RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Jumaat, 16 Disember 2011

WAKIL RAKYAT YANG MELOMPAT PARTI HENDAKLAH BERTANDING SEMULA

Oleh:  WFAUZDIN NS

PENDENGARAN Awam Jawatankuasa Khas Parlimen penambahbaikan Pilihanraya baru-baru ini telah mendengar satu cadangan yang pada saya amat baik untuk kita sokong agar dikuatkuasakan.  Cadangan tersebut adalah mengadakan undang-undang dan peraturan bahawa Adun/MP yang melompat parti diwajibkan mengosongkan kerusinya untuk diadakan Pilihanraya semula bagi menentukan samada tindakannya itu direstui oleh para pengundi di kawasannya.

Cadangan itu menyebut, setiap Adun/MP yang melompat parti ke parti yang bukan dari komponen parti asalnya, contohnya Adun/MP dari Umno/Bn melompat ke parti PR, maka hendaklah diadakan Pilihanraya semula di kawasannya dan Adun/MP tersebut dibenarkan bertanding bagi mewakili parti yang baru disertainya.  Begitu juga jika Adun/MP berkenaan melompat menjadi calon Bebas.

Melainkan, sekiranya Adun/MP berkenaan melompat dari partinya ke parti yang menjadi rakan sekutu partinya maka tidak perlu diadakan Pilihanraya.  Sebagai contoh, Adun/MP dari PKR melompat menyertai PAS maka tidak perlu kerusi tersebut dikosongkan.  Begitu juga jika Adun/MP dari Umno melompat menyertai parti Gerakan maka tidak perlu kerusi tersebut dikosongkan.

Peraturan ini perlu diwujudkan demi kebaikan dan keadilan semua pihak, khususnya untuk rakyat yang telah memberikan amanah kepada calon berkenaan.  Di antara lain, sebab-sebab peraturan ini perlu dikuatkuasakan adalah seperti berikut;

1.  Mengelak dari amalan rasuah, jual beli Adun/MP.

2.  Mengelak dari berlakunya `rampasan kuasa' secara tidak demokratik samada di peringkat Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri.

3.  Mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar datang dari pilihan rakyat, bukan dari pilihan atau selera Adun/MP yang kadangkala mempunyai kepentingan peribadi.

4.  Melahirkan suasana yang tenteram, rakyat tidak memberontak dan merasa tidak berpuas hati jika Adun/MP yang mereka pilih khianat terhadap mereka.

5.  Adun/MP yang berhasrat untuk melompat parti akan berfikir dua, tiga kali untuk berbuat demikian kerana belum tentu beliau akan menang semula jika Pilihanraya Kecil diadakan.

Sebenarnya terlalu banyak kebaikan yang boleh diperolehi sekiranya peraturan ini dikuatkuasakan, tetapi yang paling penting adalah demokrasi hendaklah diamalkan di mana hak rakyat mesti dihormati bagi menentukan Wakil Rakyat yang mereka pilih. /wfauzdin.blogspot.com


1 ulasan:

  1. satu cadangan dan ulasan yang wajar diketengahkan demi faedah bersama. parti politik dan pengamal undang-undang wajar berdiskusi pasal hal ini.

    BalasPadam