RADIO KOBAT FM

TERIMA KASIH KERANA ANDA SUDI MENJADI TEMAN KAMI, SILA DAFTAR SEKARANG

Catatan Popular

Khamis, 23 Julai 2009

DEMO ISA - GMI VS PEWARIS, ANTARA DIA DENGAN TUHAN!!

GMI seru Pewaris 'guna laluan lain'
Jimadie Shah Othman
Jul 22, 09
3:19pm

Kumpulan pendukung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digesa menggunakan laluan berbeza untuk mengadakan demonstrasi bagi mengelakkan sebarang pertembungan antara penunjuk perasaan membantah akta itu, 1 Ogos nanti.

"Dalam konteks sekarang, sama laluan mungkin ada isyarat tertentu dan mungkin mengakibatkan pertembungan," kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh kepada Malaysiakini.

"Kalau boleh elakkanlah, tukarlah ke laluan lain atau tarikh yang lain."

Ditanya sama ada GMI akan mengubah rancangan mereka ekoran keputusan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) itu, Syed Ibrahim berkata:

"Kita sudah rancang awal, takkan kita hendak ubah (tarikh dan tempat). Memanglah dari segi jumlah, kita lebih besar. Kita tidak hairan sangat (dengan pertembungan).

"Tetapi atas dasar tanggungjawab, kita nak lihat juga aspek keselamatan dan tidak menimbulkan masalah."

Pewaris dengan sokong 10 lagi NGO Melayu menganjurkan demonstrasi bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" di Pasar Seni mulai 11.30 pagi sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada jam 1 tengah hari.

Kira-kira 3,000 penyokong ISA kemudian akan berarak ke Istana Negara selepas menurunkan tandatangan di kain rentang sepanjang 200 kaki di dataran itu.

Sementara GMI pula merancang berkumpul di tiga lokasi - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan KL Sentral - mulai 2 petang sebelum menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengakui mengetahui rancangan Pewaris semalam, Syed Ibrahim berkata, GMI akan membawa perkara itu dalam mesyuarat jawatankuasa pelaksana Himpunan MANSUH, esok.

Demonstrasi anjurannya menuntut tiga perkara: hapuskan ISA, bebaskan tahanan dan tutup kem Kamunting di Taiping.

Diminta mengulas kenyataan Pewaris bahawa tarikh yang dipilihnya secara "kebetulan sahaja", Syed Ibrahim berkata dakwaan "itu antara dia dengan Tuhan."

GMI akan mengutus surat maklumat kepada istana berhubung hasrat mereka mahu mengutus memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong./Malaysiakini

SURUHANJAYA DIRAJA- PR KAJI KEANGGOTAAN

KUALA LUMPUR, 22 Julai: PAS dan Pakatan Rakyat pada dasarnya menerima pembentukan suruhanjaya diraja menyiasat kematian Teoh Beng Hock tetapi akan meneliti anggota badan ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Pakatan Rakyat dalam mesyuarat mereka sebelum ini telah mencapai kata sepakat tentang keperluan penubuhan suruhanjaya ini.

"Sekarang kita akan meneliti samada anggota suruhanjaya ini dilantik di kalangan mereka yang sesuai untuk menjalankan tugas ini," kata beliau kepada Siasah.

Rabu lepas, dalam mesyuarat mingguannya, Kabinet Malaysia telah meluluskan pembentukan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh.

Turut diluluskan adalah pembentukan satu inkues (siasatan awam) untuk menyiasat punca kematian itu.

Teoh Beng Hock ditemui meninggal dunia di atas bumbung sebuah bangunan lima tingkap di sebelah Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam.

Siasatan awal polis mendapati beliau terjatuh dari sebuah tingkap bilik soalsiasat SPRM di tingkat 14 bangunan tersebut.

Teoh sehari sebelum itu dipanggil untuk memberikan keterangan dalam satu siasatan yang dibuat oleh SPRM terhadap bos beliau iaitu Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Rabu, 22 Julai 2009

PEWARIS sengaja cari kecoh ?

Wednesday, July 22, 2009

Pasukan 'taktikal' yang menyusun BERSIH telah berjaya memperdaya Polis yang bercita - cita menggagalkan himpunan BERSIH sebelum pilihanraya lalu dengan keganasan. Himpunan BERSIH berjaya diadakan dengan 'bersih' dan lancar. Polis hari tersebut seolah 'terkedu' dengan taktik jalanraya yang boleh dikatakan antara yang terbaik pernah dilakukan oleh demontsran tempatan.

Hampir pasti ramai antara pasukan 'taktikal' itu telah dipanggil semula untuk menjayakan Himpunan anti ISA 1 Ogos ini. Mungkin panik dengan perkembangan itu dan takut malu dimainkan sekali lagi Regim Bn telah menggunakan sekumpulan NGO upahan mereka untuk membuat kecoh.

Mereka yang dikenali sebagai Pewaris ini bukanlah ramai sangat, kumpulan yang sama pernah muncul beberapa kali dan juga pernah diberi kebenaran dan kerjasama oleh Polis untuk berarak tengah Kuala Lumpur namun tetap gagal mengumpulkan ramai.

Kali ini mereka sekali lagi kononya menggunakan hak berhimpun mereka (walaupun mereka inilah yang kata demonstrasi bukan budaya kita) akan cuba membuat gangguan. Mereka sedar tidak akan mampu turun ramai. Apa yang mereka cuba lakukan ialah harapkan perhimpunan tersebut dibatalkan atas alasan takut bergaduh.

Percayalah tidak akan ada berlaku pergaduhan, pasukan keselamatan kita telah sedia mengawal segala bentuk kontroversi dan dengan jumlah kita yang jelas beratus kali ganda dari mereka pasti mereka juga akan menyuruk di belakang polis nanti.

Jika Pewaris boleh bertindak matang dalam menyuarakan pendapat biar sahaja 1 Ogos kita berhimpun dan mereka yang punya perlindungan Regim Bn termasuk PDRM pilih saja mana - mana hari yang mereka suka yang lain untuk melawan jumlah mobilisasi. Kita sudah merancang lama, kumpulan NGO upahan ini hanya memutus malam semalam untuk berhimpun 1 Ogos juga, bukankah itu sesuatu yang memang berniat iri hati dan jahat ?

Apa pun di seru kepada semua pencinta keadilan dan pejuang rakyat ayuh kita turun beramai - ramai untuk bersama di Kuala Lumpur pada 1 Ogos ini. Hasrat utamanya ialah untuk mendesak dihapuskan ISA, ia himpunan kuasa rakyat....turunlah atas apa jua jeritan rakyat. Boleh saja ia lambang protes terhadap kematian Teoh Beng Hock, isu Bahasa Melayu, kenaikan harga Minyak (September), Kenaikan Tarif Elektrik (Ogos), Kenaikan Harga Tambang, Isu tanah atau apa sahaja....asalkan turun dan tunjukkan kuasa rakyat./Chegubard.blogspot

(sila klik baca berita berkaitan di Malaysiakini)

MSO MINTA PEMIMPIN PAS TEGUR YAB IR NIZAR PEGANG LILIN

Oleh: WFAUZDIN NS

MAKA, heboh semua apabila YAB Ir Nizar dilihat memegang lilin sebagai menghormati kematian Mendiang Teoh Beng Hock baru-baru ini. Tidak diketahui samada perbuatan YAB Ir Nizar itu menyamai salah satu rukun ibadat ugama mendiang atau pun hanya adat menghormatisi mati semata-mata. Sekiranya perbuatan tersebut menyamai rukun ibadat mereka, tentunya tidak dibolehkan oleh Syarak tetapi sekiranya sekadar adat seperti orang Melayu membakar kemenyan di rumah si mati, saya rasa tidak menjadi satu kesalahan.

Dan, diberitakan Timbalan Mufti Kedah menyatakan perbuatan YAB Ir Nizar itu tidak salah dari segi hukum Islam. Ustazah Mashitah yang suatu ketika pernah memberi hukum harus kerana `dharurat' ke atas perempuan yang melacur untuk mencari rezeki bagi membiayai anak-anak juga memberi hukum beliau ke atas perbuatan YAB Ir Nizar. Ustazah Umno ini menyebut perbuatan YAB Ir Nizar tersebut menyalahi akidah Islam. Ustazah ini juga pernah mempersendakan hukum hudud apabila mempersoalkan adakah perlu orang Islam yang mencuri dipotong tangan kiri, kemudiannya kanan, kedua-dua belah kakinya sehinggakan terpaksa memotong mulut atau hidung sekiranya orang itu terus mencuri. Ustazah ini juga ingin menunjukkan ilmunya apabila turut memberi hukum ke atas YAB Ir Nizar.

Apa pun, seorang lagi Penulis Pro Kerajaan Perpaduan terkenal iaitu MSO (Mohd Sayuti Omar) ingin menasihatkan pimpinan PAS untuk memberi hukum ke atas perbuatan YAB Ir Nizar itu. Berikut adalah petikan dari tulisannya dalam blog beliau. "Pas juga perlu menengur sesetengah pemimpinnya yang turut membakar lilin sebagai menyatakan simpati kepada mendiang Teo Beng Hock. Ulama Pas perlu menjelaskan apakah tindakan itu tidak merosakan aqidah muslim mereka? Ingatlah sesuatu kemungkaran itu tidak boleh dilakukan walaupun kerana apa termasuk politik!" (Baca seterusnya di sini)

Wah, begitu bersemangat MSO untuk menjaga kesucian Islam. Mungkin kerana untuk menjaga kesucian Islam yang berkobar-kobar itulah MSO terlalu kepingin kepada Kerajaan Perpaduan bersama Umno. Malangnya pimpinan PAS tidak seperti MSO yang bersungguh-sungguh untuk menegakkan Islam di muka bumi Malaysia ini. Kerajaan Perpaduan telah ditolak mentah-mentah oleh pimpinan Pas, dan tidak pula MSO bertanya apa hukumnya penolakan Kerajaan Perpaduan tersebut. MSO juga tidak pernah bertanya hukumnya strategi `merangkak' malam beberapa kerat pemimpin Pas di Selangor bertemu pemimpin Umno untuk bentuk kerajaan perpaduan di Selangor sejurus PR memenangi pilihanraya di Selangor dahulu?

Bertuah Pas mempunyai penulis seperti MSO ini yang terlalu peka terhadap Islam, lebih peka daripada meniaga kambing. Memang wajar MSO diberi peluang menulis sebanyak mana pun di ruang-ruang media Pas kerana tulisannya amat membantu Pas untuk menegakkan Islam kalaupun tidak untuk merealisasikan Kerajaan Perpaduan yang `wajib disisi syarak' itu. Saya harap YAB Ir Nizar patut belajar ilmu agama samada daripada Ustazah Mashitah ataupun daripada MSO./kembali ke blog utama.

DEMO ANTI ISA DAN MENDIANG BENG HOCK


Demo anti-ISA 'solidariti untuk Teoh'
Abdul Rahim Sabri
Jul 21, 09
4:44pm

Penentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh berkumpul di tiga lokasi sebelum berarak ke Istana Negara dalam demonstrasi besar-besaran untuk menyerahkan memorandum, 1 Ogos ini.

Tiga lokasi yang menjadi pusat perhimpunan anti-kerajaan dipilih: kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan KL Sentral, kata ketua Pemuda PAS yang terlibat dalam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang menganjurkan perhimpunan itu.

Nasrudin Hasan juga berkata perhimpunan itu boleh dijadikan pentas untuk menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock - setiausaha exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - yang ditemui mati dalam tanda tanya dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.

"Serentak tarikh ini juga, semangat solidariti ummah bangkit berhimpun untuk menentang semua bentuk kezaliman termasuk tragedi yang menimpa Teoh setelah dijumpai terbunuh di Plaza Masalam sejurus disiasat oleh SPRM," katanya di blog peribadi Episode Sebuah Perjuangan.

pas umno pemuda talks parliment 010709 nasrudin hassanNasrudin juga mengarah ahli-ahli dewan itu di peringkat kawasan dan negeri untuk memobilisasi orang ramai agar menyertai perhimpunan tersebut.

GMI belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung lokasi awal berhimpun sebelum bergerak ke Istana Negara.

Jumaat lalu, mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata kerajaan wajar "berani memansuhkan" akta tersebut dalam agenda pembaharuan - bawah perdana menteri baru Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah berkata ISA memberi kuasa yang besar serta skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.

Pada 13 Julai, Pemuda Gerakan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap - dan turut serta dalam - demonstrasi itu yang turut disertai pembangkang dan NGO hak asasi.

Pada 22 Jun lalu, GMI mensasarkan kehadiran penentang ISA "sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)", dua tahun lalu.

Pada perarakan ke Istana Negara pada November 2007, kira-kira 40,000 ribu orang turun bersama-sama dengan tokoh-tokoh pembangkang.

Tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960./Malaysiakini

Selasa, 21 Julai 2009

TENGKU RAZALEIGH DIPELAWA MASUK PKR, UMNO GELABAH?

Tuesday, July 21, 2009


Tindakan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mempelawa Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam blognya telah mendapat reaksi negatif dikalangan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Malah, dalam satu kenyataan Timbalan Presiden UMNO dan juga Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini menagaskan tindakan Zaid itu seolah-olah menghina dan merendah-rendahkan kewibawaan veteran UMNO itu. Malah tambah melucukan, akibat terlalu takut jika Ku Li mengambil keputusan tersebut, Muhyiddin dengan bangganya mengumumkan bahawa Ku Li adalah satu daripada sebab UMNO mendapat kemenangan moral pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan pada 14 Julai lalu. Tiba-tiba pula, pemimpin UMNO itu mahu memartabatkan kewibaan Ku Li, sedangkan sejak membubarkan Parti Melayu Semangat 46 dan membawa penyokongnya menyertai UMNO dulu nasib Ku Li "bagai telur dihujung tanduk". Selaku Presiden S46, beliau seolah-olah tidak berharga dan bernilai disini pemimpin UMNO. Biarpun mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam politik, namun Ku Li terus dipinggirkan dari menjawat sebarang jawatan dalam kabinet Mahathir, Pak Lah dan kini Najib Razak. Anehnya, orang kanan Ku Li seperti Rais Yatim dan Shabery Chik diberi pula tempat dalam kabinet kerajaan Barisan Nasional. Bukankah tindakan ini seolah-olah memperkecilkan kewibaan Ku Li selaku Presiden S46 sebenarnya.

Maka, adalah menjadi satu kewajaran untuk Zaid Ibrahim mempelawa pemimpin veteran itu menyertai Pakatan Rakyat terutamannya PKR itu sendiri. Malahan, kini jelas dapat dilihat bahawa Ku Li senantiasa membangkit isu-isu rakyat dalam perjuangannya sejak akhir-akhir ini. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkannya juga jelas menunjukkan bahawa beliau kini membawa aspirasi rakyat. Maka itu, seharusnya Ku Li tidak perlu malu untuk bersama Pakatan Rakyat. Suara dan tenaganya masih diperlukan untuk mengembalikan maruah rakyat yang kian tercalar sekarang ini. Ku Li, wajar menghabiskan sisa-sisa kehidupannya dengan memperhambakan diri kepada rakyat dan tidak lagi bersekongkol dengan UMNO Barisan Nasional. Ini kerana hala tuju dan gagasan yang dibawa oleh UMNO sudah jauh tersasar. Malah, UMNO kini sudah tidak lagi relevan untuk orang Melayu. Perjuangan yang dibawa oleh UMNO hanya sekadar "retorik" semata-mata. Sebaliknya, bila kuasa sudah ada dan kekal ditangan mereka akhirnya rakyat dijadikan mangsa berbagai kezaliman. Malah rakyat yang tidak berdosa juga, terpaksa merintih dibumi sendiri akibat perbuatan khianat UMNO kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya. Maka itulah Ku Li, harus membuat keputusan sama ada ingin terus bersama UMNO yang sudah ditolak rakyat atau pun bersama rakyat yang kini mahukan perubahan. Kehadiran Ku Li dijangka memantapkan lagi api perjuangan rakyat ini.

[Sebagai anak raja yang berjiwa rakyat, maka Ku Li harus berkorban dan melupakan kepentingan diri sendiri. Seandainya Ku Li bersama Pakatan Rakyat, maka sudah pasti gelombang perubahan yang sepatutnya berlaku menjelang Pilihanraya Umum ke-13 itu akan dapat dipercepatkan lagi. Kekuatan UMNO dan BN pasti akan lumpuh, kerana Ku Li bukanlah calang-calang orang untuk diperkotak-katikkan. Beliau telah membuktikan kewibawaannya, malah kekalahan dalam perbutan jawatan tertinggi UMNO pada tahunn 1988 dulu penuh dengan misteri sebenarnuya. Ramai yang mengatakan Ku Li menang pada kiraan awal sebelum lampu dipadamkan. Selepas "blackout" berlaku, barulah Mahathir mengatasi Ku Li. Ini bermakna bahawa Ku Li mempunyai pengaruh yang kuat dalam UMNO itu sendiri. Kekuatan beliau dengan Anwar Ibrahim, jika digembeling sudah pasti akan mewujudkan "Tsunami Politik" baru dalam negara kita. Oleh itu, dengan pelawaan itu wajarlah Ku Li bersama rakyat sekarang]./Sumber: Pahangdaily

ROSLAN SMS BUKAN LAGI S/USAHA HJ HADI

SU Hadi jadi korban konflik PAS
Jimadie Shah Othman
Jul 21, 09
11:54am

eksklusif kemaskini 4.11pm Setiausaha akhbar presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi korban awal dalam pergelutan dua aliran besar dalam parti itu khususnya berhubung kerajaan perpaduan dan rundingan sulit dengan Umno.

Roslan Shahir Mohd Shahir, yang juga seorang penulis blog, digugurkan daripada jawatannya tersebut setelah satu mesyuarat pemimpin atasan parti menerima bantahan terhadap peranannya.

Selain mesyuarat sebulan lalu, selepas muktamar PAS awal Jun, surat aduan tentang sikapnya - yang dianggap antara tokoh utama di belakang kempen mengekalkan timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa - dalam usaha menentang gerakan "kumpulan Erdogan" menjelang persidangan tahunan PAS itu.

Sejak tahun lalu, Roslan berdepan dengan beberapa tuduhan di dalam di luar parti, termasuk di internet, berhubung pergeseran dalaman sehingga pernah dilabelkan memainkan "peranan subversif" untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan".

Bagaimanapun Roslan, yang dilantik semula sebagai ketua penerangan PAS Selangor hujung tahun lepas, enggan mengulas lanjut dengan alasan Abdul Hadi menasihatkan beliau agar tidak memberikan sebarang respons.

Roslan pernah dicabar menafikan terlibat berkempen untuk menyingkirkan "kumpulan Erdogan", antaranya Datuk Husam Musa - yang tewas di tangan Nasharuddin dalam pemilihan di muktamar bulan lepas.

Susulan sikapnya itu, beliau ditewaskan sebagai yang dipertua PAS kawasan Kelana Jaya dalam muktamar peringkat bahagian April lalu.

Dihubungi semalam, Roslan mengesahkan beliau tidak lagi berkhidmat dengan Abdul Hadi selepas muktamar.

Beliau, juga dikenali dengan nama penanya Roslan SMS, bagaimanapun menafikan dipecat ekoran desakan beberapa pemimpin beraliran Erdogan dalam PAS.

"Bukan gugur. Kalau gugur, sudah tentu ada pengganti (saya)," katanya kepada Malaysiakini, sambil menambah kekosongan itu sehingga kini masih belum diisi.

Beliau juga berkata tidak tahu-menahu sama ada benar tentang desakan dalam jawatankuasa PAS pusat yang bersidang 11 Jun lalu supaya presiden melucutkan jawatannya.

"Saya tidak tahu, saya tidak ada dalam mesyuarat itu," katanya.

Satu sumber parti itu menyatakan, Abdul Hadi menerima desakan tersebut yang ditimbulkan beberapa ahli jawatankuasanya tanpa banyak soal. Satu sumber lagi bagaimanapun mendakwa Abdul Hadi ingin mengekalkan Roslan walaupun selepas didesak.

Sebelum muktamar, difahamkan terdapat aduan bertulis berhubung tindakan Roslan yang sering mengeluarkan kenyataan kepada umum, terutamanya melalui blog peribadinya, didakwa tanpa berbincang dengan parti terlebih dahulu.

Sumber-sumber mendakwa, "jawapan berkias" Roslan terdapat dakwaan itu disiarkan dalam dua artikel di blognya "Apa itu blog?" dan "Apa itu blog (bahagian 2)" masing-masing pada 23 dan 24 Jun lalu.

"Jangan kita me-Myammar-kan penulis blog. Atau memang ada mentaliti junta Myanmar di kalangan kita khasnya terhadap penulis blog," tulisnya dengan nada menyindir di blog Roslan SMS Corner.

Beliau tidak menyebut khusus kepada mana-mana pihak yang dimaksudkanya "me-Myammar-kan penulis blog" selepas menyenaraikan sepuluh negara yang mengharam atau mengawal blog, antaranya Burma, Iran, Syiria dan Arab Saudi.

Mengulas lanjut pelantikannya ke jawatan itu, Roslan berkata, perkhidmatannya dengan Abdul Hadi ditawarkan selama sepenggal, bermula dari 2007.

Beliau juga tidak pasti sama ada akan dilantik semula atau tidak. Bagaimanapun, tambahnya, jika ditawar kembali, beliau membayangkan ingin menolaknya.

"Kemungkinan besar tidaklah. Saya nak balik (tumpukan) pada (PAS) Selangor," katanya.

"Dulu dilantik pun saya tak minta. Tetapi dah diminta, saya terimalah. Saya sudah berikan perkhidmatan kepada presiden. Kalau ada yang tak suka, saya tak boleh buat apa."/Malaysiakini

Kes liwat: Anwar dakwa afidavit 'palsu'


Jul 21, 09 12:20pm
kemaskini 3.32pm Pergelutan perundangan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail terus berlanjutan - kali ini bukan di mahkamah tetapi di balai Damansara Utama, Petaling Jaya.

Penasihat PKR membuat dua aduan polis berhubung "kenyataan- kenyataan palsu" yang terdapat dalam afidavit pihak pendakwaan berhubung kes liwat terhadapnya dan juga tiada tindakan konkrit berhubung aduannya terhadap peguam negara dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Kenyataan tersebut berhubung siasatan terhadap Abdul Gani yang dituduh oleh mantan timbalan perdana menteri, dalam laporan polisnya, pernah terlibat memalsukan kes mata lebamnya.

Kedua-dua laporan polis itu akan dibuat awal petang ini.

Aduan pertama berhubung pendirian tiga hakim bebas yang menilai hasil siasatan terhadap Abdul Gani yang mendapati seorang daripada anggota panel itu mendapat terdapat kes jenayah terhadap peguam negara.

Bagaimanapun, dalam afidavit yang disediakan oleh seorang pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Razak dan timbalan pendakwaraya Hanafiah Zakariah pada 30 Jun lalu, menyatakan ketiga-tiga hakim tersebut mendapati tiada kes terhadap Abdul Gani.

"Saya menemui kenyataan palsu yang terkandung di dalam afidavit tersebut. Saya percaya mereka menyedari kepalsuan kenyataan-kenyataan tersebut namun masih tetap memasukkannya untuk tujuan digunakan dalam prosiding mahkamah nanti," katanya.

"Tindakan mereka adalah satu kesalahan jenayah dan menguatkan serta mengesahkan hujah bahawa saya berhadapan dengan pasukan pendakwaan yang merupakan sebahagian daripada konspirasi politik sebagaimana yang wujud ketika perbicaraan 1998 itu."/Malaysiakini

[Laporan penuh menyusul]

EZAM PULA TUDUH DAP BUNUH MENDIANG TEO BENG HOCK?

Oleh: WFAUZDIN NS

TIBA-TIBA Ezam raja sesumpah muncul di tengah kekalutan kita memikirkan misteri kematian Mendiang Teo Beng Hock. Memang agak lama kita tidak mendengar suara raja sesumpah ini walaupun kita mengharapkan beliau hadir di Manek Urai sepertimana lazimnya di dalam mana-mana pilihanraya kecil sebelum ini. Ternyata, tanpa kehadiran Ezam Umno agak baik prestasinya jika dibandingkan dengan adanya beliau. Agak tepat juga orang mengatakan raja sesumpah ini sentiasa membawa `suwey' atau `badi' kepada Umno. Tanpa Ezam, `badi' kurang sedikit dan Umno mencapai keputusan yang agak baik sedikit walaupun tetap terkangkang di Manek Urai.

Saya ingin memberi sedikit ulasan tentang apa yang diperkatakan oleh raja sesumpah @ raja kotak ini ketika mengadakan ceramahnya di Banting, Selangor baru-baru ini. Saya mengulas berdasarkan laporan di dalam blog di sini. Ezam mendakwa DAP dan pembangkang menuduh SPRM terlibat di dalam kematian atau pembunuhan Mendiang Beng Hock,maka dengan itu tidak salah jika kita pula menuduh DAP terlibat membunuh Mendiang, kata Ezam. Menurut Ezam, ini adalah kerana mungkin DAP ingin menyembunyikan rahsia rasuah mereka dari didedahkan oleh Mendiang Beng Hock. Saya rasa otak dan minda Ezam sekarang sudah tidak berfungsi lagi untuk memikirkan secara lojik tentang kes ini. Apa pun, saya cuba untuk membalas hujah raja sesumpah yang semakin merapu semenjak berada di dalam Umno itu.

Ezam berhujah, apa perlunya SPRM membunuh Mendiang sedangkan Mendiang hanya sebagai saksi. Saya juga tidak percaya dan tidak menuduh SPRM terlibat di dalam pembunuhan tersebut kerana siasatan belum selesai dijalankan. Tetapi, tidakkah kita pernah mendengar betapa saksi-saksi juga sering ditekan atau diugut untuk memberikan keterangan? Pihak penyiasat mungkin juga akan menyiasat samada ini terjadi pada Mendiang. Hujah Ezam lagi, DAP boleh juga dituduh mengakibatkan kematian Mendiang memandangkan DAP mungkin takut saksi tersebut memberikan keterangan berlakunya rasuah seperti yang didakwa. Ingin kita peringatkan Ezam, bahawa semasa Mendiang ditemui mati siasatan telah berakhir dan keterangan telah diambil oleh pihak SPRM. Jika benar saksi tersebut ingin di`hapus'kan bagi mengelakkan kebocoran maklumat terhadap dakwaan rasuah tersebut, lojiknya Mendiang akan di`hapus'kan sebelum memberi keterangan lagi.

Lagi satu, Mendiang ditemui mati di kawasan bangunan SPRM. Di masa bilakah ada orang lain terutamanya ahli-ahli atau ejen dari DAP boleh memasuki bangunan terkawal tersebut dan melakukan pembunuhan seperti yang difikirkan oleh Ezam itu? Bukankah kawasan tersebut terkawal dan bagaimana seseorang boleh memasuki bangunan berkenaan terutamanya dari dalam dan menolak Mendiang jatuh ke bawah? Lojikkah? Oleh itu, jika Ezam memikirkan bahawa sememangnya berlaku pembunuhan ke atas Mendiang, maka persoalannya siapakah yang membunuhnya?

Saya samasekali tidak percaya semua andaian samada SPRM, apatah lagi DAP terlibat di dalam kes ini. Saya tidak percaya adalah kerana siasatan terbuka oleh badan bebas masih belum dijalankan. Maka, tidak adil untuk membuat tuduhan. Lagi pun, DAP atau pembangkang tidak pernah menuduh SPRM atau sesiapa secara khusus terlibat melakukan khianat terhadap Mendiang Beng Hock. Mereka cuma inginkan siasatan oleh badan bebas. Mereka mahu tahu mengapa Mendiang masih berada di bangunan tersebut agak lama walaupun dikatakan siasatan telah pun berakhir? Mengapa siasatan dikatakan telah berakhir, tetapi handset Mendiang dikatakan masih berada di tangan SPRM sewaktu kejadian? Mengapa baju Mendiang terkoyak ketika ditemui? Lebih memeningkan, sekiranya dikatakan Mendiang membunuh diri, mengapa perlu membunuh diri sekiranya keesokan harinya Mendiang akan mendaftarkan nikahnya?

Untuk tidak menganiayai sesiapa di dalam kejadian ini di samping untuk merealisasikan keadilan dan ketelusan, maka kerajaan wajib menubuhkan badan siasatan bebas bagi mengetahui punca-punca kematian Mendiang. Di sini, isu perkauman tidak timbul sama sekali kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat Malaysia yang sanggup untuk bekerjasama dalam siasatan rasuah seperti yang didakwa itu. Misteri mata lebam DS Anwar kembali menghantui pemikiran rakyat ketika melihat tragedi ini, begitu juga dengan isu Mendiang Kugan. Apakah isu ini menjadi isu politik? Ya, memang wajar ia dijadikan isu politik kerana hanya dengan kekuatan dan pengaruh politik sahaja yang boleh membantu rakyat teraniaya. Apakah kita mengharapkan para akademik, pelajar atau buruh kasar untuk mendepani isu ini? Orang politik tidak kira di pihak mana harus memandang isu ini satu isu yang serius dan besar.

Sehubungan itu, Ezam tidak perlu menuduh sesiapa di dalam perkara ini. Ezam harus berani seperti dulu agar mendesak kerajaan untuk menubuhkan badan bebas menyiasat perkara ini. Itu pun jika Ezam masih ada saki baki beraninya. Jika bercakap sekadar untuk menjadi `kipas', lebih baik Ezam mendiamkan diri kerana rakyat tidak akan memandang Ezam terlalu hina./Kembali blog asal di wfauzdin.blogspot.com.

Anwar mungkin merengkok 12 tahun kerana DNA

Oleh Zukri Aksah

Walaupun telah wujud empat laporan dari doktor berlainan yang mengesahkan bahawa Saiful Bukhari Azlan tidak mempunyai sebarang kesan yang menunjukkan dia diliwat, tetapi perbicaraan kes liwat Saiful lawan Anwar Ibrahim yang bakal bersambung nanti mungkin akan memberi kelebihan kepada Saiful.


Dalam ceramah umum di Beserah, Kuantan pada malam Sabtu lepas, pemimpin-pemimpin kanan PKR yang hadir, Zulkifli Noordin, Fuziah Salleh dan Azan Ismail, serta Saudara Ahmad Nizam Hamid senada dalam mendedahkan tentang keputusan hakim dalam sesi perbicaraan terakhir sebelum penangguhan baru-baru ini, bahawa perbicaraan seterusnya akan hanya mengambil kira bukti klinikal yang berupa hasil dari ujian DNA.

Keputusan mahkamah yang sebegini tentulah sangat mengejutkan, apalagi dalam keadaan telah wujudnya laporan pemeriksaan dari empat doktor yang bersedia memberi kesaksian mereka.

Mengecilkan skop pembuktian hanya kepada analisis DNA memberi gambaran bahawa empat orang doktor tersebut tidak berwibawa dan pandangan profesional mereka tidak berharga.

Pergantungan tunggal kepada ujian DNA dalam kes-kes jenayah, seperti di Amerika Syarikat, walaupun semakin diterimapakai di mahkamah-mahkamah mereka, namun sehingga hari ini masih menjadi kaedah pembuktian yang penuh kontroversi.

Ketepatan DNA hanya bersifat kepercayaan popular, bahkan kadar ketepatan 99.9 peratus DNA hanyalah suatu anggaran dan tidak ada sesiapa yang pasti tentangnya.

DNA memang berbeza untuk setiap manusia, tetapi yang digunakan dalam pembuktian adalah Profil DNA, yang sebenarnya hanya sebahagian kecil sahaja dari DNA keseluruhan seseorang manusia. Kerana itu, Profil DNA dua orang adik-beradik mungkin sahaja hampir sama.

Pada tahun 2001, Kathryn Troyer telah menjalankan ujian terhadap pengkalan data Profil DNA penjenayah Arizona, dan telah membuat penemuan dua penjenayah dengan profil genetik yang hampir sama, kedua-dua penjenayah ini mempunyai padanan 9 dari 13 lokasi kromosom. Sememangnya mereka berdua bukan adik-beradik kerana seorang berkulit putih dan seorang lagi berkulit hitam.

Asalnya FBI cuba menafikan bukti penemuan ini dengan mendakwa ia kes terpencil, 1 dalam 113 bilion, tetapi Troyer pada tahun-tahun berikutnya telah membuat berdozen-dozen penemuan yang serupa.

Ini telah menimbulkan persoalan tentang kredibiliti Profil DNA. DNA memang berciri unik, tetapi tidak untuk Profil DNA, ia hanya sekelumit dari keseluruhan genom.

DNA haruslah digunakan dengan kehadiran bukti dan kesaksian yang lain. Dalam kes jenayah, sebelum dibicarakan tertuduh bersalah atau tidak, Zulkifli Noordin berkata jenayah mesti dibuktikan berlaku.

Jika ada tuduhan seseorang merompak, rompakan itu mesti berlaku, ada barang yang hilang, ada wang yang hilang. Jika ada tuduhan seseorang merogol, rogol itu mesti berlaku, mangsanya disahkan hilang dara, ada bukti koyakan, ada bukti tusukan dan sebagainya.

Dalam kes Saiful, dia mendakwa diliwat, maka liwat itu seperti rogol mesti berlaku, ada koyakannya, ada tusukannya, dalam Islam mesti menghadirkan empat orang saksi. Empat orang saksi telah hadir dengan laporan mereka, keempat-empat mereka doktor dan kesimpulan mereka sama, liwat tidak berlaku!

Doktor-doktor ini tidak akan dipanggil ke mahkamah, hanya hasil ujian DNA sahaja yang akan digunakan. Sampel DNA Anwar, menurut Zulkifli Noordin, boleh diperolehi di mana-mana sahaja, bahkan dari peluh yang dilap ketika Anwar berdebat dengan Shabery Chik dahulu pun, sebelum itupun sampel DNA Anwar sudah berada di tangan polis, ketika Anwar ditumbuk pengsan oleh Rahim Nor, dicuri tanpa keizinan, itu pengakuan polis sendiri, dan ia terdedah untuk disalahguna dengan menaburnya di lokasi yang didakwa tempat kejadian atau di bahagian tertentu di tubuh Saiful.

Ulas Zulkifli Noordin lagi, kali ini Anwar mungkin akan trpaksa ke penjara untuk tempoh yang lebih lama, 12 tahun, kerana ini adalah tuduhan kedua untuk kesalahan yang sama.
Sumber: Detikdaily/themalaysianinsider.com

'Teoh mati 4-5 jam sebelum ditemui'

Jul 20, 09 1:46pm
kemaskini 4.13pm Siasatan awal mendapati Teoh Beng Hock sudah meninggal dunia empat atau lima jam sebelum mayatnya ditemui dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pukul 1.30 tengah hari Khamis lalu, kata ketua polis negeri.

Menjawab soalan kemungkinan setiausaha politik seorang exco kerajaan Selangor itu jatuh dari Tingkat 14, yang menempatkan pejabat SPRM itu, Datuk Khalid Abu Bakar berkata:
"kemungkinan besar."

Ditanya mengenai barang-barang yang diambil dari pejabat SPRM itu semalam, Khalid berkata, polis melihat semula tempat kejadian dan apa yang tertinggal pada hari pertama kejadian.

Petang semalam, polis mengambil beberapa dokumen dan selak tingkap di Tingkat 14 bagi membantu siasatan kematian Teoh yang menimbulkan pelbagai pertanyaan.

Dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan di ibu pejabat polis negeri di Shah Alam hari ini, Khalid berkata, rakaman CCTV menunjukkan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah memasuki bangunan itu jam 5.15 petang Rabu.

Bagaimanapun tiada rekod Teoh keluar keesokannya selepas dilaporkan selesai siasatan jam 3.45 pagi Khamis.

Khalid juga berkata, polis sudah mendapat telefon bimbit Teoh daripada seorang pegawai penyiasat SPRM.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berkenaan rekod telefon tersebut kerana masih dalam siasatan polis.

Musa, dalam sidang itu, berkata polis setakat ini telah berjaya menyiasat 60 peratus kes kematian tersebut.

Teoh, 30, setiausaha kepada pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor ditemui mati di koridor Tingkat Lima plaza berkenaan selepas disoal siasat berhubung kes salah guna peruntukan DUN oleh beberapa
wakil rakyat./Malaysiakini