Rahimi Osman menjadi sandaran utama untuk melakukan pemusnahan karektor terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Saiful Bukhari Azlan gagal menyakinkan rakyat melalui kes mahkamah konspirasi kedua.

“Kalau Saiful Bukhari gagal dijadikan peluru hidup untuk membunuh (karektor) Anwar, Rahimi dengan apa cara sekalipun mesti dijadikan bom jangka C4 untuk membunuh karaktor Anwar,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mustaffa Kamil Ayub, hari ini.

Rabu lalu, Rahimi mendakwa dipaksa pemimpin dan peguam PKR untuk menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008 untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes melibatkan Anwar.

Bagaimanapun, tindakan Rahimi itu menimbulkan banyak menimbulkan keraguan berikutan ia seakan-akan mengulangi skrip yang berlaku kepada P Balasubramaniam yang menukar akuan bersumpah pertama kepada kedua, sebelum penyiasat persendirian itu kemudian mengakui akuan bersumpah pertama yang mengaitkan Najib dan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya Sharibuu sebagai sahih.

Dalam kenyataan media, Mustaffa yang juga Pengerusi PKR Perak mengingatkan pimpinan dan rakyat betapa konspirasi terbaru melibatkan Rahimi tidak patut dipandang remeh.

Menyifatkan pimpinan Umno sebagai licik hingga PKR tidak sempat menghidu rancangan itu, beliau sangat yakin penyokong Najib-Rosmah akan menuduh parti ini tidak bermaruah dan bermasalah.

“Saya sangat yakin orang-orang Najib mahu rakyat melihat parti ini sudah didalangi dalang-dalang politik busuk yang bermasalah.Angkat Politik Nilai, tolak dalang politik busuk seperti ‘arwah’ Rahimi dan ‘arwah’ Saiful Bukhari!

“Saya sangat yakin Najib dan Rosmah terlibat dalam konspirasi ini,” katanya.

Mustaffa yakin kenyataan Rahimi menuduh dua peguam, Latheefa dan Saiful Izham Ramli memaksanya menamakan Najib-Rosmah dalam akuan bersumpah keduanya itu semata-mata untuk melindungi kepentingan dua individu itu.

“Rakyat dan anggota parti mahu diperbodohkan lagi dengan memadamkan nama kedua-dua peribadi misteri ini. Tidakkah kita hairan Rahimi boleh menafikan akuan bersumpahnya selepas dua setengah tahun beliau membuat akuan itu?

“Tidakkah kita hairan, mengapa Rahimi beriya-iya memadamkan nama Najib-Rosmah tetapi mereka berdiam diri dan sangat defensif walhal Rahimi bermati-matian cuba memadamkan nama mereka dalam akuan bersumpahnya.

Beliau mendakwa mereka mahu Ketua Umum PKR itu palang penjara dengan apa cara sekalipun kerana Umno sendiri menyakini bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkeupayaan membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya./TVSelangor

SELEPAS AZMIN, PENYOKONG SETIA BELIAU KETUA WANITA PKR PULA KENA.....

Dalam pemilihan Naib Presiden, keadaan sekarang macam Summerslam. Ramai sangat yang nak ajdi Naib Presiden, tapi dalam pandangan aku…hanya beberapa orang saja yang mempunyai kaliber untuk jadi Naib Presiden. Yang lainnya…saja nak menyemak. dan yang lebih leceh lagi, ada diantara Calon Naib Presiden ini syok sendiri.

Semalam, Dolah Sani buat perjumpaan dengan ahli PKR Kuala Kangsar dan Sg. Siput untuk berkempen supaya menyokongnya sebagai Calon Naib Presiden. Cara dia berkempen pun sudah memualkan. Kalau macam inilah orang yang akan menjadi Naib Presiden PKR…buat malu saja. Dolah Sani berkempen macam nak lawan Umno. Dan dia pun buat macam Umno. Kempennya bukan hendak menerangkan visi dan misinya, tapi memfitnah orang lain.

Dollah Sani kata, Cabang Ipoh Timor dan Ipoh Barat dapat lima ribu sorang dari Zaid. Betul atau tidak, aku tak tau…tapi kedua-dua Cabang ini mencalonkan Mustaffa Kamil. Dalam perjumpaan itu juga, aku diberitau, Chegu Bard mendapat RM400,000 dari Zaid. Fuiyoo!! Kalau macam tu, pemilihan lagi sekali aku gerenti nak bertanding. Boleh buat duit ooo!!

Cerita orang tu bagi duit, orang ni bagi duit…semakin memualkan. Hari tu, Ketua Wanita Perak marah kat aku pasai aku bocorkan cerita dia dalam mesyuarat. Dia kata semua Cabang dapat lima ribu dari Zaid. Bila aku tulis dalam blog, dia kata dia cuma menyampaikan apa yang diceritakan oleh Zuraidah. Zuraidah pun dua kali lima macam Dolah Sani. Cerita la macam mana nak memberdayakan Wanita PKR. Ni dok cerita pasai orang tu bgai duit, orang ni bagi duit. Tapi nak kata apa…itulah standard Ketua Wanita PKR.

Semasa aku bercuti lima hari dari menulis, aku jenguk juga pejabat PKR kat Tropicana. Kat situ aku jumpa seorang Wanita PKR Pusat. Dia marah kat aku sebab aku promote Animah Ferrar untuk melawan Zuraidah sebagai Ketua Wanita. Astaghfirullahilazim!!! bila masa aku sebut Animah Ferrar??

Boleh check balik dalam semua posting yang aku buat…aku tak pernah sebut nama Animah Ferrar. Yang pernah aku sebut mungkin Team Ferrari.

Walaubagaimanapun, sapa nak lawan pun mampuih pi la. Tunggu malam esok atau hari Isnin. Lepas tu baru aku sambung Dream Team aku./Keseluruhan artikel baca di ureka.asia

JIKA TIDAK MAHU DIGELAR `PRIMITIF', MCA MESTI KELUAR DARI BN

Oleh: WFAUZDIN NS

PEMUDA MCA semalam di dalam kenyataannya yang disiarkan di Malaysiakini menyeru agar Bn atau kerajaan menjauhi `kumpulan/lelaki primitif' iaitu kumpulan yang sentiasa mencetuskan isu perkauman. Siapakah yang dimaksudkan oleh Pemuda MCA sebagai `primitif' itu? Sudah pasti bukan datangnya dari PR, dan tidak mustahil datangnya dari Umno atau Perkasa.

Terlalu banyak bukti menunjukkan Umno dan Perkasa boleh dikategorikan sebagai `primitif' jika mengikut gelaran yang diberikan oleh Pemuda MCA tersebut. Malah, terdapat `lelaki primitif' yang pernah digantung keahlian dan jawatannya di dalam parti Umno, kemudiannya diberi `pengampunan' seterusnya diberi 'selendang wira Melayu'. Pemuda MCA harus sedar perkara ini dan harus belajar darinya.

Justeru itu, Pemuda MCA hendaklah memberi tekanan atau nasihat kepada MCA Pusat agar memikirkan kembali untuk terus bersama Bn. Sehingga kini, isu perkauman malahan isu agama dipermainkan demi survival politik sekutu mereka. Keputusan Umno mulanya untuk menjauhi Perkasa akhirnya tidak dilaksanakan. Presiden Umno sendiri merasakan bahawa Umno tidak boleh meninggalkan Perkasa begitu sahaja disaat Umno kini `nazak'. Isu Kerajaan Negeri P.Pinang di bawah Lim Guan Eng yang ikhlas ingin membantu warga tua yang terdiri di kalangan orang Melayu di P.Pinang dimainkan sebagai isu perkauman dan agama. Maka, sijahil pun bertambah jahil disebabkan oleh mainan politik Umno.

Tiada jalan lain lagi buat MCA jika tidak mahu dikatakan bersekongkol dengan golongan `primitif' ini. MCA termasuk sekutunya dari Gerakan dan MIC haruslah berfikir dengan serius untuk keluar dari Bn dan bersama di dalam PR yang telah terbukti dapat memberikan keadilan kepada semua kaum dan agama. Seandainya mereka masih ingin bersama Umno di dalam Bn, ini bermakna mereka turut terlibat di dalam kumpulan `primitif' ini./wfauzdin.blogspot.com

MEDIA LAGAKAN AZMIN - NURUL IZZAH, ZAID TETAP TIDAK SETUJU BOIKOT MEDIA

Manipulasi Fakta, 'Pelacuran' Media Makin Keterlaluan

SHAH ALAM 9 OKT: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail mendapati media arus perdana semakin keterlaluan dalam memanipulasi kenyataan dan memutar belit fakta bagi memburuk-burukkan imej pimpinan Pakatan Rakyat di mata masyarakat.

Secara sinis, Azan ketika bercakap kepada TV Selangor, berkata media sedemikian yang senantiasa dikawal kerajaan sudah mencapai tahap maksimum dalam memanipulasi dan memutar belit kenyataan pemimpin pembangkang

"Saya rasa media kerajaan sudah sampai ke tahap yang orang kata maksimum. Cara manipulasi berita sampai ke tahap maksimum. Selepas ini tiada lagi kaedah untuk tahap manipulasi yang lebih tinggi," kata beliau ketika ditemui TV Selangor hari ini.

Akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian dan saluran TV arus perdana seperti RTM, TV3 dan Astro Awani saban minggu cuba menerbitkan laporan yang menimbulkan kemarahan kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Terbaru, calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menjadi mangsa apabila kenyataannya diputar belit portal MStar yang cuba melaga-lagakan beliau dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Bagi Azan, beliau langsung tidak hairan kerana bagi beliau inilah cara kerja media arus perdana yang secara terang-terangan melanggar prinsip media dan etika kewartawanan.

"Ini kerja mereka, tak pernah berubah. Sehingga beberapa isu yang sepatutnya dilihat mengutamakan nilai kewartawanan itu sendiri sudahpun digadai."

"Tugas induk dia, iaitu menjatuhkan pembangkang ataupun menghina dan mengaibkan seseiapa saja yang menentang kerajaan dan Barisan Nasional,” katanya.

Azan turut membuat taakulan bahawa media arus perdana akan terus meningkatkan 'serangan' sempena pilihan raya kecil DUN Galas tidak lama lagi.

"Mereka dah lama lacurkan entiti dan etika kewartawanan dan media.

"Kita lihat beberapa hari lagi tentang insiden atau calon pilihan raya kecil Galas, dan mereka akan guna semua kekuatan media sebaik mungkin,” katanya lagi./TVSelangor

KES BUNUH DAN DIBAKAR BELUM SELESAI, POLIS MASIH `RAJIN' IKUTI CERAMAH PR

Sungguh memalukan apabila kami mendapat berita yang Majlis Jamuan Hari Raya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor yang diadakan di Kg.Ayer Manis Kulai telah diganggu oleh pihak polis dua hari lalu (8 Okt). Ia sesuatu yang tidak wajar berlaku sebenarnya.

Apakah UMNO Johor sudah terlalu takut dan sanggup mengarahkan pihak polis untuk menggempur sebuah majlis jamuan hari raya parti politik?. Biarpun pihak polis yang melakukan kekasaran itu, namun hakikatnya rakyat lebih tahu yang mereka melaksanakan tugas mengikut arahan puak-puak UMNO Johor itu sendiri sebenarnya. Mahu dinafikan pun tidak berguna, kerana Johor adalam "Lubuk UMNO" yang kononnya terlalu sukar untuk ditembusi oleh parti pembangkang di negara ini. Tambahan pula UMNO itu sendiri lahirnya di negeri Onn Jaafar itu.

Makanya, ketakutan yang amat sangat menyebabkan UMNO Johor terpaksa menggempur majlis anjuran PKR itu. Difahamkan pasukan polis yang diketuai oleh OCPD Zul dari Balai Polis Kulaijaya telah mematahkan mikrofon ketika Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng , sedang berucap dihadapan lebih 400 orang hadirin. Tindakan tersebut menyebabkan Chua Jui Meng terpaksa berucap tanpa menggunakan microfon. Walau pun sudah mematahkan microfon, pihak polis masih terus berada disitu termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Difahamkan antara pemimpin PKR pusat yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden, Azmin Ali dan Ketua Wanita, YB Zuraida Kamaruddin




Orang ramai panik lihat polis tergamak gempur majlis jamuan hari raya

[Nampaknya UMNO Johor semakin gentar untuk berlawan secara "anak jantan" dengan Pakatan Rakyat di negeri itu sekarang ini. Tindakan mengarahkan pihak polis menggempur Majlis Jamuan Hari Raya adalah satu tindakan biadap bagi manusia yang tidak bertamadun. Apakah ini yang dikatakan demokrasi yang diamalkan di Malaysia ini agaknya. Ternyata, mereka sudah terlalu takut untuk melihat satu persatu kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya umum akan datang. Apapun, syabas dan tahniah kepada PKR Johor yang telah berjaya mencipta sejarah yang amat menarik untuk diperkatakan oleh rakyat Malaysia ini. Semoga dengan ini, rakyat Johor yang selama ini karat UMNO akan membuka mata dan hati mereka untuk membuat perubahan dalam PRU-13 nanti. Jika inilah sikap mereka, ternyata mereka tidak layak untuk berkuasa lagi sebenarnya]./Pahang Daily

Sabtu, 9 Oktober 2010

PRK DUN GALAS - JIKA SAYANGKAN KU LI, UNDILAH PAS

Oleh: WFAUZDIN NS

AKHIRNYA Ku Li menerima tawaran pimpinan Umno untuk menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas. Meskipun PAS seboleh-bolehnya tidak mahu berhadapan dengan Ku Li bukan kerana takut, tetapi ingin menjaga hati Ku Li yang tidak kurang jasanya kepada Kerajaan Negeri Kelantan khususnya di dalam isu royalti minyak. Tetapi, takdir telah menentukan bahawa PAS tetap akan berdepan dengan Umno yang akan diterajui oleh Ku Li di Dun Galas.

Di dalam situasi begini, PAS mungkin berada di dalam dilema kerana PAS amat menyanjungi Ku Li biarpun berada di dalam parti yang berlainan. PAS juga mungkin faham, Ku Li juga turut berada di dalam keadaan dilema kerana pimpinan parti telah menyerahkan amanah dan tanggungjawab itu kepada beliau. Akhirnya, prinsip serta dasar perjuangan akan menjadi faktor utama mengapa PAS mesti melawan Umno habis-habisan kerana PAS tidak mungkin akan `membantu' Ku Li dan membiarkan keseluruhan rakyat Kelantan teraniaya.

Demi tanggungjawab kepada rakyat, PAS mesti terus mara ke medan perjuangan. Kita sedar bahawa Umno punyai `niat tertentu' mengapa parti tersebut meletakkan Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas. Bukankah sebelum ini amanah tersebut kebiasaannya dipikul oleh Timbalan Presiden Umno (TPM) malahan juga Presiden Umno (PM) sendiri? Sudah tentu ada yang mahu dilihat oleh Najib dan Muhyiddin apa yang bakal terjadi kepada Ku Li nanti. Hakikatnya, Najib dan Muhyiddin tidak lagi mahu dimalukan seperti sebelum ini. Mungkin kali ini giliran Ku Li pula?

Umno kini sudah bersedia dengan alasannya tidak kira Umno menang atau kalah. Jika Umno menang (Na'uzubillah), maka Umno akan berkata, lihatlah, rakyat kini mula menerima Umno dan menolak PAS/PR. Tetapi sebaliknya, jika Umno tersungkur dan dikapankan lagi maka pemimpin Umno akan menuding jari kepada Ku Li dan menyebut betapa Ku Li tidak layak memimpin Umno sedangkan di Gua Musang sebagai kawasannya pun Ku Li boleh tewas. Maka, seandainya Ku Li mencuba nasib bertanding sekali lagi sebagai Presiden Umno di masa akan datang akan dinilai oleh ahli-ahli Umno sebagai pemimpin yang gagal.

Najib, terutama sekali Muhyiddin sudah tentu tidak mahu melihat Ku Li `come back' ke dalam hiraki kepimpinan Umno. Salah satu kaedah yang `paling lembut' untuk melihat Ku Li di`kubur'kan di arena politik Umno adalah dengan `membunuh' kerjayanya di Dun Galas, kemudiannya diluaskan pula di Parlimen Gua Musang. Mungkin Ku Li sudah tahu mainan politik ini, dan tidak mustahil Ku Li juga ada `strategi' tersendiri untuk bermain dengan mereka ini.

Apa yang dikhuatirkan, sekiranya Umno tewas lagi kali ini, akan timbul pula tuduhan Ku Li menjadi punca dan `mensabotaj' parti sendiri. Sebab itulah PAS seboleh-bolehnya tidak mahu Ku Li menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil di Dun Galas, lebih-lebih lagi sebagai calon Umno. PAS tidak sanggup melihat Ku Li terus di `gurkha'kan oleh Umno./wfauzdin.blogspot.com

MENGAPA DATO ZAID DISERANG, TIDAK MUSTAFA KAMIL ?

Justify FullOleh: WFAUZDIN NS

MENGAPA Dato Zaid Ibrahim dikatakan hebat `diserang' oleh YB Azmin malahan kununnya YB Azmin mendapat `perlindungan' daripada media Keadilan seperti Suara Keadilan dan juga TV Selangor? Tidak pula kita bertanya mengapa Dato Zaid lebih hebat `menyerang' kepimpinan parti tanpa menunjukkan rasa hormat beliau yang baru `dua hari' menyertai PKR? Ini semua patut difikirkan.

Kemunculan Dato Zaid di dalam PKR sememangnya amat dialu-alukan kerana beliau seorang tokoh berpengalaman dan dilihat berprinsip apabila menolak Akta zalim ISA yang diteruskan oleh rejim Umno. Sehubungan itu, pencalonan Dato Zaid sebagai calon PKR di dalam PRK Parlimen Hulu Selangor yang lalu disambut meriah oleh semua penyokong parti termasuk rakan-rakan di dalam PR, walaupun sebelum itu terdapat suara-suara yang mempersoalkan wajarkah Dato Zaid dicalonkan memandangkan beliau masih `mentah' di dalam PKR. Namun, parti lebih tahu menilai Dato Zaid dan kita semua patuh arahan parti.

Menjelang pemilihan kepimpinan di dalam PKR, Dato Zaid menarik balik pendiriannya sebelum ini untuk tidak merebut sebarang jawatan tertinggi di dalam parti. Kita masih tidak mempersoalkan prinsip beliau kerana amalan demokrasi yang diamalkan oleh PKR. Dato Zaid seterusnya memberikan syarat beliau tidak akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR sekiranya MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim turut bertanding jawatan yang sama. Kita berfikir mungkin itu adalah prinsip terbaru beliau. Dan, terbaru pula Dato Zaid meletakkan `syarat' bahawa beliau sanggup tidak bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR sekiranya YB Nurul Izzah bertanding jawatan yang sama. Adakah ini pendirian terbaru dan terakhir beliau?

Pertikaian di sini bukan masalah beliau ingin bertanding merebut jawatan atau tidak. PKR adalah parti yang menuju cita-cita untuk mewujudkan demokrasi sebaik mungkin walaupun belum berada di tahap terbaiknya. Tetapi, Dato Zaid tidak boleh mempergunakan alasan demokrasi sesuka hatinya sehingga melanggar batas-batas adab dan kesopanan. Kenyataan Dato Zaid yang banyak dilihat memperlekehkan kepimpinan parti sehingga ke tahap `menyanyu' (nyanyuk?) Timbalan Presiden parti bukan suatu amalan yang baik di dalam demokrasi. Setiap ahli tentunya ada disiplin yang wajib dipatuhi.

Mengapa Dato Zaid di`serang'? Jawapannya mudah, ia adalah kerana Dato Zaid tidak boleh dibenarkan terus melakukan sesuka hatinya di dalam parti yang baru disertainya. Menjadi tanggungjawab pemimpin dan media parti untuk memberitahu Dato Zaid bahawa beliau tidak harus bersikap seperti `Umno'. Apabila arahan parti agar pemimpin memboikot akhbar Utusan terutamanya, apa jawapan Dato Zaid? "Saya tidak peduli". Katanya. Dato Zaid juga pernah mengeluh betapa tidak bagusnya jika calon yang bertanding membentuk regu atau mana-mana Wakil Rakyat/MP menyuarakan sokongan terbuka kepada mana-mana calon. Mungkin beliau merujuk kepada sekumpulan MP yang hadir memberikan sokongan terbuka kepada YB Azmin sebagai calon Timbalan Presiden PKR.

Salahkah MP berkenaan menyokong YB Azmin? Bukankah Dato Zaid juga menyebut beliau bersedia memberikan laluan kepada YB Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan beliau bersedia untuk membantu kemenangannya? Bukankah ini juga sokongan terbuka beliau terhadap YB Nurul Izzah? Jadi, di mana silap dan salahnya MP lain yang menyokong YB Azmin?

Pada saya, serangan yang dikatakan `hebat' ditujukan kepada Dato Zaid tidaklah sehebat serangan beliau kepada kepimpinan parti. Jika Dato Zaid yang memulakan dan membuka gelanggang ini secara terbuka, maka beliau tidak harus gusar menghadapinya. Cuba kita lihat, tiada media atau mana-mana calon yang bertanding dilihat `menyerang' seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR iaitu Sdr Mustafa Kamil Ayub. Mengapa? Ini adalah kerana Sdr Mustafa Kamil tidak memulakan `serangan' ke atas lawannya dan beliau cukup berdisplin.

Pendapat saya, seandainya YB Azmin tidak dipilih untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden PKR, maka kerusi tersebut amat tepat boleh diberikan kepada Sdr Mustafa Kamil Ayub. Kenyataan Dato Zaid bahawa beliau `tidak akan berubah' stailnya walaupun kini sudah berada di dalam PKR boleh kita nilai semula. PKR bukan memerlukan pemimpin yang bermegah dan ego dengan `stail'nya tetapi kita memerlukan pemimpin yang berani dan setia kepada arahan parti. Apatah lagi, wajib kita tolak pemimpin yang `bersekongkol' dengan media pencacai yang terang-terang kepunyaan Umno itu./wfauzdin.blogspot.com

Jumaat, 8 Oktober 2010

KISAH RAHIMI SELANJUTNYA...

Cerita Rahimi menurut versi peguam

Jimadie Shah Othman & Aidila Razak
Okt 8, 10

Masih banyak yang belum diketahui tentang akuan bersumpah Rahimi Osman yang 'penting' itu, antaranya ia didakwa hanya setebal dua hingga tiga halaman sahaja.

Setelah bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tampil mendakwa dipaksa menandatanganinya oleh dua peguam - Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli – kelmarin, lebih banyak persoalan berbanding jawapan yang timbul.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Latheefa yang juga ketua penerangan PKR menceritakan semula apa yang beliau tahu tentang proses merangka akuan tersebut daripada mula hingga akhir.

Berikut apa yang terjadi bermula pada 28 Jun 2008, seperti yang diceritakan semula oleh Lahteefa:

Pada 28 Jun 2008, PKR mengadakan seminar kepimpinan di Hotel Quality Shah Alam, melibatkan hampir semua pemimpin dan wakil rakyatnya.
Laporan polis Saiful Bukhari

Sehari selepas itu, ketua kakitangan pejabat Anwar, Ibrahim Yaakob mendengar desas-desus khabar bahawa terdapat Mohd Saiful Bukhari Azlan akan membuat laporan polis terhadap bekas bosnya. Maka Rahimi dipanggil untuk mendapatkan maklumat berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, dia tidak dapat dihubungi buat masa itu dan hanya hadir lewat malam itu. Di hotel berkenaan ketika itu ramai penyokong dan petugas media mula berkumpul kerana khabar angin Anwar akan ditahan semula seperti di zaman reformasi sepuluh tahun sebelum itu.

Ramai 'pengawal peribadi' dan anggota parti menempah tinggal di hotel berkenaan. Anwar pula bersetuju 'bersembunyi' seketika di kedutaan Turki di Kuala Lumpur.

Rahimi tiba pada malam 28 Jun itu dengan gementar dan ketakutan. Beliau menceritakan semula apa yang beliau dengar daripada Saiful Bukhari.

Rahimi juga minta tinggal di hotel itu kerana takut dicari polis berikutan kemungkinan namanya turut disebut dalam laporan polis Saiful Bukhari. Pasukan peguam itu bersetuju memberikan perlindungan kepada Rahimi.

Rahimi kelihatan kembali tenang semula setelah beberapa hari Saiful Bukhari membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar.

Bukan di bilik hotel

Beberapa pemimpin PKR yang kebetulan bertugas sebagai peguam ditugaskan menemuramah Rahimi bagi mendapatkan gambaran besar apakah sebenarnya yang berlaku ketika itu.
Selain Latheefa dan Saiful Izman, R Sivarasa turut terlibat.

Proses mendengar penjelasan Rahimi tidak dilakukan dalam bilik hotel, tetapi sebuah lounge peribadi di hotel tersebut. Bagaimanapun, semua draf akuan bersumpah dibuat dan drangka di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Akun bersumpah pertama dibuat secara tidak terperinci kerana mungkin Rahimi tidak bersedia memberitahu banyak perkara, terutamanya pembabitan Mumtaz Jaafar yang juga ibu kepada seorang kenalan sekolahnya.

Tiada pengurungan, Rahimi bebas keluar dan masuk. Malah beliau ada keluar daripada hotel beberapa kali, termasuk bagi menonton perlawanan bola sepak dengan beberapa 'pengawal peribadi'.

Selepas Rahimi dipanggil memberikan kenyataan kepada polis. Dia memberitahu tidak ditanya banyak soalan tetapi diberitahu ada kemungkinan dipanggil semula.

Tidak dapat dihubungi

Kemudian, selepas dipanggil kali kedua, Rahimi memberitahu bahawa dia ditanya sama ada pernah berjumpa dengan Rosmah dan Mumtaz.

Selepas dinasihatkan oleh peguam peribadinya ketika itu Stanley Sinnapan supaya bercakap benar, beliau menceritakan apa yang beliau tahu. Semua ceritanya tiada percanggahan dengan akuan bersumpah yang pertama.

Setiap perjumpaan dengan Rahimi tidak semata-mata berbincang soal akuan bersumpah tetapi bagi membantu pasukan pembelaan Anwar mengumpulkan maklumat.

Rahimi kemudian masuk dan keluar pejabat Anwar seperti biasa dan diberikan beberapa tugas kecil kerana dia tidak lagi bekerja secara rasmi. Dia juga terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh di mana Anwar bertanding.

Tetapi bila perbicaraan hampir bermula, apabila ketua pasukan pembelaan ditukar kepada Karpal Singh, Rahimi tidak dapat dihubungi. Dia tidak menjawap panggilan telefon dan SMS.
Kali terakhir Latheefa dan pemimpin PKR berhubung dengan Rahimi menjelang perkahwinan Rahimi hujung tahun lalu.

Selain Rahimi, terdapat beberapa orang yang berpotensi jadi saksi turut diminta membantu memberikan maklumat.

Tentang akuan bersumpah Rahimi

Akuan bersumpah itu tidak tebal. Ia hanya dua atau tiga halaman sahaja. Sebelum ditandatangan, Rahimi diminta menyemak semula drafnya beberapa kali supaya apa yang dia rasa tidak selesa boleh dibuang.

Ia ditandangan di depan pesuruhjaya sumpah di Petaling Jaya State, bukan Petaling Jaya Old Town seperti yang dinyatakan dalam laporan polis Rahimi kelmarin.

Dia tidak diberikan salinan dokumen itu “sebab tidak memintanya”. Kemungkinan sekarang Rahimi sendiri sudah lupa apa yang terkandung dalam akuan bersumpahnya.

Akuan bersumpan itu mengandungi dua bahagian, bahagian pertama tentang bagaimana dia mengenali Mohd Saiful dan pengalaman mereka bersekolah dan bekerja bersama.

Manakala bahagian kedua menceritakan tentang pertemuan Mohd Saiful Bukhari dengan Najib dan Rosmah./Malaysiakini

DULU ZAID GELAR AKHBAR INI `GESTAPO', KINI TIMBUL RASA KASIH DAN SAYANG PULA

Oleh: WFAUZDIN NS

ZAID IBRAHIM tidak setuju pimpinan PR memboikot akhbar termasuk Utusan. Walaupun pimpinan PKR khasnya baru-baru mengeluarkan arahan agar menjauhi Utusan, Zaid berkata beliau tidak peduli arahan itu. Tanpa media, mesej parti tidak sampai katanya.

Saya tidak tahu samada Zaid berkata demikian beliau berada di dalam keadaan waras atau tidak. Jika beliau sebelum ini mendakwa Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Hussin Ali sebagai `nyanyu' (nyanyok?), masakan beliau juga begitu kerana Zaid jauh lebih muda dari Dr Syed Hussin rasanya, Bukankah beliau pernah berkata akhbar ini sebuah `akhbar GESTAPO '? Apa itu Gestapo? Akhbar yang mengkritikkah atau yang menjalankan fitnah atau yang berniat jahat? Rujuk tulisan Zaid di sini. Adakah beliau lupa apa yang ditulisnya?

Jika akhbar itu bersifat mengkritik, Yes, kita boleh menerimanya kerana akhbar parti kita pun mengkritik juga. Tetapi akhbar yang kita sejak dahulu boikot ini bukan bersikap demikian, dan Zaid pun menjadi mangsa akhbar ini walaupun baru `dua hari' masuk PKR. Itu belum beliau jadi pemimpin seperti DS Anwar lagi. DS Anwar sudah lali dengan mainan akhbar Gestapo ini. Mengapa sekarang Zaid amat senang dengan akhbar ini? Masakan baru diwawancara sempena kempen pemilihan pimpinan PKR oleh Utusan, maka terbit rasa `kasih dan sayang'?

Dato Zaid dialu-alukan bertanding apa juga jawatan di dalam parti. Pedulikan dulu janji-janji beliau untuk tidak merebut jawatan tertinggi di dalam parti. Lupakan saja cakap-cakap beliau akan menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR jika Tan Sri Khalid bertanding jawatan itu. Abaikan pula kenyataan terbau beliau yang menyebut bahawa beliau sedia menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR jika YB Nurul Izzah bertanding jawatan yang sama. Mana satu pun kita tidak tahu.

Tetapi, biarlah, PKR adalah parti demokrasi yang lebih baik dari Umno walaupun tidak mencapai sebaik mungkin lagi. Silakan Dato Zaid bertanding, tetapi kita ingatkan beliau bahawa Utusan itu adalah milik Umno. Dan, Umno sifatnya tidak akan senang dengan PKR dan PR walaupun siapa jua pemimpinnya. Alasan mesej parti tidak sampai kepada rakyat jika memboikot Utusan adalah alasan Dato Zaid untuk menghalalkan tingkah lakunya. Semenjak bila Utusan telus dan jujur menyampaikan mesej parti pembangkang kepada rakyat?/wfauzdin.blogspot.com