RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Selasa, 23 Jun 2009

HALAKAN SENJATA KITA KEPADA UMNO PULA

Oleh: WFAUZDIN NS

MANEK Urai kini menjadi tumpuan setelah kita mungkin sedikit terleka akibat kemelut isu Kerajaan Perpaduan. Alhamdulilah, isu tersebut telah dinoktahkan oleh pimpinan PR semalam dan diikuti pula oleh majlis pimpinan Pas Pusat. Tahniah dan syabas buat Tuan Guru Presiden Pas yang telah membuat satu keputusan yang bijak termasuk juga kepada semua AJK Pas Pusat yang tentunya lebih arif tentang hati dan perasaan ahli-ahli dan penyokong di peringkat bawahan. Terima kasih tidak terhingga juga kepada Mursyidul Am Pas serta pimpinan-pimpinan yang sentiasa melihat bahawa kerjasama di dalam PR lebih afdhal daripada bersekongkol atau bersama dengan Umno.

Semenjak isu Kerajaan Perpaduan ini bermula, kita terlalu banyak berbalah dan bersengketa akibat fahaman dan pendirian kita masing-masing. Apabila isu ini sudah disemadikan oleh pimpinan kita, maka bermulalah `wala' kita yang sebenarnya tanpa ada keraguan dan khilaf lagi. Hunuskan senjata kita sekarang kepada Umno terutamanya di Manek Urai. Kita menyeru agar semua pimpinan dan ahli-ahli Pas serta penyokong-penyokong PR seluruh negeri yang mungkin selama ini telah bermasam muka turun ke Manek Urai dan buktikan kepada Umno bahawa bukan mudah parti yang memperjuangkan Islam ini untuk dimusnahkan. Inilah saat dan waktu yang paling tepat untuk kita mengajar Umno disaat mereka menganggap bahawa kita telah berpecah.

Kepada semua penyokong dan penulis-penulis blog yang tidak berkesempatan hadir di Manek Urai untuk membantu jentera Pas, gunakan segala senjata sekadar yang kita miliki bagi menentukan Umno sesak nafas di Manek Urai. Kesemua pimpinan Pas dan AJK-AJK yang baru diberi mandat oleh muktamar baru-baru ini diharapkan turun ke Manek Urai sebagai membuktikan komitmen mereka terhadap parti yang memilih mereka sebagai pemimpin. Hindarkan dari perasaan dendam kesumat, dan berbaik sangkalah sesama kita kerana jemaah telah memutuskan bahawa Pas sekarang perlu bersatu demi untuk agama dan rakyat. Berhati-hatilah dengan propaganda musuh dan tektik licik mereka yang mungkin akan menggunakan persengketaan kita yang lalu untuk dimanipulasikan. Jika terdapat mana-mana poster atau sepanduk yang mengecam mana-mana pimpinan sesama kita, musnahkan sebanyak mungkin kerana kita tidak lagi mampu untuk berpecah sekali lagi.

Kepada semua pimpinan pula, terimalah hakikat bahawa keputusan yang telah diambil oleh Pas tentang isu Kerajaan Perpaduan ini adalah satu keputusan yang diredhai oleh ahli dan penyokong-penyokong akar umbi. Maka, kembalilah bersama rakyat untuk kita sama-sama mentalqinkan Umno di Manek Urai. Jadikanlah bumi Kelantan yang mulia ini `Bebas Dari Umno' bermula di Manek Urai. / wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan