RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Rabu, 11 November 2009

Tuduhan Anwar sorok RM3b tidak berasas - Bekas Pengarah BPR


Nov 11, 09 1:38pm
Bekas pengarah siasatan BPR, Abdul Razak Idrus memberitahu mahkamah tinggi hari ini bahawa siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai kaitan dengan kepentingan Barat, didapati tidak berasas.

Abdul Razak, 60, yang kini telah bersara tetapi menjadi pengarah dalam beberapa syarikat, berkata BPR telah menyiasat perkara itu ekoran dakwaan yang dibuat dalam akuan bersumpah bekas penolong gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid.

Katanya, sepasukan pengawai BPR telah ke Singapura dan United Kingdom untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Kami berjumpa dengan Murad dan beberapa saksi di Britain. Tetapi siasatan mendapat 'tiada kes' terhadap Anwar berhubung dakwaan dalam akuan bersumpah Murad," katanya.

Oleh itu, katanya, beliau membuat kesimpulan bahawa dakwaan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak berasas dan mengarahkan supaya siasatan ditutup.

Murad menandatangani akuan bersumpah itu pada 20 Oktober 1999 - kira-kira sebulan selepas Anwar ditahan selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada awal bulan September tahun berkenaan.

Abdul Razak kemudiannya membuat akuan bersumpahnya mengenai perkara itu dan mengemukakannya kepada mahkamah.

Bekas pegawai kanan BPR itu memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Anwar terhadap News Straits Times Press (M) Bhd dan bekas ketua pengarang kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad.

Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu, disiarkan pada 2 Mac 2002./Malaysiakini

Nik Aziz akui tunai haji atas biaya individu

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau bersedia menerima tawaran untuk mengerjakan haji daripada sesiapa sahaja asalkan tidak menyalahi perlembagaan Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Mursyidul Am Pas berkata, sebelum ini pun dia jarang ke Makkah dengan belanja sendiri memandangkan ada sahaja individu yang ingin membawanya ke Tanah Suci.

“Orang nak bawa saya pergi Makkah, kenapa saya nak tolak. Saya pergi ke Makkah ni jarang belanja saya sendiri. Orang tolong bayar. Semua orang berebut (nak bawa ke Makkah).

“Selipar saya pun orang ambil. Dia kata bukan curi tapi nak ambil berkat. Selipar saya di rumah saya tak boleh letak bawah, letak habis tak dok (hilang),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, sudah bertahun-tahun beliau diminta oleh orang-orang tertentu untuk pergi ke Makkah.

“Bertahun-tahun saya diminta oleh orang tertentu untuk pergi ke Makkah. Tahun ini dua orang nak hantar ke Makkah,” katanya.

Beliau berkata demikian kita diminta mengulas dakwaan pihak tertentu yang mengatakan beliau yang akan berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji tahun ini ditaja oleh individu tertentu.

Menurut dakwaan itu, Nik Abdul Aziz ditaja menunaikan haji dengan tiket ‘VVIP’ yang harganya mencecah RM65,000 seorang.

Ketika ditanya, adakah ia akan menimbulkan rasuah, Nik Abdul Aziz berkata, tidak timbul soal rasuah.

“Tidak timbul rasuah. Biar tentu dulu, kalau tentu rasuah saya tolak. Biar tentu rasuah benda apa (atas apa). Dia nak bawa. Dia nak bayar tambang.

“Alasan dia nak bawa saya, saya tidak tahu. Tahun depan pun ada lagi yang nak bawa,” katanya./Sinar

Selasa, 10 November 2009

Bai’ah sengaja digembar-gembur pihak anti-Islam

JELI - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, isu bai’ah wakil rakyat untuk menceraikan isteri dengan talak tiga sekiranya berhenti atau keluar parti sengaja digembar-gemburkan pihak anti-Islam.

Menurutnya, golongan yang sengaja mengapi-apikan perkara tersebut adalah 'mereka yang tiada kerja'.

“Pas sekarang dalam keadaan tenang dan mereka ini sengaja melakukan perkara-perkara pelik disebabkan tiada kerja yang hendak dilakukan.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana adanya bai’ah menceraikan isteri dengan talak tiga sekiranya berhenti dan keluar daripada parti. Mereka ini sengaja mengada-adakan cerita dan mereka ini merupakan golongan anti-Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian dan peletakan batu asas bagi cadangan projek pembangunan secara integrasi Taman Persiaran Indah di antara Majlis Daerah Jeli (MDJ) dan Kelkon Sdn Bhd.

Projek bernilai RM45 juta itu akan dimulakan pada Februari 2010 dan dijangka siap sepenuhnya tahun 2016.

Majlis yang belangsung di Dewan Balora MDJ itu turut dihadiri Yang Dipertua MDJ, Serpudin Mohamed dan Pengerusi Kelkon, Hanifa Ahmad.

Dalam pada itu Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pihaknya tiada halangan untuk membenarkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berceramah di Kelantan.

“Kelantan negeri terbuka, sesiapa sahaja pun boleh berceramah di negeri ini selagi tidak bermasalah.

“Kita tidak akan ambil tindakan selagi tidak bermasalah, jika bermasalah kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya./Sinar

Hasan Ali Terima Surat Tunjuk Sebab

10 November, 2009

SHAH ALAM, 10 Nov (Bernama) -- Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jawatankuasa Disiplin parti itu semalam dipercayai berhubung kenyataannya yang bercanggah dengan pendirian parti.

"Perkara itu bukanlah susah sangat nak dijawab. Saya tidak ada kebimbangan, benda ini biasa," katanya kepada pemberita selepas tamat persidangan Dewan Undangan Negeri.

Beliau enggan mengulas ketika ditanya mengenai tuduhan yang dikenakan kepadanya kerana menganggap ia soal dalaman PAS.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini dilaporkan berkata Hasan diberi tempoh 14 hari untuk membela diri terhadap semua tuduhan terhadapnya, dan akan dikenakan tindakan jika gagal berbuat demikian.

Hasan tidak menolak surat tunjuk sebab itu ada kaitan dengan kenyataan beliau yang bercanggah dengan pendirian parti dan kerajaan negeri seperti isu penjualan arak dan kritikan terbukanya terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) kerajaan pakatan pembangkang di Selangor.

Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, berkata tuduhan terhadap beliau itu bukan perkara besar atau luar biasa kerana kesalahan itu tidak membabitkan jenayah atau salah guna kuasa sebaliknya kerana membuat kenyataan yang tidak selari dengan peraturan parti.



-- BERNAMA

`HUBUNGAN SENYAP' DENGAN UMNO BAGAIKAN UMPAN BANGKAI KEPADA PAS

Oleh: WFAUZDIN NS

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan masih mengharapkan agar PAS dan Umno dapat mengadakan `hubungan senyap' kononnya demi perpaduam Melayu Islam di negara ini. Nampaknya amat bersungguh Umno ingin meminang PAS walaupun secara terang-terang PAS tidak terliur dengan tubuh batang Umno yang dipenuhi kurap dan kudis buta itu. Percubaan Justify Fullawal sewaktu adanya perjumpaan sulit `dalam kelambu' antara PAS dan Umno di Selangor sejurus PR menguasai Selangor selepas Pilihanraya Umum ke 12 telah gagal, Umno merasa amat kecewa kerana umpan mereka tidak dimakan hanya sekadar dihidu oleh dua tiga kerat pemimpin PAS yang `lapar' kepada umpan tersebut. Alhamdulillah, Allah telah menyelamatkan PAS dari termakan umpan berupa bangkai tersebut setelah diketahui umum tentang `hubungan haram' tersebut.

Umno tidak akan senang duduk selagi PAS berada di dalam PR. Umno inginkan PAS bersendirian berjuang agar memudahkan mereka `memperbodohkan' PAS. Adakah Umno bersungguh-sungguh ingin mendaulatkan Islam di negara ini apabila cuba mengumpan PAS untuk tidor sekelambu? Pendek kata, Islam pasti tertegak di negara ini apabila PAS sanggup bersama Umno. Nasib baik pemimpin-pemimpin PAS lebih cerdik dari Ketua Penerangan Umno berkenaan. Pelawaan Umno ditolak mentah-mentah dan yang terbaru di dalam seminar PAS baru-baru ini, PAS komited untuk terus bersama PR. Ini yang membuatkan Umno senak perut dan sakit jiwa.

Bagi mendatangkan curiga di kalangan rakan-rakan di dalam PR, Ketua Penerangan Umno bertindak bodoh dengan menyatakan Umno bersedia untuk bersama dengan PAS secara senyap-senyap. Jika benar ingin dilakukan secara senyap-senyap, mengapa perlu dihebahkan di dalam akhbar? Bukanlah senyap namanya, wahai Ahmad Maslan!! Cerdik sungguh Ketua Penerangan Umno ini. Sewajarnya Umno merasa malu apabila belum datang meminang, sudah ditolak tapi semenjak bila Umno tahu malu?

Sebenarnya Umno amat takut jika PAS terus bersama PR kerana dengan kerjasama mereka di dalam PR lah yang membuatkan Umno kini lumpuh selepas Pilihanraya Umum yang lalu. Ejen-ejen dan broker-broker Umno di dalam PAS telah diketahui umum. Umno amat bimbang jika ejen-ejen ini ditendang keluar dari PAS. Oleh itu, Umno perlu bertindak awal untuk menyatakan PAS harus bersama Umno jika ingin selamatkan Melayu dan Islam. Semenjak bila Umno terlalu sayangkan Melayu dan semenjak bila pula Umno begitu prihatin dalam soal agama?

Bagi saya, kata-kata dan harapan Ketua Penerangan Umno tersebut umpama umpan bangkai untuk meracuni PAS. Sehubungan itu, wajib bagi PAS menolak Umno jika ingin selamatkan Islam yang melangkau kepentingan bangsa Melayu. Jika orang-orang Cina dan India sendiri tidak mempercayai Umno, apakah PAS masih percaya pada Umno?/Kembali ke laman asal di sini.

PAS SELANGOR TUTUP PINTU KERJASAMA DGN UMNO

Tuesday, November 10, 2009

SHAH ALAM 9 NOV - Tindakan Umno yang kini dilihat mula menawarkan kerjasama dengan Pas bagi menjalankan ‘Pakatan senyap’ dilihat sebagai menangguk di air keruh.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir berkata walau apa pun tawaran dan cadangan yang dibuat Umno, Pas Selangor tetap dengan pendirian menyokong keputusan pucuk pimpinan untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan parti berkenaan.

“Umno pun rasanya cuba menangguk di air keruh tetapi saya mengulangi kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat minta kalau Umno betul jujur, minta Umno masuk Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan bahawa ‘pakatan senyap’ antara Umno dan Pas amat diperlukan untuk membangunkan Islam dan Melayu di negara ini.

Roslan menambah Pas Selangor tidak nampak sebarang manfaat mengadakan perikatan rahsia bersama Umno. “Kami sekarang ini dari sudut politiknya lonjakan sokongan terhadap kita selepas pilihanraya 2008 ternyata, penolakan rakyat dalam Umno pun ternyata.

Pilihan raya kecil yang lepas kecuali di Bagan Pinang jelas rakyat bersama dengan Pas,” katanya. Isu ‘pakatan senyap’ ini mula diperkatakan apabila pensyarah Universiti Pertahanan Nasional, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menulis satu artikel bertajuk ‘Untungnya bersatu dalam senyap’ dalam blognya di ridhuantee.blogspot.com.

Artikel tersebut menyeru agar Umno dan Pas mencontohi pakatan senyap oleh DAP, MCA dan Gerakan yang bersama dalam satu suara sekiranya hak-hak kaum Cina dipersoal.

Dalam Seminar Politik Pas yang diadakan 7 November lalu, perwakilan meluluskan resolusi untuk mengunci pintu rundingan bersama Umno dengan ketat.

Sehubungan itu, Pas Selangor akan mengambil langkah merapatkan hubungannya dengan Pakatan rakyat. Roslan berkata, rundingan meja bulat dengan DAP akan diteruskan bagi menjamin masa depan rakyat.

“Kita tidak berminta sebab kita telah sepakat meperkukuhakan kerjasama antara Pakatan Rakyat dan memastikan ianya menjadi gandingan yang dapat memberikan manfaat pada rakyat dan negara.

“Kita akan meneruskan rundingan meja bulat dengan Dap dan mungkin meluaskan dengan PKR sekali untuk pastikan tidak ada ruang perbezaaan antara kita sebab yang pentingnya adalah untuk nasib dan masa depan rakyat di negeri Selangor,” katanya./ Utara Online

Isnin, 9 November 2009

DR ASRI AKAN BERCERAMAH DI KELANTAN ?

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 9 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin bersedia menyampaikan kuliah pada mana-mana majlis Ilmu di Kelantan termasuk pada kuliah tetap Tuan Guru Nik Abdul Aziz setiap Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di pejabat Menteri Besar Kelantan, Kota Darul Naim pagi tadi.

“Saya sanggup menjadi penceramah di Kelantan jika dijemput termasuk di Medan Ilmu.

"Walapun jaraknya agak jauh, namun tiada masalah bagi saya,” ujar beliau.

Dr. Asri ditahan oleh JAIS pada lewat malam 1 November lalu ketika sedang menyampaikan kuliah di sebuah banglow di Selangor kerana didakwa megajar tanpa tauliah.

Sewaktu penahanannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Nik Aziz antara individu yang mempertikaikan motif penahanan Dr Asri.

Dalam pada itu bekas mufti terbabit juga merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Johor kerana memberi kebenaran kepadanya meneruskan kuliah di negeri tersebut.

“Ini menggambarkan keterbukaan intelektual kerajaan Johor dan diharapkan dapat dilakukan sama negeri-negeri lain,” katanya.

Kuliah Jumaat di Medan Ilmu merupakan kuliah tetap Menteri Besar Kelantan yang turut dihadiri ribuan rakyat dari seluruh negeri kelantan dan dari luar.

Dr Mohd Asri juga berkata, Kelantan sejak dari dahulu lagi mengamalkan keterbukaan di mana beliau pernah dijemput menyampaikan ceramah agama di negeri ini.

Oleh itu beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan kerana memahami suasana yang beliau alami.

Beliau juga sebelum ini pernah menziarahi Tuan Guru Nik Abdul Aziz selepas keluar dari Intitut Jantung Negara./Harakahdaily

AMARAN DARI DS ANWAR BUAT PEMIMPIN PKR

Anwar beri kata dua pada pemimpin PKR
Nov 9, 09 1:49pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kata dua kepada pemimpin dan anggota PKR sama ada setia atau keluar daripada parti jika tidak mahu mengikut dasar yang ditetapkan.

"Semua anggota parti mestilah menyokong agenda perubahan, bekerja untuk Pakatan Rakyat atau terpaksa disingkirkan daripada parti," katanya.

Anwar yang juga ketua umum PKR menegaskan demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen PKR Pulau Pinang malam tadi.

Katanya, ramai pemimpin PKR yang mahu tindakan tegas dikenakan terhadap anggota yang tidak dapat mengikut dasar parti.

"Beri komitmen kepada parti atau tinggalkan parti dan sertai Umno," katanya.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata ketua cabang dan wakil rakyat PKR hendaklah sentiasa mematuhi dasar-dasar parti.

Katanya, mereka tidak boleh beranggapan bahawa mereka akan terus menjadi pemimpin dan wakil rakyat untuk selama-lamanya.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mesti berkhidmat kepada rakyat dan mematuhi dasar dan prinsip-pembaharuan parti.

Anwar berkata, walaupun sesetengah kritikan terhadap pemimpin dan wakil rakyat parti ti boleh diterima, tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan mereka yang enggan mematuhidasar-dasar yang ditetapkan oleh parti./MalaysiakiniJustify Full

AWAS ! JANGAN TERTIPU LAKONAN `BADUT' UMNO

Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 9 Nov: Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat agar tidak tertipu perwatakan baik yang cuba dilakonkan kerajaan Umno BN.

Berucap ketika memberi ucaptama di Konvensyen PKR Negeri Pulau Pinang di Dewan Tunku, Komplek Tun Abdul Razak (KOMTAR) semalam, Anwar menasihatkan rakyat untuk melihat secara menyeluruh apakah benar Umno sedang berubah sedangkan tindakan mereka tidak menunjukkan kebenaran itu.

"Apakah usaha memberi wang ehsan kepada Kerajaan Kelantan membuktikan BN telah berubah untuk menjadi kerajaan yang berhemah dan kembali kepada ketuanan rakyat.

Tidak sama sekali kerana sepatutnya bukan wang ehsan tetapi royalti sebagaimana yang dituntut oleh kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, " ujarnya.

Ujarnya lagi, apakah sudah sudah cukup kerajaan melepaskan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menunjukan Najib telah sedar kesilapan lampau.

Jesteru itu, rakyat harus peka kezaliman BN yang terus menaikan harga barangan, menangkap peserta himpunan aman, menuduh dan merancang kompirasi menjatuhkan seseorang, menggalakan perasuah, penipuan, penyelewengan, sistem kehakiman masih gagal dipulihkan serta demokrasi menjadi kuku besi merampas kerajaan yang ditentukan oleh rakyat.

Bagi PKR proganda yang ditaburkan oleh BN itu semuanya bermatlamat menyelamatkan pengaruh mereka yang semakin karam biarpun media pro kerajaan mengambarkan Umno dan BN kembali dilandasan perjuangan sebenar.

"Kerja buat Umno dan BN tetap macam dulu rakus dan ego dalam pentadbiran maka jangan anggap mereka sudah sedar.

"Ia cuma lakonan untuk menarik hati pengundi bila menang nanti rakyat diketapikan seperti dulu, " terang beliau diiringan tepukan gemuruh hadirin.

Kini, kerajaan BN terus merangka strategi melaga-lagakan kepimpinan dalaman parti serta Pakatan Rakyat supaya rakyat memandang sinis kepimpinan kerajaan alternatif yang dapat melakukan lebih baik termasuk belanjawan yang lebih efesyen berbanding BN yang tidak memijak dibumi nyata.

Biar pun PKR tercemar dengan adegan 'katak' di negeri Selangor dan Perak namun ia sebagai pengajaran untuk melakukan pemilihan calon pada pilihanraya akan datang.

Golongan tersebut sebenarnya tiada perjuangan sebaliknya mementingkan diri tanpa menyedari kemenangan mereka terhasil daripada rakyat yang menolak BN.

"Memandangkan BN dalam keadaan kelam kabut membuatkan mereka cuba merangka strateji memusnahkan Pakatan Rakyat dengan menciptakan berbagai isu atau melagakan kepimpinan parti sendiri supaya wujud percakaran yang boleh mencetuskan pergolakan, " ujar Ketua Pembangkang itu lagi.

Bagi menjayakan hasrat parti dan Pakatan Rakyat sambung Dato' Seri Anwar, displin dan kecekalan dalam mengharungi perjuangan amat penting kerana tanpa semangat yang tinggi seseorang itu mudah jatuh dan tenggelam di lautan luas walhal kapal yang dinaiki selamat dan tidak bocor seperti bahtera Umno dan BN.

Menyentuh mengenai kononya Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tidak mengutamakan orang melayu beliau mengatakan, isu ini sepatutnya tidak berbangkit kerana Umno lebih dahulu berkuasa di sini apa yang parti itu buat untuk orang-orang melayu melainkan perjuangan peribadi memperkayakan kepimpinan.

"Rakyat miskin terus menderita, papa dan kedana semasa diperintah oleh BN tetapi ia tidak difokuskan sebaliknya bila Pakatan Rakyat menang di Pulau Pinang hasil penolakan rakyat semua isu itu kembali menghiasi dada akhbar melayu.

Cadangan-cadangan untuk memperkuatkan ekonomi melayu diabaikan dan dipandang sinis bila dikemukakan, " katanya.

Kovensyen yang bertemakan 'Menggilap Harapan Raykat' itu turut melibatkan beberapa orang pemidato seperti pengarah Pemantapan Politik dan Keanggotaan merangkap Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Johari Abdul dengan tajuk 'Menuju Putrajaya', Pengarah Strategi PKR Pusat, Tian Chua ' Analisa Isu Politik Semasa' dan Setiausaha PKR Pusat, Dato' Salehudin Hashim dengan tajuk ' Keberkesanan Organisasi Parti'./Harakahdaily

BOLA SEPAK - NIK AZIZ MERADANG DENGAN SIKAP PENYOKONG

Tiada semangat kesukanan - Nik Aziz


KEPULAN asap di tempat duduk penyokong Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin dan Nik Aziz (gambar kecil) menyifatkan mereka tiada semangat kesukanan.


KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan peristiwa yang dicetuskan penyokong Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam kelmarin.

Beliau menganggap penyokong Kelantan yang dikatakan merusuh serta membakar kerusi di stadium berkenaan sebagai tiada semangat kesukanan.

"Sebab itu saya kata jangan sebut main (bermain bola), sebut riadah, dengan riadah baru ada semangat kesukanan," katanya.

Menurutnya, perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh menjejaskan nama baik negeri.


PERLAWANAN akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin dicemari dengan balingan botol di atas trek dan padang.


Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kelantan, Yahya Jamada Ali berasa malu dan kesal mengenai insiden liar oleh segelintir penyokong Kelantan selepas pasukan mereka tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam kelmarin, segelintir penyokong bertindak liar dan ganas dengan membakar mercun dan tempat duduk di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas ketinggalan 2-0.

Yahya menyifatkan tindak-tanduk penyokong tersebut mencerminkan seolah-olah budaya dan sikap orang yang berasal dari Kelantan hanya cenderung untuk berkelakuan sedemikian./kosmo

Nik Aziz kata SPRM bebas siasat menantunya

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata terpulanglah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sesiapa sahaja termasuk menantunya, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang dituduh melakukan pecah amanah.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata sekiranya dakwaan itu benar seperti dakwaan penulis blog terhadap menantunya itu, beliau sendiri akan mengucapkan terima kasih tetapi jika perkara itu tidak benar, penulis blog terbabit akan menanggung dosa kerana membuat tuduhan melulu.

"Kalau dia (penulis blog) buat perkara yang tidak ada, dia tanggung dosa, tetapi sekiranya betul saya ucapkan terima kasih.

"Sudah dua kali dah (disiasat), tidak ada apa pun, ini adalah blog-blog mainan orang yang bermasalah...dia buat (cerita) benda tidak ada (tidak benar) dia tanggung dosa," katanya kepada pemberita di rumahnya di Pulau Melaka hari ini.

SPRM baru-baru ini telah menyiasat dakwaan itu dan telah ke pejabat Abdul Ariffahmi bagi menyiasat dakwaan penulis blog tersebut.

Nik Aziz yang mengakui mengenali penulis blog terbabit berkata berkemungkinan ia juga didalangi oleh "orang dalam" yang menyampaikan maklumat kepada penulis blog terbabit bagi tujuan tertentu.

"Kalau dengan niat untuk mengkhianati, dia tanggung dosa dan kalau dia buat dengan niat bersih, kami lebih beringat," kata Nik Aziz. - Bernama