RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Khamis, 14 Oktober 2010

ROH ATAU SEMANGAT REFORMASI AKAN TETAP DIPERTAHANKAN OLEH CHEGU BARD

Beliau banyak berada di jalanan daripada berada di pejabat berhawa dingin...

Oleh: WFAUZDIN NS

CHEGU BARD akhirnya menetapkan pendirian untuk bertanding merebut jawatan Ketua AMK di dalam pemilihan PKR kali ini. Tahniah diucapkan kepada Chegu Bard kerana akur akhirnya dengan kehendak akar umbi, khususnya dari golongan yang tidak mahu semangat atau roh reformasi disemadikan.

Satu aspek yang saya cukup hormati dengan Chegu Bard adalah sepanjang tempoh kempen kali ini, beliau berjaya menjarakkan dirinya dari kontroversi. Tidak seperti YB Azmin dan Dato Zaid, Chegu Bard berjaya menempuhi kempen beliau dengan suasana yang sihat. Namun demikian, dalam politik ini jika kita tidak `mengusik', orang lain pula `mengusik'. Itulah adat berpolitik terutamanya di dalam sebuah parti yang boleh dikatakan masih ramai pemimpin dan ahlinya yang belum suci dirinya dari `berbau Umno'.

Lihatlah, YB Azmin mulanya sepi tetapi apabila Dato Zaid `mengusik', maka YB Azmin pun membalasnya. Bahkan, usikan Dato Zaid merata-rata sehingga ke Ketua Umum, Presiden, Timbalan Presiden habis diusiknya. Arahan parti agar memboikot akhbar Utusan pun dipersendakan oleh Dato Zaid. Inilah hebatnya Dato Zaid yang Chegu Bard tidak boleh nak ikut.

Ada pendapat yang menyebut Chegu Bard mendapat `sokongan' kuat dari DS Anwar kerana beliau adalah di antara `ahli keluarga' terdekat dengan Ketua Umum PKR itu. Ada juga yang menyebut Sdr Rafizi pun mendapat sokongan dari DS Anwar kerana beliau berada di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu. Setakat ini calon Ketua AMK yang popular adalah Chegu Bard dan Sdr Rafizi. Mustahil DS Anwar mahu kedua-duanya serentak menjadi Ketua AMK. Jelas pada kita, banyak yang tidak betul persepsi orang ramai terhadap sokongan DS Anwar kepada calon-calon Ketua AMK ini.

Setahu kita, Chegu Bard tidak pernah menggunakan pengaruh DS Anwar sepanjang kerjaya beliau di dalam politik. Lihatlah Chegu Bard sekarang, apa yang ada pada beliau selain dari Ketua Cabang PKR Rembau yang dipilih oleh orang Rembau sendiri. Jika beliau mahu gunakan pengaruh DS Anwar, sudah tentu sekarang Chegu Bard menjadi YB kerana DS Anwar akan letakkan beliau di kawasan yang selamat semasa Pilihanraya Umum yang lalu. Chegu Bard tidak kisah apabila beliau tewas di Parlimen Rembau. Beliau juga tidak mengkhianati parti untuk mengikut bekas bosnya di dalam Gerak iaitu Ezam Sesumpah. Mungkin jika beliau ikut Ezam sesumpah, sekarang ini kita panggil Chegu Bard Senator Badrul Hisham. Tidak mustahil kan?

Kita tahu Chegu Bard tidak pernah `usik' sesiapa sepanjang kempen beliau untuk menjadi Ketua AMK. Bahkan, secara terbuka Chegu Bard menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh ahli-ahli di dalam pemilihan kali ini. Baca di sini. Namun, ada yang tergamak buat fitnah kepada beliau. Baru-baru ini ada cerita tentang Chegu Bard `dapat jutaan' duit dari satu pihak untuk menyokongnya. Kalau begitu kayalah Chegu Bard, tetapi mengapa handphone Chegu Bard pun jenis `cokia' bukan Nokia canggih ? Dengar ceritanya handphone pun ada yang tolong belikan kerana katanya beliau pernah kehilangan handphone `Blackberry' buatan China. Kalau berjuta Chegu Bard dapat, jomlah kita tengok rumah banglo atau kereta mewah Chegu Bard.

Kesimpulannya, keputusan Chegu Bard untuk bertanding kerusi Ketua AMK amat dialu-alukan dan mesti kita beri sokongan. Roh atau semangat reformasi tidak akan mati sekiranya Chegu Bard menjadi ketua kepada golongan muda di dalam PKR. Ketokohan dan keberanian beliau tidak perlu diulas lagi, Umno pun tahu siapa Chegu Bard malahan mana pegawai-pegawai Polis yang tidak kenal anak muda Rembau ini? Aktiviti anak-anak muda di dalam berdemontrasi tidak lengkap tanpa kehadiran Chegu Bard. Chegu Bard tidak muncul sewaktu pemilihan ini saja, beliau sentiasa muncul selagi ke tidakadilan masih berlaku di negara ini./wfauzdin.blogspot.com

ZAID, MASUK SAJA BERTANDING JANGAN LETAK SYARAT

Oleh: WFAUZDIN NS

MAKA, `tujuh syarat' mesti ditunaikan oleh PKR sebelum Dato Zaid Ibrahim mahu umumkan samada sedia bertanding atau tidak jawatan di dalam parti. Ertinya, jika parti tidak bersedia untuk `akur' dengan kehendak beliau, maka beliau sudah cukup alasan untuk menyebut mengapa beliau tidak masuk bertanding terutamanya jawatan Timbalan Presiden PKR. Bukan kerana takut kalah, tetapi kununnya parti tidak boleh `berlaku adil' kepadanya. Kalau sudah rasa parti ini tidak betul, mengapa tidak betulkan dari awal? Mengapa ketika pemilihan sedang berjalan?

Sebelum ini, ada pihak yang mahu tarikh tutup pencalonan ditunda bagi membolehkan YB Nurul Izzah cukup pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PKR. Bukan rahsia lagi Dato Zaid Ibrahim amat berharap YB Nurul Izzah bertanding jawatan nombor dua dalam parti dan berdepan dengan YB Azmin Ali dan Sdr Mustafa Kamil Ayub. Katanya, jika YB Nurul bertanding, beliau bersedia untuk menarik diri bertanding jawatan tersebut. Masa itu, tidak timbul `7 syarat' seperti sekarang. Mungkin `syarat' ini timbul kerana melihat kepada keadaan di mana YB Nurul Izzah tidak layak bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR walaupun Dato Zaid sendiri secara terbuka menyokong anak sulung DS Wan Azizah - Anwar ini.

Lepas ini, kita lihat samada PKR akan tunduk kepada kehendak mereka itu. Adakah PKR sanggup menunda tarikh tutup pencalonan semata-mata untuk memberi laluan masuk buat YB Nurul Izzah, atau PKR juga sanggup `melutut' dengan Dato Zaid yang meletakkan `7 syarat' itu. Umpama kisah rombongan Sultan Melaka datang meminang `Puteri Gunung Ledang'. Selepas ini pula akan ada syarat supaya tiada sesiapa boleh masuk bertanding kecuali Dato Zaid seorang sahaja.

Naik loya tekak apabila melihat satu demi satu karenah Dato Zaid ini. Mulanya bersungguh tidak mahu merebut jawatan dalam parti. Kemudiannya, ingin merebut jawatan Timbalan Presiden PKR sekiranya Tan Sri Khalid tidak bertanding jawatan tersebut. Kemudian lagi, sanggup tidak masuk bertanding sekiranya YB Nurul Izzah bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Terbaru, dengan `7 syarat' pula untuk masuk bertanding. Pening orang dibuatnya.

Apa pun kita harap PKR tidak melayan sebarang gangguan seperti ini. Jangan benarkan parti di `perbodohkan' oleh orang yang pentingkan diri dan gila kuasa. Mereka ini cuma mahu mencari alasan atau sebab musabab untuk menunjukkan jika mereka tewas, parti ini lah puncanya./wfauzdin.blogspot.com

Mereka Mengulas:

Tanpa Nama berkata...

Saya selalu jg mengemukakan komen dan kali ini saya tidak mohon maaf untuk memberikan frasa ini kepada Zaid , LU BERAMBUS LAAAAA

Tanpa Nama berkata...

7 syarat....7 hari mabuk!!!

Tanpa Nama berkata...

dak eh,saya tak nak bertanding,
mmmmmmmmmmmmmmmmm
errrr...kalau sipolan bertanding.saya tarik diri
mmmmmmmmmmmmmmmmm
errrr...kalau izzah,saya tarik diri
mmmmmmmmmmmmmmmmm
kalau 7 syarat ni boleh ikut,saya bertanding
mmmmmmmmmmmmmmmmm
bagi menang free boleh??????

KEJUTAN DARI TAN SRI KHALID BUAT AZMIN

Azmin terkejut Khalid juga minat jawatan timbalan
Aidila Razak
Okt 13, 10

Naib presiden PKR Azmin Ali melahirkan rasa “terkejut” berhubung pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang beliau juga meminati jawatan timbalan presiden parti itu yang sedang diintainya.

“Berdasarkan maklum balas dari rakan-rakan dan pemimpin lain termasuk kakitangan kanannya, beliau telah memberikan komitmen untuk tidak bertanding kerana fokusnya adalah untuk mentadbir negeri.

“Keputusan ini (untuk fokus pada kerajaan Selangor) bukan pilihan saya, tetapi apa yang ditetapkan oleh parti (pada permukiman di Shah Alam),” katanya.

Azmin berkata atas “semangat keputusan” yang dibuat di Shah Alam pada Jun lalu, beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada parti manakala Khalid pula dipertanggungjawab menjaga pentadbiran Selangor.

PKR kemudiannya melantik Azmin sebagai ketua di Selangor bagi menggantikan Khalid dalam usaha merapatkan jurang antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Sebelum itu Khalid dibidas teruk oleh ahli-ahli parti termasuk daripada Azmin, khususnya pada kongres PKR di Kota Bharu kerana didakwa tidak banyak membantu parti.

Ahad lalu, Khalid mengumumkan beliau berhasrat bertandung untuk jawatan nombor dua parti bagi “mengimbangi pertandingan” yang telah bertukar menjadi “kotor” semasa penamaan calon sepanjang bulan lalu.

Walaupun Khalid tidak menamakan seseiapa, namun dipercayai ia ditujukan kepada Azmin dan seorang lagi pencabarnya, Datuk Zaid Ibrahim - bukan menjadi rahsia lagi kedua-dua mereka saling 'menyerang' satu sama lain di media./Malaysiakini

Rabu, 13 Oktober 2010

PEMILIHAN PKR - JANGAN KERANA YB NURUL IZZAH KITA LANGGAR PERATURAN PARTI

Justify FullOleh: WFAUZDIN NS

SAYA rasa ramai yang tahu bahawa tarikh tutup pencalonan pemilihan pimpinan PKR adalah 10 Okt yang lalu. Justeru itu, mengapa timbul dakwaan mengatakan adanya konspirasi apabila pencalonan YB Nurul Izzah ditolak setelah beliau hanya mendapat 1 pencalonan sahaja selepas tarikh tutup tersebut? Masakan YB Nurul Izzah sendiri tidak tahu syarat-syarat dan peraturan pemilihan parti yang dipimpin oleh ayahanda dan bondanya itu.

Adilkah tarikh tersebut ditunda semata-mata kerana mahukan YB Nurul Izzah masuk bertanding? Sekiranya parti ini mendabik dada ingin menunjukkan contoh pemilihan yang adil, maka parti mestilah konsisten dengan peraturannya sendiri. Sampai bila kita ingin menuduh parti punyai konspirasi apabila kita sendiri tidak konsisten dengan peraturan yang kita buat? Terlalu banyak masa diberikan, mengapa bila tiba masa akhir baru kita mahu mencalonkan orang itu dan orang ini. Calon pula suka membuat keputusan bertanding di penghujung tempoh dan ini menyukarkan Cabang-Cabang untuk membuat pencalonan.

YB Nurul Izzah sehingga pencalonan ditutup hanya mendapat 1 pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, sedangkan untuk mendapatkan kelayakan mestilah sekurang-kurangnya 2 pencalonan. Oleh itu, wajarlah pihak pemilihan menolak pencalonannnya kerana itu lah undang-undang dan peraturan parti, bukan kerana susuk tubuh YB Nurul Izzah. Seandainya pula tarikh ditunda bagi membolehkan YB Nurul Izzah masuk bertanding, maka akan berbunyi pula suara mengatakan mentang-mentang YB Nurul Izzah anak Presiden dan Ketua Umum PKR, maka beliau boleh melanggar peraturan parti.

Mungkin ada yang berkata saya tidak sokong atau bersetuju YB Nurul Izzah bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, sebab itu saya menulis sedemikian. Memang benar, saya tidak setuju beliau bertanding merebut jawatan nombor dua itu, tetapi bukan bererti saya tidak menyokongnya. Saya telah pun menulis sebelum ini tentang mengapa YB Nurul Izzah tidak perlu bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR . Mungkin apa yang berlaku sekarang satu hikmah di mana YB Nurul Izzah tidak layak bertanding kerana mendapat hanya 1 pencalonan. Sebenarnya sayang untuk menyaksikan YB Nurul Izzah tumbang di medan yang sepatutnya beliau berada.

Jangan diributkan lagi pemilihan PKR yang sedang berjalan ini dengan tuduhan konspirasi. Terlalu banyak kekecohan kita dengar di dalam pemilihan kali ini, tetapi hampir kesemuanya berpunca daripada aspek teknikal. Itu perkara biasa di dalam parti yang buat pertama kalinya melaksanakan pemilihan secara lebih demokrasi `satu kepala, satu undi'. Mana yang cacat, patut diperbaiki agar pemilihan di masa akan datang lebih baik dan teratur./wfauzdin.blogspot.com

Selasa, 12 Oktober 2010

YB NURUL IZZAH BAKAL PM WANITA PERTAMA ?

Oleh: WFAUZDIN NS

TERTARIK juga apabila membaca tulisan teman yang popular dengan `kopitiam' nya di sini. Satu tulisan ringkas, tetapi penuh dengan pengertiannya yang tersendiri. Satu nasihat terbaik kepada tokoh muda di kalangan wanita muda juga iaitu YB Nurul Izzah. Nama beliau tidak asing lagi kepada kita semenjak era reformasi sehinggakan beliau di`tabal'kan sebagai `Puteri Reformasi'.

`Ke mana tidak tumpah kuah, jika bukan ke nasi'. Itulah dia YB Nurul Izzah, seorang insan yang gigih yang telah diuji dengan seberat ujian sejak di alam remaja lagi. Beliau cekal menghadapi ujian dan mehnah, menghadapi tuduhan serta fitnah yang tidak masuk akal terhadap ayahandanya DS Anwar Ibrahim. YB Nurul Izzah tidak pernah berputus asa, sebaliknya sentiasa bersama bonda tersayang DS Wan Azizah untuk sama-sama mengharungi segala dugaan terhadap keluarganya.

Peringkat awalnya, tiada siapa boleh menjangkakan Puteri Sulung DS Anwar dan DS Wan Azizah ini akan berani menceburkan diri sepenuh masa di dalam politik, apatah lagi setelah melihat orang politik seperti ayahandanya sentiasa terbuka untuk diserang, difitnah sehinggakan ke tahap dipukul dan dipenjarakan. Kekuatan jiwa yang ada pada YB Nurul Izzah tidak lain adalah kerana darah yang mengalir ditubuhnya sekarang adalah dari darah perjuangan ayahandanya.

Kini, YB Nurul Izzah benar-benar berada di landasan yang betul. Beliau telah diberi kepercayaan untuk bersama ayahandanya bagi membela nasib rakyat dan menegakkan keadilan selaku Ahli Parlimen. Saya bersetuju dengan pendapat yang mengatakan tidak mustahil di suatu ketika, YB Nurul Izzah bakal diberi kepercayaan untuk menjadi PM Wanita Pertama di negara ini. Kebijaksanaan, keberanian serta ketokohan beliau sebagai pemimpin terserlah sedikit demi sedikit.

Justeru itu, tidak menghairankan apabila terdapat beberapa Cabang PKR telah mencalonkan beliau sebagai Naib Presiden PKR, malahan beliau juga mendapat pencalonan untuk Timbalan Presiden PKR di dalam pemilihan kepimpinan PKR yang sedang berlangsung sekarang. Seperti yang dinyatakan oleh penulis blog tadi, cuma masanya belum sesuai dan kurang bijak sekiranya YB Nurul Izzah menyertai pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden PKR. Umpama sebiji buah yang tersangat baik kualitinya, tanpa sebarang penyakit yang sedang dibalut tetapi belum cukup ranum untuk dimakan.

Meskipun Dato Zaid Ibrahim seorang tokoh politik yang berpengalaman menunjukkan minat yang tinggi untuk melihat YB Nurul Izzah bertanding jawatan nombor dua tersebut, ini bukan bererti YB Nurul Izzah boleh terus menerimanya. Saya tidak tahu mengapa dan apa tujuan Dato Zaid begitu ingin melihat YB Nurul Izzah `melompat' sebegitu jauh. Mungkinkah Dato Zaid ingin mencuba nasib bertanding sebagai Presiden dan mengharapkan pengaruh atau sokongan dari YB Nurul Izzah? Wallahu Aklam.

Amat dibimbangi sekiranya YB Nurul Izzah `terpedaya' dengan `umpan' sedemikian. Belum tentu YB Nurul Izzah boleh mencapai kemenangan, tetapi mungkin ada pihak lain yang ingin `memperkuda'kannya untuk kepentingan diri sendiri. YB Nurul Izzah tidak perlu `melangkah kepala' orang lain jika ingin ke depan. Beliau patut bersyukur dengan apa yang beliau ada sekarang dan tidak perlu gelojoh dan rakus seperti orang yang menyuruhnya bertanding itu. Memadai terlebih dahulu beliau mencuba di peringkat Naib Presiden, walaupun beliau akan menghadapi laluan yang agak sukar juga kerana ketokohan YB Fuziah Salleh tidak juga boleh dipandang ringan.

PKR juga sering dicop sebagai parti keluarga DS Anwar. Adakah YB Nurul Izzah ingin membuktikan apa yang mereka kata itu benar? Kehadiran YB Azmin dan Sdr Mustafa Kamil Ayub sudah memadai untuk membuktikan bahawa PKR bukan dimonopoli oleh `dinasti Anwar'. Tidak tahulah jika Dato Zaid memikirkan agenda lain di mana beliau akan menjadi Presiden PKR, dan YB Nurul Izzah akan menjadi Timbalannya. Ketika itu tidak timbul lagi cerita `Dinasti Anwar' di dalam PKR. Itu satu kemungkinan yang mungkin ada di dalam kepala Dato Zaid.

Di kesempatan ini, secara peribadi saya juga ingin menasihatkan kepada YB Nurul Izzah agar bersabar sedikit masa lagi untuk berada di saf hadapan. Jangan beliau terlalu gelojoh sehinggakan akhirnya beliau sendiri akan tersungkur di medan yang sepatutnya bukan tempat beliau. PKR masih mempunyai beberapa `Pendekar' yang handal dan berpengalaman untuk berada di medan segetir itu. Awasilah, dan berhatilah dengan `sokongan yang membawa rebah'./wfauzdin.blogspot.com

`POLITIK DUBUR' GAWAT SEBUAH NEGARA ?

Satu dubur tentukan masa depan Malaysia

Lim Hong Siang | Oct 11, 2010

Saya tidak menganggap rakyat Malaysia memerlukan drama politik sebegini, sama ada sebagai hiburan untuk meredakan tekanan hidup harian, mahupun sebagai rancangan realiti untuk meningkatkan pengetahuan seks masyarakat umum merentasi sempadan umur.

Saya tidak pasti apakah kesudahannya, malah saya lebih mencurigai apakah ia mempunyai kesudahan. Saya tidak tahu sama ada benar atau mampu Anwar Ibrahim melakukannya, saya juga tidak berminat sama ada Saiful Bukhari Azlan mencuci duburnya, bahkan saya tidak pasti versi akuan bersumpah (SD) Rahimi Osman (gambar kiri, kedua dari kiri) manakah yang ditandatanganinya tanpa paksaan.

Apa yang pasti, dubur Saiful Bukhari Azlan akan terus dijadikan tumpuan satu Malaysia, malah satu dunia. Ruang dada akhbar akan sarat dengan berita pendedahan demi pendedahan untuk menghakis dan menggoyah keyakinan rakyat terhadap Anwar Ibrahim; bekas rakan seperjuangannya akan tampil seorang demi seorang untuk membongkar "wajah sebenar" Anwar, dan ruang rencana akan menyiarkan artikel demi artikel untuk mengupas, menganalisa, malah meramalkan masa depan Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR) - yang sudah tentu akan hancur dan ranap dalam masa terdekat, kononnya.

Jelas, ini kes politik

Saya menghormati proses perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung, malah untuk mendukung prinsip keadilan saya terpaksa menghormati juga mereka yang berhempas-pulas menegakkan keadilan, kononnya, untuk Saiful Bukhari Azlan. Namun demikian, segala-gala ini gagal mengubah hakikat bahawa Kes Sodomi II ini merupakan kes politik.

Dari segi undang-undang, Anwar Ibrahim didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan - kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabii yang melibatkan dua pihak secara sukarela. Dengan kata lain, Saiful Bukhari Azlan perlu tampil sebagai tertuduh bersama Anwar, dan bukannya pengadu yang memberi keterangan - seandainya mengikut Seksyen 377B.

Namun demikian, Saiful mendakwa dirinya diliwat tanpa kerelaan sejak awal lagi. Jadi, Anwar seharusnya didakwa di bawah Seksyen 377C, iaitu hubungan seks di luar tabii secara paksaan - barulah Saiful boleh tampil ke mahkamah sebagai "pengadu". Apa yang berlaku kini memperlihatkan kontradiksi yang ketara antara pertuduhan dengan keterangan pengadu.

Justeru itu, sukar untuk kerajaan Najib Abdul Razak meyakinkan rakyat bahawa sistem kehakiman profesional dan bebas ketika membicarakan Kes Sodomi II ini. Malah, tidak mungkin ia sekadar "kes jenayah" biasa, seandainya dilihat kepada pendekatan lidah UMNO, Utusan Malaysia membuat liputan berita ini.

Liputan luas diberikan kepada kandungan soal-jawab dalam perbicaraan mahkamah. Malah, perbincangan isu ini dilanjutkan dengan wawancara bersama bekas pemimpin PKR, yang menyindir agar "Anwar tidak perlu takut", sambil mempertikaikan "Kenapa mahu tangguh perbicaraan kalau tidak bersalah?" Kemudian bekas orang kanan tampil memohon maaf, "Kerana membela Anwar Ibrahim dalam kes liwat pertamanya". Sumpah-seranahnya bagaikan ludah ke langit, dan jatuh bagaikan hujan kebetulan ketika menjelang pilihan raya kecil...

Buktikan liwat tanpa tusukan?

Saya tidak nampak bahawa ulasan, kupasan, atau analisa yang terpampang di depan mata ketika kita menyelak akhbar ini memberi makna. Laporan pemeriksaan doktor telah menyatakan bahawa tiada kesan tusukan ditemui, namun perbicaraan tetap berjalan. Jadi, segala-gala ini seolah-olah cubaan untuk membuktikan kepada satu Malaysia, malah seluruh umat manusia di dunia ini bahawa air mani Anwar boleh sampai ke dalam dubur Saiful tanpa tusukan.

Persoalannya, jikapun dibuktikan keajaiban ini berlaku di tanahair yang tercinta ini, apakah kehebatan ini bakal mengundang pelabur asing untuk menyuntik dana ke Malaysia? Padahal, belumpun paip ekzos Saiful terbocor, seramai 304,358 orang bakat buatan Malaysia telah mengalir ke luar negeri, antara Mac 2008 hingga Ogos 2009, apatah lagi kemerosotan 81% dalam pelaburan asing langsung di Malaysia, dari US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada tahun 2008, kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada tahun 2009?

Apakah makna yang tersirat di sebalik segala-gala ini? Ertinya, sementara kerajaan Malaysia bertungkus-lumus dalam usahanya untuk "menghilangkan keyakinan" rakyat terhadap Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia yang terpaksa menanggung akibatnya - kehilangan keyakinan daripada pelabur asing dan anak watan yang berbakat.

Jelas, Anwar Ibrahim (gambar kiri) diletakkan pada kedudukan sedemikian bukan kerana beliau Ketua Umum PKR, atau kedudukannya sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat. Bahkan, adalah kurang tepat jikalau beliau sekadar Ketua Pembangkang dalam parlimen. Kita tidak perlu menjadi Profesor Sains Politik untuk memahami hakikat Anwar Ibrahim berpotensi menjadi Perdana Menteri, dan kita tidak perlu membaca Sun Tze untuk memahami percaturan politik yang berlangsung di depan mata.

Teorinya mudah - musnahnya Anwar, maka terselamatlah Barisan Nasional.

Politik menabur dendam

Untuk tidak dilihat naif dalam politik, saya menerima babak ini sebagai sebahagian daripada pergelutan kuasa antara pemerintah dengan pembangkang, atau dalam realitinya, antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat. Dalam konteks Malaysia, serangan politik yang menyentuh keperibadian kadang-kala tidak dapat dielakkan, meskipun pendekatan ini amat dipertikaikan. Kita masih jauh dari persaingan politik yang sihat - perdebatan politik yang diangkat martabatnya untuk membicarakan soal struktur dan sistem.

Berbalik kepada persoalan, apakah keperluannya untuk mengaibkan musuh politik dan keluarganya dengan cara sebegitu rupa? Untuk ramai warga Malaysia yang prihatin terhadap politik, babak perebutan kuasa yang paling dahsyat dalam sejarah Malaysia melabuh tirai pada 2 September 2004 - apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara. Ianya bukan soal sama ada benar Anwar Ibrahim terlibat dalam kelakuan sodomi, tetapi pengaiban dan penghinaan secara terbuka yang melampaui batas.

Pengaiban secara terbuka terhadap Anwar dan keluarganya telah menyemai benih dendam di kalangan penyokongnya. Ia amat berbeza dengan persaingan politik "siapa lebih Islam atau siapa lebih Melayu", antara UMNO dengan PAS, atau Semangat 46 pada zaman 1990-an. Penghinaan secara terbuka untuk mengaibkan seorang isteri bernama Wan Azizah Ismail, tanpa mempertimbangkan perasaan anak-anaknya - dengan aksi-aksi lucah, gambar-gambar yang diubahsuai, kata-kata yang kasar lagi kesat seperti "kaki buntut" dan sebagainya ketika berkempen, terlalu biadap namanya.

Usaha Abdullah Ahmad Badawi untuk membubuh noktah kepada babak politik yang menabur dendam ini disia-siakan begitu sahaja apabila UMNO-BN semakin terdesak di ambang hilang kuasa. Kita tidak lupa bagaimana doktor Hospital Pusrawi, Mohamed Osman Abdul Hamid membuat akuan bersumpah untuk mempertahankan laporannya (berbunyi Saiful tidak diliwat) selepas memeriksa dubur Saiful, dan kemudian menghilangkan diri kerana tidak tahan dengan gangguan dan tekanan daripada pihak berkuasa.

Dan drama ini dipentaskan semula, selepas satu dekad. Anak-cucu yang melanggan Utusan Malaysia atau Berita Harian kerana sisipan DIDIK, SKOR dan sebagainya, pada masa yang sama ditayangkan adegan bagaimana kelakuan liwat boleh berlaku - dalam bentuk bertulis... Satu generasi membesar dalam suasana media yang sarat dengan istilah "liwat", "sodomi" - imaginasi masyarakat awam digarap dengan tilam yang naik turun di mahkamah pada akhir tahun 1990-an; kini kita pula menyaksikan satu generasi lagi yang membesar dalam suasana media yang tidak banyak berbeza, mungkin cuma tilam digantikan dengan KY jelly untuk mencungkil imaginasi...

Bebas dari politik dubur

Untuk hampir dua dekad sejak tahun 1981, satu Malaysia berfikir menggunakan otak Mahathir. Atau dengan kata lain, otak Mahathir yang menentukan Malaysia dalam jangka kira-kira dua puluh tahun ini. Dan ia hanya berubah mulai tahun 1998, apabila seluruh warga Malaysia diajak untuk berfikir menggunakan dubur.

Bukankah Sasterawan Negara tahun 1982, Shahnon Ahmad memberi gambaran yang paling tepat, melalui bukunya yang berjudul Shit @ PukiMak @ PM, apabila menyifatkan ahli politik yang rasuah, menyalahgunakan kuasa bagaikan najis yang saling menghimpit dalam usus besar?

Dan bukankah inilah senario yang sedang berulang dan berlaku, apabila politikus saling membaling najis, untuk membusukkan dan dibusukkan? Dan kita wajib tanya, sampai bilakah rakyat Malaysia perlu bergelut dalam najis, sebelum terkeluar dari politik dubur yang busuk lagi membusukkan?

Sebagai warga Malaysia muda yang mendahagakan perubahan, saya sedia akur seandainya kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tumbang kerana gagal mengota janjinya terhadap rakyat; bahkan saya sedia tunduk kepada realiti, jikalau terbukti PR kurang mantap dan belum bersedia untuk mengambil-alih kuasa pentadbiran daripada BN.

Malah, saya sedia akur jikalau PR terlepas peluang kerana gagal meyakinkan kaum Melayu yang termakan dengan propaganda UMNO-BN; saya sudi menunggu, sama ada satu penggal, satu dekad mahupun berdekad-dekad lagi untuk pertukaran kuasa kerajaan persekutuan, jikalau kita gagal melakukannya pada detik saat PRU ke-13 yang akan datang.

Namun demikian, saya tidak rela sama sekali jikalau perubahan digagalkan hanya dengan satu dubur milikan Saiful Bukhari Azlan. Saya tidak rela sama sekali untuk melihat bagaimana penceramah politik berbuih-buih meyakinkan pakcik-makcik FELDA bahawa Saiful boleh diliwat tanpa dubur terkoyak.

Saya tidak sampai hati melihat seorang wanita bernama Wan Azizah Ismail diperlakukan untuk tampil mempertahankan suaminya di depan khalayak ramai. Saya tidak sampai hati melihat anak-anak Anwar diperlakukan untuk hadir di mahkamah dan dibacakan tuduhan bagaimana ayahnya memasukkan zakar ke dalam dubur bekas pembantunya.

Sememangnya, politik adalah permainan jatuh-menjatuhkan politikus dari jawatan dan kedudukannya, tetapi bukan untuk memijak maruah musuh politik sebagai seorang manusia. Betapa terdesak sekalipun, garis ini haram dilangkaui - bukan sahaja sebagai kayu ukur demokrasi (bagaimana musuh politik dilayan), tetapi juga sebagai benteng ketamadunan.

Dan yang paling penting, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia membebaskan diri daripada politik dubur. Rakyat Malaysia harus membebaskan diri - untuk berfikir menggunakan otak sendiri, dan bukannya otak Mahathir Mohamad mahupun dubur Saiful Bukhari Azlan. Malaysia wajib keluar dari dubur Saiful Bukhari Azlan. Saya doakan agar ia masih belum terlewat, sebelum satu Malaysia terhumban ke dalam jamban dan dijirus arus globalisasi.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

PRK DUN GALAS - AKIM CUBA NASIB LAGI

Akim Letak Anak Bekas Anggota Parlimen Rantau Panjang Bertanding Di Galas

KUALA KRAI, 11 Okt (Bernama) -- Parti Angkatan Keadilan Islam Malaysia (Akim) akan meletakkan anak seorang bekas anggota Parlimen Rantau Panjang sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 Nov ini.

Bagaimanapun presidennya Hanafi Mamat enggan menamakan bakal calon terbabit yang hanya akan diumumkan pada 23 atau 24 Okt ini, katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Beliau juga menegaskan penglibatan parti itu pada pilihan raya kali ini tidak dipengaruhi mana-mana pihak untuk memecah undi dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Kita akan meletakkan calon dan tetap dengan prinsip parti untuk menegakkan keadilan Islam, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," kata beliau.

Pilihan raya kecil DUN Galas itu diadakan berikutan kemtian wakil rakyatnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas.

Akim merupakan sebuah parti serpihan PAS yang ditubuhkan pada 1995 dan ia pernah bertanding pada pilihan raya umum 1999 bagi kerusi Parlimen Pasir Puteh dan Kota Bharu tetapi tewas.

Pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh 2008, presidennya Hanafi Mamat turut bertanding mewakili Akim tetapi kalah teruk dan hilang deposit.

-- BERNAMA

SATU CARA UNTUK JATUHKAN KU LI

UMNO mahu jatuhkan Ku Li

GUA MUSANG –UMNO disifatkan parti yang tidak mempunyai dasar apabila sanggup memilih calon yang hanya boleh menang dalam pilihan raya sahaja tanpa memikirkan ia mampu mengabaikan prinsip parti.

Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohd Fadzli Hasan berkata, Pas tidak menyentuh soal calon memandangkan semua layak untuk menjadi calon sama ada mereka Orang Asli, Cina mahu pun India.

Menurutnya, terdapat banyak pihak berpendapat Pas takut dengan pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, ditambah desas desus yang mengaitkan beliau akan dicalonkan.

“Kita tetap menghormati Ku Li, (namun) kita tidak takut, sebab kita tidak lawan Ku Li, tapi kita melawan ideologi UMNO, tetapi disebabkan UMNO letakkan Ku Li di barisan hadapan, kita nak buat macam mana.

“UMNO memilih Ku Li mungkin kerana kemenangan semata-mata, atau mungkin ada konspirasi sama ada hendak menjatuhkan Ku Li,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan Dividen Ladang Rakyat kepada 250 masyarakat Orang Asli di Markas Pas, di Bandar Lama, di sini.

Mohd Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemuning berkata, pada PRK Galas, UMNO melihat Ku Li boleh membawa kemenangan kepada mereka sehingga sanggup menunggu kepulangannya beliau dari luar negara.

Namun katanya, umum mengetahui sebelum ini UMNO telah mengetepikan Ku Li tetapi kini dijulang semata-mata mahu kemenangan berpihak kepadanya.

“Bagi kita, dia seorang (Ku Li) negarawan, anak raja dan politik veteran yang pernah mencabar bekas Perdana Menteri, tapi UMNO tetap mencalonkan Ku Li,” katanya.

Mohd Fadzli berkata, UMNO sanggup membuat apa sahaja demi mahu menang walaupun tindakan itu seolah-olah menjatuhkan martabat Ku Li./Sinar

`KATAK' TIDAK TAHU BERADAB

Ibrahim Ali didakwa tidak hormati mendiang Chong
Joseph Sipalan
Okt 11, 10


Ahli parlimen pembangkang hari ini membidas Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), yang dikatakan tidak berdiri dan terus bercakap di telefon ketika Dewan Rakyat bertafakur menghormati pemergian wakil rakyat Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah.

Ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata presiden PERKASA itu tidak sopan dan "sengaja memprovokasi", dan memberi amaran bahawa wakil rakyat pembangkang boleh mengemukakan usul terhadap Ibrahim.

Bercakap di lobi Parlimen, Khalid berkata, seorang rakan MP telah meninggal dan ia hanya satu minit bertafakur sebagai tanda hormat.

Bagaimanapun, katanya, Ibrahim terus duduk dan bercakap dengan kuat di telefon, seperti mahu menunjukkan semangatnya sebagai juara Melayu.

Menurut Khalid lagi, jelas kepada semua ahli parlimen yang Ibrahim sedang bercakap di telefon kerana hanya suaranya sahaja yang kedengaran sedangkan orang lain diam bertafakur.

Khalid berkata, walaupun Ibrahim akhirnya berdiri, tetapi hanya pada penghujungnya.

Dalam SMS kepada Malaysiakini lewat petang ini, Ibrahim mendakwa tuduhan terhadapnya itu adalah tidak benar.

"Saya bangun. Cuma lewat sikit. Tak sampai sesaat. Kalau kata saya tak berdiri hormat adalah dusta," demikian kandungan SMS tersebut.

Dalam SMS tambahan yang dihantar Ibrahim selepas itu, beliau menulis: "Tak kan la hal macam ni pun jadi isu... Saya bangun dan masih bertafakur. Cuma lambat sikit. Tak Sampai sesaat."/Malaysiakini

TIMB PRES PKR - MUNGKINKAH ZAID AKAN MUNGKIR JANJI LAGI ?

Tak mungkin Zaid beri laluan pada Khalid
Aidila Razak
Okt 11, 10


Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR, telah meletakkan semula tumpuan terhadap pesaingnya, Datuk Zaid Ibrahim.

Ini kerana ketika menawarkan dirinya, Zaid berkata, beliau hanya akan berbuat demikian jika Khalid tidak bertanding jawatan nombor dua PKR itu.

Jika ketua PKR Wilayah Persekutuan itu mahu menjaga imej dan prinsipnya, maka beliau harus mengotai janjinya dan menarik diri walaupun mendapat pencalonan dari kira-kira dua pertiga cabang PKR.

Zaid (kiri) masih membisu mengenainya dan sehingga ini tidak dapat dihubungi. Bagaimanapun, menurut sumber-sumber yang rapat dengan bekas menteri di jabatan perdana menteri itu, beliau tidak mungkin menarik diri untukmemberi laluan kepada Khalid.

Katanya, ini kerana keadaan sudah berubah kebelakangan ini.

Begitu juga, Zaid - ketika ditanya sama ada akan menarik diri untuk memberi laluan kepada Khalid - pernah memberitahu pihak media tentang perlunya 'mengambil jalan yang berbeza' jika 'keadaan berubah'.

Tumpuan pada Nurul Izzah

Sumber itu berkata, orang yang perlu diberi perhatian sekarang ialah ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, yang belum memutuskan sama ada akan menerima "tawaran' Zaid untuk menyokongnya jika bertanding timbalan presiden.

"Dia masih belum putuskan. Saya berhati-hati terhadap apa yang akan dilakukan oleh Zaid (berdasarkan keputusan Nurul Izzah nanti)," katanya.

Nurul hanya menerima satu pencalonan untuk bertanding jawatan his timbalan presiden. Beliau memerlukan dua pencalonan untuk layak bertanding.

Bagaimanapun, Nurul dilaporkan telah mendapat pencalonan yang mencukupi, dari kalangan kira-kira 30 cabang yang belum lagi menghantar keputusan rasmi kepada ibupejabat parti.

Zaid yang juga penyelaras Pakatan Rakyat sehingga ini membisu tentang jawatan yang akan ditandinginya jika Nurul menerima tawaran bertanding timbalan presiden, tetapi wujud spekulasi yang mengatakan beliau mungkin mensasarkan jawatan presiden.

Sama ada Zaid akan menggunakan 'persetujuan Nurul" sebagai satu alasan untuk bertanding jawatan tersebut masih menjadi teka-teki, tetapi mereka yang mengetahui, telah menyatakan kebimbangan masing-masing dengan langkah Zaid seterusnya./Malaysiakini

Isnin, 11 Oktober 2010

GALAS - JIKA MAIN PROVOKASI, MEREKA SILAP TEMPAT

Oleh: WFAUZDIN NS

PRK Dun Galas tidak dapat mengelak pertembungan di antara Umno dan PAS. Ada ramalan yang menyebut bahawa akan terdapat lebih dari seorang calon bebas akan bertanding, namun pertarungan sebenar adalah hanya tertumpu kepada dua parti terbesar ini. Umno yang dasarnya Kebangsaan, manakala PAS pula dasarnya Islam. Inilah dua parti yang ditawarkan kepada seluruh rakyat di Dun Galas.

PAS lebih awal memberi peringatan kepada semua jentera dan penyokongnya agar tidak melayani sebarang provokasi daripada pihak lawan. Tidak pernah pihak lawan tidak mengadakan provokasi di dalam mana-mana pilihanraya sebelum ini termasuk provokasi dari pihak media di bawah kawalan mereka. PAS sebagai sebuah parti yang amat berpengalaman di dalam Pilihanraya, tentunya arif dengan bentuk provokasi mereka.

Namun ingin diingatkan kepada Umno, sekiranya mereka masih ingin `bermain' dengan provokasi seperti sebelum ini, mereka sebenarnya silap tempat. Galas bukan seperti di Bagan Pinang yang mana provokasi yang dimainkan sedikit sebanyak menguntungkan mereka. Di Bagan Pinang banyak kita lihat berbagai aksi samseng mewarnai suasana kempen di sana. Akhirnya mereka menang di Bagan Pinang.

Galas, sebuah kawasan yang berada di dalam Negeri Kelantan. Bukan saya ingin melabelkan orang-orang Kelantan ini `gedebe', tetapi semua tahu orang-orang Kelantan tidak sama dengan orang-orang negeri lain. Kita masih ingat, di Bagan Pinang bagaimana puak-puak yang mulanya ingin tunjuk `berani dan samseng' untuk menakutkan penyokong-penyokong dan jentera PAS, tetapi apabila tibanya jentera kempen dari Kelantan membantu, puak-puak ini mula `menekan brek'. Sifat orang-orang Kelantan yang sanggup menyahut cabaran walau di mana bumi dipijak itulah yang membezakannya dengan masyarakat negeri lain.

Inilah yang amat dikhuatiri oleh PAS Kelantan. PAS Kelantan bimbang jika Umno terlupa bahawa mereka sekarang sedang `bermain' di Negeri Kelantan. Silap besar jika mereka masih ingin menggunakan taktik yang sama seperti di Bagan Pinang. Mereka boleh berkempen atau berlakon menjadi `penoreh getah' seperti yang telah mereka lakukan di PRK Dun Manek Urai dahulu, mereka boleh menjadi `Penyumpit' kali ini tetapi mereka dinasihatkan agar tidak bermain dengan provokasi yang keterlaluan.

Kita tetap yakin, di bawah kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz selaku MB Kelantan yang selalu mengingatkan rakyat Kelantan agar berakhlak dan bermoral tidak akan melayani provokasi jauh sekali untuk memulakannya. Itu harapan kita, tetapi kadangkala `orang yang bersungguh ingin menjual, ada juga yang teringin membeli'nya. /wfauzdin.blogspot.com